Archive for 11 Jun 2009

TRADISI KEKUATAN KITA

Jun 11, 2009

KaamatanAlong1

1000 TAHUN AKU MEMANDANG,

MENCARI SINAR YANG JAUH KE HADAPAN,

BAGI MEWARNAI HIDUP ANAK-ANAK KU,

AGAR TIDAK HILANG DI MATA DUNIA.

 

1000 TAHUN AKU MENOLEH KE BELAKANG,

WAJAH DUNIA DAH BERUBAH,

WAJAH KU DA BERKEDUT, MATAKU KABUR, TENAGAKU LEMAH,

KU LIHAT ANAK-ANAK  YANG KU PANDANG

DA MEWARISI TRADISI NENEK MOYANGKU.

 

BENAR…BENAR…JANGAN BIAR BUDAYA HILANG…

INILAH AZIMAT TRADISI KEKUATAN KITA,

INILAH PEDANG DI MATA DUNIA,

INILAH BUMI KEBENARAN KITA.

 

1000 TAHUN KE HADAPAN AKU MENDONGAK KE LANGIT

MANUSIA PANTAS BERLARI SEKELIP MATA DA BERADA DI BULAN,

DUNIA SEMAKIN CANGGIH,MODEN,GLOBALISASI,

AKU MASIH PERTAHANKAN NILAI BUDAYA INI,

ANAK-ANAK KU….JANGAN TINGGALKAN ADAT RESAM MU..

INILAH AZIMAT KAU LAHIR DARI SUKUKAUM KADUMU

KADAZAN DUSUN MURUT ( KADUMU )

 

1000 TAHUN INI…

DUNIA MELIHATMU,

KAU HEBAT….ADAT RESAM TAKKAN HILANG DIDUNIA

ANAK GENERASI KEKAL PERTAHANKAN BUDAYA KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN

 

nUKILAN

penganalisis SilamGemilang

PESTA KAAMATAN KG. KADUMU : DAYA TARIKAN BARU INDUSTRI PELANCONGAN SILAM

Jun 11, 2009

Assalamualaikum dan Salam sejahtera

YB SALLEH P188 SILAM 1

Apakah kita pernah terfikir kampung KADUMU akan menjadi salah satu daya tarikan pelancongan di Parlimen SILAM menjelang tahun 2010. Jika benar YA sudah tiba masanya kita mengkaji dan merekod dalam kalendar PELANCONGAN SILAM agar penduduk dan pelancong dalam dan luar negara dapat merancang percutian mereka ke kawasan ini.

KaamatanAlong1KaamatanAlong2KaamatanAlong3

Penganalisis SilamGemilang

Bajet Negara Tahun Depan Tekankan Rangsangan Ekonomi, Sektor Perkhidmatan, Kata Najib

Jun 11, 2009

 

PUTRAJAYA, 11 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Menteri Kewangan ketika mempengerusikan majlis Konsultasi Bajet 2010 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

PUTRAJAYA, 11 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Menteri Kewangan ketika mempengerusikan majlis Konsultasi Bajet 2010 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika mempengerusikan majlis Konsultasi Bajet 2010 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, Khamis. Bertemakan “Bersama Memperkukuh Daya Tahan, Merangsang Pertumbuhan”, pelbagai sektor terdiri daripada wakil persatuan kilang, pertanian, pembinaan, pelajaran dan kewangan hadir pada majlis itu. Foto: Mahayudin MohamadPUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Bajet 2010 akan menekankan mengenai cara-cara untuk merangsangkan lagi ekonomi negara dengan merubahnya menjadi sebuah ekonomi berasaskan pendapatan tinggi dengan sektor perkhidmatan memainkan peranan penting di dalam model baharu ekonomi yang sedang dirancang.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut berjanji bahawa kesemua dasar kerajaan akan konsisten dengan “tidak mengubah dasar sewenang-wenangnya atau mempunyai kepincangan di dalam dasar kita.”

Dasar (kerajaan), katanya akan direka bentuk untuk merangsang pertumbuhan dan memupuk keyakinan yang lebih tinggi di kalangan para pelabur bagi memastikan aliran masuk lebih besar Pelaburan Langsung Asing (FDI).

Ini bakal dilakukan dengan mengambil kira persaingan sengit berikutan kemelesetan ekonomi global, katanya.

“FDI di seluruh dunia dijangka berkurangan 50-60 peratus daripada jumlah yang dilihat pada tahun lepas. Kita perlu meraih sebahagian daripada jumlah (baki FDI) itu,” kata Najib semasa merasmikan mesyuarat Perundingan Bajet 2010 di sini, Khamis.

“Kita melihat mengenai bagaimana kita boleh memastikan keyakinan lebih meluas di segi dasar kerajaan. Kita perlu menjadi mesra pasaran, kita perlu menjana aktiviti domestik yang lebih meluas.

“Pada masa yang sama, kita perlu mewujudkan satu masyarakat yang adil dan jujur.. matlamat ini telah dilupai atau diketepikan. Kita perlu menjadikan terasnya lebih mesra pasaran dan pada masa yang sama mempunyai satu mesyarakat yang adil dan jujur,” katanya.

Perdana Menteri turut mendedahkan bahawa beliau akan membuat satu “pengumuman besar” berkaitan liberalisasi yang lebih meluas pada persidangan “2009 Invest Malaysia” pada akhir tahun ini.

“Kami sedang menangani cabaran jangka pendek, adalah penting bagi kita untuk melakar satu hala tuju baharu bagi negara ini, satu model ekonomi baharu akan dibangunkan oleh kerajaan,” katanya.

Katanya sektor perubatan, terutamanya pelancongan perubatan, akan turut dimasukkan ke dalam perkara keutamaan “untuk menempatkan Malaysia sebagai satu penyedia perkhidmatan penjaga kesihatan berkelas dunia”.

Cadangan koridor pembangunan, terutamanya Kawasan Pembangunan Wilayah Iskandar, akan diteruskan apabila Malaysia melihat potensi yang mencukupi di dalam projek sedemikian.

Mengenai langkah mewujudkan satu masyarakat adil dan jujur, katanya ia akan menekankan mengenai langkah menangani keperluan setiap komuniti.

Mengenai bantuan kepada Bumiputera, katanya ia akan disasarkan kepada Bumiputera yang berhak.

“Langkah membantu Bumiputera dengan cara yang salah tidak akan memberikan hasil yang mampan. Kita mahu menjadikan mereka lebih berdaya tahan dan kompetitif. Pergantungan kepada kuota merupakan sesuatu yang tidak realistik. Kita perlu mengenal pasti syarikat Bumiputera yang baik berbanding dengan pergantungan kepada kuota,” katanya.

Beliau berkata liberalisasi yang lebih luas akan disertai dengan persaingan di kalangan syarikat-syarikat di dalam Malaysia dan luar negara.

“Jadi, kita perlu melihat kepada usaha memastikan syarikat-syarikat Bumiputera tidak tersingkir dalam proses itu dan ada cara dan kaedah untuk membantu mereka, bukan secara tradisional tetapi dengan menjadikan mereka lebih berdaya tahan,” jelas beliau.

Mengenai saiz bajet tahun depan, beliau berkata kerajaan kini meninjau unjuran perolehan dan perbelanjaan.

“Kita perlu memperkemaskannya. Saya tidak mahu menyatakan sebarang angka pada peringkat ini kerana saya mahu setepat mungkin,” katanya semasa ditanya jika saiz bajet itu pada RM200 bilion sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.

Kerajaan, kata beliau mahu membentangkan bajet yang diterima baik oleh pasaran, yang menunggu untuk melihat defisit.

“Defisit yang besar hanya boleh diterima jika ia sementara dan saya rasa ia dikatakan dalam tempoh 1-2 tahun,” kata Najib.

Beliau berkata angka defisit bajet akan diumumkan apabila Bajet 2010 dibentangkan.

— BERNAMA

‘Egonomik’ perpaduan politik

Jun 11, 2009

pas

Oleh REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
 
Abdul Hadi Awang (tengah) bersama Nasharuddin Mat Isa serta barisan kepimpinan Pas Pusat bersalaman dengan perwakilan parti itu selepas berakhirnya Muktamar Tahunan Pas ke-55 di Stadium Melawati, Ahad lalu. – BERNAMA

——————————————————————————–
 
Penulis baru sahaja habis membaca sebuah buku yang secara luarannya nampak kecil, tetapi sebenarnya sangat menguji minda. Buku yang bertajuk Egonomics: What Makes Ego our Greatest Assets or Most Expensive Liability (2007), tulisan David Marcum dan Steven Smith.

Biarkan sahaja penulis mengakui bahawa pembelian buku ini pada asalnya kerana tertarik dengan warnanya yang sangat terang dan menarik hati. Benar, jangan kita menilai buku dengan kulit luarannya, namun sebagai manusia biasa – penulis terpaksa menerima hakikat, bahawa ‘pandangan luar’ itu kadang kala amat mendatangkan keterujaan.

Apa yang ingin diperkatakan buku ini, secara ringkas dan dengan bahasa mudahnya adalah bagaimana sifat ego sebenarnya boleh mendatangkan kesan dan impak langsung kepada prestasi syarikat. Buku ini cuba menterjemah bagaimana ‘ego’ sebenarnya mempunyai implikasi dan kesan ekonomi kepada sesebuah syarikat! Sekali imbas, hipotesis ini nampak longgar dan tidak meyakinkan. Tetapi setelah memberikan cukup ruang untuk penjelasan, helai demi helai – bab demi bab; ia sesuatu yang sebenarnya boleh diterima akal.

Bagaimana kerana ‘ego’, mungkin si Pengurus A tidak mahu bercakap dengan Pengurus B – dan akhirnya memberikan kesan langsung kepada prestasi syarikat secara keseluruhannya. Bagaimana si Pengurus Besar A, tidak dapat menerima pelantikan rakannya yang lain ke jawatan lebih tinggi. Semua ketidakpuasan hati, riak dan bangga diri ini menyumbang kepada untung rugi syarikat. Kajian David Marcum dan Steven Smith ini juga diperakui oleh ramai peneraju syarikat di dunia.

Jika wahana egonomik ini mampu penulis tanggapi dengan betul – ia mampu menghadirkan kesan yang positif atau negatif, bukan sahaja kepada sebuah syarikat – malahan sebuah perjuangan. Benar, dalam perniagaan, profit and loss itu adalah terma dan nuansa biasa; namun usahawan mana yang mahu dagangannya rugi dan melingkup. Jika ego tidak dilunasi secara ‘hikmah’, maka kerugian akan menjadi jawapan yang pasti kepada sebuah usaha niaga.

Kepada David dan Steven, sikap keegoan yang melampau ini boleh dikesan dalam empat kaedah yang bunyinya cukup mudah. Penulis buku ini mencadangkan kewujudan ‘buku timbang kira ego’ dalam menentukan sama ada ia mendatangkan faedah atau musibah kepada sesebuah syarikat:

1. mempunyai sikap perbandingan yang melampau (bagaimana menjadi terlalu kompetitif; sebenarnya menjadikan sebuah syarikat itu kurang kompetitif);

2. bersikap defensif (mengenali perbezaan antara mempertahan idea; dan bersikap ‘defensif’)

3. menunjuk-nunjuk;

4. mengejar penerimaan (seeking acceptance);

Penulis cuba untuk mengisbatkan gejala ‘keegoan’ ini dalam skala yang lebih besar. Dalam ruang lingkup kemasyarakatan. Dalam ruang lingkup kita ingin membina sebuah negara bangsa. Malahan, dalam ruang niat dan hasrat kita membina sebuah umat yang kuat dan dihormati. Apakah dengan pengamalan konsep holier-than-thou, menidakkan kepentingan bekerjasama itu sebahagian daripada jelmaan ‘egonomik’ yang merosakkan akar ummatik yang kita sama-sama ingin bentuk dan bina.

Maka terhimbaulah kepada sepotong ayat yang bermaksud: Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui (Surah al-Anfaal: 61). Sayangnya, sesetengah pihak sudah menjadi sangat ‘egois’ dan tidak melihat kepentingan dan maslahah ummah dalam konteks yang sebenar.

Apakah sebarang penolakan kerjasama yang jelas positif dan menjurus kepada kepentingan umat wajar ditolak? Apakah kerjasama itu menjadi suatu terma yang sangat jijik dan merisaukan? Apakah kerjasama antara dua parti yang mendokong hasrat membina umat; mengangkat darjat bangsa mampu membawa petaka; atau mungkin membawa rahmat yang berpanjangan?

Muktamar Pas yang baru lalu telah pun berlangsung dengan baik dan harmonis. Mungkin adalah sedikit-sedikit ‘carik pertandingan’ di sini sana, namun hakikatnya parti itu wajar ‘meraikan’ penerimaan masyarakat yang semakin terbuka dengan perjuangannya. Pas juga mengalami transformasi besar. Daripada sebuah parti yang sangat ‘tertutup’ kepada sebuah parti yang lebih ‘mesra’; tetapi mungkin tidak kepada UMNO.

Apa pun sikap defensif yang mahu ditampilkan oleh kepimpinan Pas – mereka tidak boleh menafikan bahawa parti itu juga berada di persimpangan. Apakah Pas ini sudah menggadai nilai asas perjuangannya? Apakah Pas sudah menjadi sangat ‘moderat’ dan bermain dengan permainan real-politic? Apakah masyarakat boleh menerima penegasan bahawa ‘cita Negara Islam’ tidak pernah berada di dalam hala perjuangan Pas, seperti yang pernah ditegaskan mantan Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri Perak suatu ketika dahulu? Apakah pertembungan ulama dan profesional hanya mainan media – ataupun ‘arus sebenar’ dalam parti tersebut?

Dalam pada mereka menegaskan bahawa rakyat memerhati tingkah, fiil dan tabiat UMNO; Pas juga mesti sedar bahawa batang tubuhnya juga diperhati oleh masyarakat dan rakyat. Ya, mungkin Pas bernasib baik kerana arus pada pilihan raya lalu menjulang nama dan kehadiran Pas di arus perdana.

Kita menerima hakikat itu, namun kita juga berasa ‘kurang percaya’ dengan proses transformasi Pas yang bagaikan sudah terlalu ‘bertolak ansur’ dengan teras perjuangannya sendiri.

Penulis juga ingin menggunakan hipotesis sebuah buku bertajuk, Politik Abad ke-21: Perubahan ataupun Harapan Palsu yang ditulis oleh Zulkifli Sulong. Beberapa artikel di dalam buku ini khusus memberikan penumpuan kepada rasional pertemuan UMNO-Pas dan kesannya. Siapa yang sebenarnya ingin memulakan; dan siapa yang menjadi ‘faktor penolak’? Bagaimana muzakarah bertukar muqabalah – dan akhirnya menjadi sesuatu yang ‘non-isu’.

Zulkifli mengakui juga hakikat bahawa Pas berada di persimpangan perubahan. Pas tegas beliau, sedang dan akan perlu terus menilai kedudukannya di dalam kerangka persahabatan dengan rakan dalam pakatan longgar yang ada. Saat Pas berasa bagai dipinggirkan dalam kerangka itu, Pas juga perlu membuat keputusan ‘politik’ yang bijak. Zulkifli juga tidak menolak hakikat ini.

Sebagai pemimpin muda, penulis hanya melihat ruang pertemuan ini sebagai wahana mendekati fikrah dan kecenderungan masing-masing. Tidak ada permainan politik yang terlalu perlu diberikan perhatian. Kita tidak perlu menjadi sangat selektif dan menutup pintu kepada sebarang ‘pertemuan’ kasual yang seharusnya hanya menjadi medan bertukar pandangan dan diskusi biasa.

Dalam sebuah gerakan dan perjuangan Islam, ‘timbang tara ego’ atau ‘egonomik’ antara dua saf perjuangan Islam itu kadang kala memberikan kerugian besar kepada perjuangan bersifat ummatik. Lihat sahaja bagaimana Hamas dan Fatah, tidak mampu bertemu dan bersetuju di atas perkara-perkara yang mampu menjanjikan keamanan kepada Palestin. Walaupun mungkin tidak ada kenyataan ‘untung dan rugi’ yang nyata; namun adakah kesengsaraan umat tidak mampu kita lunasi kerana ‘ego’ dan bangga diri.

Kadang kala, apa yang lebih perlu kita lakukan adalah melihat kepada ‘titik persamaan’ dan bukannya kepada perbezaan ideologi dan wadah. Ada ketika dan masanya, kita mesti bijaksana dalam meletakkan ‘hikmah’ kepada setiap gerak politik yang ingin kita lakukan. Atau pun, tidak sama sekali melihat setiap kelibat itu sebagai ‘gerak politik’ tetapi lebih kepada usaha kita mengisi makna ‘kekhalifahan’ yang bakal ditanya oleh Allah SWT nanti.

Apakah perlu saat masyarakat berhadapan dengan kesukaran ekonomi, kita terus-terusan bermain nada ‘komparatif’ yang melampau. Melihat setiap inci perbezaan. Mencari setiap inci ketidaksamaan. Menyusur segala bentuk ‘beza’ yang hanya meletakkan perjuangan ummatik di tempat yang tidak sepatutnya. Di mana agaknya kita mahu letakkan ‘politik budiman’, tidakkah kita perlu mengisi amanah sebagai ‘khalifah kecil’ dalam erti yang sebenarnya?

Siapa pun yang menang dan mengisi tampuk kepimpinan Pas tidak mendatangkan kerugian kepada UMNO. UMNO tidak punya proksi di dalam Pas. Orang lain mungkin ‘terkinja-kinja’ ingin melihat seseorang yang nyata ‘mesra’ dengan perjuangan mereka mengisi kepimpinan Pas. Pas yang kuat, yang mampu berdiri sendiri dengan ‘wibawa sokongan’ yang real, lebih molek dan bermaruah daripada Pas yang hanya mampu menjadi ‘apparatus’ politik orang lain.

Penulis hanya mengimpikan akan wujud kecenderungan dan keinginan mana-mana pihak sekali pun untuk melihat keperluan kita berada di dalam ruang ‘demokrasi deliberatif’ yang menjanjikan kebaikan untuk rakyat. Kita perlu memulakan engagement yang bersifat ‘langkau politik’ – dan bukannya berada dalam demokrasi ‘perbezaan’ semata-mata.

Idea ‘kerajaan perpaduan’ mestilah dinilai dalam ‘merit’ keperluannya bagi berhadapan dengan suasana ekonomi yang sukar. Kerajaan perpaduan yang dicadangkan mungkin bukannya berasaskan mana-mana kerajaan perpaduan ataupun grand coalition yang pernah wujud di dunia. Ia boleh dijelmakan dalam ‘versi Malaysia’, asalkan mampu mendepani cabaran semasa. Untuk idea sedemikian ‘mega’ diperkatakan oleh Presiden Pas sendiri sudah membayangkan transformasi yang bukan kecil.

Jika rakyatlah yang menjadi domain penting kepada sebuah perjuangan politik, makanya ‘egonomik’ perjuangan perlu dinilai semula. Jika umatlah agaknya yang menjadi teras perjuangan, maka timbang tara ego yang ada mesti juga kita permolekkan. Jangan hendaknya kita bongkak dengan kekuatan, lupa diri dengan segala kemungkinan sokongan yang bersifat sementara.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Imraan, ayat 160: Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan sedemikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

Kita amat memerlukan amalan ‘politik hikmah’ dan kesedaran ‘egonomik’ kepada setiap tindakan yang dibuat. Yang penting, kebaikan yang mungkin wujud kepada rakyat – kesan daripada sikap terbuka itulah yang lebih perlu dijadikan prioriti.

DATUK REEZAL MERICAN NAINA MERICAN

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia

1Malaysia dilancar besar-besaran

Jun 11, 2009

 

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 10 Jun – Gagasan 1Malaysia akan dilancarkan secara besar-besaran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 Jun ini.

Program yang dijangka disertai 10,000 orang terdiri dari kalangan anggota Kabinet, pegawai tinggi kerajaan, pemimpin Sabah dan Sarawak, pemimpin parti-parti pembangkang serta perwakilan golongan muda itu akan memperjelaskan kepada umum pendekatan dan gerak kerja gagasan tersebut.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, mesyuarat Kabinet hari ini memberi lampu hijau supaya gagasan itu dilancarkan bermula pukul 8 pagi.

“Di situ nanti, lambang dan lagu 1Malaysia akan dilancarkan secara rasminya.

“Signifikannya pelancaran ini adalah supaya dapat memperjelaskan kepada khalayak tentang konsep, kaedah, pendekatan dan gerak kerja 1Malaysia yang disusun setiap masa agar mencapai matlamat Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Pihak kementerian sedang menyusun serapi mungkin pelancaran program ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Gagasan 1Malaysia diumumkan Najib April lalu bagi meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, banyak pihak mengemukakan pelbagai tuntutan atas nama 1Malaysia yang jika diamati lebih menjurus kepada faedah kaum tertentu sahaja dan bukannya untuk semua anggota masyarakat.

Ahad lalu, Najib berkata, gagasan 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sama ada secara tersurat atau tersirat.

Kata Perdana Menteri, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru sebaliknya matlamat akhir gagasan iaitu perpaduan nasional menjadi wawasan utama pemerintah terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad yang lepas.

PESTA KAAMATAN KG. KADUMU ; TEMUBUAL BERSAMA KETUA BAHAGIAN UPKO, N50 LAHAD DATU

Jun 11, 2009

Assalamualaikum dan Salam sejahtera

YB SALLEH P188 SILAM 1

Selamat datang ke Blog SilamGemilang, saya ucap kepada saudara AZMI CHAN sebagai Ketua Bahagian UPKO, N50 Lahad Datu. Kehadiran Saudara dalam sembang-sembang blog ini akan dapat menyerihkan lagi suasana dan dapat memberi gambaran secara teori kepada pengunjung-pengunjung yang hendak melihat Pesta Kaamatan Kg. Kadumu ini.

1. Penganalisi SilamGemilang

Saya melihat kain rentang yang dipasang di kawasan strategik di bandar Lahad Datu dan Tungku oleh penduduk kampung KADUMU ? Apa sebenarnya program yang hendak dilaksanakan.

2. Ketua UPKO Lahad Datu, Azmi Chan

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara penganalisis silamgemilang yang menjemput saya untuk menghisai laman bicara pada kali ini. Memang benar kami telah memasang kain rentang dikawasan bandar bertujuan memaklumkan kepada orang ramai bahawa kita kampung KADUMU akan mengadakan Pesta Kaamatan, kampung Kadumu buat kali yang ke-10 tahun.

3. Penganalisis SilamGemilang

Adakah pihak penganjur program ini akan menjemput VIP atau YB bagi merasmikan program  ini ?

4. Ketua Bahagian UPKO N50 Lahad Datu, Azmi Chan

Penganjur program ini memang ada menjemput tetamu VIP bagi merasmikan pembukaan kita telah menjemput YANG BERHORMAT TAN SARI BERNARD GILUK DOMPOK, Pengerusi UPKO Sabah. Dijangka perasmian pembukaan ini akan dimulakan pada waktu pagi. Program ini juga kita akan buat penutupan, oleh yang demikian kita telah menjemput Perasmian Penutupan YANG BERHORMAT KOLONEL KEHORMAT TUAN HAJI SALLEH BIN HAJI KALBI, AHLI DEWAN RAKYAT PARLIMEN MALAYSIA, P188 SILAM MERANGKAP DUTA KEAMANAN PBB.

5. Penganalisis SilamGemilang

Apakah Harapan Saudara AZMI CHAN sempena pesta ini ?

6. Ketua bahagian UPKO, N50 Lahad Datu

Sebelum itu saya ingin ucap syabas dan tahniah kepada jawatankuasa yang bertungkus lumus bagi menyiapkan sejak 3  minggu lepas. Saya berharap kepada anda di luar sana jangan kemana-kemana…jom datang beramai-ramai kita meriahkan program ini dikampung KADUMU.Terima kasih sekali lagi kepada penganalisis silamgemilang yang sudi menemuramah saya bagi mempromosikan program ini.

 

bersambung lagi…..

JUTAAN TERIMA KASIH : ANDA BERHAK JADI AHLI ALUMNI AGASEAN

Jun 11, 2009

Jun 11, 2009 at 4:35 am | In Uncategorized | No Comments | Edit this post

Assalamualauikam dan Salam Sejahtera

Saya amat berbangga dan kagum dengan komited dan komitmen individu yang mengunjungi blog alumni AGASEAN ini. Berdasarkan analisis Blog ini ramai yang berminat untuk menjadi ahli persatuan ini samada yang tinggal dikawasan Lahad Datu mahupun di seluruh negeri di Malaysia hatta ada juga yang bertanya dari luar negara. Minat seseorang hendak menjadi ahli alumni ni…..saya benar-benar menyokong penuh…..Saya berharap peranan PERSATUAN Alumni AGASEAN SMK Agaseh, Lahad Datu agar dapat bertindak proaktif dan aktif dengan pandangan orang ramai yang mahu menjadi ahli AGASEAN.

Saya amat terkilan jika usaha ini masih terkubur…..kerana sudah lama tiada usaha untuk mengaktifkan ahli mahupun program khas untuk promosi Persatuan ini. Saya melihat di kaca-kaca TV…ramai pemimpin yang menghadiri Persatuan seperti ini. Sudah tiba masanya Persatuan ini menjawab cadangan dan sokongan orang ramai yang mahu Persatuan ini aktif dan proaktif bagi meletakkan persatuan ini gemilang membangunkan Modal Insan kkhususnya dikawasan Silam.

Sila layari http://alumniagaseh.wordpress.com bagi melihat KOMEN maklumbalas orang ramai sebagai rujukan sokongan hujah saya agar PERSATUAN ALUMNI AGASEAN perlu aktif dan proaktif kehadapan supaya SilamGemilang 1Malaysia.
Komen INDIVIDU DARI blog alumniagaseh:

Bagaimana kita mahu menjadi ahli kepada persatuan ini, walaupun berada jauh dari Lahad Datu, namun saya awbagai Alumni AGASEAN tetap ingin menyumbang sesuatu untuk sekolah yg telah memberikan banyak ilmu dan pengalaman kepada saya.

Wah agus klemen pun ada masuk… ini sudah kira baik ni, boleh kita bertemu kawan lama.

Penganalisis SilamGemilang