ROMBAKAN KECIL KABINET SABAH

ROMBAKAN KECIL KABINET SABAH       
Written by Admin    
Wednesday, 13 May 2009 22:51 
KOTA KINABALU: Naib Presiden LDP yang juga Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Peter Pang En Yin dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah menggantikan Raymond Tan Shu Kiah yang telah menyertai Gerakan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman mengekalkan Tan dalam kabinet negeri dengan melantik beliau sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Ewon Ebin kini dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri yang dahulu disandang oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Kitingan pula kini ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Pelantikan baru ini diumumkan oleh Musa kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri di sini hari ini.

Musa turut mengumumkan pelantikan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Pang Yuk Ming sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur menggantikan Datuk Michael Asang yang kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian.

Datuk Jainab Ahmad Ayid pula, yang sebelum ini memegang jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, menggantikan Donald Peter Mojuntin yang kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Kewangan.

Sementara itu, menteri dan pembantu menteri yang lain mengekalkan portfolio masing-masing.

Dalam pada itu Datuk Raymond Tan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas kepercayaan dan keyakinannya terhadapnya bagi menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian negeri.

Katanya beliau menghormati keputusan Musa untuk menggugurkannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dengan menyatakan ianya menjadi hak Ketua Menteri untuk melantik anggota Kabinet negeri.

Menyifatkan pelantikannya sebagai tugas mencabar, Tan berjanji akan melaksanakan peranan yang diberikan dengan gigih.

“Saya bangga untuk dilantik dan pada hakikatnya, saya sudah pun menyerahkan surat peletakkan jawatan dari kabinet September lepas tetapi diminta oleh Ketua Menteri untuk terus memegang jawatan,” katanya kepada pemberita selepas Musa mengumumkan rombakan kecil kabinet negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Gerakan Sabah menghormati keputusan Musa yang melantik Datuk Raymond Tan sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah.

Pengerusi Perhubungan Gerakan Sabah, Gordon Leong berkata beliau yakin pelantikan semula Tan ke dalam barisan kabinet negeri walaupun berbeza portfolio, akan memberi peluang dan landasan yang lebih untuk wakil Gerakan di Sabah berkhidmat kepada rakyat secara lebih berkesan dan cekap.

Tan sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Menteri dan memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur.

“Pelantikan ini membuktikan bahawa Datuk Musa mengiktiraf sumbangan Datuk Raymond selama ini kepada rakyat Sabah,” kata Gordon di sini hari ini.

Tan, bekas timbalan presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), baru-baru ini menyertai Gerakan, parti yang berpangkalan di Semenanjung, selepas tidak menyertai mana-mana parti hampir sembilan bulan.

Gordon menyeru semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) agar terus memberi kerjasama dan bantuan kepada Tan bagi membolehkannya menjalankan tugas secara berkesan.

“Marilah kita terus menghulurkan kerjasama dalam semangat 1Malaysia demi pembangunan Sabah yang diiktiraf sebagai negeri contoh kepada konsep 1Malaysia,” katanya. (BERNAMA)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: