Saya baru saja pulang dari Pattaya di mana saya seharusnya menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN mulai semalam secara rasminya. Anda mungkin telah melihatnya daripada media bagaimana penunjuk perasaan ‘berbaju merah’ menjadikannya mustahil untuk kami meneruskan persidangan. Agak malang sekali pertemuan-pertemuan saya dibatalkan satu per satu selepas pemimpin-pemimpin lain juga tidak dapat meninggalkan atau masuk ke tempat persidangan diadakan. Nasib baik, dengan bantuan angkatan bersenjata dan polis Thai, kami telah sampai ke lapangan terbang dalam perjalanan pulang dengan selamat. Sebaik saja kami terbang, saya merenung kembali dengan penuh keprihatinan bagaimana cabaran politik dalam negara seperti ini boleh menghalang kerja-kerja baik kelompok negara serantau seperti ASEAN – dan melambatkan manfaat daripada integrasi yang lebih erat kepada beratus-ratus juta penduduk yang tinggal dan bekerja di Asia Tenggara.
Hari Khamis yang lalu saya telah mengumumkan senarai ahli kabinet baru Malaysia yang akan dipertanggungjawabkan untuk memajukan negara dalam semangat 1 Malaysia. Beberapa faktor telah dipertimbangkan untuk memastikan bahawa kabinet ini benar-benar satu Kabinet Rakyat, mampu berkhidmat untuk rakyat secara saksama dan berkesan, dan akan berusaha untuk membawa negara ke hadapan tanpa meminggirkan sesiapa.
Maklum balas daripada komen yang dihantar ke blog saya sejak pengumuman barisan kabinet dibuat adalah melegakan bagi sesetengah pihak dan menimbulkan persoalan bagi yang lain. Berdasarkan perkembangan ini, saya mempelawa anda semua untuk berkongsi pandangan terhadap barisan baru ini dan pendekatan baru yang berasaskan kemajuan yang saya akan kuat kuasakan dengan menghantar komen anda. Saya juga sangat berminat untuk mengetahui harapan anda terhadap pentadbiran baru ini demi memastikan kebajikan dan pembangunan untuk semua golongan masyarakat akan terbela.
Memandangkan sebahagian daripada anda mungkin terlalu ghairah dengan barisan kabinet ini, saya menyeru semua agar menghormati tata cara menyampaikan pandangan anda terhadap pandangan orang lain dan berharap kita akan terus berdialog dengan berhemah dan dalam semangat sebenar 1Malaysia.
Tinggalkan Jawapan