Mahkamah Rayuan Isytihar Zambry Menteri Besar Yang Sah

 

 

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) — Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini diisytihar sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan sebulat suara.

Mahkamah mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah adalah salah, dan mengetepikan keputusan itu.

“Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah gagal menilai dengan betul dan secukupnya kesemua keterangan yang ada padanya sehingga membuat keputusan yang salah,” kata Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

Mohammad Nizar dan Zambry tidak hadir di mahkamah hari ini.

Hakim Md Raus, dalam penghakiman lisannya, juga mendapati Sultan Perak Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang betul bagi melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru, berdasarkan Perkara 16 (2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri.

“Kami berpendapat bahawa keputusan sama ada untuk membenarkan atau tidak permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri adalah dalam bidang kuasa Sultan.

“Berdasarkan keterangan dalam kes ini, permohonan membubarkan dewan dibuat mengikut Perkara 16 (6) Perlembagaan Perak dan bukannya Perkara 36 Perlembagaan itu,” kata Hakim Md Raus bagi membenarkan rayuan Zambry terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah juga mendapati Sultan Perak bertindak betul dengan bertanya sendiri untuk memuaskan hati baginda bahawa responden (Mohammad Nizar) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.

Hakim Md Raus berkata hakikat bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti boleh diperoleh atau ditentukan dengan cara lain.

“Tidak ada syarat mandatori dalam Perlembagaan Perak bahawa usul undi tidak percaya perlu dibentangkan terhadap responden sebelum keputusan dibuat bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Zambry mengemukakan rayuan pada 12 Mei terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim yang mendapati bahawa Mohammad Nizar tidak mengosongkan kerusi Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan.

Pada hari yang sama, permohonan beliau agar keputusan itu ditangguhkan dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali, dan ini membolehkan Zambry meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar.

Pada 13 Mei, Mohammad Nizar mengemukakan permohonan bagi mengetepikan perintah penangguhan itu dan memohon agar panel lima Hakim Mahkamah Rayuan mendengar kes itu tetapi ianya ditolak semalam.

Selepas keputusan Mahkamah Rayuan diumumkan petang ini, peguam utama Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah, memohon mendapatkan penghakiman bertulis daripada mahkamah untuk tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Kami sedar bahawa mahkamah ini telah meneliti keterangan kes ini dan membuat keputusan dalam masa selang sehari. Saya telah menerima arahan daripada anak guam saya supaya membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan. Kami hargai jika mahkamah dapat memberikan penghakiman bertulis secepat mungkin,” katanya.

Hakim Md Raus menjawab : “Saya telah cuba menulisnya malam tadi. Saya akan usahakan dalam masa seminggu ini.”

Beliau juga menolak permohonan Mohammad Nizar untuk mengetepikan perintah penangguhan oleh Hakim Ramly Ali.

Lebih 50 wakil media berkumpul di hadapan mahkamah seawal 1.30 tengah hari tetapi diberitahu mereka perlu beratur untuk mendapatkan pas masuk yang dihadkan kepada 15 pemberita.

Wartawan yang lain serta juga sekumpulan penyokong Zambry dan Mohammad Nizar yang tidak dapat masuk telah membantah. Mereka tidak ada pilihan kecuali terpaksa berada di luar mahkamah.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: