Archive for 1 Mac 2009

PELUANG KEDUA BAGI MEREKA YANG DIBERHENTIKAN

Mac 1, 2009

Peluang Kedua Bagi Mereka Yang Diberhentikan


Dalam menghadapi kelembapan ekonomi global hari ini, kita tidak dapat lari daripada berdepan dengan pelbagai masalah. Jika dibandingkan apa yang dirasai oleh rakyat negara ini dengan apa yang berlaku di Amerika Syarikat mahu pun di Eropah, keadaannya jauh lebih buruk. Puluhan ribu orang hilang pekerjaan sehingga memaksa kerajaan mereka mengemukakan pakej rangsangan ekonomi untuk memastikan ekonomi terus berkembang bagi mewujudkan peluang-peluang kerja baru selain mengelakkan pemberhentian kerja yang berterusan.


Berdasarkan situasi semasa di Malaysia, impaknya tetap dirasakan bagaimana pun masih terkawal berikutan beberapa langkah segera yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini sekali gus membantu mereka yang terbabit dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Berdasarkan rekod Kementerian Sumber Manusia, sejak Ogos 2008 sehingga awal Februari 2009, seramai 15,000 pekerja swasta diberhentikan termasuk kira-kira 2,000 orang yang menerima tawaran skim perberhentian sukarela (VSS). Tindakan segera kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sekurang-kurangnya memberi ruang yang cukup luas bagi mereka yang terbabit.

Selain berusaha menyerapkan mereka ke dalam sektor lain yang dikenalpasti masih memerlukan peluang pekerjaan seperti industri perhotelan, pelancongan, industri berasaskan makanan, industri berasaskan perubatan dan kesihatan, kerajaan juga menyediakan latihan dalam usaha untuk membekalkan mereka yang terbabit dengan kepakaran baru. Ke semua kos latihan dan elaun kepada pekerja terbabit dibiayai oleh kerajaan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM220 juta.

Selain membantu menyerapkan mereka ke dalam sektor-sektor tersebut, mereka juga berpeluang menyertai sektor awam berikutan kekosongan 20,000 jawatan di seluruh negara ketika ini. Kementerain Sumber Manusia mencadangkan kepada kerajaan supaya mengadakan satu temu duga khusus untuk golongan ini sebagai satu usaha memudahkan mereka untuk meneruskan kehidupan.

Dan dalam kelembapan ekonomi sekarang, kerajaan juga membuat keputusan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing dengan membekukan poengambilan mereka dalam sektor elektronik dan tekstil selain mengetatkan permohonan pengambilan untuk sektor lain terutama perladangan dan perkhidmatan. Semua ini dengan harapan kekosongan itu mampu diisi oleh masyarakat tempatan di mana sejak Januari 2009, kerajaan telah menghanatar pulang kira-kira 5,000 pekerja asing.

USAHA MENGATASI KRISIS EKONOMI GLOBAL

Mac 1, 2009

Usaha Mengatasi Krisis Ekonomi Global

Krisis kewangan global yang secara langsung memberi kesan kepada kelembapan ekonomi dunia hari ini bakal menyaksikan pertumbuhan ekonomi dunia berada pada tahap sederhana iaitu sekitar 3.7 peratus pada akhir tahun ini dan dijangka pulih mulai akhir 2009 pada sekitar 2.2 peratus.

Situasi tersebut sudah pastinya menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat memandangkan Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya. Kesannya kepada ekonomi negara akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban daripada beberapa segi antaranya, kadar inflasi yang tinggi, kenaikan harga barang, penutupan kilang dan pemberhentian pekerja yang akan meningkatkan kadar pengangguran.
Beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan dalam menanggani masalah ini. Dalam usaha memerangi inflasi dan menstabilkan harga, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu langkah-langkah fiskal, kewangan dan pentadbiran.

Melalui langkah fiskal dan kewangan, kerajaan mengambil langkah mengawal cukai bagi barangan tertentu termasuk makanan. Sementara melalui langkah kewangan pula, kerajaan akan mengamalkan dasar kewangan yang berdisiplin bagi memastikan kadar inflasi stabil.

Melalui langkah-langkah pentadbiran pula, kerajaan mengambil beberapa pendekatan, antaranya, menggalakkan persaingan, memperbaiki sistem pengangkutan dan meningkatkan kapisiti pengeluaran makanan.
Kerajaan akan terus menggalakkan persaingan yang lebih sihat antara industri untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi, permodenan teknologi dan daya saing industri dari segi harga produk. Begitu juga dengan sistem pengangkutan yang akan terus diperbaiki dari semasa ke semasa bagi memastikan pengangkutan barangan dan perkhidmatan menjadi cekap dan efisyen. Pembinaan LRT, lebuhraya dan sistem baru keretapi adalah usaha-usaha mengatasi kesesakan. Mengenai makanan, kerajaan menggalakkan peningkatan kapasiti pengeluaran.
Untuk meningkatkan kapisiti pengeluaran makanan pula, kerajaan melalui agensi-agensinya seperti Kementerian Pertanian, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Lembaga Kemajuan lkan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan badan-badan berkaitan diberi galakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan.

Menyedari bahawa inflasi boleh menimbulkan kesan buruk kepada perkembangan ekonomi negara, kos sara hidup dan taraf hidup orang berpendapatan rendah, kerajaan telah melaksanakan Kempen Anti Inflasi melalui media cetak dan elektronik untuk meningkatkan kesedaran dan perubahan sikap pembeli supaya mereka boleh mengambil langkah-langkah positif untuk membantu membendung inflasi.
Objektif utama kempen ialah untuk mengurangkan kadar inflasi ke tahap yang paling rendah sehingga mencapai tahap sifar seperti yang dihasratkan oleh YA.B. Perdana Menteri. Kempen ini diasaskan kepada konsep untuk memupuk pemikiran masyarakat supaya membanteras inflasi dengan menggalakkan pengguna supaya membeli barang buatan Malaysia, mengelakkan pembelian tidak dirancang, membeli hanya barangan yang benar-benar diperlukan, menggalakkan para pengguna berjimat cermat dan menabung, mengurangkan pembelian menggunakan kad kredit, elakkan amalan mencatut (profiteering) oleh para peniaga dan menggalakkan pembentukan imej pengguna bijaksana.
Langkah mengurangkan harga barang
Kerajaan telah mengambil langkah mengurangkan harga barang keperluan seperti petrol dan beras selaras dengan pengurangan harga komoditi dunia. Subsidi diesel akan terus diberikan kepada golongan tertentu seperti nelayan kerana bertujuan mengurangkan kos operasi mereka dan secara tidak langsung harga ikan di pasar-pasar. Harga lantai petrol akan ditetapkan dan penjimatan yang kerajaan dapat hasil dari pengurangan subsidi akan disalurkan kepada rakyat. Contohnya pakej rangsangan RM7 bilion yang telah diumumkan kerana penjimatan dari kejatuhan harga minyak.

Bajet mengembang
Kerajaan juga mengamalkan bajet mengembang (expansionary) dan bukannya menguncup demi untuk memasukkan duit ke dalam poket rakyat. Walaupun terpaksa berbelanja melebihi pendapatan dan menaikkan defisit kepada 4.8 peratus, kerajaan melakukannya kerana ia terbaik untuk negara dan rakyat. Menteri Kewangan Kedua telahpun menyatakan 1-2 tahun defisit tinggi tidak menjadi masalah kepada negara. Pada krisis 1997, defisit kerajaan telah mencapai 5.5 peratus.

Penubuhan Jawatankuasa tangani isu pekerja diberhenti
Kerajaan mengambil langkah awal menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi menghadapi masalah pemberhentian pekerja oleh majikan di negara ini berikutan krisis ekonomi global. Dua jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Pemberhentian Pekerja dan Jawatankuasa Bantuan Pekerja Yang Diberhentikan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata Jawatankuasa Pemberhentian Pekerja akan mengeluarkan satu garis panduan berhubung pengurusan pemberhentian pekerja dan langkah yang perlu diambil oleh majikan sewaktu berdepan dengan krisis ekonomi global. Katanya, garis panduan itu akan disediakan sebelum Disember ini dan selain memantau keadaan ekonomi, mereka juga akan membantu mencari pekerjaan bagi pekerja yang diberhentikan kerja tanpa mengira bidang.

Jawatankuasa Bantuan Pekerja Yang Diberhentikan akan berperanan untuk menjaga soal kebajikan pekerja dan merangka beberapa program bagi melatih semula pekerja yang diberhantikan. Latihan akan diberikan menerusia Perbadanan Sumber Manusia berhad (PSMB) dibawah peruntukan RM5 juta dan usaha memohon peruntukan tanmbahan daripada Kementerian Kewangan sedang diusahakan.

Kedua-dua jawatankuasa itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Thomas George dan turut diwakili Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), wakil kesatuan sekerja, agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan dengan pekerja serta dijadualkan bermesyuarat setiap bulan. Bagaimanapun, setakat ini tidak ada pembuangan pekerja secara besar-besaran tetapi kerajaan tetap berwaspada dan bersedia.

Mempertingkatkan kemahiran pekerja menerusi latihan semula
Kerajaan akan mempertingkatkan kemahiran kira-kira 750,000 pekerja dalam industri kecil dan sederhana menerusi latihan semula bagi membolehkan industri berkenaan bersaing di pasaran lebih besar dan berdikari. Datuk Dr S. Subramaniam berkata, latihan semula itu yang akan diberikan sebelum hujung tahun ini, akan dibiayai oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia.

Pihak kementerian akan mengenal pasti program latihan sesuai yang bermanfaat kepada golongan pekerja, Daripada 11,396 majikan yang mencarum kepada tabung yang dikendalikan oleh Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB), lebih 70 peratus adalah IKS, katanya. IKS tersebut kebanyakannya adalah daripada sektor pembuatan yang memiliki kurang daripada 150 pekerja dan sektor perkhidmatan yang mempunyai kurang daripada 50 pekerja.

Dalam pada itu, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan enam langkah proaktif yang perlu digerakkan semua agensi dan kementerian bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi terutama tahun depan yang membawa kegelisahan rakyat.

Sambil menyifatkan tahun-tahun akan datang begitu mencabar, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, langkah-langkah itu termasuk berpegang teguh kepada nilai integriti dengan menghapuskan rasuah serta membantu mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengakui kerajaan ketika ini berusaha memastikan permintaan domestik berada pada tahap setinggi mungkin, menentukan sektor perbankan mempunyai kecairan mencukupi serta menetapkan rangsangan fiskal berjalan mengikut jadual. Tentu sekali kita semua akan terasa beban cabaran yang harus dipikul sebab rakyat meletakkan harapan besar kepada kerajaan untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke lembah kemelesetan ekonomi.

Keenam-enam langkah proaktif yang perlu dilaksanakan semua agensi dan kementerian adalah seperti berikut:

* Modal keintelektualan mesti diperkukuhkan. Ini bererti segala kepakaran ilmu dan pengkhususan yang berkaitan pengurusan ekonomi dan kewangan negara harus diperkuatkan bagi membolehkan kerajaan membuat keputusan-keputusan yang tepat dan kena pada tempat serta masanya.

* Perlu menambah tahap efisien daripada peringkat paling asas kepada yang lebih canggih. Dalam konteks ini, Kementerian Kewangan sebagai agensi pusat juga memberikan khidmat kepada agensi-agensi lain. Oleh itu, jika dapat menyelesaikan sesuatu fail dengan lebih singkat misalnya, maka tahap efisien ini akan tercapai.

* Dalam keadaan dunia yang mencabar hari ini, semua pihak perlu mencerna idea yang lebih inovatif dan kreatif. Untuk mencapainya, mereka tidak boleh lagi memakai cara lama dalam persekitaran sekarang.

* Tidak boleh lagi melihat kerja-kerja yang dilaksanakan semata-mata kerana peruntukan yang diberikan telah dibelanjakan 100 peratus. Sebaliknya, harus menilai dan melihatnya berlandaskan faktor penghasilan kerja.

*Perlu memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang dihasilkan termasuk dibelanjakan benar-benar membawa nilai ringgit kepada kerajaan.

*Hindari rasuah dan terus berpegang kepada nilai-nilai integriti.

MEMBANTU GOLONGAN MISKIN MELALUI JARINGAN KESELAMATAN SOSIAL

Mac 1, 2009

Membantu Golongan Miskin Melalui Jaringan Keselamatan Sosial

Sebahagian besar rakyat agak kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan Jaringan Keselamatan Sosial yang menjadi dasar Bajet 2009 seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini. Secara umum Jaringan Keselamatan Sosial boleh didefinasikan sebagai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk kepentingan masyarakat meliputi kebajikan, perubatan dan kadang kala subsidi kepada pengangkutan awam.
Ia berperanan membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin menghadapi cabaran inflasi. Dalam ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial bertujuan untuk mengagihkan pendapatan dan sumber kepada golongan yang memerlukan dalam masyarakat serta membantu mengatasi kemiskinan dalam jangka masa pendek.

Ketiadaan Jaringan Keselamatan Sosial begitu dirasai oleh masyarakat namun kesan tersebut lebih dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan miskin termasuk vulnerable group seperti warga emas, ibu tunggal dan golongan kurang upaya. Selaras dengan itu, kerajaan telah merangka satu Jaringan Keselamatan Sosial yang komprehensif bagi mengurangkan impak terhadap golongan berpendapatan rendah dan golongan miskin akibat kenaikan inflasi dan kelembapan ekonomi seperti yang kita alami hari ini. Langkah tersebut membuktikan kepetrihatinan rakyat terhadap kesulitan yang ditanggung rakyat ekoran kenaikan mendadak harga bahan bakar dan barangan keperluan lain.

Antara sumbangan utama kerajaan untuk memastikan rakyat terbela melalui skim Jaringan Keselamatan Sosial ini adalah melalui langkah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuik Semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah. Ketika ini terdapat dua skim bantuan utama di bawah Jabatan kebajikan Masyarakat iaitu Skim Bantuan Persekutuan dan Skim Bantuan Am Negeri.

Skim Bantuan Persekutuan diberi secara bulanan di bawah skim Bantuan Orang Tua (berusia 60 tahun ke atas) dan Bantuan Kanak-Kanak (di bawah usia 18 tahun). Memandangkan skim ini hanya menjurus kepada golongan tertentu dan tidak menyeluruh, golongan yang tercicir seperti ibu atau bapa tunggal, orang kurang upaya akan dibantu melalui Skim Bantuan Am Negeri. Memandangkan bantuan di bawah skim ini jauh lebih rendah berbanding Skim Bantuan Persekutuan dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penerima, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan satu skim bantuan baru berasaskan keluarga di peringkat Persekutuan bagi mengatasi masalah tersebut.

Skim Bantuan Asas Keluarga yang diperkenalkan akan mengguna pakai pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa sebagai syarat asas pertimbangan. Di bawah skim tersebut seramai 109,928 isi rumah miskin akan dibela di bawah skim Jaringan Keselamatan Sosial yang baru ini berbanding dengan 22,848 isi rumah yang kini menerima bantuan terdiri dari golongan berpendapatan di bawah RN400 sebulan.
Skim Bantuan Asas Keluarga ini akan memberikan bantuan sebanyak RM100 seorang sebulan sehingga maksimum RM600 sekeluarga sebulan yang diberikan mengikut saiz isi rumah (meliputi ibu, bapa dan anak dalam satu keluarga asas).

Antara kriteria yang melayakkan mereka berada di bawah skim ini merangkumi:

1.Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia.

2.Pendapatan isi rumah di bawah pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa.

3.Ketua isi rumah (pencari nafkah) menghadapi masalah kesihatan, kecacatan dan kehilangan pendapatan secara mendadak, tidak mempunyai pendapatan tetap serta masalah lain yang boleh menjejaskan fungsinya sebagai penyara keluarga.

4.Ibu atau bapa tunggal yang tidak berkemampuan menyara keluarga dan perlu menjaga kanak kanak; atau

5.Individu yang tinggal berseorangan, tidak mampu menyara diri sendiri dan berusia di bawah 60 tahun.


Bagaimanapun, semua kes akan dirujuk terlebih dahulu untuk dipertimbangkan selain perlu melalui proses sissatan (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan sebelum bantuan diluluskan. Ia diberi untuk tempoh 12 bulan dan dalam tempoh tersebut bantuan akan dikaji semula bagi menentukan sama ada bantuan itu diteruskan atau dikaji semula.

Pemberian bantuan secara sementara ini adalah selaras dengan konsep kebajikan produktif (productive welfare) yang dihasratkan oleh kerajaan. Sepanjang tempoh bantuan itu juga penerima bantuan akan diberi latihan kemahiran untuk meningkatkan kemajuan diri. Selain itu penerima bantuan juga akan diberi pinjaman modal dan peluang-peluang untuk memulaklan perniagaan.

Di bawah Jaringan Keselamatan Sosial lainnya termasuklah usaha berterusan untuk membasmi kemiskinan di mana sejumlah RM50 juta disediakan di bawah Program Bantuan Rumah untuk membina 1,400 rumah baru dan membaik pulih 1,000 lainnya. Usaha berterusan juga dilakukan untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup penduduk di sabah dan Sarawak, terutama untuk meningkatkan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar Bandar. Sejumlah RM580 juta disediakan bagi Sabah dan RM420 juta bagi Sarawak.

Lainnya termasuklah mengecualikan bayaran bil elektrik RM20 sebulan ke bawah berkuatkuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009. Begitu juga dengan rebet cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Dengan itu seramai 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah tidak lagi dikenakan cukai.

Di bawah jaringan Keselamatan Sosial ini juga golongan petani dan nelayan juga diberikan pembelaan di mana sejumlah RM300 juta diperuntukkan. Sejumlah RM180 juta adalah untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan manakala RM120 juta sebagai insentif tangkapan ikan.

Bagi meningkatkan kehidupan petani juga, elaun pelaburan semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan bagi penternak ayam dan itik. Selain peruntukan sejumlah RM475 juta bagi bantuan imput pertanian, baja dan racun perosak bagi pengusaha sawah.