Archive for 27 Mei 2009

Perdana Menteri Mahu Warga Felda Buat Transformasi Besar

Mei 27, 2009

pm2

 

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak lebih sejuta warga Felda di negara ini melakukan transformasi besar bagi melonjakkan kekayaan pendapatan mereka.

Dalam konteks melakukan transformasi besar ini, Perdana Menteri berkata antara aspek yang perlu diberi penekanan oleh Felda ialah penyelidikan dan pembangunan (R&D), amalan baik daripada segi ekonomi dan pemasaran serta proses perniagaan.

“Semuanya mesti menjurus usaha melonjakkan kekayaan pendapatan jauh lebih tinggi kepada warga peneroka Felda,” katanya semasa berucap pada perhimpunan bersama warga Felda di Dewan Perdana Felda di sini.

Beliau berkata transformasi besar, yang bermatlamat utama menjana pendapatan lebih tinggi seluruh masyarakat Felda itu, perlu dicapai dalam tempoh 50 tahun akan datang.

“Saya ajak bukan untuk membuat perubahan atau menambahbaik tapi transformasi besar untuk menentukan masa depan jauh lebih baik. Oleh itu saya harap kita beri tumpuan pada proses transformasi ini,” kata Perdana Menteri.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan slogan “Felda: Felda Hanya 1 di Dunia” yang mencerminkan simbol kejayaan Felda sebagai agensi pembangunan tanah terunggul di dunia dan Felda Rally Team.

Felda Rally Team pula ditubuhkan dengan matlamat ke arah pembentukan bakat Malaysia glokal dan bertaraf antarabangsa dalam bidang pengurusan projek sukan serta mencungkil bakat profesional dalam bidang sukan rali.

Perdana Menteri berkata Felda berterusan dapat mempertahankan kedudukannya sebagai organisasi pembangunan tanah terunggul di dunia dan transformasi yang dimaksudkan itu boleh meninggalkan kesan amat besar kepada masyarakat Felda.

Najib berharap proses transformasi ini dapat mencetuskan satu budaya baru pada masyarakat Felda — sentiasa peka pada disiplin, amalan cara hidup baik seperti kebersihan, sifar masalah sosial, hidup aman damai, sentiasa taat pada agama, yang keseluruhannya menjurus kepada menjadi satu masyarakat contoh.

Katanya Felda, dalam 53 tahun pertama penubuhannya, berjaya membebaskan 112,000 keluarga Felda daripada belenggu kemiskinan selain mewujudkan prasarana asas untuk masyarakat Felda menikmati kehidupan lebih baik.

Katanya gagasan “1Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” yang diperkenalkannya boleh diaplikasikan dalam usaha membawa transformasi besar kepada Felda.

“Ini adalah dalam konteks satu impian dan satu warga Felda yang bernaung di bawah bumbung Felda, Rakyat Didahulukan dan di sini peneroka Felda didahulukan demi kesejahteraan mereka, dan pencapaian diutamakan di mana warga Felda mesti menilai keberkesanan dalam apa yang dilakukan,” katanya.

Najib berkata kerajaan membelanjakan sejumlah RM187.6 juta untuk faedah 28,787 anak-anak warga Felda dalam pelbagai peringkat pendidikan dari 2005 hingga tahun ini.

Bercakap dalam sidang akhbar kemudian, Najib berkata Felda turut memberi penekanan kepada program perumahan untuk generasi kedua Felda dan kini terdapat enam buah projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Katanya dalam pakej rangsangan ekonomi kedua, kerajaan meluluskan RM100 juta untuk Felda menambahkan lagi bilangan projek perumahan kerana permintaan kemudahan perumahan yang semakin meningkat di kalangan generasi kedua Felda.

Katanya selain menjana pendapatan daripada tanaman kelapa sawit, peneroka dan warga Felda juga terlibat dalam pelbagai program ke arah meningkatkan sumber pendapatan.

Antaranya, program tanaman hijau diperkenalkan tahun ini serta program keusahawanan yang kini melibatkan 35,000 warga Felda.

Peneroka juga digalakkan melabur dalam saham koperasi Felda dan dividen yang diisytiharkan dapat menambah pendapatan mereka.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan pelantikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan untuk membantu beliau di Felda dan berkata beliau akan terus berusaha memberikan kepimpinan terbaik kepada Felda walaupun kini masanya terbatas berikutan pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

— BERNAMA

JABATAN KEMAS : MESRA RAKYAT BERSAMA MENTERI KKLW MALAYSIA

Mei 27, 2009

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

P5090026P5090080DSC01367P5090009

Program Mesra Rakyat Jabatan KEMAS akan diadakan bertempat di kampung Terusan Baru kawasan Sulabayan Semporna. Program ini akan menghimpunkan rakyat khususnya di kampung Terusan Baru dan kampung-kampung yang berhampiran bagi memupuk silaturrahim dan perpaduan antara rakyat dan pemimpin. YB. Dato’ Seri Mohd Shafie Bin Hj. Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Malaysia akan merasmikan program Mesra Rakyat ini.

Perkara utama yang akan di perkatakan ialah membasmi kemiskinan yang melibatkan miskin tegar dan miskin dengan menyalurkan peruntukan program rumah PPRT kepada yang tersenarai namanya di pejabat daerah di setiap negeri di seluruh Malaysia. Kemiskinan juga tidak akan terhapus jika golongan ini tidak mempunyai pendapatan tetap. Dalam hali itu, dijangka YB Dato’ Seri juga akan menyentuh peranan MARA dan institusi atau jabatan yang berkaitan dapat membantu bagi memberi modal perniagaan sebagai salah satu sumber pendapatan kepada golongan sasar ini.

Jabatan KEMAS yang dipertanggungjawabkan membangunkan modal insan memainkan peranan penting dalam melahirkan insan berilmu,bertakwa,berketrampilan dan menjadi suara dan dan tulang belakang kepada kerajaan Malaysia. Kemas wujud di merata-rata memberi khidmat kepada masyarakat khususnya dalam bidang pendidikan pra sekolah,cawangan pendidikan masyarakat,bina insan,gerakan daya wawasan,pendidikan literasi fungsian,pendidikan literasi komputer dan lain-lain lagi. Kemas juga telah dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti usahawan berjaya untuk diberi geran berkapita Bantuan Ekonomi kampung berjumlah RM20,000.00 tanpa dibayar semula.Bantuan ini sebagai satu hadiah di atas kejayaan seorang usahawana untuk terus dibantu agar mampu berdaya maju dan berdaya saing setanding dengan usahawan-usahawan di Malaysia.

Program yang diadakan ini akan menampilkan pertandingan khusus dikalangan kanak-kanak Tabika KEMAS. Program yang dipertandingkan seperti Futsal,Bola Keranjang dan Mewarna. Acara lain seperti tarik tali, persembahan silat kanak-kanak Johan Negeri Sabah. Program ini diadakan pada sabtu ini 30hb /Mei /2009 bermula jam 7.00 pagi hingga jam 3.00 petang. Harapan agar rakyat yang tinggal dikawasan berhampiran dapat hadir bagi memeriahkan program ini.

Penganalisis SilamGemilang

http://salehkalbi188.wordpress.com

http://rakyatp188silam.wordpress.com

http://alumniagaseh.wordpress.com

htt://suaraparlimensilam.wordpress.com

e-mail : karismasilam@gmail.com