RazakSAT kejayaan teknologi angkasa negara
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
![]() MISI bawa RazakSAT menaiki pesawat dari TUDM Subang ke Kota Kinabalu, baru-baru ini. |
Satelit kedua pantau pengurusan tanah, galian, pertanian, perairan teluk demi kebaikan sejagat
SELEPAS menanti hampir sembilan tahun, akhirnya satelit kedua negara, RazakSAT bakal dilancar 21 April ini di tapak pelancar Pulau Omelek, Kwajalein, Republik Kepulauan Marshall, Lautan Pasifik. Ia menggunakan pelancar Falcon-1 milik SpaceX berpangkalan di Amerika Syarikat yang menandakan kejayaan pembangunan teknologi angkasa negara.
Penghasilan RazakSat bermula April 2000 dengan terhasilnya Kamera Aperture Bersaiz Sederhana (MAC) yang mana muatannya mampu memberikan imej 2.5 meter (m) resolusi bagi hitam-putih (pankromatik) dan 5.0m resolusi untuk imej berwarna (multi-spektral).
RazakSAT dibangunkan bagi menghasilkan imej beresolusi tinggi dari angkasa kepada Malaysia dalam usaha meningkatkan keupayaan negara menguasai teknologi angkasa yang mana satelit ini dilengkapi sistem muatan imej beresolusi tinggi yang dibangunkan khusus untuk kegunaan satelit kecil dan ia amat bersesuaian dengan misi pemantauan keadaan bentuk muka bumi sepanjang laluan orbitnya di garisan Khatulistiwa.
Pada peringkat awal, satelit ini dinamakan MacSAT pada November 2001, namun ditukar kepada RazakSAT oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003 sempena nama bekas Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, bagi mengenang jasa beliau dalam membangunkan negara hingga digelar ‘Bapa Pembangunan’.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astronautic Technology (M) Sdn Bhd, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad, RazakSAT dibina hanya bertujuan keamanan sejagat dan digunakan bagi pengurusan tanah, pemantauan galian dan penyimpanan, perhutanan, pemantauan teluk dan perairan, pertanian dan juga bidang lain yang akan memberikan faedah kepada negara bukannya berbentuk pertahanan atau keselamatan.
![]() |
JURUTERA menguji RazakSAT . |
“Uniknya, dua satelit mini turut dilancarkan serentak iaitu CubeSAT dan InnoSAT yang mana ketiga-tiga satelit ini dibiayai menggunakan dana Tabung Teknologi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dengan anggaran keseluruhan perbelanjaannya RM150 juta dan dihasilkan sendiri oleh anak tempatan iaitu menggunakan kepakaran jurutera ATSB.
“Satelit kedua negara ini adalah satelit pertama dunia yang menggunakan sistem penderiaan jarak jauh (remote sensing) dan orbitnya berhampiran Khatulistiwa yang bakal menjadi lintasan terbaik dengan kecondongan sembilan darjah serta berupaya memberikan imbasan sebanyak 11 hingga 14 kali bersamaan 100 minit dengan imej terbaik serta liputan pada kekerapan yang tinggi untuk Malaysia dan negara di sepanjang garisan Khatulistiwa,” katanya.
RazakSAT selamat tiba di Kwajalein pada 22 Mac lalu selepas singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Pangkalan Tentera Udara Anderson, Kepulauan Guam, Hawaii dengan membawa 23 krew terdiri daripada enam jurutera ATSB dan 17 anggota TUDM menggunakan pesawat C-130H milik TUDM.
Satelit ini kemudian dihantar terus ke Kepulauan Omelek menggunakan Landing Craft Utility, Great Bridge milik tentera Amerika dan ketika di sana, enam jurutera ATSB akan melakukan pemasangan teknikal dan pengujian akhir sebelum ia dilancarkan, khususnya membabitkan aktiviti pemasangan RazakSAT(R) ke Falcon 1 dengan kerjasama SpaceX.
![]() |
KUMPULAN jurutera yang membangunkan RazakSAT bersama replika satelit. |
Pada masa sama, lapan jurutera ATSB akan berada di Califronia State University di Los Angeles bagi mengatur persiapan dan membuat ujian keseluruhan CubeSAT sebelum satelit mini yang dibangunkan sepenuhnya oleh ATSB sebelum dihantar ke Kwajalein.
InnoSAT pula dibangunkan dengan kerjasama tiga institusi pengajian tinggi tempatan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), sebagai usaha melahirkan pakar dalam bidang teknologi angkasa pada masa depan sekali gus menggalakkan lagi usaha ke arah pembangunan bidang aeroangkasa.
Pelbagai persiapan rapi menjelang pelancarannya giat dilaksanakan seperti memastikan penyambungan mekanikal dan elektrikal satelit itu supaya sepadan dengan Falcon 1, pemeriksaan pemasangan sambungan `Lightband’ iaitu alat pemisah semasa pelancaran serta pemantauan persediaan di tapak pelancar.
Kempen pelancaran satelit RazakSAT yang bermula 23 Mac lalu mengambil masa selama sebulan dengan fasa pertamanya adalah misi penghantaran satelit RazakSAT serta peralatan sokongan mekanikal dan elektrikal.
Ahmad Sabirin berkata, satelit berkenaan akan memasuki Fasa Pelancaran dan Operasi Awalan RazakSAT (LEOP) iaitu fasa pengurusan satelit untuk diteliti dan dikaji bagi operasi nominalnya atau operasi mengekalkan RazakSAT dalam orbit selepas ia selamat dilancar.
“Operasi ini perlu bagi memastikan satelit beroperasi sepenuhnya seperti hubungan pertama dengan satelit bumi, satelit “commissioning” dan analisis imbasan pertama bagi memastikan RazakSAT menepati piawaian operasi satelit yang ditetapkan,” katanya.
Aktiviti ini bakal dilaksanakan sekumpulan pakar membabitkan jurutera ATSB untuk berkomunikasi dan mengawal RazakSAT 24 jam setiap hari dari bilik operasi yang terletak di Pusat Angkasa Negara (PAN), Sungai Lang, Banting, Selangor.
Operasinya akan disokong tiga kumpulan yang setiap satunya diwakili enam pakar bagi merancang Operasi Pelancaran, lanjutan misi turutan, mengeluarkan arahan dan sebagai pengurusan kumpulan kerja.
Kumpulan ini membabitkan Operator Tenaga Elektrik Subsistem bagi pengawasan kuasa dan komunikasi subsistem, Operator Muatan mengawasi Kamera MAC manakala hasil imej serta imbasan akan diproses Operator Sistem Penerima Imej dan Operator Stesen Bumi mengawal sistem antena.
Yang pasti, ATSB sudah melaksanakan hampir 85 peratus persiapan bagi melancarkan satelit kedua ini dan kita hanya perlu menanti saat RazakSAT dilancarkan ke orbit yang mana semua rakyat Malaysia harus berdoa supaya misi ini berjaya seperti yang disasarkan, Malaysia Boleh!