KEPUTUSAN UNDI JAWATAN MT DIJANGKA JAM 10 MALAM

KUALA LUMPUR: Keputusan pengiraan undi untuk jawatan peringkat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti itu Khamis depan dijangka diumumkan pada jam 10 malam.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Pengerusi Tetap parti akan mengumumkan keputusan itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Kita jangka keputusan akan diperoleh agak lewat kerana Jawatankuasa Pemilihan memutuskan untuk mengira menggunakan kaedah manual kerana ada calon dan wakil masing-masing yang tidak selesa dengan kaedah komputer,” katanya sesi taklimat mengenai Perhimpunan Agung Umno ke-59 di PWTC, di sini, semalam.

Tengku Adnan berkata, setakat ini, secara keseluruhannya seramai 262 calon yang akan bertanding bagi jawatan peringkat MT dan ketiga-tiga sayap parti berkenaan termasuk Exco pusat.

“Seramai 55 calon peringkat Wanita Umno, termasuk 49 Exco pergerakan itu akan bertanding, manakala 77 lagi calon Pemuda dan 68 calon bagi sayap Puteri Umno,” katanya.

Beliau berkata, lebih 300 petugas akan dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas mengira undi bermula jam 1 tengah hari pada Khamis depan, selepas proses pengundian dijalankan selama dua jam.

“Petugas yang mengira undi tidak dibenarkan keluar dan jika berbuat demikian, mereka tidak akan dibenarkan masuk semula. Langkah itu bagi menjamin ketelusan proses berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhannya seramai 4,885 perwakilan akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2008, termasuk 2,509 perwakilan pada persidangan pusat, selain 796 perwakilan Wanita Umno, Pemuda (791) dan 789 perwakilan Puteri Umno.

Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar yang akan menghadiri perhimpunan kali ini diputuskan Isnin ini selepas pihaknya menerima maklum balas daripada Jabatan Insolvensi dan Pendaftar Syarikat (ROS).

“Setakat ini pun, kedudukan 24 perwakilan sedang diteliti kerana kami mendapati mereka muflis, bagaimanapun pengesahan mengenainya belum diperoleh lagi,” katanya.

Mengenai jadual perhimpunan kali ini, Tengku Adnan berkata, jamuan khas ‘Jasamu Dikenang’ akan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Sesuatu yang istimewa diatur pada majlis berkenaan dengan harapan menjadi tanda kenangan yang bernilai kepada Perdana Menteri dan semua perwakilan,” katanya.

Beliau berkata, persidangan pada Jumaat pula akan dilanjutkan sehingga jam 11 malam bagi membolehkan semua usul membabitkan Ucapan Dasar Presiden, Ekonomi serta Agama dan Pendidikan dapat dibentangkan dan dibahas semua yang terbabit.

“Jawatankuasa Usul akan putuskan tempoh masa pembentang dan pembahas berucap kerana tahun ini perhimpunan agung akan berakhir lebih awal bagi membolehkan ahli dan pemimpin Umno memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: