MT UMNO ditentukan 2.3j ahli?

Posted on Thursday, June 25 @ 11:42:31 MYT
Topic: Keratan Akhbar

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Perubahan sama ada pemilihan pucuk pimpinan UMNO dibuat oleh 2.3 juta ahlinya atau di tangan 10,000 ahli peringkat bahagian akan ditentukan melalui maklum balas yang sedang dikumpul oleh sebuah jawatankuasa teknikal.

Jawatankuasa teknikal yang ditubuh di bawah Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan itu kini sedang berusaha mendapatkan pandangan dan maklum balas ahli.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, maklum balas itu dihimpun daripada mesyuarat peringkat cawangan yang sedang berlangsung di seluruh negara ketika ini dan maklum balas peringkat bahagian juga akan dihimpun apabila mesyuarat peringkat itu bermula.

“Urusan pemilihan kepimpinan tertinggi kini hanya dibuat oleh 2,000 lebih ahli (perwakilan). Jumlah itu perlu diperluaskan, sama ada 10,000 ahli-ahli bahagian atau semua 2.3 juta ahli.

“Perkara itu akan diteliti Jawatankuasa Teknikal manakala Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan akan berikan hala tuju dan bimbingan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan UMNO kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas janji Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan perlembagaan parti itu dipinda sebahagiannya bagi membantu memperkukuhkan UMNO.

Proses memindahkan hak memilih ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO merupakan sebahagian daripada janji yang dinyatakan sebelum ini.

Banyak pihak melihat prosedur pemilihan ahli MT ditangan kira-kira 2,000 perwakilan semasa pemilihan pada Perhimpunan Agung UMNO seperti yang menjadi amalan selama ini sebagai tidak mencerminkan kehendak akar umbi selain bilangan perwakilan yang sedikit terdedah dengan mudah kepada politik wang.

Mesyuarat cawangan bermula 15 Mei lalu akan berakhir 30 Jun ini.

Tambah Hishammuddin, antara aspek-aspek yang turut dinilai oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan UMNO ialah aduan mereka disekat kerana tidak bayar yuran, isu ahli-ahli muda tidak diberikan tempat di cawangan-cawangan, kelayakan ahli yang hendak menawarkan diri untuk bertanding dari segi kewibawaan mereka dan kedudukan mereka di kaca mata orang ramai, isu kuota dan sebagainya.

“Perkara-perkara itu telah dibincangkan di peringkat jawatankuasa teknikal pindaan tetapi beberapa hari lepas, saya telah mengadakan jawatankuasa induk perlembagaan di mana kita telah menjemput wakil-wakil kesemua negeri,” katanya.

Beliau juga dalam pada itu menyarankan kepada ahli-ahli UMNO agar bersedia dan membuka hati mereka untuk menerima segala bentuk perubahan yang sedang dirancang.

Katanya, perlu ada kemahuan politik dalam memastikan segala yang sedang dirancang itu diterima oleh para ahli.

“Bagi saya, tidak ada banyak kejutan, sama ada kita ada kemahuan politik untuk merealisasikan dan betul-betul cuba ambil kesempatan dari landskap politik hari ini untuk menyedarkan ahli-ahli kita itu perlu dilakukan.

“Kalau tidak parti kita akan sentiasa dilihat serong, sentiasa dilihat tidak dapat mengikuti perubahan masa dan akhirnya saya bimbang nasib sama akan menimpa UMNO seperti yang dilalui oleh LDP, Golkar, Kongres, Kuomintang di Jepun, Indonesia, India dan Taiwan,” katanya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: