Archive for 21 Mei 2009

PENGERUSI BN SILAM ? PANDANGAN RAKYAT KAW. KUNAK,LAHAD DATU DAN TUNGKU

Mei 21, 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera

peta sabah

Saya ucap terima kasih kepada Datuk-Datuk,Datin-Datin,Encik,Cik,Tuan-Tuan Dan Puan-Puan yang dihormati dan dikagumi sekalian.Saya ingin meminta pandangan dan cadangan anda siapakah yang layak menjadi Pengerusi BN Silam ? Penentu siapakah calon Pengerusi BN Silam terletak pada Rakyat Silam.

Terima kasih yang telah memberi cadangan ke blog silamgemilang sehinggakan blog ini aktif dan pantas menyalurkan maklumat kepada rakyat khususnya di Parlimen Silam kawasan Kunak,Tungku,Lahad Datu dan Negeri Sabah, pengunjung rakyat Malaysia dan masyarakat Dunia di arena antarabngsa.Terima kasih,terima kasih,terima kasih……

 

Penganalisis SilamGemilang

“Pesta Tagal” Tarikan Pelancong Ke Kota Belud

Mei 21, 2009

 
Oleh Zamain Singkui

KOTA BELUD, 21 Mei (Bernama) — Satu hari dalam bulan Mei setiap tahun merupakan saat paling dinantikan Japanis Sabin, dari Kampung Tambatuon, untuk balik kampung dan melupakan seketika kesibukan tugas di Kota Kinabalu.

Penantian ini bagi Japanis, 36, amat mendalam bukan sahaja kerana bulan Mei tanda bermulanya kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan, tetapi juga disebabkan kemeriahan acara “Pesta Tagal” di Sungai Kadamaian, 30 kilometer dari sini, di kampungnya.

Baginya Pesta Tagal merupakan peluang untuknya bertemu saudara mara serta sahabat handai yang tinggal di luar kampungnya atau di luar daerah Kota Belud yang turut balik ke kampung menyertai kemeriahan pesta ini.

Sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk asal Kampung Tambatuon yang tinggal di luar Kota Belud seperti Lahad Datu, Kudat dan Sandakan meninggalkan sekejap komitmen kerja, sanggup balik kampung semata-mata untuk bersama penduduk dalam Pesta Tagal.

“Tagal” dalam bahasa Dusun merupakan larangan menangkap ikan di sungai-sungai tertentu biasanya bagi tempoh setahun atau dua tahun.

Ia merupakan tradisi masyarakat Dusun yang sudah diamalkan sekian lama. Bagaimanapun larangan itu akan ditarik untuk sehari dan tahun ini, ia dilakukan pada Sabtu minggu lepas.

KAEDAH PELIHARA SUNGAI

Pesta Tagal itu disertai kira-kira 800 orang penduduk Kampung Tambatuon di Sungai Kadamaian.

Sistem Tagal merupakan kaedah pemuliharaan sungai secara tradisi yang direka penduduk kampung sendiri supaya ia tidak tercemar serta melindungi hidupan di dalamnya daripada pupus.

Kini sungai ini menjadi penjana pendapatan baru kepada penduduk luar bandar melalui eko-pelancongan.

Larangan menangkap ikan yang dikuatkuasakan pemimpin kampung, biasanya oleh ketua kampung, mesti dipatuhi penduduk berkenaan atau orang luar yang datang ke kampung itu.

Mana-mana penduduk atau orang luar yang melanggar peraturan berkenaan bukan sahaja dicemuh penduduk kampung tetapi juga dikenakan “sogit”, satu bentuk denda atau hukuman yang ditentukan pemimpin kampung.

Biasanya denda yang dikenakan berupa membayar seekor kerbau atau seekor babi atau membayar dalam bentuk wang setaraf dengan kesalahan yang dilakukan.

BEBAS MENANGKAP IKAN

Semasa pesta ini, bagaimanapun penduduk kampung secara bergotong-royong, bebas menangkap ikan sepuas-puasnya dan semua ikan yang ditangkap, dikumpulkan sebelum dibahagi-bahagikan sesama mereka tetapi bukan untuk dijual.

Sebahagian ikan yang ditangkap itu dimasak penduduk kampung untuk dinikmati beramai-ramai bagaikan satu kenduri besar. Kenduri itu dalam bahasa Dusun Kota Belud dinamakan “moginakan”.

Ketua Kampung Tambatuon, Singkui Tinggi, berkata acara “moginakan” yang diadakan masyarakat Dusun sejak dahulu amat penting dikekalkan bagi mengeratkan ikatan kekeluargaan penduduk kampung.

Biasanya ikan yang ditangkap ialah jenis Kelah atau “Pait” dalam bahasa Dusun dan jenis lain seperti Sarawi, Betuan, Sinsilog (sejenis belut sungai).

Ada ikan Kelah yang ditangkap mencecah RM100 hingga RM300 seekor harganya bergantung kepada saiz dan beratnya yang biasanya antara 3 kg hingga 5 kg.

MENANGKAP IKAN CARA LAMA

Satu daripada keunikan pesta ini ialah penduduk hanya dibenarkan menangkap ikan menggunakan alat tradisi seperti rambat, pukat dan senapang ikan.

Penggunaan bahan lain seperti racun, tuba atau cara lain yang difikir boleh memudaratkan populasi ikan, ditegah sama sekali.

“Aramai kampung baino haro mokisada om moginakan” (meriah di kampung hari ini ada aktiviti menangkap ikan dan makan bersama penduduk kampung),” kata Japanis, yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya menyertai Pesta Tagal kali ini.

Kini selepas 10 tahun pesta berkenaan diadakan, Sungai Kadamaian turut menjadi tempat tarikan pelancong di samping menjadi wadah mengeratkan hubungan kalangan penduduk asal kampung ini.

“Pesta Tagal ini bukan sahaja boleh menjaga alam sekitar daripada dicemari dan sumber ikan daripada pupus tetapi juga dapat mendisiplinkan penduduk kampung .

“Ia mendidik penduduk kampung supaya taat kepada peraturan yang ditentukan oleh mereka sendiri seperti tidak boleh menangkap ikan di luar musim Pesta Tagal,” kata anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Herbert Timbun Lagadan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Belud, Najib Montok berkat, sistem Tagal di kampung ini ialah cara terbaik memelihara ikan air tawar seperti Kelah daripada pupus.

“Jarang sekali kita boleh menemui sungai seperti Sungai Kadamaian yang masih mempunyai sumber ikan air tawar seperti ikan Kelah yang begitu banyak,’ katanya.

Henry Majihal, 42, seorang guru dari Kudat dan berkahwin dengan wanita yang berasal dari Kampung Tombotuan, berkata beliau tidak akan melepaskan peluang balik ke kampung isterinya pada bulan Mei untuk menyertai Pesta Tagal ini.

“Pengalaman menarik ini hanya boleh saya dapati di kampung ini,” katanya.

— BERNAMA

Penanti: BN Buat Keputusan Bijak, Tumpu Kepada Pentadbiran Negara

Mei 21, 2009

 

 

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) — Barisan pemimpin Umno menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dan menyifatkannya sebagai satu langkah yang tepat.

Malah keputusan itu juga disambut baik oleh DAP dengan setiausaha agungnya Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata ia pernah dilakukan oleh BN semasa pentadbiran Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak pada pilihan raya kecil Menglembu di Perak pada tahun 1975.

Di PUTRAJAYA, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan BN itu ialah untuk memberi tumpuan kepada pentadbiran negara dan kebajikan rakyat terutama dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata pentadbiran kerajaan tidak akan dapat berjalan lancar sekiranya banyak masa ditumpukan dalam pilihanraya-pilihan raya kecil yang sengaja dicetuskan oleh pihak pembangkang.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil di Penanti yang akan diadakan pada 31 Mei ini.

“Kita nak mentadbir kerajaan. Pilihan raya (umum) dah berlalu, (sepatutnya) lima tahun sekali saja, takkan nak adakan tiap-tiap bulan atau tiap-tiap tahun. Kita perlu utamakan rakyat.

“Pembangkang bukan ada apa yang dia mampu nak berikan, bukan dia boleh bangunkan jalanraya pun, bukan boleh bagi biasiswa pun, dia tak boleh buat rumah pun, mereka hanya bergantung dengan isu. Bukan kita tak boleh bertanding, tapi persoalannya bagaimana kewajaran untuk bertanding atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 371 anggota kementerian di sini hari ini.

Ditanya sama ada tindakan itu akan menjejaskan imej BN, Mohd Shafie berkata imej BN akan lebih terjejas sekiranya perkhidmatan kepada rakyat tidak dapat dilaksanakan dengan baik, malah adalah lebih baik sekiranya tenaga dan wang yang bakal digunakan dalam pilihan raya kecil itu nanti disalurkan untuk pembangunan kawasan-kawasan yang lebih memerlukan.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyelesaikan krisis kepimpinan dalaman parti itu melalui pilihan raya kecil, menyusahkan orang ramai.

Ini kerana pilihan raya kecil kawasan Penanti tidak berasaskan kepada kehendak perlembagaan sebab peruntukan dalam perlembagaan dan Akta Pilihan Raya secara jelas dan nyata menyatakan bahawa sesuatu kerusi itu hanya boleh dikosongkan (antara lain) jika seseorang wakil rakyat diisytihar muflis, ditukar kewarganegaraan ataupun meninggal dunia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat pemegang-pemegang berkepentingan program Childline Malaysia di sini, hari ini.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata agenda utama kerajaan BN pada masa sekarang adalah mengutamakan khidmat kepada rakyat dan memulihkan ekonomi negara dan tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil yang membazirkan wang awam.

Di KOTA KINABALU, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu merupakan langkah yang lebih bermaruah dan ia sebagai protes BN terhadap usaha memperlekeh sistem demokrasi.

“Saya rasa lebih bermaruah untuk kita tidak bertanding. Saya percaya kalau ada pilihan raya kecil yang betul-betul diperlukan, kita akan bertanding, kita tidak pernah takut bertanding dalam pilihan raya tapi bukan dengan cara ini, ia bukan cara yang betul,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Pemuda Umno Negeri Sabah di sini.

Di REMBAU, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sepatutnya wakil rakyat mesti mempunyai sikap iaitu mereka yang telah dilantik menjadi wakil rakyat mesti bekerja dan wakili rakyat.

“Itulah janji manifesto mereka semasa pilihan raya umum lepas, tetapi mengapa pula sekarang, senang-senang nak berhenti. Ini merupakan suatu penyalahgunaan sistem demokrasi yang wujud di negara kita dan kita tidak mahu terperangkap cara ini,” katanya.

“Saya harap penyokong BN di Penanti, jangan ada rasa mereka terbiar atau dipinggirkan. Kita akan terus membela dan jentera kerajaan di negeri-negeri yang kita kalah, kita ada cara untuk terus membela rakyat,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata langkah BN untuk tidak bertanding di Dun Penanti membuktikan Najib tidak terjerat dengan muslihat pembangkang.

“Najib telah mengambil keputusan bijak untuk tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang menjadikan pilihanraya kecil bagi menyelesaikan krisis dalaman yang mereka hadapi,” katanya.

PKR meletakkan Timbalan Pengerusi Perhubungan negeri, Mansor Othman, 56, sebagai calon pada pilihan raya kecil itu.

Selain PKR, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah dan seorang ahli perniagaan, Mohd Saberi Othman telah menyatakan hasrat bertanding sebagai calon bebas.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Mohammad Fairus Khairuddin.

— BERNAMA

Kes Saman Anwar Terhadap Dr Mahathir Didengar 30 Julai

Mei 21, 2009

 

 

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) — Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 30 Julai untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar, dari segi perlembagaan, pemecatannya daripada jawatan Kabinet pada 1998 oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kes itu pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan hari ini yang dijadual didengar oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan dua hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff.

Seorang pegawai pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata kes itu dijadual semula sehingga esok di hadapan panel tiga hakim itu tetapi peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar tidak lapang esok.

Mahkamah Persekutuan pada 6 Jun membenarkan permohonan Anwar untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan oleh Dr Mahathir adalah sah pelaksanaannya dari segi undang-undang.

Pada 23 Dis 1998, Mahkamah Tinggi menolak saman Anwar terhadap Dr Mahathir dan kerajaan, untuk terus membatalkan permohonannya bagi satu perintah untuk mengisytiharkan keputusan Dr Mahathir memecatnya daripada jawatan Kabinet pada 2 Sept 1998 sebagai salah dari segi undang-undang, tidak sah dan batal.

Anwar juga gagal memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April 2007 menolak rayuannya dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said mewakili Dr Mahathir.

— BERNAMA

Anifah Hadiri Mesyuarat ASEM Di Hanoi Isnin Ini

Mei 21, 2009

 
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) — Menteri Luar Datuk Anifah Aman akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) kali kesembilan di Hanoi, Vietnam, mulai Isnin ini.

Mesyuarat dua hari itu akan didahului oleh mesyuarat persediaan pegawai kanan ASEM pada hujung minggu, menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Mesyuarat itu, bertemakan “Menjalin Perkongsian Lebih Rapat Asia-Eropah bagi Mendepani Krisis Kewangan dan Ekonomi serta Cabaran Global Lain,” bagi membincangkan politik antarabangsa dan cabaran global, kerjasama dalam perkara berkaitan ekonomi, sosial dan kebudayaan serta pembangunan di Asia selain di Eropah.

Para pemimpin akan bertukar pendapat dan membincangkan topik mengenai krisis kewangan dan ekonomi antarabangsa, perubahan iklim, jaminan makanan serta perkembangan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menteri-Menteri Luar ASEM dijangka mengesahkan pernyataan pengerusi, yang mengandungi pengisytiharan berhubung pelbagai isu dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Anifah, yang akan diiringi pegawai kanan ke mesyuarat itu, juga dijadual melakukan pencelahan dalam topik perbincangan antara budaya dan peradaban serta mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya di luar mesyuarat berkenaan.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa mesyuarat itu akan memberikan Malaysia peluang untuk mengulangi pendiriannya dalam isu utama antarabangsa selain meningkatkan peranannya dalam perkara berkaitan kerjasama Asia-Eropah.

— BERNAMA

Zambry, Nizar sama rata di sisi undang-undang

Mei 21, 2009

Oleh Khirul Bahri Basaruddin
rencanabh@bharian.com.my

DATUK Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahukan supaya permohonannya untuk mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali memberi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung statusnya sebagai Menteri Besar Perak didengar panel lima hakim.

Tindakan terbaru Mohammad Nizar itu menunjukkan beliau masih mempercayai sistem kehakiman di negara ini untuk mencari jalan penyelesaian kemelut negeri Perak yang sudah berlarutan lebih tiga bulan. Malah, beliau sendiri sejak awal lagi menggunakan mahkamah untuk mengadu nasib selepas kehilangan jawatan Menteri Besar pada 5 Februari lalu.

Mohammad Nizar memberi kepercayaan kepada barisan peguamnya yang diketuai Sulaiman Abdullah mengemukakan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapat beberapa perintah perisytiharan mahkamah berhubung jawatan Menteri Besar yang pernah disandangnya.
Atas keyakinan kepada sistem kehakiman negara itu, beliau ditakdirkan menang kes itu pada 11 Mei lalu apabila Hakim Datuk Abdul Aziz Rahim bersetuju dengan hujah dikemukakan barisan peguam Mohammad Nizar bahawa beliau Menteri Besar yang sah.

Dewan perbicaraan mahkamah yang dipenuhi penyokong Mohammad Nizar menjadi gempar kerana mereka tidak percaya apa yang mereka dengar itu satu kenyataan atau mimpi pada siang hari. Apabila digosok mata dan selepas itu membuka mata mereka seluas-luasnya, mereka melihat sendiri hakim membaca keputusan lisannya yang memberi kemenangan kepada pemimpin mereka.

Sebaik saja prosiding tamat, riuh dewan perbicaraan itu dan kedengaran penyokong Mohammad Nizar tidak berhenti-henti memuji hakim yang pada pandangan mereka seorang yang berani menegak keadilan, sekali gus memulihkan kepercayaan orang ramai ke atas sistem kehakiman negara yang mereka dakwa sudah lama terpalit dengan pelbagai skandal.

Begitu juga dengan pemimpin besar pembangkang seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidak ketinggalan memberi ulasan memuji tindakan hakim berkenaan. Bagi mereka, lorong yang selama ini gelap, akhirnya kini sudah diterangi cahaya, keyakinan baru itu muncul apabila pihak mereka menang kes mahkamah.

Satu lumrah yang diamalkan pembangkang apabila bercakap soal sistem kehakiman negara. Malah, Mohammad Nizar sendiri tidak ketinggalan mengeluarkan kenyataan…. ‘keputusan mahkamah menunjukkan wujud keadilan dalam sistem kehakiman negara dan saya menerimanya dengan penuh rasa syukur’.

Bagaimanapun, kata-kata pujian itu luntur selepas kira-kira 20 jam keputusan diumumkan apabila Ramly membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Abdul Aziz pada 12 Mei lalu.

Tidak seperti pemimpin Barisan Nasional (BN) yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menerima keputusan Mahkamah Tinggi dengan hati terbuka dan bersedia untuk merayu keputusan itu, pemimpin pembangkang menyambut keputusan Ramly dengan pelbagai tuduhan kesat.

Begitu juga Mohammad Nizar yang baru beberapa jam memuji sistem kehakiman negara, beliau dilaporkan melahirkan rasa terkejut dengan keputusan itu yang diputuskan hanya dalam masa singkat. Malah, pemimpin Pas seperti Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar berani membuat tuduhan ada ‘tangan ghaib di belakang’ hakim membuat keputusan yang memihak kepada Zambry.

Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang pula membuat tuduhan keputusan yang berubah hanya dalam jangka masa sehari menunjukkan mahkamah kini umpama gelanggang ‘sarkas’ yang menjadi pentas untuk Umno/BN terus menyalahgunakan kuasa mereka.

Malah, mereka menyerang keperibadian Ramly dengan mendakwa nama hakim itu pernah disebut dalam rakaman video Hakim VK Lingam yang mencetuskan kontroversi tidak lama dulu. Dakwaan itu dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin.

Mereka juga mendakwa kini rakyat mula sangsi dan bingung akan mudahnya mahkamah diperguna BN sewenangnya. Malah, keputusan mahkamah pada 11 Mei hanya diskripkan untuk sengaja memperlihatkan Mohammad Nizar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat ‘gila kuasa’ mahu masuk secepat mungkin ke pejabat Menteri Besar.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayob, pula berkata bukan hanya lima hakim sebaliknya hakim itu perlulah mereka yang mempunyai integriti dan juga telus dalam menjalankan tugas mereka.

“Jika tidak kita bimbang keputusan Khamis (hari ini) nanti akan berpihak kepada BN kerana hakim yang mendengar rayuan itu terdiri daripada mereka yang boleh dibeli,” tegas beliau.

Salahuddin turut menegaskan jika hakim yang dipilih tidak mempunyai integriti, kepentingan awam tidak akan terbela dalam kes berkenaan.

Pemimpin pembangkang mengeluarkan kenyataan sesedap rasa memperkecilkan sistem kehakiman apabila keputusan tidak memihak kepada mereka. Pada masa sama, pujian melangit akan diberikan kepada pihak sama jika mereka menang atau sesuatu kes menyebelahi mereka.

Yang menghairankan ramai, mereka masih menggunakan saluran mahkamah untuk mencari penyelesaian walaupun sejak awal lagi mereka sudah meragui hakim yang mendengar kes mereka. Apa yang dapat dilihat di sini, pembangkang menggunakan mahkamah untuk mendapat keuntungan politik dengan menggambarkan badan kehakiman berat sebelah serta berada di bawah telunjuk kerajaan apabila mereka kalah.

Hari ini, penentuan sama ada Mahkamah Rayuan akan memberi kemenangan kepada Mohammad Nizar berhubung permohonannya untuk mengetepikan keputusan Ramly atau membenarkan rayuan Zambry bagi menolak penghakiman Abdul Aziz.

Sebarang keputusan hanya memberi kemenangan kepada satu pihak, ia termaktub dalam undang-undang. Sesiapa tidak berpuas hati boleh membuat rayuan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Mereka yang datang ke mahkamah termasuk Mohammad Nizar mengetahui apa yang mereka boleh dapat dan tidak boleh dapat apabila pertikaian dirujuk kepada mahkamah untuk penyelesaian.

Sehubungan itu, Mohammad Nizar atau Zambry perlu menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh mahkamah dengan hati terbuka, terutama kepada Mohammad Nizar yang bertindak membawa status beliau sebagai Menteri Besar ke mahkamah.

Apabila kes itu diputuskan hari ini, Mohammad Nizar dan pemimpin pembangkang serta penyokong mereka perlu merenung kepada Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Kedah siasat Exco buat tuntutan elaun melampau

Mei 21, 2009

Oleh Nahar Tajri

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan menyiasat seorang ahli Exconya yang didakwa membuat tuntutan elaun sampingan sehingga mencecah RM148,000 dalam tempoh 13 bulan sehingga Mac lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata perkara itu akan disiasat mengikut peruntukkan undang-undang sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Saya sudah dimaklumkan mengenainya oleh seorang pegawai saya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

 

Beliau diminta mengulas pendedahan seorang penulis menggelar dirinya sebagai ‘penyiasat persendirian’ dalam laman blog kedahlanie.blogspot.com mengenai Exco itu, yang dikatakan membuat lawatan selama 219 hari termasuk 36 perjalanan ke Langkawi dengan tempoh menginap antara tiga hingga empat hari pada setiap kali lawatan.

Menurut penulis itu, Exco berkenaan menerima gaji dan elaun tetap berjumlah RM16,500 sebulan tetapi pendapatan puratanya mencecah RM28,000 sebulan dengan bulan tertinggi RM34,601 dan terendah sekitar RM17,000 selepas dicampur elaun sampingan.

Tuntutan elaun penginapan Exco itu sejak Mac tahun lalu saja mencecah lebih RM25,000.

Azizan berkata, jika siasatan mendapati dakwaan itu benar, kerajaan negeri akan mengambil tindakan.