Jangan Keluarkan Kenyataan Keterlaluan Hingga Jejaskan Perpaduan, Kata Najib

Jangan Keluarkan Kenyataan Keterlaluan Hingga Jejaskan Perpaduan, Kata Najib

 

PETALING JAYA, 24 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan pihak tertentu supaya tidak membuat kenyataan yang keterlaluan sehingga boleh menjejaskan perpaduan kaum dan keselamatan negara.

Perdana Menteri mengingatkan sebarang kenyataan yang dikeluarkan mesti mempunyai hadnya terutama dari segi apa yang disuarakan.

“Jangan buat sesuatu yang boleh menjejaskan perpaduan kaum dan keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan di sini.

Turut hadir pada majlis itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Ingatan Perdana Menteri itu jelas merujuk kepada pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan oleh pemimpin Hindraf sejak akhir-akhir ini.

“Mereka telah dibebaskan dan kini mereka membuat kenyataan yang keterlaluan dan saya serahkan kepada rakyat untuk menilai, ada had dari segi apa yang disuarakan…jangan buat sesuatu yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan menjejaskan perpaduan negara”, katanya.

Najib berkata kerajaan ikhlas dalam membela nasib rakyat dan tidak mahu dituduh sebagai kerajaan yang zalim.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang bertimbang rasa dan sentiasa bertanggungjawab untuk memastikan kepentingan semua kaum terpelihara.

Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri meminta rakyat supaya menghayati perpaduan nasional yang merupakan tonggak bagi kejayaan negara.

Perdana Menteri berkata semangat perpaduan perlu dipupuk kerana ia sangat penting untuk dihayati oleh setiap rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa, agama dan budaya

“Bagi mencapai perpaduan nasional, rakyat perlu bersama kerajaan menjayakan Gagasan 1Malaysia berdasarkan tiga tonggak utama yang menjadi asas perpaduan,” katanya.

Beliau berkata perpaduan nasional mampu dicapai berdasarkan tiga tonggak perpaduan iaitu konsep penerimaan, prinsip kenegaraan dan konsep keadilan sosial.

“Kita perlu berganjak daripada konsep toleransi ke konsep penerimaan, apabila kita menerima masyarakat majmuk di negara ini sebagai satu kekuatan kita dan menerima kaum lain sebagai rakan setia kita”, katanya.

Melalui prinsip kenegaraan, Najib mahu rakyat mengetahui sejarah negara dan menghayati peranan pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu dalam membina Malaysia dan menjiwai asas-asas pembinaan negara.

“Apabila kita tahu sejarah negara, maka kita juga tahu di mana kita berada dan apakah halatuju negara pada masa depan,” katanya.

Mengenai keadilan sosial, Najib berkata setiap rakyat yang merupakan warga negara Malaysia tidak kira di bandar atau di luar bandar yang memerlukan bantuan wajib diberikan bantuan.

Justeru, beliau menyeru supaya semua rakyat Malaysia mendukung gagasan 1Malaysia untuk membawa negara ke era kemajuan.

Pada majlis berkenaan beliau turut menyampaikan Anugerah Kalung Perpaduan 2009 kepada beberapa pihak.

Kelab Sukan Sports Unite menerima anugerah bagi kategori Sukan, sementara penyanyi utama kumpulan Alleycats David Arumugam atau nama sebenarnya Datuk Thiagarajan Arumugam menerima anugerah bagi kategori Seni.

Kategori media pula dimenangi oleh akhbar Sinar Harian dan Kategori Korporat dimenangi oleh Zubedy Sdn Bhd.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: