Archive for 5 Jun 2009

PESTA KAAMATAN PERINGKAT NASIONAL : SABAH GEMILANG MEMACU PERPADUAN 1MALAYSIA

Jun 5, 2009

assalamualaikum dan salam sejahtera

Pesta Kaamatan Peringkat Nasional yang diadakan di Padang Merdeka kota Kinabalu, akan menjadi 1kekuatan, 1keunikan, 1ikatan, 1rangkaian, 1kegemilangan, 1hati, 1jiwa, 1ikatan persaudaraan bagi memperkuatkan ukhwah dikalangan rakyat di seluruh negeri di 1Malaysia. Sopan Santun,Budi Bahasa dan sifat hormat menghormati antara satu dengan lain menjadi nadi kekuatan perpaduan dan hubungan baik yang diterjemahkan oleh individu di negeri Sabah.Saya inginmengucapkan Selamat Datang kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri Malaysia bagi merasmikan program ini.Syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Aman Ketua Menteri Sabah yang gemilang menganjurkan program ini sehingga menjadi titik pertama di 1Malaysia bagi mengeratkan Perpaduan,Setiakawan,Sayangi Malaysia,Hormat Menghormati dan saya yakin melalui program ini akan terukir senyuman 1Bangsa 1Malalaysia bagi meletakkan Malaysia di mata dunia yang benar-benar maju seiring dengan kekuatan persefahaman dan persaudaran dalam masyarakat majmuk dan berbilang sukukaum boleh hidup selamat, aman dan makmur.

PESTA-KAAMATAN-NASIONAL

Saya yakin kehadiran orang ramai samada penduduk Sabah, Sarawak, Semenanjung malahan pelancong luar negara akan turut meraihkan pesta yang penuh bersejarah dalam kalendar 1Malaysia. Keikhlasan rakyat mewujudkan silaturrahim dan perpaduan dikalangan pelbagai ethnik dan sukukaum kini terbukti apabila kerajaan Malaysia mengiktiraf program ini telah gemilang menyatupadukan rakyat Sabah untuk terus hidup selamat,aman dan makmur. Syabas dan tahniah kepada saudara,rakan dan rakyat Sabah kerana nilai dan budaya yang unik masih lagi utuh dan kukuh akan menjadi tunjang kekuatan negara melonjak tinggi di persada dunia dalam meletakkan ekonomi negara setanding dengan negara-negara lain di dunia.

Marilah kita beramai-ramai memeriahkan dan meraihkan program ini sebagai tanda ikatan persaudaraan dan kasih sayang rakyat dalam menyahut slogan 1Malaysia : Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Diutamakan demi keharmonian,kesejahteraan dan pembangunan 1Sabah 1Malaysia.

 

“SilamGemilang 1Sabah 1Malaysia”

 

Penganalisis SilamGemilang

Syor Shareda beri insentif RM20,000 beli rumah dikaji

Jun 5, 2009

Syor Shareda beri insentif RM20,000 beli rumah dikaji
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan meneliti cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (Shareda) untuk memberi insentif khas RM20,000 kepada rakyat berpendapatan rendah membeli rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah kos rendah di seluruh negeri.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Mohd Noor, berkata sekiranya diluluskan, bantuan kewangan itu akan disalur terus kepada pemaju projek merangkumi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) dan sektor swasta bagi mengelak ia disalahgunakan penerima.

“Kita yakin insentif itu akan menggalakkan lebih ramai rakyat tempatan memiliki kediaman selesa dan selamat diduduki, sekali gus menyelesaikan masalah penempatan setinggan,” katanya kepada media selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, merasmikan Persidangan Persatuan Pengeluar Haiwan Malaysia (MSAP) peringkat kebangsaan ke 30 di sini, kelmarin.

 

Hadir sama Presiden MSAP, Dr Zainal Aznam Mohd Jelan dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola persidangan, Dr Halimatun Yaakub.

Baru-baru ini, Presiden Shareda, Datuk Susan Wong, dilapor mencadangkan supaya kerajaan negeri memberi insentif khas RM20,000 kepada rakyat berpendapatan rendah yang membeli rumah.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan membina lebih banyak rumah kos rendah dan murah di seluruh negeri terutama Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan dengan sasaran semua rakyat tempatan memiliki rumah.

Sebagai contoh, katanya, sebanyak 1,000 unit rumah PPR di Tawau sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini yang memanfaatkan rakyat belum memiliki kediaman.

Beliau turut mengakui industri pembinaan di negeri ini lembap kesan kegawatan ekonomi global yang memberi pelbagai kesan negatif meliputi kenaikan harga bahan binaan dan kos pengangkutan.

Peruntukan RM110 Juta Naik Taraf Lapangan Terbang Sandakan

Jun 5, 2009

Berita Sabah

——————————————————————————–
June 03, 2009 18:16 PM  

Peruntukan RM110 Juta Naik Taraf Lapangan Terbang Sandakan
SANDAKAN, 3 Jun (Bernama) — Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM110 juta bagi kerja-kerja naik taraf Lapangan Terbang Sandakan di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC), kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata kerja-kerja naik taraf itu dijangka akan dimulakan dalam tempoh dua tahun atau mungkin lebih awal dari itu.

“Peruntukan untuk naik taraf lapangan terbang Sandakan sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dan kini dalam proses melantik perunding bagi penyediaan pelan reka bentuk kerja naik taraf,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Lapangan Terbang Sandakan di sini hari ini Abdul Rahim berkata, komponen utama kerja naik taraf itu membabitkan kerja-kerja memanjangkan landasan yang menelan kos RM70 juta.

Katanya panjang landasan ketika ini adalah 2,113 meter dan ia akan dipanjangkan kepada 2,591 meter bagi memenuhi keperluan pelepasan dan pendaratan pesawat Airbus 330.

Beliau berkata peruntukan RM20 juta lagi adalah bagi tujuan mengubahsuai dan membesarkan terminal terutama bagi menyediakan ruang menunggu yang lebih selesa kepada penumpang.

“RM10 juta lagi masing-masing digunakan untuk kerja naik taraf infrastruktur lain dan yuran kepada perunding,” katanya sambil menambah kerja naik taraf itu akan membolehkan lapangan terbang Sandakan bertaraf antarabangsa.

Menurut beliau sudah tiba masanya kerja naik taraf dilakukan kerana sejak lapangan terbang itu dibina pada 1985, ia tidak pernah menjalani kerja-kerja naik taraf.

Abdul Rahim berkata sepanjang tahun lepas, 620,611 penumpang menggunakan lapangan terbang Sandakan.

— BERNAMA

PM Sifatkan Lawatan Ke China Sebagai Amat Berjaya

Jun 5, 2009

PM Sifatkan Lawatan Ke China Sebagai Amat Berjaya

 

BEIJING, 5 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatan rasmi empat hari ke negara China kali ini amat berjaya.

Ini adalah kerana beberapa perkara substantif dapat dibincangkan dalam pertemuan dengan Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kepimpinan kerajaan China amat berhasrat untuk memperkukuhkan hubungan kita dan membawa hubungan Malaysia-China kepada peringkat atau tahap yang jauh lebih tinggi,” kata beliau.

Katanya, antara kejayaan signifikan adalah satu dokumen yang merupakan pelan tindakan strategik dan ia menjadi garis panduan kepada hubungan Malaysia-China.

Pelan itu meliputi atau menjangkau 13 bidang utama yang telahpun ditandatangani.

Dokumen itu akan dijadikan sebagai panduan kepada menteri-menteri dan pegawai-pegawai berkenaan untuk menterjemahkan dalam bentuk program susulan supaya hubungan dua hala dapat dibangunkan seperti mana yang diharapkan.

“Selaras dengan hasrat ini, sudah tentu hubungan ekonomi merupakan tiang seri kepada usaha kita untuk mengembangkan hubungan Malaysia dan China.

“Sehubungan dengan ini, maka potensi untuk kita mengembangkan perdagangan dua hala yang sudah melepasi garis AS$50 bilion iaitu perkiraan negara China mempunyai potensi yang amat besar untuk diperkembangkan lagi,” katanya.

Najib berkata beberapa perkara telah dibincangkan kepimpinan negara China dan ini termasuk hasrat negara itu untuk membeli banyak lagi minyak kelapa sawit dari Malaysia.

Malaysia telahpun mengenal pasti beberapa bidang potensi untuk penyertaan oleh syarikat besar dari China seperti pembangunan infrastruktur, tenaga, pekilangan tertentu dan sektor perkhidmatan dan kewangan.

“Ia akan lebih daripada sebuah perbandaran, ia akan merupakan pembangunan serantau yang besar. Banyak syarikat Malaysia yang lain akan dijemput untuk turut serta (dalam projek itu),” katanya.

Ketika ditanya sama ada hubungan erat yang wujud antara pemimpin Malaysia dan China akan turut membantu membawa lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia di China, Perdana Menteri berkata terdapat sentimen yang positif dan kukuh terhadap Malaysia daripada kerajaan China.

“Saya fikir kita perlu mengambil peluang daripada keadaan ini untuk menjayakannya dan menghasilkan lebih banyak peluang, sama ada dalam perniagaan, pendidikan, kesihatan, pelancongan atau apa sahaja. Terdapat banyak sektor yang kita boleh mendapat faedah daripadanya,” kata beliau.

Najib juga berkata dalam perbincangan dengan pihak China, mereka berpendapat bahawa pendekatan dalam kerjasama antara Petronas dengan China National Oil Corporation dalam mengeluarkan minyak mentah di Sudan boleh diterima pakai oleh pihak-pihak lain daripada kedua-dua negara dalam usaha bekerjasama di negara ketiga.

Najib juga berkata pihak Malaysia akan mengkaji kemungkinan memberi pengiktirafan kepada ijazah dari institusi pengajian tinggi terkemuka di negara China dan di samping itu akan menggalakkan banyak lagi pelajar bukan Cina untuk mempelajari bahasa Mandarin di Beijing Foreign Studies University.

Perdana Menteri juga berpendapat bahawa betapa pentingnya untuk menggalakkan hubungan antara rakyat kedua buah negara kerana ini akan membantu sektor pelancongan.

Satu persefahaman yang dicapai oleh Malaysia dan China adalah dalam isu tuntutan kawasan bertindih dan kedua-dua pihak bersetuju merunding semula perkara itu supaya ia tidak menjadi hambatan kepada perkembangan hubungan dua hala yang amat baik.

Perdana Menteri juga menjemput Hu dan Wen untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat.

Beliau berkata pihak China juga mempelawa Malaysia menyertai World Expo di Shanghai pada 2010.

— BERNAMA