Peruntukan RM27j wujud Kota Buku

Oleh Johari Ibrahim dan Nazmi Yaakub
bhnews@bharian.com.my

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri) melancarkan Koleksi Buku Terjemahan Siri Sastera Malaysia di Putrajaya, semalam. Hadir sama Pengerusi Terjemahan Negara Malaysia Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh (dua dari kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang (dua dari kiri), Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Md Dom (kiri) serta Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia Mohd Khair Ngadiron. – Foto Izhari Ariffin

 

Premis berkelompok laksana urusan lebih tersusun: TPM

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM27 juta mewujudkan Kota Buku di ibu negara sebagai premis berkelompok bagi penulis, sasterawan dan penerbit menjalankan urusan mengenai dunia buku secara lebih tersusun dan bersungguh-sungguh.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata usaha itu bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab industri buku selain penerbitan, pemasaran, pengedaran dan penulisan buku sekurang-kurangnya pada peringkat Asia.

“Kita berharap dengan kewujudan Kota Buku, penerbit dan penulis berpeluang menyebarluaskan hasil karya dan kerajaan akan membantu mempromosikannya.

 

“Kita berharap peminat sastera akan gembira dengan hasil ditampilkan penerbit,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan dengan sasterawan Malaysia dan pelancaran koleksi buku terjemahan siri sastera Malaysia terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di sini, semalam.

Sebanyak 28 judul buku sastera karya penulis Malaysia dilancarkan membabitkan terjemahan ke bahasa Inggeris, Perancis dan Sepanyol dalam usaha memasarkannya ke seluruh dunia.

Turut hadir Pengerusi ITNM, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh; Sasterawan negara, Datuk A Samad Said; Prof Dr Mohamad Salleh dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md Dom.

Muhyiddin berkata, kerja menaikkan taraf bangunan bagi dijadikan Kota Buku itu akan dimulakan akhir tahun ini yang sebahagian daripada premis itu akan dijadikan Muzium Buku.

“Ia projek yang memberikan kita galakan dan insentif untuk majukan bidang penerbitan dan kesusasteraan di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, Kota Buku itu akan diuruskan Kementerian Pelajaran dengan meletakkan pegawainya, manakala ruang pameran dan jualan buku disediakan untuk disewakan kepada pihak yang berminat.

Terdahulu, ketika mengumumkan perkara itu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, Kota Buku itu juga bermatlamat membawa pulangan jangka panjang bagi menarik minat pengusaha buku Asia menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat dagangan buku utama di rantau ini.

“Pendek kata, Kota Buku ini apabila beroperasi kelak bakal menjadi mercu tanda baru Kuala Lumpur, sekali gus tarikan pelancong dengan imej sebagai Kota Raya Ilmu,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: