KKLW: KADAR BANTUAN RUMAH RAKYAT MISKIN DITAMBAH

Kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan wilayah Malaysia ( Salinan dari blog Menteri KKLW )

Salam hormat dan salam sejahtera untuk semua. Hari ini suka untuk saya mengulangi kenyataan saya sebelum ini tentang kadar baru bantuan bina rumah dan bantuan pulih rumah. Kenyataan yang buat sebelum ini semasa melawat kampung rakyat miskin di Kampung Mengkabung, Tuaran Sabah 30 November lalu.

Agak kurang jelas melalui laporan media tentang kenyataan saya tersebut sehingga timbul beberapa kekeliruan. Jadi saya rasa lebih elok kalau saya perjelasakan melalui kenyataan penuh di bawah ini.

Kadar Bantuan Bina Rumah rakyat termiskin di seluruh negara ditambah sehingga RM33,000 seunit di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada sehingga RM40,000 seunit bagi memberikan rumah yang lebih selesa dan berkualiti kepada golongan miskin.Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Oktober 2008. Kadar baru itu akan memberi peluang kepada keluarga miskin tegar yang belum memiliki rumah, ibu atau bapa tunggal yang ramai tanggungan, serta mangsa bencana dari kalangan keluarga miskin tegar, mendapat rumah baru yang lebih baik termasuk menggantikan rumah kayu yang usang dengan rumah batu atau rumah separuh batu.

Mesyuarat Jemaah Menteri juga turut meluluskan kadar baru Bantuan Baikpulih rumah sedia ada sehingga maksimum RM11,000 di Semenanjung dan sehingga maksimum RM12,000 di Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Di bawah kadar baru Bina Rumah itu, bantuan membina rumah 2-bilik di Semenanjung ditambah kepada RM29.300 manakala rumah 3-bilik dinaikkan sehingga RM33.000. Di bawah kadar lama, bantuan bagi membina rumah ialah antara RM20,300 seunit sehingga RM22,300 seunit.

Bagi Sabah dan Sarawak, kadar baru Bantuan Bina Rumah ialah RM33,600 seunit bagi rumah 2-bilik dan RM40,000 seunit bagi rumah 3-bilik. Kadar lama ialah antara RM22,300 hingga RM25.300 seunit.

Dengan kadar baru itu, bantuan kerajaan bagi seunit rumah bagi rakyat miskin dan miskin tegar di Semenanjung telah ditambah secara purata lebih 50 peratus manakala di Sabah dan Sarawak secara purata antara 50 hingga 60 peratus sebagai bukti keprihatinan kerajaan mahu menyediakan persekitaran kehidupan lebih baik kepada golongan yang belum atau tidak memiliki rumah (homeless families).

Selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi di atas keperihatinan beliau memberi kelulusan kepada kadar baru ini, yang akan memberi impak besar kepada program membina rumah termiskin yang dijalankan oleh kementerian di bawah Program

Bantuan Rumah, yang dijalankan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). Kadar baru itu akan memberi peluang keluarga yang mendiami rumah kayu yang usang, menggantikan rumah mereka dengan rumah batu dan simen konkrit, berserta dengan spesifikasi dinding dan siling rumah yang lebih baik.

Di bawah kadar baru Baikpulih Rumah pula, tambahan bantuan Baik Pulih Rumah itu menunjukkan peningkatan antara 33 peratus hingga 37 peratus berbanding kadar lama Bantuan Baik Pulih antara RMS,000 seunit di Semenanjung dan RM9,000 seunit di Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Kadar baru itu akan digunapakai dalam projek-projek pembinaan rumah Program Bantuan Rumah di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

la juga akan membantu menghapuskan sepenuhnya kadar kemiskinan tegar di luar Bandar menjelang 2010 dan mengurangkan kadar kemiskinan Negara daripada 5.7 peratus (2004) kepada 2.8 peratus menjelang 2010.

Semua Exco Kemajuan Luar Bandar negeri-negeri sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu dalam Mesyuarat Bersama Exco Luar Bandar dan Pengarah-Pengarah Kemajuan Negeri dari seluruh negara di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada Sabtu lepas.

Bagi memastikan pelaksanaan skim bantuan rumah SPKR ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga akan meminta semua wakil rakyat mengemukakan kepada kementerian maklumat terperinci mengenai keluarga termiskin di kawasan mereka, termasuk gambar keadaan dan status rumah keluarga berkenaan

2 Respons bagi “KKLW: KADAR BANTUAN RUMAH RAKYAT MISKIN DITAMBAH”

  1. KARISMA SILAM Berkata:

    POLITIK
    Lupakan pemilihan, perlu fokus menangkan calon – Abdullah
    KUALA TERENGGANU 8 Jan. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengadakan perjumpaan secara tertutup dengan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

    Dalam perjumpaan selama hampir sejam setengah itu, Perdana Menteri mengingatkan anggota jentera supaya memastikan usaha yang berterusan bagi memastikan kemenangan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

    Menurut Abdullah, walaupun pada masa ini gerakan kempen masih belum rancak, namun beliau percaya usaha jentera BN akan ditingkatkan menjelang hari pengundian.

    ”Saya juga mengingatkan beberapa perkara antaranya supaya jentera kita memusatkan fokus mereka kepada soal memenangkan calon BN dan bukan dengan memikirkan tentang hal-hal lain.

    ”Bagi ahli UMNO, mereka tentunya tok sah (jangan) fikir tentang pemilihan parti yang akan datang pada Mac ini. Bukan lama, lupakan itu sekejap.

    ”(Sebaliknya) ingatkan sentiasa kepada tanggungjawab untuk bawa kemenangan kepada calon BN. Insya-Allah kita akan menang,” katanya.

    Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas pertemuan berkenaan yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.

    Selain Wan Ahmad Farid, hadir sama di majlis itu ialah Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Ahmad Said.

    Sementara itu, Abdullah turut menggunakan kesempatan tersebut bagi menerangkan kepada jentera BN bahawa Wan Ahmad Farid adalah seorang calon yang serius untuk berkhidmat kepada rakyat.

    Katanya, Wan Ahmad Farid mengambil risiko untuk bertanding dengan sanggup melepaskan jawatan Timbalan Menteri dan Senator.

    ”Apabila namanya disebut-sebut, saya tanya Wan Ahmad Farid sanggupkah untuk semua itu, beliau dengan pantas kata bersedia.

    ”Saya tanya mengapa, beliau jawab hanya untuk berkhidmat kepada rakyat selaku Ahli Parlimen di kawasan ini,” katanya.

    Diminta mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa pemilihan Wan Ahmad Farid sebagai calon BN adalah pilihan yang salah, Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu boleh berkata apa sahaja kerana ia tidak relevan kepada BN.

    ”Kita tahu apa yang kita buat, kita tahu apa kita mahu dan kita akan berjuang habis-habisan untuk memenangi pilihan raya kecil ini,” kata Abdullah.

    Salinan Utusan Malaysia online

  2. silamgemilang Berkata:

    POLITIK
    Pendekatan 3M Wan Farid
    KUALA TERENGGANU 8 Jan. – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengambil pendekatan 3M iaitu mendengar, memahami dan menyelesaikan masalah rakyat dalam usaha mendekatkan diri dengan para pengundi.

    Selain itu, katanya beliau juga akan lebih kerap memberikan senyuman dalam menangkis persepsi negatif seperti sombong dan tidak mesra rakyat yang dilemparkan terhadapnya .

    ‘‘Saya juga ingin menjadi wakil rakyat yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan bukan sekadar mendengar sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Menjana Modal Insan Terbilang Sekolah Kebangsaan Gong Kapas di sini hari ini.

    Mengenai tindakan pihak tertentu yang terus menyebarkan dakyah bahawa beliau seorang yang tidak mesra rakyat, Wan Ahmad Farid berharap pengundi tidak mudah terpengaruh dengan persepsi negatif berkenaan.

    ‘‘Apa yang mereka lakukan bertujuan untuk memburukkan imej dan integriti saya sejak saya menjadi calon BN.

    ‘‘Berilah saya peluang untuk menemui semua peringkat masyarakat dan menunjukkan saya boleh menjadi wakil rakyat yang baik,” ujarnya.

    Beliau menambah, tohmahan seperti itu tidak lain hanyalah muslihat pihak lawan untuk memberikan gambaran negatif terhadap peribadinya.

    Sedangkan kata beliau, pada realitinya sesiapa yang mengenalinya akan menyanggah tohmahan seperti itu.

    ‘‘Kalau tanya mereka yang pernah saya bantu sama ada golongan nelayan, orang miskin, pesakit kanser dan sebagainya, mereka ini pasti menyanggah sama sekali tanggapan tersebut.

    ‘‘Sebenarnya cerita ini kita tahu hanya timbul dua minggu lepas sahaja, sebelum ini 14 tahun saya dalam politik tak timbul pun,” jelasnya.

    Utusan Malaysia online

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: