PARLIMEN SILAM:PAKAR MARITIM PERLU DIKALANGAN ANAK TEMPATAN

SILAM PERLUKAN PAKAR MARITIM


AMAZON…Buku Hamid ini menjadi rujukan pakar perikanan dunia dijual melalui laman web AMAZON.COM.

KEJAYAAN Borneo Aqua, peneroka akuakultur tempatan mengeksport kerapu hidup ke Hong Kong membuktikan kegemilangan Silam yang menjadi kawasan habitat semula jadi ikan kerapu dapat digiatkan kembali.

“Sebelum ini Silam terkenal dengan ikan kerapu terutama keratang sebelum mula pupus di era 90-an. Namun atas inisiatif kerajaan dan pihak swasta, industri ini dapat dikembang biak agar menjadi eksport utama di masa akan datang,” ujar Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi yang menyebut ekosistem alam semula jadi yang terjaga di Silam menyebabkan kejayaan ternakan ini.

Sehubungan itu, Salleh mempelawa pakar perikanan dan maritim antarabangsa, Proffesor Hamid Awong, agar membantunya menjayakan industri akuakultur dan perikanan alternatif.

“Kita mengalu-alukan anak jati Silam yang selama ini tersisih kerana ketiadaan ruang dan peluang agar kembali memakmurkan ke bumi Silam yang subur dan kaya dengan sumberdaya dan saya akan memastikan sumberdana tersedia untuk mereka yang mahu berjaya,” kata Salleh yang akan mengemukakan pelan pembangunan industri akuakultur untuk melonjakkan ekonomi nelayan agar jayadiri.

Kata Salleh lagi, adalah amat merugikan Silam jika kepakaran dan kejayaan Hamid hanya dinikmati oleh Negara asing seperti Amerika dan Australia.

“Dia anak jati Silam dan harus kembali memajukan Silam. Kita akan bekerjasama menjayakan misinya dalam apa juga cara terutama untuk memastikan peluang pekerjaan tersedia luas dan mampu meningkatkan produktiviti Negara,” tegas Salleh yang akan menganjurkan kursus akakultur dalam waktu yang terdekat dan mempelawa nelayan yang berminat agar menyertainya.

Tidak dapat tidak, kata Salleh, nelayan harus berubah sikap daripada memburu sumber yang hampir pupus atau menternak untuk memperkayakan sumber ikan untuk pasaran tempatan dan luar Negara.

“Kita selama ini mengambil apa yang disimpan untuk anak cucu kita dan tibalah masanya kita memulangkan kembali apa yang telah kita ambil selama ini dengan menternak dan memperbanyakkan benih ikan secara semula jadi atau komersil,” gesa Salleh yang terkilan kerana Jabatan Perikanan Sabah tidak menggunakan kepakaran Hamid sehingga dilamar oleh firma dan kerajaan Amerika Syarikat untuk tujuan murni iaitu meningkatkan populasi ikan dunia.

Dengan kejayaan Salleh membawa balik pakar perikanan ini, beliau mengharapkan industri akuakultur yang kurang berdaya maju akan dapat dilonjakkan semula sehingga mampu berdaya saing menembusi pasaran Amerika Syarikat dan Timur Tengah.

Menurut Salleh, beliau mengkagumi kejayaan Hamid yang menjadi saintis pertama di dunia yang telah menemui kaedah memproses obor-obor tanpa menggunakan garam alum dan sekaligus menjadi penyumbang penting bagi mengatasi masalah penyakit Alzeihmer atau penurunan daya ingatan yang menular di negara maju seperti Amerika dan Australia.

“Malang sekali ketika itu saya hanya pegawai Kemas dan hanya sempat membaca sedikit tesis beliau yang bertajuk ‘World Jellyfish Fisheries: A Case Study of Processing Jellyfish (Pseudorhiza haeckeli)’ yang telah diakui dan diiktiraf oleh Kerajaan Australia dan Australian Maritime College, Tasmania,” ujar Salleh yang mengakui bersusah payah mencari dan memujuk Hamid agar kembali berkhidmat di tanah air setelah beliau menjadi Ahli Parlimen Silam.

Dengan penemuan itu, kata Salleh, Hamid telah menyumbang jasa dan menjadi anak Malaysia pertama yang mendapat tajaan daripada Kerajaan Australia dalam bidang berkenaan.


KAGUM…Salleh kagum dengan kesungguhan Hamid menulis buku tentang ikan kerisi untuk panduan masyarakat dunia.

Salleh turut melancarkan buku terbaru Hamid berhubung ikan kerisi yang berjudul, ‘Hamid Awong Fisheries Model (HAFM): A Case Study Stock Assesments Of Demersal Fishes Of Priacanthus Tayenus (Richardson 1846) In Darvel Bay, Sabah, Malaysia (Paperback)yang berharga USD50.

Malang sekali kata Salleh, buku tersebut hanya boleh dibeli terus daripada laman web Amazon.Com kerana tidak dijual di kedai buku di Malaysia.

Untuk rekod, sebagai inventor dan pakar obor-obor yang mendapat pengiktirafan dunia, Hamid dibimbing oleh Dr. Felicia Kow dan Dr Malcolm Hardon, Pensyarah dan Pengarah di Fakulti Marin dan Alam Sekitar, Australian Maritime College yang menjadi Pusat Kebangsaan Latihan, Penyelidikan dan Pendidikan Maritim Australia.

Dalam pada itu, dalam temuramah singkat di lobi parlimen, Hamid yakin dapat memperkembangkan bakatnya dan menaikkan taraf hidup masyarakat Nelayan di Sabah dalam industri pemprosesan makanan bernilai komersial berasaskan obor-obor yang banyak terdapat di Sabah.


BERANI…Hamid pakar maritim yang tidak gentar dilambung ombak ketika menjalankan kajian di Kutub Selatan.

“Ini memang bidang saya, tetapi peluang saya agar terkatup kerana karenah birokrasi. Saya beralih angin ke Amerika dan Australia yang memberi nafas lega, tetapi saya akur untuk berkhidmat kepada Negara dengan cara saya,” ujar Hamid yang kini memiliki sebuah syarikat Juruperunding bertaraf dunia untuk meningkatkan industri maritime dan akuakultur.

Hamid yang dilahirkan di Kampung Sapagaya Hilir, Lahad Datu pada 9 Disember 1956 mendapat pendidikan awal di Native Voluntary School Sapagaya sebelum melanjutkan pelajaran ke SMK Ghaffar Baba di Masjid Tanah, Melaka sehingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia.

Akibat desakan hidup, Hamid telah memilih untuk bertugas di Jabatan Perikanan Sandakan sebagai Pembantu Perikanan selama satu tahun sebelum ditukarkan ke Lahad Datu sebagai Pegawai Penguasa Perikanan.

Pada tahun 1978, Hamid telah mendapat biasiswa Kerajaan Negeri Sabah untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pertanian Bogor, Indonesia sehingga berjaya memperoleh Diploma Analisis Benih.

Hamid kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Universiti Pakuan Bogor, Indonesia sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.

Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1984, Hamid ditugaskan sebagai Penolong Pakar Perhutanan dalam bidang Silvikultur di Lembaga Perhutanan Sabah (SAFODA) selama setahun setengah.

Pada tahun 1986, Hamid dipanggil balik ke Jabatan Perikanan Sabah dan ditempatkan di Pejabat Perikanan Bandar, Kota Kinabalu dan di ibu pejabat sebagai Pembantu Perikanan.

Hamid ditukarkan ke Lahad Datu pada tahun 1989 sebagai Pegawai Penguasa Jabatan Perikanan dan sekaligus menjadi Pegawai Pendakwa bagi jabatannya.

Merasakan ilmu dan pendidikan menjadi paksi kepada hidupnya, Hamid mengentalkan semangatnya untuk mengisi ilmu di dada lalu ke Australia sekali lagi bagi melengkapkan agenda pendidikannya dengan pengkhususan dalam bidang Sumber Hidupan Laut dan berjaya memperolehi Sarjana Sains Gunaan dari Australian Maritime College, Tasmania.

Hamid merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia yang mengambil pengajian maritim peringkat doktor falsafah di sebuah kolej antarabangsa di Trengganu atas tajaan kerajaan Malaysia.

Berdasarkan penemuan dan kelayakannya, Hamid telah mengikuti latihan Pembangunan Keusahawanan di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam Selangor anjuran Malaysian Entrepreneurship Development Centre (MEDEC) dalam proses untuk menjanakan sumber ekonomi setempat.

Pendedahan sistem politik demokrasi di Indonesia dan Australia telah mendewasakan Hamid terutama ketika menjadi ahli aktif Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia dan Persatuan Launceston Muslim Community Tasmania dan Persatuan Mahasiswa Melayu di Launceston. Hamid turut aktif mempelopor UMNO di kalangan pelajar Melayu di Australia dengan menyertai Kelab UMNO Launceston sebagai kesinambungan perjuangannya mengangkat martabat bangsa Melayu dan UMNO.

Ibarat kata pepatah, jika mengikut resmi padi, semakin menunduk semakin berisi, Hamid tidak alpa dan mendabik dada dengan ijazah yang dimilikinya.

Hamid boleh hidup senang lenang di negara orang (Australia) terutama setelah penemuannya dipatenkan, namun sebagai Anak Jati Lahad Datu, Hamid ingin berbakti kepada tanah tumpah darahnya dan melupakan lambaian kemewahan yang boleh dimilikinya jika mencurahkan bakti untuk negara asing.

Sekalipun tertampan oleh sistem birokrasi yang tidak memberi peluang kenaikan pangkat kepadanya, namun Hamid terus gigih memberikan perkhidmatan kepada para nelayan dan usahawan yang memerlukan bantuan kepakarannya.

Berkat asuhan ayahnya, Pangeran Awong Bin Maloi dan didikan ibunya, Hajjah Paun Tawasil, Hamid tidak melupakan jati dirinya sebagai orang Idahan yang menjadi penduduk asal Sabah. Hamid telah dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Idahan Pewaris Madai (PEWARIS).

PEWARIS bertanggung jawab menentukan halatuju dan menjaga kebajikan generasi Idahan. Sekalipun sumber kewangan terhad, namun berdasarkan pengalamannya ketika menuntut di luar negara, Hamid yang memangku tugas Yang Dipertua PEWARIS telah berjaya menjanakan pelbagai program PEWARIS sehingga menjadi salah sebuah pertubuhan yang disegani dan berdaya saing.

Namun kesibukan perniagaan menyebabkan Hamid melepaskan jawatan dalam PEWARIS untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjayanya.

Sekalipun dilayan secara tidak adil dan tidak mendapat peluang kenaikan pangkat akibat karenah birokrasi, namun Hamid lebih mencintai UMNO melebihi segala-galanya dan bertekad untuk terus menyumbangkan bakti kepada UMNO selagi tenaganya diperlukan.

Semangat Hamid yang semakin membara disemarakkan lagi oleh sokongan jitu isterinya, Ir. Dayang Salmah Haji Sidek yang berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Sains di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Sains Makanan dan Pemakanan.

Hasil perkongsian hidupnya dengan Ir. Dayang Salmah, Hamid dikurniakan tujuh orang cahaya mata; Mahar Diana, Mohshie, Komala Intan, Basyid, Salha Pentawinata, Hexanti Ayu dan Azizah yang kebanyakannya masih menuntut di institusi pengajian tinggi awam dalam dan luar negara.

“Saya berwawasan untuk mengembelingkan usaha ke arah membentuk dan merealisasikan masyarakat berbudaya ilmu supaya boleh bersaing secara menyeluruh di semua peringkat termasuk menerima ledakan globalisasi melalui penjuruteraan semula struktur dan sistem social,” kata Hamid mengakhiri wawancara khas di lobi parlimen.

Satu Respons to “PARLIMEN SILAM:PAKAR MARITIM PERLU DIKALANGAN ANAK TEMPATAN”

  1. muhd salahuddin abd latif Says:

    salam….kami student dr UiTM kampus kota kinabalu sdg mengambil paper enterpreneurship….kami bercadang utk mengambil projek penternakan obor2…so skrg,kami mau tanya d mana tmpat d sekitar sabah ini yg blh kami rujuk sbg sumber utama dlm kajian kami..sekiranya tuan dpt memberikan sedikit waktu utk berjumpa dgn kami amtlah kami harapkan…d sini kami sertakan num tlefon skiranya tuan dpt beri kerjasama dgn kami..0138990778.muhd salahuddin abd latif

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: