KLCI lepasi paras 1,000 mata
Gambar dirakam jam 2.15 petang di RHB, Jalan Tun Razak menunjukkan indeks KLCI melepasi 1,000 mata.
KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan semalam melonjak melepasi paras 1,000 mata buat kali pertama dalam tempoh tujuh bulan berikutan beberapa petunjuk positif pemulihan ekonomi di dalam dan luar negara, sekali gus mengetepikan kebimbangan mengenai penularan wabak H1N1.
Lonjakan itu juga didorong kenaikan bursa utama serantau yang didahului oleh pasaran saham Taiwan apabila indeks TWSE meningkat 337.83 mata atau 5.64 peratus kepada 6,330.40 mata, diikuti Hong Kong, meningkat 860.06 mata atau 5.54 peratus kepada 16,381.05 mata.
Singapura pula meningkat 5.65 peratus kepada 2,028.71 mata, Jakarta melonjak 3.39 peratus kepada 1,788.15 mata, Shanghai meningkat 3.32 peratus kepada 2,559.91 mata dan Seoul naik 2.09 peratus kepada 1,397.92 mata.
Di dalam negara, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) melonjak 18.62 mata atau 1.88 peratus untuk ditutup pada 1,009.72, paras tertinggi sejak 3 Oktober tahun lalu.
Penanda aras utama pasaran tempatan itu dibuka tinggi pada 999.44 mata meningkat 8.70 mata atau 0.88 peratus pagi semalam, sebelum terus melonjak melepasi paras 1,000 mata kira-kira dua minit selepas urus niaga dibuka dan kekal tinggi sehingga penutup dalam dagangan yang tinggi.
Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputra (Pribumi), Zainal Ariffin Osman, berkata kenaikan semalam kukuh kerana disokong peningkatan dagangan membabitkan 1.75 bilion saham bernilai RM1.619 bilion.
“Kenaikan pasaran adalah menyeluruh, diterajui kaunter sektor perladangan dan kewangan. Pelabur mula mengetepikan kebimbangan mengenai wabak Influenza A, sebaliknya memandang jauh ke depan berdasarkan petunjuk positif pemulihan di dalam dan luar negara,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Zainal Ariffin berkata, antara petunjuk positif pada peringkat domestik adalah pertumbuhan pinjaman bank bagi Mac kekal kukuh sebanyak 10.9 peratus, sekali gus menguatkan jangkaan bahawa pertumbuhan ekonomi negara yang menguncup pada suku pertama, akan kembali pulih menjelang separuh kedua tahun ini.
Selain itu, pelabur membuat pembelian berdasarkan manfaat besar daripada langkah pelaksanaan dua pakej rangsangan bernilai RM67 bilion serta liberalisasi sektor kewangan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Pada peringkat global pula, Ketua Ahli Ekonomi Inter-Pacific Sdn Bhd, Anthony Dass berkata, kenaikan di pasaran serantau termasuk Malaysia adalah susulan petunjuk positif pemulihan ekonomi China.
Katanya, Indeks Pengurus Pembelian (PMI), penanda aras sektor perkilangan China meningkat kepada 53.5 mata bulan lalu berbanding 52.4 mata pada Mac.
“Angka perkilangan terbaru itu juga menggambarkan tempoh kesukaran khususnya bagi China, mungkin sudah berakhir dan negara itu berkemampuan mencatat pertumbuhan ekonomi pada kadar 6.5 peratus tahun ini dan melebihi 7.5 peratus tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, pengembangan berterusan ekonomi terbesar Asia itu akan memberi manfaat kepada negara yang menjadi rakan dagangannya termasuk Malaysia kerana China adalah antara destinasi eksport utama negara.
Penganalisis Teknikal Maybank Investment Bank Bhd (Maybank-IB), Lee Cheng Hoi, meramalkan pasaran saham tempatan memiliki ruang untuk terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang.
“Berdasarkan kedudukan teknikal pasaran, KLCI mampu meningkat untuk menguji paras halangan 1,023 mata dalam jangka terdekat ini, manakala paras sokongan baru adalah dalam zon antara 952 hingga 990 mata,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penganalisis OSK Research Sdn Bhd, Chris Eng, berkata pihaknya telah menyemak semula unjuran sasaran KLCI daripada 960 mata kepada 1,040 mata dengan jangkaan kedudukan ekonomi yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini.