Malaysia Saran Negara Islam Terus Pentingkan Pendidikan

Malaysia Saran Negara Islam Terus Pentingkan Pendidikan

 

Daripada Abdul Muin Abdul Majid

DAMSYIK, 25 Mei (Bernama) — Malaysia mempercayai bahawa kunci kepada kemakmuran, persamaan dan kesatuan sesebuah negara ialah pertumbuhan ekonomi yang mampan, yang berdasarkan perpaduan negara dan pembangunan kapasiti nasional, khususnya pembangunan modal insan.

Bercakap di mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negara Islam di sini, Menteri Luar Datuk Anifah Aman berkata pendidikan dan kemahiran merupakan ramuan yang tidak boleh diketepikan bagi mencapai produktiviti lebih meluas rakyat individu, yang memberikan mereka harapan masa depan yang lebih cerah.

Beliau menyeru Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk mendefinasikan semula dirinya di dalam konteks keperluan masa kini dan menentukan inisiatif dan cara terbaik mempertahankan kepentingan bersama.

Dalam satu kenyataan pada sesi ke-36 mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar (CFM) OIC yang dirasmikan di ibu negara Syria Sabtu, Anifah berkata: “Kita perlu jelas mengenai keperluan tersebut dan kita perlu berupaya menjana kemahuan politik yang perlu untuk bertindak secara bersama.

“Kita perlu mewujudkan konsep jelas peranan kita dan menggubal pelan dan strategi yang bersesuaian. Kita perlu juga mewujudkan jaringan yang diperlukan, hubungan dan perkongsian dengan anggota komuniti antarabangsa yang lain.”

Anifah berkata mesyuarat CFM mempunyai senarai agenda yang panjang yang termasuk ulangan resolusi yang diterima pakai dari tahun ke tahun.

“Saya merasakan kini tiba masanya kita menilai semula kedudukan kita dan hala tuju yang dihalakan dan kemudiannya melakukan penyelarasan,” katanya.

Menurutnya, Setiausaha Agung OIC dan jawatankuasa lain di dalam perkumpulan yang dianggotai 57 buah negara itu perlu diberi tanggung jawab mendefiniasaikan semula keutamaan OIC dan memastikan sumber terhadnya digunakan dengan efisien ke arah melaksanakan perkara yang boleh dilaksanakan.

“Kita akan dapat mencapai keputusan yang ketara hanya melalui usaha yang fokus itu. Kita boleh juga memastikan negara anggota memberi fokus terhadap kekuatan dan keupayaan masing-masing yang boleh memanfaatkan ummah,” katanya.

Sambil menjelaskan mengenai keperluan komuniti Islam untuk meningkatkan kehebatan ekonomi bagi mencapai kemakmuran dan kemajuan, Anifah berkata Malaysia telah memberi fokus ke atas perkara itu semasa ia mempengerusikan Persidangan Sidang Kemuncak Islam ke-10.

“Kami telah berusaha untuk meorientasikan semula fokus OIC daripada isu politik tradisi yang turut memberi fokus pada isu ekonomi melalui projek dan pendekatan praktikal bagi meningkatkan pembangunan ekonomi anggota OIC dengan mengukuhkan hubungan ekonomi dan melebarkan skop kerjasama di kalangan mereka,” katanya.

Menurut Anifah, satu contoh kemajuan dunia Islam ialah menginstitusikan Forum Ekonomi Islam Dunia yang telah berkembang dari Forum Perniagaan OIC.

Beliau turut menonjolkan kemajuan yang dicapai industri perbankan Islam Malaysia di tengah-tengah kemelesetan kewangan global semasa, dengan mencatatkan pertumbuhan dua angka sejak lapan tahun lepas, dengan pertumbuhan tahunan purata 20 peratus di segi aset.

Kini terdapat 36 institusi kewangan yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam di Malaysia, yang termasuk 17 bank Islam yang beroperasi sepenuhnya.

Sebagai tambahan, Malaysia kekal menjadi penerbit sukuk (bon) global terbesar yang mencatatkan 61.4 peratus daripada sukuk global keseluruhan sehingga akhir 2008.

Industri pengurusan dana Islamnya kini adalah yang terbesar di dunia di segi bilangan dana dan yang kedua di segi pengurusan aset.

“Malaysia juga merupakan negara pertama di dunia yang mempunyai sistem kewangan Islam sepenuhnya yang beroperasi selari dengan sistem perbankan konvensional,” kata Anifah.

Mengenai pendidikan, beliau berkata Malaysia akan menganjurkan Persidangan Menteri Islam Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik ke-lima di Kuala Lumpur pada 2010.

“Saya ingin menjemput kesemua negara anggota OIC untuk mengambil bahagian di dalam persidangan itu yang ditujukan untuk mempromosikan sistem pendidikan tinggi kami dalam usaha kami meningkatkan keupayaan kami di dalam sains dan teknologi,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: