‘Egonomik’ perpaduan politik

pas

Oleh REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
 
Abdul Hadi Awang (tengah) bersama Nasharuddin Mat Isa serta barisan kepimpinan Pas Pusat bersalaman dengan perwakilan parti itu selepas berakhirnya Muktamar Tahunan Pas ke-55 di Stadium Melawati, Ahad lalu. – BERNAMA

——————————————————————————–
 
Penulis baru sahaja habis membaca sebuah buku yang secara luarannya nampak kecil, tetapi sebenarnya sangat menguji minda. Buku yang bertajuk Egonomics: What Makes Ego our Greatest Assets or Most Expensive Liability (2007), tulisan David Marcum dan Steven Smith.

Biarkan sahaja penulis mengakui bahawa pembelian buku ini pada asalnya kerana tertarik dengan warnanya yang sangat terang dan menarik hati. Benar, jangan kita menilai buku dengan kulit luarannya, namun sebagai manusia biasa – penulis terpaksa menerima hakikat, bahawa ‘pandangan luar’ itu kadang kala amat mendatangkan keterujaan.

Apa yang ingin diperkatakan buku ini, secara ringkas dan dengan bahasa mudahnya adalah bagaimana sifat ego sebenarnya boleh mendatangkan kesan dan impak langsung kepada prestasi syarikat. Buku ini cuba menterjemah bagaimana ‘ego’ sebenarnya mempunyai implikasi dan kesan ekonomi kepada sesebuah syarikat! Sekali imbas, hipotesis ini nampak longgar dan tidak meyakinkan. Tetapi setelah memberikan cukup ruang untuk penjelasan, helai demi helai – bab demi bab; ia sesuatu yang sebenarnya boleh diterima akal.

Bagaimana kerana ‘ego’, mungkin si Pengurus A tidak mahu bercakap dengan Pengurus B – dan akhirnya memberikan kesan langsung kepada prestasi syarikat secara keseluruhannya. Bagaimana si Pengurus Besar A, tidak dapat menerima pelantikan rakannya yang lain ke jawatan lebih tinggi. Semua ketidakpuasan hati, riak dan bangga diri ini menyumbang kepada untung rugi syarikat. Kajian David Marcum dan Steven Smith ini juga diperakui oleh ramai peneraju syarikat di dunia.

Jika wahana egonomik ini mampu penulis tanggapi dengan betul – ia mampu menghadirkan kesan yang positif atau negatif, bukan sahaja kepada sebuah syarikat – malahan sebuah perjuangan. Benar, dalam perniagaan, profit and loss itu adalah terma dan nuansa biasa; namun usahawan mana yang mahu dagangannya rugi dan melingkup. Jika ego tidak dilunasi secara ‘hikmah’, maka kerugian akan menjadi jawapan yang pasti kepada sebuah usaha niaga.

Kepada David dan Steven, sikap keegoan yang melampau ini boleh dikesan dalam empat kaedah yang bunyinya cukup mudah. Penulis buku ini mencadangkan kewujudan ‘buku timbang kira ego’ dalam menentukan sama ada ia mendatangkan faedah atau musibah kepada sesebuah syarikat:

1. mempunyai sikap perbandingan yang melampau (bagaimana menjadi terlalu kompetitif; sebenarnya menjadikan sebuah syarikat itu kurang kompetitif);

2. bersikap defensif (mengenali perbezaan antara mempertahan idea; dan bersikap ‘defensif’)

3. menunjuk-nunjuk;

4. mengejar penerimaan (seeking acceptance);

Penulis cuba untuk mengisbatkan gejala ‘keegoan’ ini dalam skala yang lebih besar. Dalam ruang lingkup kemasyarakatan. Dalam ruang lingkup kita ingin membina sebuah negara bangsa. Malahan, dalam ruang niat dan hasrat kita membina sebuah umat yang kuat dan dihormati. Apakah dengan pengamalan konsep holier-than-thou, menidakkan kepentingan bekerjasama itu sebahagian daripada jelmaan ‘egonomik’ yang merosakkan akar ummatik yang kita sama-sama ingin bentuk dan bina.

Maka terhimbaulah kepada sepotong ayat yang bermaksud: Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui (Surah al-Anfaal: 61). Sayangnya, sesetengah pihak sudah menjadi sangat ‘egois’ dan tidak melihat kepentingan dan maslahah ummah dalam konteks yang sebenar.

Apakah sebarang penolakan kerjasama yang jelas positif dan menjurus kepada kepentingan umat wajar ditolak? Apakah kerjasama itu menjadi suatu terma yang sangat jijik dan merisaukan? Apakah kerjasama antara dua parti yang mendokong hasrat membina umat; mengangkat darjat bangsa mampu membawa petaka; atau mungkin membawa rahmat yang berpanjangan?

Muktamar Pas yang baru lalu telah pun berlangsung dengan baik dan harmonis. Mungkin adalah sedikit-sedikit ‘carik pertandingan’ di sini sana, namun hakikatnya parti itu wajar ‘meraikan’ penerimaan masyarakat yang semakin terbuka dengan perjuangannya. Pas juga mengalami transformasi besar. Daripada sebuah parti yang sangat ‘tertutup’ kepada sebuah parti yang lebih ‘mesra’; tetapi mungkin tidak kepada UMNO.

Apa pun sikap defensif yang mahu ditampilkan oleh kepimpinan Pas – mereka tidak boleh menafikan bahawa parti itu juga berada di persimpangan. Apakah Pas ini sudah menggadai nilai asas perjuangannya? Apakah Pas sudah menjadi sangat ‘moderat’ dan bermain dengan permainan real-politic? Apakah masyarakat boleh menerima penegasan bahawa ‘cita Negara Islam’ tidak pernah berada di dalam hala perjuangan Pas, seperti yang pernah ditegaskan mantan Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri Perak suatu ketika dahulu? Apakah pertembungan ulama dan profesional hanya mainan media – ataupun ‘arus sebenar’ dalam parti tersebut?

Dalam pada mereka menegaskan bahawa rakyat memerhati tingkah, fiil dan tabiat UMNO; Pas juga mesti sedar bahawa batang tubuhnya juga diperhati oleh masyarakat dan rakyat. Ya, mungkin Pas bernasib baik kerana arus pada pilihan raya lalu menjulang nama dan kehadiran Pas di arus perdana.

Kita menerima hakikat itu, namun kita juga berasa ‘kurang percaya’ dengan proses transformasi Pas yang bagaikan sudah terlalu ‘bertolak ansur’ dengan teras perjuangannya sendiri.

Penulis juga ingin menggunakan hipotesis sebuah buku bertajuk, Politik Abad ke-21: Perubahan ataupun Harapan Palsu yang ditulis oleh Zulkifli Sulong. Beberapa artikel di dalam buku ini khusus memberikan penumpuan kepada rasional pertemuan UMNO-Pas dan kesannya. Siapa yang sebenarnya ingin memulakan; dan siapa yang menjadi ‘faktor penolak’? Bagaimana muzakarah bertukar muqabalah – dan akhirnya menjadi sesuatu yang ‘non-isu’.

Zulkifli mengakui juga hakikat bahawa Pas berada di persimpangan perubahan. Pas tegas beliau, sedang dan akan perlu terus menilai kedudukannya di dalam kerangka persahabatan dengan rakan dalam pakatan longgar yang ada. Saat Pas berasa bagai dipinggirkan dalam kerangka itu, Pas juga perlu membuat keputusan ‘politik’ yang bijak. Zulkifli juga tidak menolak hakikat ini.

Sebagai pemimpin muda, penulis hanya melihat ruang pertemuan ini sebagai wahana mendekati fikrah dan kecenderungan masing-masing. Tidak ada permainan politik yang terlalu perlu diberikan perhatian. Kita tidak perlu menjadi sangat selektif dan menutup pintu kepada sebarang ‘pertemuan’ kasual yang seharusnya hanya menjadi medan bertukar pandangan dan diskusi biasa.

Dalam sebuah gerakan dan perjuangan Islam, ‘timbang tara ego’ atau ‘egonomik’ antara dua saf perjuangan Islam itu kadang kala memberikan kerugian besar kepada perjuangan bersifat ummatik. Lihat sahaja bagaimana Hamas dan Fatah, tidak mampu bertemu dan bersetuju di atas perkara-perkara yang mampu menjanjikan keamanan kepada Palestin. Walaupun mungkin tidak ada kenyataan ‘untung dan rugi’ yang nyata; namun adakah kesengsaraan umat tidak mampu kita lunasi kerana ‘ego’ dan bangga diri.

Kadang kala, apa yang lebih perlu kita lakukan adalah melihat kepada ‘titik persamaan’ dan bukannya kepada perbezaan ideologi dan wadah. Ada ketika dan masanya, kita mesti bijaksana dalam meletakkan ‘hikmah’ kepada setiap gerak politik yang ingin kita lakukan. Atau pun, tidak sama sekali melihat setiap kelibat itu sebagai ‘gerak politik’ tetapi lebih kepada usaha kita mengisi makna ‘kekhalifahan’ yang bakal ditanya oleh Allah SWT nanti.

Apakah perlu saat masyarakat berhadapan dengan kesukaran ekonomi, kita terus-terusan bermain nada ‘komparatif’ yang melampau. Melihat setiap inci perbezaan. Mencari setiap inci ketidaksamaan. Menyusur segala bentuk ‘beza’ yang hanya meletakkan perjuangan ummatik di tempat yang tidak sepatutnya. Di mana agaknya kita mahu letakkan ‘politik budiman’, tidakkah kita perlu mengisi amanah sebagai ‘khalifah kecil’ dalam erti yang sebenarnya?

Siapa pun yang menang dan mengisi tampuk kepimpinan Pas tidak mendatangkan kerugian kepada UMNO. UMNO tidak punya proksi di dalam Pas. Orang lain mungkin ‘terkinja-kinja’ ingin melihat seseorang yang nyata ‘mesra’ dengan perjuangan mereka mengisi kepimpinan Pas. Pas yang kuat, yang mampu berdiri sendiri dengan ‘wibawa sokongan’ yang real, lebih molek dan bermaruah daripada Pas yang hanya mampu menjadi ‘apparatus’ politik orang lain.

Penulis hanya mengimpikan akan wujud kecenderungan dan keinginan mana-mana pihak sekali pun untuk melihat keperluan kita berada di dalam ruang ‘demokrasi deliberatif’ yang menjanjikan kebaikan untuk rakyat. Kita perlu memulakan engagement yang bersifat ‘langkau politik’ – dan bukannya berada dalam demokrasi ‘perbezaan’ semata-mata.

Idea ‘kerajaan perpaduan’ mestilah dinilai dalam ‘merit’ keperluannya bagi berhadapan dengan suasana ekonomi yang sukar. Kerajaan perpaduan yang dicadangkan mungkin bukannya berasaskan mana-mana kerajaan perpaduan ataupun grand coalition yang pernah wujud di dunia. Ia boleh dijelmakan dalam ‘versi Malaysia’, asalkan mampu mendepani cabaran semasa. Untuk idea sedemikian ‘mega’ diperkatakan oleh Presiden Pas sendiri sudah membayangkan transformasi yang bukan kecil.

Jika rakyatlah yang menjadi domain penting kepada sebuah perjuangan politik, makanya ‘egonomik’ perjuangan perlu dinilai semula. Jika umatlah agaknya yang menjadi teras perjuangan, maka timbang tara ego yang ada mesti juga kita permolekkan. Jangan hendaknya kita bongkak dengan kekuatan, lupa diri dengan segala kemungkinan sokongan yang bersifat sementara.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Imraan, ayat 160: Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan sedemikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

Kita amat memerlukan amalan ‘politik hikmah’ dan kesedaran ‘egonomik’ kepada setiap tindakan yang dibuat. Yang penting, kebaikan yang mungkin wujud kepada rakyat – kesan daripada sikap terbuka itulah yang lebih perlu dijadikan prioriti.

DATUK REEZAL MERICAN NAINA MERICAN

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: