Archive for Februari 2009

KEHAKIMAN MENGUAK SEJARAH ?

Februari 27, 2009

KEHAKIMAN MENGUAK SEJARAH?
Nota Ucapan Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi Ketika Membahas Rang Undang-Undang Suruhanjaya Kehakiman 2008 di Parlimen.

gambar-yb-copy

Saya ingin mengambil kesempatan disini untuk membaca sebahagian teks ucapan DYM Raja Dr. Nazrin Shah dan supaya kita dapat mengambil iktibar serta panduan dari titah baginda pada 9 April 2008 :

“Sekarang ini kita berada di saat kritikal dalam sejarah negara kita di mana institusi negara kita, yakni, asas bagi demokrasi yang telah lama kita bina sejak merdeka, kini di bawah pemerhatian serta pemantauan yang serius. Pilihan Raya Umum ke-12 yang baru sahaja tamat telah membawa bersama arus perubahan. Antara lain, kita saksikan sekarang perhatian yang lebih serius diberikan dan lebih banyak persoalan yang dikemukakan dalam proses penggubalan dasar, legislatif serta serta pentadbiran negara. Ada di antara perubahan ini bersifat sementara manakala ada yang lebih kekal. Walau apa pun soalnya, realiti politik terkini terbuktui mencabar dan akan terus mencabar. Mesej yang jelas telah disampaikan, yakni, kita tidak lagi boleh terus menerus dengan sikap ‘tidak apa’ kita. Tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa pendedahan terkini mengenai salah laku dalam institusi kehakiman telah memberi kesan negatif yang mendalam dengan mencamer imej serta menghikis tahap keyakinan rakyat terhadap sistem yang diharap mampu membela serta memastikan keadilan yang dituntut akan diperolehi. Kita perlu komited bagi mengorak langkah demi berusaha mengatasi masalah ini dan tampil lebih gagah dengan mengambil iktibar dari isu ini. Untuk itu, kita perlu bersedia berdepan dengan isu serta fakta berkaitan dengan seadanya. Dalam konteks ini, nada yang telah ditetapkan oleh YAA Dato’ Abdul Hamid dalam ucapan sempena perlantikan beliau pada bulan Disember tahun lalu adalah amat memberangsangkan. Dalam ucapan yang telah diandaikan sebagai ‘hembusan arus perubahan’, beliau telah menyentuh persoalan yang timbul berkaitan sejauh mana keputusan mahkamah adalah berdasarkan fakta dan tidak terpengaruh dengan unsur favouritisme. Beliau juga menyentuh isu perlantikan dan kenaikan pangkat serta komitmen hakin dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan. Beliau dengan tepat telah menyatakan bahawa persoalan sama ada persepsi negatif itu berasas adalah tidak releven. Kewujudan persepsi itu sendiri adalah cukup untuk membawa padah dan langkah yang tegas perlu diambil bagi memulihkan badan kehakiman.”

Saya ingin menekankan disini bahawa kenaikan pangkat bagi hakim untuk Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sekali lagi haruslah berdasarkan tempoh perkhidmatan hakim dalam Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Ini adalah penting dalam mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman selain melindungi kepentingan awam berhubung perkara-perkara berkaitan badan kehakiman serta pentadbiran keadilan.

Fungsi Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman ini ialah untuk menyenaraikan calon-calon hakim kepada Perdana Menteri untuk dilantik. Calon-calon ini akan dipilih dan ditapis berdasarkan kriteria yang jelas. Fahaman saya ialah walapun tertubuhnya Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman ini, Perdana Menteri masih berkuasa penuh dalam perlantikan hakim. Adakah ini akan memisahkan campurtangan Executive (Perdana Menteri) dalam pentadbiran Judisiari (Kehakiman) di Malaysia?.

Saya percaya reformasi yang penting terhadap sistem kehakiman negara ialah- tiada campur tangan dari tangan-tangan yang mempunyai kepentingan dalam politik terutama exekutif.

Maka bagaimanakah kita dapat mencapai objektif penubuhan Suruhanjaya ini di mana bukankah yang itu sebenarnya dikehendaki…hakim-hakim ini bertindak tanpa fear and favour. Kalau Perdana Menteri masih berkuasa untuk membuat pemilihan hakim-hakim dan Suruhanjaya hanya berkuasa untuk menapis dan menyediakan nama-nama calon, bukankah kita kembali kepada keadaan asal. Yang bezanya ialah kita ada satu suruhanjaya. Itu sahaja.

Saya juga ingin membawa ke dewan yang mulia ini kebimbingan yang telah diutarakan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hakim Mohamad berkenaan masalah dalam pemilihan pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan. Masalah tersebut akan timbul apabila mesyuarat pemilihan dalam suruhanjaya itu akan dianggotai oleh orang-orang yang sama yang mempunyai kepentingan bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara atau Presiden Mahkamah Rayuan.

Ini adalah kerana Fasal 5 rang undang-undang ini memperuntukkan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman dianggotai sembilan ahli terdiri daripada Ketua Hakim Negara sebagai pengerusinya, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Persekutuan serta empat orang yang terkemuka yang dilantik oleh Perdana Menteri.

Menurut fasal 21 rang undang-undang itu, suruhanjaya tersebut akan bertanggunjawab bagi memilih calon yang sesuai dan wajar untuk dilantik sebagai hakim mahkamah atasan.

Mengikut Abdul Hamid, peruntukan rang undang-undang tersebut, pemilihan pelantikan seorang Pesuruhjaya Kehakiman, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak tidak akan menimbulkan masalah, tetapi keadaaan adalah sebaiknya bagi pemilihan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Tambahan beliau, dalam pemilihan Presiden Mahkamah Rayuan, anggota suruhanjaya iaitu Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak malah Hakim Mahkamah Persekutuan adalah orang-orang yang berkepentingan untuk menjawat jawatan tersebut yang bererti bahawa mereka terpaksa mengecualikan diri.

Oleh sebab rang undang-undang ini menghendaki korum (SIC) (bagi mesyuarat pemilihan) seramai tujuh orang, maka ada kemungkinan kurom (SIC) itu tidak boleh dicapai.
Ini adalah beberapa persoalan yang saya ingin utarakan supaya pihak kerajaan dapat menjawap.
Posted by Mutalib MD at 6:35 PM 0 comments Links to this post

SEJARAH SABAH 28,000 TAHUN LALU:BERMULA DI PARLIMEN P188 SILAM

Februari 24, 2009

SEJARAH SABAH BERMULA DI PARLIMEN P188 SILAM

 

PETA SABAH

PETA SABAH

PraSejarah

Sabah memulakan usaha menjejak prasejarahnya dalam tahun 1960-an dengan menjalankan penjelajahan
gua-gua. Akan tetapi hanya dengan melalui kajian arkeologi baru-baru ini di kawasan Teluk Darvel
( Tapak Terbuka Tingkayu, gua Baturong dan gua Madai ) di pantai Timur, memberi gambaran bahawa prasejarah
Sabah bermula sekitar 28,000 tahun yang lalu.

Disimpulkan bahawa lebih 20,000 tahun dahulu aliran lahar dari gunung berapi Mostyn yang kini sudah mati
mengempang sungai Tingkayu lalu membentuk tasik. Peralatan Zaman Batu yang halus dijumpai di dasar bekas tasik
yang dipercayai tapak pembuatan alat-alat zaman batu, yang terbaik sejenisnya di rantau Asia Tengggara daan
menunjukkan kehadiran penghuni di persisiran tasik itu lebih daripada 17,000 tahun dahulu. Apabila tasik mengering
maka gua pun kelihatan terbentuk daripada batu kapur massif di Baturong. Penghuni mulai berpindah dan tinggal di gua
itu dalam jangka masa lebih kurang 5,000 tahun. Sama ada penduduk di gua itu adalah keturunan penduduk yang tinggal
di persisiran tasik itu atau sebaliknya, tidak dapat dipastikan tetapi yang nyata penduduk gua itu tidak lagi membuat
peralatan yang sama.

Pada 12,000 tahun yang lalu, tempat perlindungan di Baturong diitinggalkan. 2,000 tahun kemudian manusia mulai menempati gua-gua
Madai yang lebih luas terletak disebelah timur gua Baturong selama lebih kurang 3,000 tahun. Pada ketika itu paras laut sudah
mencapai takat seperti sekarang. Sesudah itu gua-gua Madai juga ditinggalkan.Pada kira-kira tahun 1,000 sebelum masihi manusia
menempati kembali gua-gua itu dengan membawa bersama peralatan baru seperti tembikar dan kemudian tembaga dan peralatan besi dan
batu permata dari India yang akhirnya menjadi tinggalan di kawasan itu nersama-sama dengan peralatan sebelumnya yang kini menjadi
satu bahan kajian para ahli arkeologi masa kini.

Gua Madai terletak di Daerah Kunak Parlimen P188 Silam. Sabah.

Gua Madai terletak di Daerah Kunak Parlimen P188 Silam. Sabah.

Sekitar tahun 500 masihi gua-gua Madai ditinggalkan sekali lagi dan seperti juga gua Baturong gua Madai digunakan sekali-sekala untuk
pengebumian. Satu pebggunaan baru mulai timbul dengan kedatangan orang-orang cina, penggemar sup sarang burung yang banyak terdapat di gua-gua itu.
Sarang burung dikutip dan dijual bersama-sama dengan hasil hutan yang lain kepada orang-orang Cina sebagai tukaran untuk peralatan tembikar dan barang-
barang lain dari China.

Pejabaat Parlimen P188 Silam di Daerah Kunak

Pejabaat Parlimen P188 Silam di Daerah Kunak

PARLIMEN SILAM:PAKAR MARITIM PERLU DIKALANGAN ANAK TEMPATAN

Februari 22, 2009

SILAM PERLUKAN PAKAR MARITIM


AMAZON…Buku Hamid ini menjadi rujukan pakar perikanan dunia dijual melalui laman web AMAZON.COM.

KEJAYAAN Borneo Aqua, peneroka akuakultur tempatan mengeksport kerapu hidup ke Hong Kong membuktikan kegemilangan Silam yang menjadi kawasan habitat semula jadi ikan kerapu dapat digiatkan kembali.

“Sebelum ini Silam terkenal dengan ikan kerapu terutama keratang sebelum mula pupus di era 90-an. Namun atas inisiatif kerajaan dan pihak swasta, industri ini dapat dikembang biak agar menjadi eksport utama di masa akan datang,” ujar Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi yang menyebut ekosistem alam semula jadi yang terjaga di Silam menyebabkan kejayaan ternakan ini.

Sehubungan itu, Salleh mempelawa pakar perikanan dan maritim antarabangsa, Proffesor Hamid Awong, agar membantunya menjayakan industri akuakultur dan perikanan alternatif.

“Kita mengalu-alukan anak jati Silam yang selama ini tersisih kerana ketiadaan ruang dan peluang agar kembali memakmurkan ke bumi Silam yang subur dan kaya dengan sumberdaya dan saya akan memastikan sumberdana tersedia untuk mereka yang mahu berjaya,” kata Salleh yang akan mengemukakan pelan pembangunan industri akuakultur untuk melonjakkan ekonomi nelayan agar jayadiri.

Kata Salleh lagi, adalah amat merugikan Silam jika kepakaran dan kejayaan Hamid hanya dinikmati oleh Negara asing seperti Amerika dan Australia.

“Dia anak jati Silam dan harus kembali memajukan Silam. Kita akan bekerjasama menjayakan misinya dalam apa juga cara terutama untuk memastikan peluang pekerjaan tersedia luas dan mampu meningkatkan produktiviti Negara,” tegas Salleh yang akan menganjurkan kursus akakultur dalam waktu yang terdekat dan mempelawa nelayan yang berminat agar menyertainya.

Tidak dapat tidak, kata Salleh, nelayan harus berubah sikap daripada memburu sumber yang hampir pupus atau menternak untuk memperkayakan sumber ikan untuk pasaran tempatan dan luar Negara.

“Kita selama ini mengambil apa yang disimpan untuk anak cucu kita dan tibalah masanya kita memulangkan kembali apa yang telah kita ambil selama ini dengan menternak dan memperbanyakkan benih ikan secara semula jadi atau komersil,” gesa Salleh yang terkilan kerana Jabatan Perikanan Sabah tidak menggunakan kepakaran Hamid sehingga dilamar oleh firma dan kerajaan Amerika Syarikat untuk tujuan murni iaitu meningkatkan populasi ikan dunia.

Dengan kejayaan Salleh membawa balik pakar perikanan ini, beliau mengharapkan industri akuakultur yang kurang berdaya maju akan dapat dilonjakkan semula sehingga mampu berdaya saing menembusi pasaran Amerika Syarikat dan Timur Tengah.

Menurut Salleh, beliau mengkagumi kejayaan Hamid yang menjadi saintis pertama di dunia yang telah menemui kaedah memproses obor-obor tanpa menggunakan garam alum dan sekaligus menjadi penyumbang penting bagi mengatasi masalah penyakit Alzeihmer atau penurunan daya ingatan yang menular di negara maju seperti Amerika dan Australia.

“Malang sekali ketika itu saya hanya pegawai Kemas dan hanya sempat membaca sedikit tesis beliau yang bertajuk ‘World Jellyfish Fisheries: A Case Study of Processing Jellyfish (Pseudorhiza haeckeli)’ yang telah diakui dan diiktiraf oleh Kerajaan Australia dan Australian Maritime College, Tasmania,” ujar Salleh yang mengakui bersusah payah mencari dan memujuk Hamid agar kembali berkhidmat di tanah air setelah beliau menjadi Ahli Parlimen Silam.

Dengan penemuan itu, kata Salleh, Hamid telah menyumbang jasa dan menjadi anak Malaysia pertama yang mendapat tajaan daripada Kerajaan Australia dalam bidang berkenaan.


KAGUM…Salleh kagum dengan kesungguhan Hamid menulis buku tentang ikan kerisi untuk panduan masyarakat dunia.

Salleh turut melancarkan buku terbaru Hamid berhubung ikan kerisi yang berjudul, ‘Hamid Awong Fisheries Model (HAFM): A Case Study Stock Assesments Of Demersal Fishes Of Priacanthus Tayenus (Richardson 1846) In Darvel Bay, Sabah, Malaysia (Paperback)yang berharga USD50.

Malang sekali kata Salleh, buku tersebut hanya boleh dibeli terus daripada laman web Amazon.Com kerana tidak dijual di kedai buku di Malaysia.

Untuk rekod, sebagai inventor dan pakar obor-obor yang mendapat pengiktirafan dunia, Hamid dibimbing oleh Dr. Felicia Kow dan Dr Malcolm Hardon, Pensyarah dan Pengarah di Fakulti Marin dan Alam Sekitar, Australian Maritime College yang menjadi Pusat Kebangsaan Latihan, Penyelidikan dan Pendidikan Maritim Australia.

Dalam pada itu, dalam temuramah singkat di lobi parlimen, Hamid yakin dapat memperkembangkan bakatnya dan menaikkan taraf hidup masyarakat Nelayan di Sabah dalam industri pemprosesan makanan bernilai komersial berasaskan obor-obor yang banyak terdapat di Sabah.


BERANI…Hamid pakar maritim yang tidak gentar dilambung ombak ketika menjalankan kajian di Kutub Selatan.

“Ini memang bidang saya, tetapi peluang saya agar terkatup kerana karenah birokrasi. Saya beralih angin ke Amerika dan Australia yang memberi nafas lega, tetapi saya akur untuk berkhidmat kepada Negara dengan cara saya,” ujar Hamid yang kini memiliki sebuah syarikat Juruperunding bertaraf dunia untuk meningkatkan industri maritime dan akuakultur.

Hamid yang dilahirkan di Kampung Sapagaya Hilir, Lahad Datu pada 9 Disember 1956 mendapat pendidikan awal di Native Voluntary School Sapagaya sebelum melanjutkan pelajaran ke SMK Ghaffar Baba di Masjid Tanah, Melaka sehingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia.

Akibat desakan hidup, Hamid telah memilih untuk bertugas di Jabatan Perikanan Sandakan sebagai Pembantu Perikanan selama satu tahun sebelum ditukarkan ke Lahad Datu sebagai Pegawai Penguasa Perikanan.

Pada tahun 1978, Hamid telah mendapat biasiswa Kerajaan Negeri Sabah untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pertanian Bogor, Indonesia sehingga berjaya memperoleh Diploma Analisis Benih.

Hamid kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Universiti Pakuan Bogor, Indonesia sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.

Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1984, Hamid ditugaskan sebagai Penolong Pakar Perhutanan dalam bidang Silvikultur di Lembaga Perhutanan Sabah (SAFODA) selama setahun setengah.

Pada tahun 1986, Hamid dipanggil balik ke Jabatan Perikanan Sabah dan ditempatkan di Pejabat Perikanan Bandar, Kota Kinabalu dan di ibu pejabat sebagai Pembantu Perikanan.

Hamid ditukarkan ke Lahad Datu pada tahun 1989 sebagai Pegawai Penguasa Jabatan Perikanan dan sekaligus menjadi Pegawai Pendakwa bagi jabatannya.

Merasakan ilmu dan pendidikan menjadi paksi kepada hidupnya, Hamid mengentalkan semangatnya untuk mengisi ilmu di dada lalu ke Australia sekali lagi bagi melengkapkan agenda pendidikannya dengan pengkhususan dalam bidang Sumber Hidupan Laut dan berjaya memperolehi Sarjana Sains Gunaan dari Australian Maritime College, Tasmania.

Hamid merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia yang mengambil pengajian maritim peringkat doktor falsafah di sebuah kolej antarabangsa di Trengganu atas tajaan kerajaan Malaysia.

Berdasarkan penemuan dan kelayakannya, Hamid telah mengikuti latihan Pembangunan Keusahawanan di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam Selangor anjuran Malaysian Entrepreneurship Development Centre (MEDEC) dalam proses untuk menjanakan sumber ekonomi setempat.

Pendedahan sistem politik demokrasi di Indonesia dan Australia telah mendewasakan Hamid terutama ketika menjadi ahli aktif Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia dan Persatuan Launceston Muslim Community Tasmania dan Persatuan Mahasiswa Melayu di Launceston. Hamid turut aktif mempelopor UMNO di kalangan pelajar Melayu di Australia dengan menyertai Kelab UMNO Launceston sebagai kesinambungan perjuangannya mengangkat martabat bangsa Melayu dan UMNO.

Ibarat kata pepatah, jika mengikut resmi padi, semakin menunduk semakin berisi, Hamid tidak alpa dan mendabik dada dengan ijazah yang dimilikinya.

Hamid boleh hidup senang lenang di negara orang (Australia) terutama setelah penemuannya dipatenkan, namun sebagai Anak Jati Lahad Datu, Hamid ingin berbakti kepada tanah tumpah darahnya dan melupakan lambaian kemewahan yang boleh dimilikinya jika mencurahkan bakti untuk negara asing.

Sekalipun tertampan oleh sistem birokrasi yang tidak memberi peluang kenaikan pangkat kepadanya, namun Hamid terus gigih memberikan perkhidmatan kepada para nelayan dan usahawan yang memerlukan bantuan kepakarannya.

Berkat asuhan ayahnya, Pangeran Awong Bin Maloi dan didikan ibunya, Hajjah Paun Tawasil, Hamid tidak melupakan jati dirinya sebagai orang Idahan yang menjadi penduduk asal Sabah. Hamid telah dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Idahan Pewaris Madai (PEWARIS).

PEWARIS bertanggung jawab menentukan halatuju dan menjaga kebajikan generasi Idahan. Sekalipun sumber kewangan terhad, namun berdasarkan pengalamannya ketika menuntut di luar negara, Hamid yang memangku tugas Yang Dipertua PEWARIS telah berjaya menjanakan pelbagai program PEWARIS sehingga menjadi salah sebuah pertubuhan yang disegani dan berdaya saing.

Namun kesibukan perniagaan menyebabkan Hamid melepaskan jawatan dalam PEWARIS untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjayanya.

Sekalipun dilayan secara tidak adil dan tidak mendapat peluang kenaikan pangkat akibat karenah birokrasi, namun Hamid lebih mencintai UMNO melebihi segala-galanya dan bertekad untuk terus menyumbangkan bakti kepada UMNO selagi tenaganya diperlukan.

Semangat Hamid yang semakin membara disemarakkan lagi oleh sokongan jitu isterinya, Ir. Dayang Salmah Haji Sidek yang berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Sains di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Sains Makanan dan Pemakanan.

Hasil perkongsian hidupnya dengan Ir. Dayang Salmah, Hamid dikurniakan tujuh orang cahaya mata; Mahar Diana, Mohshie, Komala Intan, Basyid, Salha Pentawinata, Hexanti Ayu dan Azizah yang kebanyakannya masih menuntut di institusi pengajian tinggi awam dalam dan luar negara.

“Saya berwawasan untuk mengembelingkan usaha ke arah membentuk dan merealisasikan masyarakat berbudaya ilmu supaya boleh bersaing secara menyeluruh di semua peringkat termasuk menerima ledakan globalisasi melalui penjuruteraan semula struktur dan sistem social,” kata Hamid mengakhiri wawancara khas di lobi parlimen.

PARLIMEN SILAM:CADANG ANJUR EKSPO SMI SEDUNIA

Februari 22, 2009

SILAM CADANG ANJUR EKSPO SMI SEDUNIA

BINCANG…Salleh (kanan) sedang menunjukkan Liew maklumat tentang cadangan pameran melalui Blackberry di lobi parlimen.

KETIADAAN prasarana terutama kawasan lapang membuatkan Malaysia seringkali tercicir daripada kalendar Konvensyen dan Pameran Industri Kecil dan Sederhana Dunia.

Para Penganjur sering beralih arah ke Negara China yang menyediakan tempat kovensyen yang luas dan kawasan pameran saujana mata memandang.

Menyedari hakikat ini, Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi, telah mencadangkan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Liew Vui Keong untuk mengguna pakai kemudahan yang sedia ada di tapak Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu.

“Kita mempunyai prasarana yang mencukupi terutama bilik konvensyen di MPOB dan Bandar Sahabat, pameran di POIC dan bahan mentah di Felda, sumber marin dan pertanian yang mencukupi,” ujar Salleh sedang menyediakan kertas kerja cadangan untuk dikemukakan kepada MITI.

Kebanjiran pengusaha SMI ke China dan Taiwan terutama daripada Malaysia kata Salleh, merugikan negara terutama pengaliran keluar mata wang dan dalam masa yang sama ramai pelabur China yang ingin memasuki pasaran Malaysia terpaksa pulang dengan tangan kosong kerana tidak mempunyai prasarana pameran seperti yang ditawarkan Negara China.

“Jika program pameran ini diluluskan kerajaan, kita menjangkakan akan mendapat sambutan memberangsangkan terutama dari Negara Asia (termasuk Timur Tengah) dan BIMP-AEGA kerana Lahad Datu mempunyai kemudahan asas yang mencukupi untuk tujuan pameran dan konvensyen dan kebanyakannya sedang dinaiktaraf,” ujar Salleh yang mengalu-alukan lawatan V.K. Liew ke Parlimen Silam dalam masa yang terdekat.

Walaupun Lahad Datu hanya mempunyai lapangan terbang yang kecil namun Lapangan Terbang Tawau mampu menampung bilangan pengunjung yang ramai.

“Kita jangkakan hotel dan penginapan tidak begitu meruncing dan kita akan menaiktaraf kemudahan yang sedia ada terutama membina penginapan sementara dan program homestay yang kita sedang rencanakan dapat menampung jumlah pengunjung dalam dan luar Negara,” ujar Salleh yang tidak menolak kemungkinan akan menggunakan kemudahan asrama atau sekolah ketika cuti sesi persekolahan jika penginapan tidak juga mencukupi.

Menurut Salleh, beliau menjangkakan masa yang paling sesuai ialah menjelang Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia kerana banyak program yang disediakan pada waktu berkenaan bagi menyediakan keselesaan kepada pengunjung untuk melancong dan beriadah sambil menyertai konvensyen dan Ekspo.

Dalam pada itu, V.K.Liew yang teruja dengan minat dan kesungguhan Salleh akan mengadakan lawatan singkat ke Lahad Datu dalam masa yang terdekat untuk meninjau kemudahan prasarana dan membangunkan industri kecil dan sederhana di Silam menjelang konvensyen berkenaan jika menjadi realiti kelak.

“Kita akan mengkaji pelbagai faktor sebelum membuat keputusan. Tapi kita yakin perancangan ini amat memberansangkan dan menaikkan imej Malaysia dan Silam yang menjadi tuan rumah Pameran berkenaan,” ujar Liew yang yakin dengan kemajuan IKS di Silam.

Liew menmbahkata, beliau akan melawat ke Gugusan Kilang dan Ladang Felda di Silam untuk menilai dan membuka peluang baru kepada IKS di Sabah.

Sementara itu, Salleh turut menggesa pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya Lahad Datu menyelenggara parit di Kampung Kokos dan semua kawasan tanah rendah di Lahad Datu bagi mengelakkan banjir kilat berlaku.

“Kebanyakan parit terutama di Kampung Kokos kurang diselenggara sehingga menyebabkan kawasan kampung bertukar menjadi kolam ikan walapun hujan tidak lebat,” kata Salleh yang menggesa Pengerusi JKKK di semua kawasan menghantar laporan sistem perparitan di kampung mereka untuk membolehkan beliau menyediakan peruntukan kecil membaiki dan menyelenggara sistem perparitan bagi mengelak penyakit bawaan vektor dan mengatasi masalah prasarana lain.

Salleh juga turut melancarkan blognya, http://sallehkalbi188.wordress.com sebagai sumbangan ke arah perkembangan IT yang menerobosi globalisasi secara glokal.

“Saya mengalukan cadangan dan sumbangan idea. Rakyat boleh berhubung terus dengan saya tanpa sekatan melalui email dan blog. Kita kurangkan birokrasi tetapi kita akan cepat memberi reaksi bagi setiap rasa tidak puas hati atau aduan rasmi,” kata Salleh yang sedang dalam peringkat untuk menyediakan blog khas LOST WORLD berhubung industri pelancongan di Silam.

KORIDOR PEMBANGUNAN SABAH: BUKAN JANJI KOSONG

Februari 22, 2009

KORIDOR SABAH BUKAN JANJI KOSONG!


BANGGA….Salleh bangga dengan kekayaan eko pelancongan dan agrotani yang bakal menjadi aset utama pelancongan dan industri kecil dan sederhana bertaraf dunia.

KORIDOR Sabah bukanlah janji kosong Kerajaan Persekutuan, sebaliknya adalah realiti yang sedang dalam perlaksanaan melalui beberapa fasa.

Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi menyatakan demikian bagi menafikan dakyah pembangkang bahawa kononnya Koridor Sabah hanyalah mimpi di siang hari untuk meraih sokongan rakyat sebagaimana janji mereka untuk menumbangkan kerajaan di luar perlembagaan.

“Bagi Parlimen Silam, kita terlibat dengan Zon Kawasan Hidupan Liar, Kluster Perindustrian Kelapa Sawit, Zon Konservasi Biodiversiti Sabah dan Zon Industri Marin Dan Pelancongan,” ujar Salleh yang menekankan bahawa semua rancangan pembangunan dan menaiktaraf kemudahan yang sedia ada sedang berjalan lancar.

POIC, kata Salleh telah mula menerima limpahan pelabur walaupun dalam kekangan kemerosotan ekonomi dunia yang mengalami impak inflasi secara globalisasi.

Taman Warisan Dunia seperti Lembah Danum dan Pusat Hidupan Liar Tabin, kata Salleh, menerima pelbagai sumbangan daripada seluruh dunia selain dana yang sedia ada dan beliau tidak nampak sebab kenapa Sektor Pelancongan tidak dapat diperkembangkan setaraf dengan Bandar Pelancogan Melaka.

“Kita akan menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadikan Silam sebagai Bandar Kembar Melaka dengan memperkenalkan beberapa pakej baru yang akan diletakkan di dalam peta pelancongan dunia,” kata Salleh yang akan menemui beberapa pelabur dan Agensi pelancongan dalam masa yang terdekat.

Salleh berkeyakinan, keindahan alam semula jadi Silam yang dilakari dengan Pantai Sarina yang kaya dengan batu gunung berapi dan lebuhraya api pada waktu malam (Bagang Perahu), Gua dan Air Terjun Madai, Lembah Danum, Tabin yang kaya dengan lumpur gunung berapi, Tapak Tamaddun Idahan Di Merendung, Pantai Makuou, Agro Pelancongan di Gugusan Felda Sahabat, Pantai Tanjung Batu, Tanjung Atiam dan sebagainya telah sedia untuk menerima limpahan pelancong, apatah lagi jika BIMP-EAGA menjadi kenyataan.

Bagi memastikan Silam menjadi Hub Pelancongan Utama Paling Klasik di Pantai Timur Sabah, Salleh akan menganjurkan pelbagai aktiviti dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Lembaga Penggalakan Pelancong dan sebagainya.

KERAJAAN BARISAN NASIONAL:BELA RAKYAT

Februari 22, 2009

DERITA DI SYURGA PPRT FELDA


TERIMA…Utoh sedang menerima replika kunci rumah PPRT daripada Najib.

SEPULUH orang Penerima rumah PPRT yang dibina dengan sumbangan Dana Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) merayu keprihatinan Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi untuk mengakhiri penderitaan mereka yang terpenjara di dalam syurga ciptaan Ahli Parlimen lalu.

Jurucakap penduduk, Utoh Salleh Nahul, 63, berkata, mereka terpaksa menjalani kehidupan bagaikan penduduk Afrika yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air paip, elektrik dan tandas.

“Kami terpaksa menyambung elektrik secara haram daripada jiran di Taman Warisan. Membeli air daripada jiran di Kampung Sabah Baru dan membina tandas di atas air di belakang rumah kerana tandas yang sedia ada tidak mempunyai sistem pelupusan,” ujar Utoh Salleh yang mengakui mereka menjadi mangsa permainan politik.

Menurut Utoh, mereka telah memfailkan aduan rasmi kepada pelbagai pihak, namun tidak ada pihak yang tampil untuk menyelesaikan kemelut yang mereka hadapi.

“Kami dijanjikan pelbagai kemudahan ketika rumah kami dilancarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi apabila selesai perasmian, tangki air kami diambil balik, kami terpaksa bergelap kerana tiada elektrik. Kami jadi perhiasan untuk media,” ujar Utoh yang akan menemui Salleh Kalbi dalam masa yang terdekat untuk mengemukakan rayuan mereka.

Dalam pada itu, seorang mangsa pembangunan projek PPRT berkenaan, Chee Yew Wan, 82, melahirkan rasa kesal kerana Kerajaan Barisan Nasional mengamalkan sikap ‘kencing di dalam gelas’ rakyat apabila merampas tanah yang mereka timbus sebagai tapak projek ruah PPRT berkenaan.

“Kerajaan bagi kita tapak rumah untuk kaum Tionghua.Kita gotong royong timbus tanah bakau. Banyak wang kita guna. Kita sedang kumpul wang mau bikin rumah. Tiba-tiba kerajaan rampas tanah kita dan bina rumah PPRT tanpa sebarang pampasan. Adilkah ini?” getus Chee yang sedang daam proses untuk mengemukakan tuntutan di mahkamah untuk mendapatkan gantirugi.


TANDA…Chee Yew Wan berdiri di hadapan papantanda projek yang meranapkan harapan mereka.

Kata Chee lagi, kenapa kerajaan tidak mencari tapak lain, sebaliknya mengambil jalan mudah merampas tanah mereka tanpa belas ehsan.

“Kalau saya ada duit, saya mau ke KL jumpa Datuk Najib, mau kasi tau kenapa pemimpin buat orang tua macam seperti anjing buruk kepala?,” ujar Chee lagi yang turut mengalu-alukan Salleh menyelesaikan masalah beliau dan rakannya yang kerugian ratusan ribu ringgit.

HARGAI SUMBANGAN FELDA : YB. SILAM

Februari 22, 2009

 

p7060044

KEPRIHATINAN Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) membangunkan Semenanjung Dent menjadi Pusat Kegiatan Ekonomi di Silam amat dharapkan dan disanjung tinggi.

Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi, menjulang komitmen Felda dalam sektor pertanian dan sekaligus membangunkan Semenanjung Dent yang menjadi Hub Lanun di era 1970-an.

“Tidak siapa boleh menafikan peranan FELDA melonjak ekonomi Silam apatah lagi sumbangan FELDA yang begitu ketara terhadap penempatan dan penyusunan semula masyarakat,” ujar Salleh yang merakamkan penghargaan di atas sumbangan RM50 juta FELDA untuk Tabung Pembangunan di Sabah.


SAMPAIKAN…Najib menyampaikan replika cek RM25 juta kepada agensi pelaksana sambil diperhatikan Musa.

Kata Salleh walaupun hanya RM25 juta disalurkan untuk projek penempatan semula masyarakat yang menerima kesan tidak langsung daripada pembangunan Gugusan Rancangan Tanah Felda Sahabat, namun mencukupi untuk menyediakan kemudahan perumahan yang lebih baik.

Walaupun wang RM25 juta telah disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPPS) sebelum ini, namun pemansuhan JPPS tidak meluputkan tanggung jawab kerajaan terhadap rakyat di Silam.

“Saya akan bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Negeri Sabah untuk memastikan wang yang disalurkan FELDA dimanfaat sepenuhnya untuk kepentingan masyarakat,” ujar Salleh yang akan menemui Pegawai Pembangunan Negeri Sabah dalam masa terdekat untuk meneruskan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Tegas Salleh, walaupun projek berkenaan tergendala kerana masalah teknikal terutama kesesuaian tapak, namun Kerajaan Persekutuan mempunyai mekanisme untuk menyelesaikan isu ini secara berkesan.

“Kita telah mengarahkan pihak yang terlibat dengan projek ini mengumpulkan bank data untuk memastikan rumah berkenaan diberikan kepada yang benar-benar layak,” kata Salleh yang mengalu-alukan rakyat termiskin yang tidak mempunyai tanah atau rumah untuk mendaftar di pejabatnya di Lahad Datu, Kunak dan Tungku.

KASIH SAYANG MENGERATKAN SILATURRAHIM DAN PERPADUAN

Februari 22, 2009
Rakyat akan dibela dengan membangunkan modal insan

Rakyat akan dibela dengan membangunkan modal insan

SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH UMRAH KEPADA YB. SILAM.

Februari 21, 2009

21.02.2009-Yang Berhormat Kolonel Kehormat Tuan Haji Salleh Bin Haji Kalbi,Ahli Parlimen P188 Silam merangkap Duta Keamanan PBB berangkat menunaikan Ibadah Umrah ke Tanah Suci Mekkah selama lebih kurang 2 minggu.

 

Saya sekeluarga mendoakan rakyat Parlimen Silam,Sabah dan Malaysia semoga Perpaduan Bangsa Malaysia yang mengamalkan ukhwah silaturrahim,keharmonian dan hormat-menghormati akan menjadi perintis kejayaan membangunkan modal insan gemilang

Saya sekeluarga mendoakan rakyat Parlimen Silam,Sabah dan Malaysia semoga Perpaduan Bangsa Malaysia yang mengamalkan ukhwah silaturrahim,keharmonian dan hormat-menghormati akan menjadi perintis kejayaan membangunkan modal insan gemilang

Ibadah UMRAH seperti ibadah lain adalah simbol pengabdian kita kepada Allah. Ia dilakukan seperti yang diajarkan Nabi Muhammad SAW dan dilakukan semata-mata kerana Dia Yang Maha Esa.

Dari segi bahasa umrah bererti ziarah. Pengertian umrah ialah mengunjungi Baitullah di Makkah dengan melakukan ihram, tawaf, sai dan bergunting atau bercukur mengikut tertibnya.

Hukum umrah adalah fardu seperti haji. Ini adalah pendapat al-Azhar daripada Imam as-Syafie. Ijmak ulama mengatakan bahawa hanya wajib dilakukan sekali sepanjang hayat bagi orang yang mampu kecuali orang yang bernazar, maka dia wajib memenuhi nazarnya.

Dalil daripada al-Quran ialah firman Allah bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 196).

RUKUN UMRAH

1. Niat

Selepas melakukan amalan sunat sebelum ihram seperti mengerat kuku, mandi sunat ihram dan solat sunat ihram. Jemaah akan memulakan ibadah umrah mereka dengan berniat ihram umrah iaitu menetapkan di dalam hati: “Bahawasanya aku berniat umrah dan berihram dengannya kerana Allah.”

Jemaah umrah Malaysia pada ketika ini ada dua keadaan.

Bagi jemaah yang datang dari arah Madinah, maka mereka akan berniat sebelum melepasi miqat tanah halal Bi’r Ali atau nama lamanya Dzulhulaifah.

Jemaah yang masuk terus ke Makkah dari tanah air mereka akan berniat sebelum melepasi miqat Qarnu Manazil.

Adapun bagi umrah yang kedua dan seterusnya, jemaah akan keluar dari penginapan mereka di Makkah untuk berniat di Tanah Halal yang berhampiran sama ada di Tan’iem, Jikranah, Hudaibiyyah atau Arafah.

Dengan niat itu, maka jemaah mula memelihara 13 larangan ihram sehingga tahallul umrah dengan bergunting selepas sai umrah.

2. Tawaf

Selepas berniat di Tanah Halal miqat berhampiran, jemaah akan bersegera masuk ke dalam Masjidil Haram bagi menyempurnakan ibadah tawaf.

Tawaf bermula di sudut Hajarul Aswad dengan niat tawaf umrah kerana Allah, jemaah akan mengelilingi Kaabah tujuh kali pusingan dengan yakin.

Syarat Tawaf ini adalah seperti syarat solat, antaranya diwajibkan suci daripada dua hadas besar dan kecil, suci daripada najis pada anggota badan, pakaian dan tempat tawaf, kecuali ketika tawaf jemaah diharuskan berkata-kata dengan perkataan yang baik.

Jemaah disarankan memperbanyakkan zikir dan doa berselawat sepanjang mengerjakan ibadah tawaf terutama di antara sudut Yamani dengan Hajaral Aswad dengan: “Rabbana Aatina fi Dunya Hasanah wa fil Akhirati Hasanah waqina azaban Nar.”

Selepas selesai tujuh pusingan dengan yakin, sebagai tanda kesyukuran ditunaikan solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim atau di mana-mana lokasi Masjidil Haram kemudian diikuti dengan meminum air zam-zam sambil berdoa: “Ya Allah Ya Tuhanku, ku mohon daripada sisi-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang diberkati dan penyembuh daripada segala penyakit.”

3. Sai

Iaitu berjalan berulang alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dengan syaratnya. Sai dikerjakan selepas ibadah tawaf umrah.

Jemaah akan melalui Babus Sofa bagi mendapat kelebihan dan seterusnya menaiki Bukit Safa sambil melambai-lambai ke arah Kaabah seraya menetapkan di dalam hati bahawa ibadah sai ini dikerjakan semata-mata kerana Allah.

Maka, bermulalah ibadah sai ini sebanyak tujuh pusingan berakhir di Bukit Marwah. Bagi jemaah lelaki, mereka disunatkan berlari anak iaitu ar Raml antara dua tiang hijau.

4. Bercukur/bergunting

Selepas jemaah menyempurnakan ibadah sai, maka tibalah masa untuk melaksanakan rukun umrah yang keempat iaitu bercukur atau bergunting bagi jemaah lelaki. Jemaah wanita bergunting saja. Dengan mengerat sekurang-kurang tiga helai rambut maka terhasillah tahlul umrah dan terlerailah ikatan ihram umrah.

5. Tertib

Iaitu mendahulukan rukun umrah yang awal dan mengakhirkan rukun umrah yang akhir.

WAJIB UMRAH

1. Berniat ihram di Miqat

Semua jemaah wajib berniat mengerjakan umrah sebelum sebelum Miqat Makani (sempadan tempat).

Bagi jemaah yang datang dari arah Madinah, miqat mereka ialah sebelum melepasi Bi’ru Ali. Jemaah yang datang dari Asia Tenggara melalui penerbangan, miqat meraka ialah sebelum melepasi Qarnul Manazil.

Adapun jemaah yang sudah bermukim di Makkah, miqat mereka ialah Tanah Halal sama ada Tan’iem, Jikranah, Hudaibyyah atau Arafah.

Jika berniat selepas daripada miqat yang ditentukan masih dihukumkan sah umrahnya tetapi dikenakan dam kerana tidak berniat di Miqat.

2. Meninggalkan 13 larangan ihram

Selepas berniat ihram umrah, jemaah mestilah memelihara diri mereka dari melakukan 13 larangan ihram. Jika gagal, mereka dikira meninggalkan wajib umrah lalu diwajibkan pula membayar dam dengan syaratnya.

Larangan ihram itu ialah:

 

Menutup kepala atau sebahagiannya bagi lelaki.

Menutup muka bagi wanita.

Memakai sarung tangan bagi lelaki dan wanita.

Memakai pakaian berjahit bagi lelaki.

Memakai bau-bauan pada badan, pakaian.

Memakai minyak pada rambut dan janggut.

Mencabut bulu atau rambut dan badan.

Memotong kuku.

Memburu binatang buruan.

Memotong/menebang/mengerat/mencabut pokok di Tanah Haram sama ada dalam ihram atau tidak.

Melakukan pendahuluan persetubuhan

Jimak (bersetubuh).

Melakukan akad nikah, mewali pernikahan atau menikah (Nikah yang dilakukan dalam ihram adalah tidak sah.)

Larangan ihram ini berakhir sejurus selepas jemaah menggunting rambutnya atau bercukur bagi jemaah lelaki. Maka, terhasillah tahallul umrah dan jemaah kembali dalam keadaan halal dari larangan ihram itu sehingga mereka berniat ihram umrah yang baru.

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan sanad yang sahih daripada Aisyah katanya: “Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah wanita wajib berjihad?”. Sabda Baginda: “Ya, jihad yang tiada peperangan padanya iaitu haji dan umrah”.

Semoga Allah memberi pahala jihad kepada mereka yang bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan ibadah manarik ini.

PARLIMEN SILAM BERPOTENSI SEBAGAI ZON AKUAKULTUR NEGARA : KETUA MENTERI SABAH MELAWAT SILAM,SABAH.

Februari 15, 2009

Parlimen Silam,14hb,02,2009-Lawatan Ketua Menteri Sabah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Bin Haji Aman merangkap Pengerusi Barisan Nasional Sabah diiringi Yang Berhormat Kolonel Kehormat Tuan Haji Salleh Bin Haji Kalbi Ahli Parlimen P188 Silam merangkap Duta Keamanan PBB, Menteri-Menteri Sabah,Pembantu-Pembantu Menteri, ADUN-ADUN dan rombongan telah melawat beberapa tempat seperti ke Tungku melawat pembinaan pejabat daerah kecil tungku,Perasmian sekolah agama,POIC,rasmi Jeti,melawat Ikan Dalam sangkar,penanaman agar-agar dan perasmian Dewan Sri Perdana dan Makan Malam bersama rakyat (Majlis Pemimpin Bersama Rakyat).

YAB. KETUA MENTERI SABAH DIIRINGI YB. KOLONEL KEHORMAT TUAN HJ. SALLEH BIN HJ. KALBI AHLI PARLIMEN P188 SILAM KE DAERAH KECIL TUNGKU.

YAB. KETUA MENTERI SABAH DIIRINGI YB. KOLONEL KEHORMAT TUAN HJ. SALLEH BIN HJ. KALBI AHLI PARLIMEN P188 SILAM KE DAERAH KECIL TUNGKU.

Selepas taklimat tentang daerah kecil Tungku selesai, YAB Ketua Menteri Sabah bertanya kepada Ahli Parlimen Silam berhubung peruntukan tambahan 1juta yang diluluskan oleh kerajaan negeri.YB. Tuan Hj. Salleh berkata”Saya mengucapkan terima kasih kepad kerajaan pusat yang menyediakan peruntukan 1 juta bagi membangunkan Parlimen P188 Silam dan pihak pejabat Parlimen telah menyerahkan kepada pejabat daerah untuk diselaraskan permohonan kampung-kampung yang perlu dibantu bagi pembangunan akan datang.

KETUA MENTERI SABAH BERSAMA YB. AHLI PARLIMEN SILAM

KETUA MENTERI SABAH BERSAMA YB. AHLI PARLIMEN SILAM