‘Majlis Peguam patut hormati tindakan polis’

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
bhnews@bharian.com.my
Fail saman dianggap usaha sekat penguat kuasa jalan tugas

KUALA KANGSAR: Langkah Majlis Peguam untuk memfailkan saman berhubung penahanan lima peguam dari Biro Bantuan Guaman pada 7 Mei lalu adalah satu usaha menakut-nakutkan badan penguatkuasaan daripada menjalankan tugas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata tindakan itu menunjukkan pengamal undang-undang sendiri mahu meruntuhkan sistem perundangan negara.

Kelima-lima peguam itu termasuk pengerusi bironya, Ravinder Singh Dhalliwal ditahan di Balai Polis Brickfields selepas tidak dibenarkan berjumpa sejumlah 14 anak guam mereka.

 

Anak guam mereka ditahan kerana terbabit dalam perhimpunan membantah penahanan aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, yang dikatakan terbabit dalam kempen memakai baju hitam menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana mengeluarkan kenyataan berbau hasutan.

“Majlis Peguam sepatutnya menjadi sebuah badan contoh dan menghormati tindakan polis menguatkuasakan undang-undang walaupun ada di kalangan ahli majlis itu yang melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan majlis Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Parlimen Padang Rengas di Sekolah Kebangsaan Temenggong (SKT), Kati dekat sini, semalam.

“Kita ada sistem mahkamah. Biarlah mahkamah putuskan sama ada mereka (lima peguam) bersalah atau tidak,” katanya.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat agung luar biasa Majlis Peguam kelmarin yang antara lain bersetuju memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, pegawai penyiasat dan pihak kerajaan selain mendesak Musa dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammud-din Hussein meletak jawatan.

Semalam, Presiden Majlis Peguam, K Ragunath, berkata lima peguam terbabit iaitu Fadiah Nadwa Fikri, Syuhaini Safwan, Puspawati Rosman, Ravinder Singh dan Murnie Hidayah Anuar hanya terbabit dalam memberi khidmat guaman.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri, menegaskan penyelesaian krisis politik di negeri itu mesti dibuat menerusi sistem mahkamah kerana mahkamah mempunyai kuasa untuk mentafsir Undang-undang Tubuh Negeri Perak bagi menentukan kerajaan BN diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai kerajaan yang sah.

“Jika minggu depan mahkamah putus Dr Zambry Menteri Besar, Zambrylah Menteri Besar. Ini bukan soal menidakkan hak rakyat Perak. Ini soal interprestasi,” katanya.

“Hari itu Mahkamah Tinggi kata Nizar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) kekal Menteri Besar, kita terima dan kita buat rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan.

“Jika Mahkamah Rayuan nanti buat keputusan, kita tak puas hati, kita merayu ke Mahkamah Persekutuan. Ini proses undang-undang, kita ikutlah.

“Berapa lama? Selama mana mereka hendak menggunakan sistem mahkamah untuk menentukan kerajaan,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, pilihan raya semula juga tidak perlu kerana Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sudah menolak permohonan pembubaran DUN oleh bekas Menteri Besar, Mohammad Nizar pada awal Februari lalu.

Katanya, pembubaran DUN juga tidak boleh dilakukan atas permintaan parti minoriti dalam DUN, iaitu gabungan DAP, PKR dan Pas.

“Kalau buat pilihan raya, saya fikir akan jadi pilihan raya yang cukup perkauman. Kita kena elak rakyat daripada dipecah-belahkan kerana kempen pilihan raya yang sudah tentu menjadi perkauman,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: