UNICEF: Hentikan Keganasan Terhadap Kanak-kanak

UNICEF: Hentikan Keganasan Terhadap Kanak-kanak

<!–

By: Ramjit

–>

Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana ini ialah bahagian akhir siri rencana mengenai isu sosial yang memberi fokus kepada kanak-kanak.

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Hampir 53,000 kanak-kanak di seluruh dunia maut pada 2002 kerana dibunuh. Kajian dari banyak negara di merata dunia menunjukkan sehingga 80 hingga 98 peratus kanak-kanak menderita akibat hukuman fizikal di rumah masing-masing.

Menurut anggaran 2002 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 150 juta kanak-kanak perempuan dan lelaki di bawah umur 18 tahun mengalami paksaan hubungan seksual atau bentuk lain keganasan seksual.

Berdasarkan anggaran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pada 2004, 218 juta kanak-kanak terlibat menjadi buruh kanak-kanak, di mana 126 juta melakukan kerja-kerja yang berbahaya.

Sementara itu, anggaran pada 2000 menunjukkan 5.7 juta kanak-kanak berakhir sebagai buruh paksa, 1.8 juta terjerumus dalam pelacuran serta pornografi, dan 1.2 juta menjadi mangsa diperdagangkan.

Statistik di atas ialah beberapa penemuan yang memeranjatkan yang diperoleh daripada Laporan pakar bebas untuk kajian mengenai Keganasan terhadap Kanak-Kanak, bagi Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu.

Laporan itu disiapkan pada 2006.

“Tidak ada yang adil tentang keganasan terhadap kanak-kanak, dalam apa jua bentuk. Semua keganasan ini boleh dielakkan tetapi malangnya, ia berlaku di setiap negara di dunia ini, tanpa batasan budaya, kelas, pendidikan, pendapatan dan asal-usul etnik,” kata Youssouf Oomar, Wakil Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) ke Malaysia.

Kekecewaan yang disuarakan oleh Oomar senada dengan sentimen yang terkandung dalam Laporan Bangsa-Bangsa Bersatu itu.

BERDIAM DIRI

Apa yang boleh diterjemahkan daripada statistik yang dipaparkan di atas ialah keganasan yang dilakukan ke atas kanak-kanak di seluruh dunia ialah pelbagai — daripada pengabaian, hukuman yang kejam serta memalukan, penderaan seksual hinggalah pembunuhan.

Berdasarkan kajian yang dibuat bagi pihak Bangsa-Bangsa Bersatu, tindakan ganas yang sedemikian dipengaruhi banyak faktor termasuk ciri peribadi mangsa dan pelaku serta keadaan persekitaran dari segi budaya dan fizikal.

Antara penemuan lain ialah sering kali kebanyakan mangsa terlalu takut untuk melaporkan insiden keganasan yang menimpa mereka.

Dalam banyak keadaan, ibu bapa yang sepatutnya melindungi anak-anak mereka, memilih untuk berdiam diri terutama jika keganasan dilakukan oleh pasangan atau anggota keluarga mereka sendiri.

Bagi mereka ini, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan tidak penting, khusus apabila ia berkait dengan pemerkosaan atau bentuk lain penderaan seksual.

Di dalam hal ini, stigma dan menjaga maruah keluarga lebih diutamakan.

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada sikap berdiam diri ini ialah penerimaan masyarakat terhadap keganasan sedemikian, yang jelas sekali bercanggah dengan obligasi hak asasi kemanusiaan serta keperluan perkembangan kanak-kanak.

Menurut Laporan Bangsa-Bangsa Bersatu itu lagi, tindakan disiplin menerusi hukuman fizikal dan memalukan, buli dan gangguan seksual sering kali dianggap sebagai lumrah, selagi tidak ada kecederaan fizikal yang boleh dilihat atau berpanjangan.

Keganasan terhadap kanak-kanak juga menjadi terpendam kerana tidak ada cara yang selamat atau boleh dipercaya bagi kanak-kanak atau orang dewasa membuat laporan tentang keganasan itu.

CARA POSITIF

Dengan fokus kepada penderaan kanak-kanak, Oomar yang juga Wakil Khas Unicef ke Brunei yakin terdapat cara yang lebih positif untuk mendisiplinkan kanak-kanak.

“Sesetengahnya berkata mereka perlu memukul anak mereka untuk membetulkan anak dan ia amalan yang diterima tetapi ada cara yang lebih baik untuk melakukannya. Satu cara yang positif ialah untuk duduk dengan anak itu dan menjelaskan kesilapan yang dilakukan.

“Cuba fahami mengapa anak itu berkelakuan ganjil yang anda tidak senangi, yang mungkin bercanggah dengan prinsip anda. Fahami anak anda, mungkin dia perlukan perhatian lebih daripada dipukul,” kata beliau kepada Bernama dalam wawancara yang dibuat di pejabatnya di Wisma UN, Jalan Dungun di sini baru-baru ini.

Menurut Oomar, melayani anak dengan sepenuh kasih sayang lama kelamaan akan mendatangkan perubahan kepada anak itu kerana anak itu dahagakan perhatian dan kasih sayang.

Beliau berkata pendera kanak-kanak perlu menyoal tindakan mereka sama ada mereka ialah anggota masyarakat yang waras dan masyarakat demikian perlu menolak tingkah laku yang keji itu.

Sesetengah orang, tambahnya, mendera kanak-kanak kerana dihimpit kekecewaan dan ada juga yang melakukannya kerana ia telah begitu lama menjadi amalan.

PERUBAHAN PENTING

Oomar turut berpendapat kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan, termasuk yang berlaku di Malaysia, masih kecil dan melibatkan orang yang berani membuat laporan.

“Berapa banyak lagi kes yang tidak dilaporkan? Tiga kali ganda? empat kali ganda atau lebih? Ini memerlukan kita melihat balik sesetengah undang-undang dan penguatkuasaannya.

“Mengapa kanak-kanak terus diculik, atau hilang. Kuatkuasakan undang-undang. Sebagai contoh, Akta Kanak-Kanak di negara ini di mana kita tidak boleh menerima pembuangan bayi. Mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini mesti dipenjarakan,” katanya.

Bagaimanapun, Oomar menegaskan tanggungjawab menangani isu penderaan kanak-kanak tidak seharusnya dipikul oleh kerajaan semata-mata.

Setiap warganegara, tambahnya harus bertanggungjawab dan bertindak secatra berkesan dalam menangani isu tersebut serta masalah-masalah lain.

SISTEM YANG LEBIH BAIK

Oomar memberitahu pada masa sekarang, lebih ramai orang telah tampil untuk memaklumkan kes-kes penderaan kerana mereka semakin memahami isu tersebut dan wujudnya sistem membuat laporan yang lebih cekap.

“Sekarang kita melihat sistem yang lebih baik yang menjamin perlindungan identiti mangsa. Banyak kemajuan yang telah dibuat di mana ada kerajaan yang membuat dasar perlindungan kanak-kanak yang sebelum ini tidak ada di kebanyakan negara.

“Banyak juga pelaburan dibuat dari segi latihan sama ada membabitkan polis, guru dan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kita boleh lihat semakin banyak pihak yang menyokong usaha membasmi keganasan terhadap kanak-kanak termasuk juga di kalangan ibu bapa.

“Kita juga melihat lebih banyak usaha termasuk di peringkat Bangsa-Bangsa Bersatu dan kerajaan di seluruh di dunia. Laporan mengenai keganasan terhadap kanak-kanak memberi kita maklumat untuk lebih memahami pelbagai bentuk keganasan dan sebab ia berlaku. Ia juga ada kaitan dengan kemiskinan,” tambahnya.

Oomar turut memuji minat yang semakin meningkat dalam kalangan pemimpin agama terhadap isu keganasan terhadap kanak-kanak.

Sebelum ini, katanya, sesetengah pemimpin agama menggunakan persepsi agama untuk tidak menyokong keganasan terhadap kanak-kanak tetapi dalam masa yang sama mereka mengambil sikap berdiam diri.

“Itu ialah beberapa petanda baik tetapi saya perlu mengakui bahawa kita masih jauh lagi daripada menyelesaikan sepenuhnya isu ini kerana terdapat tekanan lain seperti penduduk yang menyumbang kepada keadaan, termasuk kemiskinan.

“Jika kita mampu menarik keluar orang kita daripada himpitan kemiskinan, mereka akan berada dalam keadaan yang lebih baik untuk menampung kehidupan anak-anak mereka,” katanya.

Oomar bagaimanapun menjelaskan mengurangkan kemiskinan bukan sahaja dari segi wang ringgit atau kuasa membeli tetapi juga menangani isu berkaitan dengan mutu perkhidmatan, penjagaan kesihatan, sekolah dan kemudahan asas sosial yang lain.

MERASA AMAT PUAS

Oomar telah berada di Malaysia sejak setahun setengah yang lalu. Beliau juga pernah berkhidmat di bawah panji-panji Unicef termasuk di Ivory Coast ketika negara itu dilanda peperangan.

Menurut beliau, dalam keadaan yang kacau-bilau itu apabila orang terpaksa tinggal di khemah-khemah pelarian, anak-anak mereka masih bersekolah.

“Jika ini tidak dilakukan, anak-anak akan kerugian lima atau enam tahun waktu persekolahan. Jika mereka tercicir, anak-anak ini mudah terjebak dalam kegiatan yang bukan-bukan. Oleh itu, mereka perlu dipastikan hadir ke sekolah.

“Bukan salah anak-anak jika berlaku konflik atau masalah. Mengapa anak-anak perlu menjadi mangsa pertama penderitaan. Ini sungguh tidak adil,” katanya.

Omar menyifatkan perkara yang paling memberi kepuasan kepadanya setelah berkhidmat bertahun-tahun dengan Unicef ialah kesedaran masyarakat hari ini yang semakin tinggi untuk melakukan lebih banyak kebajikan bagi kanak-kanak.

Namun demikian, katanya, bekerja untuk kanak-kanak bukan setakat bekerja.

“Ia adalah dedikasi dan satu perjuangan. Ia bukan kerana anda dibayar gaji. Anda lakukannya kerana anda cintakan apa yang anda lakukan dan anda tahu apa yang anda lakukan adalah betul dan anda mahu lakukan yang betul.

“Anda perlu ada kesungguhan, jika tidak anda tidak akan berjaya. Ia memerlukan keberanian dan melibatkan banyak risiko kerana jika kita tidak mengambil risiko, kita tidak dapat melihat hasilnya.

“Apabila anda melihat hasil dari usaha gigih anda dan anda bersungguh-sungguh melakukannya, itulah kunci kejayaan kerja anda. Ini ialah sumbangan terbesar yang boleh anda lakukan untuk memastikan senyuman sentiasa ada di wajah kanak-kanak,” tambah Oomar.

– BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: