PM Sifatkan Lawatan Ke China Sebagai Amat Berjaya

PM Sifatkan Lawatan Ke China Sebagai Amat Berjaya

 

BEIJING, 5 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatan rasmi empat hari ke negara China kali ini amat berjaya.

Ini adalah kerana beberapa perkara substantif dapat dibincangkan dalam pertemuan dengan Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kepimpinan kerajaan China amat berhasrat untuk memperkukuhkan hubungan kita dan membawa hubungan Malaysia-China kepada peringkat atau tahap yang jauh lebih tinggi,” kata beliau.

Katanya, antara kejayaan signifikan adalah satu dokumen yang merupakan pelan tindakan strategik dan ia menjadi garis panduan kepada hubungan Malaysia-China.

Pelan itu meliputi atau menjangkau 13 bidang utama yang telahpun ditandatangani.

Dokumen itu akan dijadikan sebagai panduan kepada menteri-menteri dan pegawai-pegawai berkenaan untuk menterjemahkan dalam bentuk program susulan supaya hubungan dua hala dapat dibangunkan seperti mana yang diharapkan.

“Selaras dengan hasrat ini, sudah tentu hubungan ekonomi merupakan tiang seri kepada usaha kita untuk mengembangkan hubungan Malaysia dan China.

“Sehubungan dengan ini, maka potensi untuk kita mengembangkan perdagangan dua hala yang sudah melepasi garis AS$50 bilion iaitu perkiraan negara China mempunyai potensi yang amat besar untuk diperkembangkan lagi,” katanya.

Najib berkata beberapa perkara telah dibincangkan kepimpinan negara China dan ini termasuk hasrat negara itu untuk membeli banyak lagi minyak kelapa sawit dari Malaysia.

Malaysia telahpun mengenal pasti beberapa bidang potensi untuk penyertaan oleh syarikat besar dari China seperti pembangunan infrastruktur, tenaga, pekilangan tertentu dan sektor perkhidmatan dan kewangan.

“Ia akan lebih daripada sebuah perbandaran, ia akan merupakan pembangunan serantau yang besar. Banyak syarikat Malaysia yang lain akan dijemput untuk turut serta (dalam projek itu),” katanya.

Ketika ditanya sama ada hubungan erat yang wujud antara pemimpin Malaysia dan China akan turut membantu membawa lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia di China, Perdana Menteri berkata terdapat sentimen yang positif dan kukuh terhadap Malaysia daripada kerajaan China.

“Saya fikir kita perlu mengambil peluang daripada keadaan ini untuk menjayakannya dan menghasilkan lebih banyak peluang, sama ada dalam perniagaan, pendidikan, kesihatan, pelancongan atau apa sahaja. Terdapat banyak sektor yang kita boleh mendapat faedah daripadanya,” kata beliau.

Najib juga berkata dalam perbincangan dengan pihak China, mereka berpendapat bahawa pendekatan dalam kerjasama antara Petronas dengan China National Oil Corporation dalam mengeluarkan minyak mentah di Sudan boleh diterima pakai oleh pihak-pihak lain daripada kedua-dua negara dalam usaha bekerjasama di negara ketiga.

Najib juga berkata pihak Malaysia akan mengkaji kemungkinan memberi pengiktirafan kepada ijazah dari institusi pengajian tinggi terkemuka di negara China dan di samping itu akan menggalakkan banyak lagi pelajar bukan Cina untuk mempelajari bahasa Mandarin di Beijing Foreign Studies University.

Perdana Menteri juga berpendapat bahawa betapa pentingnya untuk menggalakkan hubungan antara rakyat kedua buah negara kerana ini akan membantu sektor pelancongan.

Satu persefahaman yang dicapai oleh Malaysia dan China adalah dalam isu tuntutan kawasan bertindih dan kedua-dua pihak bersetuju merunding semula perkara itu supaya ia tidak menjadi hambatan kepada perkembangan hubungan dua hala yang amat baik.

Perdana Menteri juga menjemput Hu dan Wen untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat.

Beliau berkata pihak China juga mempelawa Malaysia menyertai World Expo di Shanghai pada 2010.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: