USAH GHAIRAH REBUT JAWATAN

‘Usah ghairah rebut jawatan’

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my


Najib berbual dengan penerima Anugerah Khas Ikon Glokal Kelab Umno Luar Negara, Mohamed Fairuz Fauzy (kiri) dan Dr Tidi Maharani Hassan di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi.

Najib gesa ahli utama perjuangan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan ahli dan pemimpin Umno supaya tidak terlalu ghairah mengejar jawatan dalam parti hingga terlupa perjuangan sebenar untuk mengekalkan kegemilangan pemerintahan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kekuatan Umno yang terpahat dalam sejarah perlu dipertahankan supaya tidak dilihat sebagai punca kelemahan hanya kerana ada pihak menganggap kuasa itu satu kekebalan politik.

“Apakah kekebalan itu bermakna berjuang untuk menjadi Ketua Umno Bahagian, Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Wanita Bahagian, Ketua Puteri Bahagian atau jawatan pada peringkat paling tinggi sebagai penyudah kepada perjuangan kita.

“Jika itu jawapannya, bermakna kita terlalu asyik dalam proses dalaman parti di mana masa dan tenaga kita gunakan untuk mengisi jawatan yang diidamkan dalam parti, tetapi kita alpa apa guna jawatan itu jika parti tidak berkuasa.

“Pada masa sama, Umno perlu dilihat sebagai parti yang menghargai modal keintelektualan tetapi cantas mencantas dan sekat menyekat adalah penyakit dalam Umno menyebabkan ada yang tidak diberi tempat dalam kepemimpinan hingga mereka menyertai parti pembangkang.

“Oleh itu, perlu ada proses muhasabah dan berfikiran terbuka supaya Umno yang dulu mendahului zaman dan hari ini juga dapat mendahului zaman,” katanya berucap pada majlis makan malam dan perasmian Kursus Kepemimpinan Kelab Umno Luar Negara 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Pelajar Luar Negara, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sehubungan itu, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno mahu parti itu bangkit dengan semangat baru dan melakukan perubahan mengikut keadaan, masa dan tuntutan zaman, bukannya perubahan yang hanya sekadar ‘klise’.

“Umno perlu dilihat sebagai parti yang segar, dinamik dan boleh meletakkan harapan rakyat pada masa kini dan masa depan, jika tidak Umno akan dilihat kaku, lesu dan tidak lagi menarik di kalangan rakyat dan pengundi.

“Oleh itu, generasi muda perlu mengembalikan semangat 50-an dalam Umno di mana ia dilihat sebagai juara dalam isu kepentingan, kesejahteraan rakyat, isu bahasa, kemerdekaan, menyusun semula masyarakat dan isu yang dekat di hati rakyat serta orang Melayu, tetapi bukannya menjadi juara kerana menang jawatan,” katanya.

Beliau berkata, jika popular dalam Umno tidak semestinya seseorang pemimpin itu juga popular di kalangan rakyat dan jika ada jawatan dalam Umno pula tidak semestinya boleh menang dalam pilihan raya, sebaliknya perlu popular dalam Umno dan di kalangan pengundi barulah parti ini kuat dan menjadi tonggak dalam pemerintahan negara.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: