Tuan Aziz calon BN di Manek Urai


MUHYIDDIN bersama Tuan Aziz (kanan) selepas majlis pengumuman calon BN bagi DUN Manek Urai di Sungai Sok Luar, Kuala Krai, semalam.

KUALA KRAI: Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Pemilihan Tuan Aziz yang juga Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), diumumkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan kira-kira 5,000 penyokong BN di Pusat Operasi BN Manek Urai, Sungai Sok Luar di sini, jam 5.15 petang semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Tuan Aziz dipilih berdasarkan kemampuan, pengalaman, kelulusan tinggi serta hubungan eratnya dengan masyarakat setempat, terutama sekitar Manek Urai yang selama ini didampingi selaku pegawai Kesedar.
Beliau berkata, pemilihan Tuan Aziz mendapat sokongan padu kepemimpinan parti termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak serta di peringkat bahagian Kuala Krai yang diketuai Datuk Ramzi Abdul Rahman.

” Kita ada ramai tokoh yang layak, tetapi selepas kita timbang secara halus, kita letakkan calon yang diterima pengundi,” katanya.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon BN itu ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed; Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin serta Ramzi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat dari Pas, Ismail Yaakob akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian 14 Julai.

Jumaat lalu, Pas menamakan peraih ikan yang juga Bendahari Pas kawasan Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah, sebagai calonnya.

Timbalan Presiden Angkatan Kemajuan Insan Malaysia (Akim), Zakaria Salleh, turut mengumumkan hasrat bertanding di kerusi berkenaan, tetapi semalam Presiden Akim, Hanafi Hamat, pula menyatakan hasrat sama.

Muhyiddin berkata, BN menaruh harapan tinggi menerusi pencalonan Tuan Aziz untuk menebus kekalahan lalu.

“Kita bertekad merampas kembali DUN Manek Urai dan berharap semua pengundi memberi peluang kepada BN membuktikan kemampuannya membawa perubahan di kawasan ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin mahu seluruh jentera pilihan raya BN bertekad mencipta kemenangan di Manek Urai demi membela nasib agama, bangsa dan negara.

Pada sidang medianya, Muhyiddin menolak dakwaan Pas kononnya berlaku “cah keting” (cantas mencantas) dalam proses pemilihan calon BN.

“Itu anggapan Pas saja dan ia tidak pernah berlaku, sebaliknya calon ini mendapat sokongan semua pihak.

“Tuan Aziz ini bukan saja mampu menarik sokongan golongan muda, tetapi berdasarkan sokongan yang diterima, kita yakin semua golongan akan menerimanya dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, BN juga mempunyai strategi tersendiri bagi menarik sokongan rakyat dan serius untuk membangunkan kawasan berkenaan.

Terdahulu, dalam ucapannya Muhyiddin berkata, BN akan menyenaraikan semua usahanya membangunkan Kelantan sepanjang tempoh negeri ini di bawah Pas bagi memudahkan pengundi membuat perbandingan menjelang pilihan raya kecil DUN Manek Urai.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: