Written by Admin
Wednesday, 06 May 2009 14:18
KETIADAAN Pakar Orhtopedik, Pakar Mata, Pakar X-Ray dan Pakar ENT menyebabkan Hospital Lahad Datu yang siap dibina pada 13 Januari 2002 dengan kos RM200 juta bagaikan projek ‘Mega’ yang gagal mencapai Konsep 1Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri Malaysia.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi, menggesa Kementerian Kesihatan agar mencari alternatif sama ada untuk menghantar pakar berkenaan dalam kadar segera atau mengswastakan Klinik Pakar yang tidak berfungsi dengan sempurna.
Salleh yang melakukan lawatan mengejut sebaik sahaja menerima aduan daripada pesakit bahawa ketiadaan empat pakar berkenaan menyebabkan mereka terpaksa memohon ehsan sokongan beliau untuk memindahkan pesakit agar mendapatkan rawatan segera di Hospital Tawau, Sandakan atau Kota Kinabalu.
BINCANG….Salleh (dua dari kanan sedang berbincang dan bertukar pendapat dengan doktor pakar dan pegawai jabatan perubatan.
“Masalah ketiadaan doktor pakar di Hospital Lahad Datu menyebabkan hak rakyat untuk mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik telah dinafikan oleh Kementerian Kesihatan dan ianya bercanggah dengan Konsep 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan,” kata Salleh yang kesal dengan senario yang tidak sepatutnya berlaku di kawasan parlimen yang diwakilinya.
Ketiadaan pakar-pakar tersebut, kata Salleh membahayakan nyawa 400,000 penduduk parlimen Silam yang selama ini menaruh harapan yang tinggi kepada Hospital Lahad Datu yang pada peringkat perancangannya dijanjikan sebagai antara Hospital Terbaik di Malaysia.
“Bagaimana kita mahu menjadi yang terbaik jika Kementerian Kesihatan menghadapi kesukaran untuk menghantar pakar perubatan sehingga pembangkang melemparkan tohmahan yang tidak dapat diterima. Tapi itulah hakikatnya apabila perancangan yang dibuat tidak selari dengan pelaksanaan,” ujar Salleh yang kesal kerana Pakej Stimulus yang diumumkan Perdana Menteri tidak digunakan sebaiknya oleh Kementerian Kesihatan.
MEGA….Projek Mega Hospital Lahad Datu ini gagal ditadbir urus dengan baik oleh Jabatan Perubatan Sabah
Saranan Perdana Menteri pada Perhimpunan Bersama Rakyat Sabah di Padang Bandaran Kota Kinabalu pada 5 Mei 2009, kata Salleh, seharusnya diambil iktibar oleh menteri dan pegawai terlibat untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan turun padang untuk mengenal pasti prasarana kesihatan untuk rakyat dapat dimanfaatkan sewajarnya.
“Saya amat kesal kerana Hospital Lahad Datu mempunyai peralatan X-ray yang bernilai RM1.5 juta namun tidak memberi sebarang makna apabila tidak langsung dapat digunakan kerana tidak ada siapa yang tahu menggunakan mesin berkenaan, apatah lagi tidak ada Pakar X-Ray di Lahad datu,” ujar Salleh lagi.
Salleh turut membidas Lembaga Pelawat Hospital Lahad Datu yang gagal berfungsi sehingga masalah kesihatan terpendam begitu sahaja sejak tujuh tahun lalu tanpa sebarang penyelesaian.
DERITA….Kanak-kanak ini terpaksa menderita kerana tiada Pakar Orthopedik di Hospital Lahad Datu yang serba canggih tetapi kemunduran modal insan.
Ketiadaan mesin CT Scan juga kata Salleh menyebabkan pesakit terpaksa dipindahkan ke Kota Kinabalu, Sandakan atau Tawau semata-mata untuk pemeriksaan lanjut atau terpaksa menderita di katil kerana penyakitnya gagal dikesan.
“Saya amat terkejut apabila seorang pesakit datang ke pejabat saya mengadu bahawa beliau tidak dibenarkan masuk ke wad kerana doktor yang merawat beliau mengesahkan beliau tidak mengidap penyakit malaria. Mereka ambil darah untuk ujian tetapi tidak dapat mengesan penyakit malaria. Ini amat memalukan,” ujar Salleh yang menyatakan pesakit berkenaan terpaksa menggadai nyawa mendapatkan rawatan pakar di Kota Kinabalu yang letaknya 365 kilometer daripada Hospital Lahad Datu.
BERHANTU….Sudah tujuh tahun berlalu, tetapi kemudahan Wad Kelas 1 di tingkat 3 belum pernah digunakan sehingga digelar ‘Wad Hantu’.
Kerajaan Barisan Nasional, kata Salleh amat prihatin terhadap kebajikan rakyat, namun ketidak cekapan Jabatan Perubatan Sabah menangani keperluan Hospital Lahad Datu menyebabkan rakyat mencemuh Wakil Rakyat dan Perdana Menteri.
Bagi mengatasi dilema Hospital Lahad Datu secara tuntas, Salleh akan menemui Menteri Kesihatan dalam waktu terdekat agar segala keluhan rakyat dan pegawai yang bertugas di hospital berkenaan akan dapat di atasi segera.
BOLOS…Ketiadaan sistem kawalan keselamatan dan pagar yang bolos menyebabkan banyak peralatan penting seperti kerusi roda hilang.
Dalam pada itu, Salleh turut menggesa agar pertukaran Pegawai Perubatan (Tulang), Dr Atif Noor Memon ke Kota Kinabalu dibatalkan serta merta disebabkan beliau amat diperlukan oleh Hospital Lahad Datu agar dapat mengatasi ketiadaan pakar.
“Kenapa semua Doktor yang terbaik dipindahkan ke Kota Kinabalu? Saya tidak fikir rakyat Silam terpaksa menderita sementara menunggu doktor baru yang tidak tahu bila akan tiba,” ujar Salleh yang mendesak agar Pengarah Perubatan Sabah menyelesaikan kemelut Hospital Lahad Datu kerana beliau akan menemui Perdana Menteri agar ianya dapat dirasmikan dalam waktu terdekat selepas mengunjungi Menteri Kesihatan.
Salleh turut menggesa agar skim lebih baik ditawarkan kepada Doktor Pakar daripada luar negara terutama memendekkan tempoh ‘menganggur’ sementara menunggu kontrak mereka disambung.
BOCOR..Kebocoran siling dan kerosakan perabut serta lengkapan pada wad kelas satu yang tidak pernah beroperasi ini memerlukan kos pembaikan yang tinggi.
“Pakar Pembedahan kita, Dr Hassan Gamal El Lamie terpaksa menganggur kerana kontraknya belum disambung sedangkan ramai pesakit menunggu untuk dibedah,” kata Salleh dengan nada kesal.
Jika semua ini gagal di atasi dalam masa yang singkat kata Salleh, adalah lebih baik jika Klinik Pakar Hospital Lahad Datu diswastakan agar dapat menarik lebih ramai Pakar seperti di Hospital Pakar Rafflesia, SMC dan Damai di Kota Kinabalu berkhidmat secara gunasama dengan Hospital Lahad Datu.
“Saya dapati wad di tingkat 3 dan Wad Kelas Satu di tingkat enam Hospital Lahad Datu tidak pernah digunakan langsung dan ada baiknya digunakan sebagai Wad Eksekutif kerana ramai pelancong dan orang kenamaan inginkan rawatan dan suasana mesra alam seperti kemudahan yang telah dilengkapkan di wad berkenaan,” kata Salleh yang menyatakan ia akan meningkatkan hasil kerajaan melalui penyewaan wad atau rawatan khusus secara profesional.
Kemudahan di wad berkenaan sudah lusuh dan jika tidak digunakan akan menyebabkan Kerajaan menanggung kerugian untuk membaikpulih atau menggantikannya dengan peralatan yang baru.
CANGGIH….Kecanggihan teknologi ini gagal dimanfaatkan oleh penduduk Silam apabila wad yang mempunyai katil canggih ini tidak pernah berpenghuni semata-mata kerana ketiadaan pakar perubatan.
“Katil yang ada di sini adalah paling canggih yang pernah saya lihat seumur hidup saya,” kata Salleh dengan nada kesal kerana semua kemudahan tersebut dibazirkan begitu sahaja kerana salah tadbir.
Salleh turut mendesak agar sistem keselamatan termasuk pagar dibina segera bagi mengelakkan kecurian dan dalam masa yang sama menggesa PDRM menempatkan anggotanya secera tetap di Hospital Lahad Datu untuk mengatasi masalah kecurian dan vandalisme yang tinggi.
Bagaimanapun, Salleh memuji usaha murni Unit Farmasi yang memperkenalkan perkhidmatan sms agar pesakit ulangan tidak menunggu terlalu lama untuk mendapatkan ubat.
“Usaha ini wajar dicontohi terutama Klinik Pakar yang mendapat pelbagai rungutan awam kerana jangkamasa menunggu terlalu lama disebabkan kekurangan doktor untuk memeriksa pesakit di wad,” ujar Salleh lagi.
Untuk rekod, Hospital Lahad Datu, sebelum ini dikenali sebagai Anne Hospital sekitar 60’an sebelum Hospital Baru Lahad Datu yang mempunyai kapasiti 268 katil dibina pada 1999, lima tahun selepas Kerajaan BN mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah dan mula beroperasi sepenuhnya pada April 2002.