UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

 

Terlebih dahulu, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur Pesta Kaamatan UPKO Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Y.B. Datuk Dr. Ewon Ebin atas undangan kepada saya untuk hadir bersama-sama dalam perayaan ini dan seterusnya menyampaikan sepatah dua dalam majlis yang penuh warna-warni ini.

 

Saya amat berbesar hati kerana telah dapat bersama-sama masyarakat di Daerah Ranau ini dan rombongan-rombongan dari seluruh Sabah dalam sambutan perayaan Pesta Kaamatan UPKO ini, yang pada hemat saya memberi makna yang cukup besar terutama bagi rakyat berketurunan Kadazandusun dan Murut khasnya dan seluruh rakyat Sabah amnya. 

 

Sesungguhnya, sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan pada setiap tahun ini, tidak lagi diraikan hanya oleh suku kaum Kadazandusun dan Murut sahaja tetapi juga oleh semua lapisan masyarakat yang berbilang kaum dan keturunan di negeri ini.  Kerana itulah Pesta Kaamatan kini sudah diiktiraf sebagai perayaan nasional kerana sambutannya turut diraikan melangkaui batasan etnik dan agama.

 

Ini bermakna, selain berupaya memartabatkan warisan seni budaya, Pesta Kaamatan juga adalah medan untuk memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama yang lebih jitu dalam kalangan seluruh rakyat di negeri dan negara ini.  Inilah cerminan sebenar konsep ‘Satu Malaysia’ yang telah ditekankan oleh Y.A.B. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.  Saya percaya, UPKO di bawah kepimpinan oleh Yang Berhormat Tan Sri Bernard Dompok dan seluruh barisan pemimpin UPKO akan sentiasa memberi kerjasama yang sepenuhnya ke arah merealisasikan konsep keramat ini.

 

Seperti juga pesta-pesta kebudayaan suku kaum lain di Sabah, Pesta Kaamatan diraikan pada tiap-tiap tahun untuk memelihara dan mengekalkan kesinambungan adat istiadat dan kebudayaan yang telah diwarisi daripada nenek moyang kita lagi dan ini perlu terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda agar tidak pupus disebabkan oleh pengaruh budaya luar yang tidak sihat.   Rakyat di negari ini amat beruntung kerana kerajaan amat prihatin dan turut membantu memelihara adat istiadat dan budaya suku-suku kaum yang terdapat di negari ini.  Kerajaan juga memberi peruntukan perbelanjaan yang besar untuk menjayakan penganjuran pesta-pesta kebudayaan suku-suku kaum di negari ini.

 

Seperti yang kita sedia maklum bahawa krisis ekonomi global kini sedang melanda seluruh dunia dan negara kita Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan negatifnya.  Sesuai dengan keadaan semasa yang memerlukan komitmen kita untuk terus berdaya saing di peringkat global, sambutan Pesta Kaamatan ini haruslah juga menjadi wadah penting untuk kita memperkasakan bidang pertanian dan industri asas tani agar kita lebih bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global ini.  Ia juga seharusnya menjadi satu pendorong untuk rakyat negeri ini khususnya masyarakat Kadazandusun dan Murut untuk mempertingkatkan tahap ‘efficiency’ dan produktiviti dari tahun ke tahun, bersesuaian dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu, “BERSAMA MEMBENTUK MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK”.

 

Untuk mencapai matlamat ini, saya menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat agar terus mengamalkan pendekatan ‘turun padang’ untuk bertemu dengan rakyat jelata dan mengambil tahu tentang permasalahan yang dihadapi mereka.  Begitu juga dengan kakitangan-kakitangan kerajaan dalam jabatan yang berkaitan, agar sentiasa proaktif dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk menangani masalah rakyat terutamanya penduduk di luar bandar. Ini selaras dengan seruan Perdana Menteri supaya “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

 

Saya juga menyeru kepada semua warga di Daerah Ranau khasnya dan rakyat Sabah amnya agar sentiasa memberi sokongan padu dan tidak berbelah bagi kepada Kerajaan Barisan Nasional.  Sokongan padu dan tidak berbelah bagi ini amat penting kepada kerajaan untuk memastikan setiap pelaksanaan program pembangunan yang telah dirancang berjalan dengan licin dan teratur demi kebaikan dan masa depan seluruh rakyat negeri ini.  Marilah kita sama-sama bekerja dan berusaha untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran yang berkekalan agar kemajuan dan kemakmuran ini seterusnya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang.

 

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Tan Sri Bernard Dompok kerana telah sudi mengundang saya untuk menyempurnakan sambutan Pesta Kaamatan UPKO Peringkat Negeri ini.

 

Saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Berhormat Datuk Dr. Ewon Ebin dan seluruh Ahli Jawatankuasanya kerana telah berjaya menganjurkan Pesta Kaamatan UPKO Peringkat Negeri.  Mudah-mudahan sambutan ini akan berjaya merealisasikan hasrat menerusi tema yang dipilih iaitu, “Budaya Memperkasa Identiti Bangsa”.

 

Dengan kata-kata demikian, saya dengan sukacitanya merasmikan Pesta Kaamatan UPKO 2009 Peringkat Negeri Sabah.

 

Sekian, terima kasih.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: