Archive for 30 Jun 2009

Tuan Aziz: Saya dipilih sebulat suara…

Jun 30, 2009
 
Muda Mohd Noor | Jun 29, 09 2:26pm

 

Calon BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat berkata, beliau dipilih secara sebulat suara untuk bertanding di kerusi tersebut.

tuan aziz tuan mat manek urai by election 290609“Saya difahamkan saya disokong penuh oleh semua ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Kuala Krai.

“Saya tanya pihak tertentu dalam bahagian, saya dapat sokongan penuh oleh AJK bahagian,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan ada pemimpin bahagian yang akan melakukan sabotaj terhadapnya.

Tuan Aziz yang juga ketua Pemuda Umno bahagian berkata, cerita ‘kerat mengerat’ di kalangan AJK Umno bahagian tidak berlaku di Manek Urai.

Katanya, hanya pihak tertentu yang menyebarkan spekulasi dan ia merupakan perkara biasa menjelang pilihanraya.

“Tidak sepatutnya berlaku kerat mengerat kerana saya dipilih oleh parti dan mereka juga orang parti yang sama,” tambahnya.

Tuan Aziz berkata, jika seseorang calon yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, rakyat akan menolak dan ini tidak bermakna berlaku kerat mengerat.

Peluang seimbang

Seorang AJK bahagian yang enggan namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini, ada ahli Umno bahagian bimbang ada kumpulan AJK yang tidak puas hati, akan mensabotaj Tuan Aziz.

Katanya, ini kerana ia pernah berlaku dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008.

“Kita juga meminta Tuan Aziz yang baru berumur 39 tahun itu tidak meminggirkan orang tua dalam kempennya nanti.

tuan aziz tuan mat bn candidate for manek urai by election 290609“Maklumlah beliau orang baru, rakan-rakannya orang muda dan keadaan ini boleh menyebabkan beliau lupa kepada pengundi golongan tua,” katanya.

Mengenai peluang Tuan Aziz, beliau berkata, calon BN dan PAS itu mempunyai peluang yang seimbang.

Katanya, ini kerana pengaruh calon PAS, Fauzi Abdullah, tidak sama dengan bekas Adun Manek Urai, Ismail Yaacob yang meninggal Mei lalu.

Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 14 Julai hari

Calon BN Yakin Punya Peluang Cerah Lakar Sejarah Di Manik Urai

Jun 30, 2009

 

<!–

By: Ramjit

–>

KUALA KRAI, 29 Jun (Bernama) — Calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat yakin beliau mempunyai peluang cerah untuk mencipta kemenangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai berdasarkan hubungan baiknya dengan masyarakat setempat.

Katanya sebagai anak tempatan yang memahami budaya dan masalah masyarakat setempat selain pernah bertugas sebagai Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Kuala Krai, beliau menaruh keyakinan penduduk akan menyokong BN pada 14 Julai depan.

“Secara tradisi, Manik Urai memang dianggap kawasan Pas tetapi saya yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menang di sini kerana mempunyai hubungan rapat dengan rakyat pelbagai lapisan termasuk di peringkat akar umbi.

“Apa yang penting, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekati rakyat dan dengan sokongan padu dan kerja keras daripada jentera parti, saya percaya kita akan memberi saingan paling sengit kepada Pas,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Operasi BN Manik Urai, di sini, Isnin.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Tuan Aziz, 39, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai calon mewakili BN pada pilihan raya kecil itu.

PAS sebelum ini mengumumkan seorang pemborong ikan, Mohd Fauzi Abdullah, 50, sebagai calon parti itu bagi mempertahan kerusi DUN itu.

Tuan Aziz yang juga bekas Pengurus Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Kesedar hari ini mula bertemu penduduk setempat dengan beramah-mesra dengan mereka selain mendengar masalah yang dihadapi mereka.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkempen mulai 6 Julai ini, beliau akan mengamalkan pendekatan turun padang dari rumah ke rumah serta berusaha sedaya-upaya untuk bersemuka dengan seberapa ramai pengundi di Manik Urai.

“Bagi saya, rakyat Manik Urai memerlukan seorang pemimpin yang sensitif terhadap keperluan mereka serta seorang wakil rakyat yang mampu mengetengahkan masalah yang dihadapi mereka, insyaAllah saya akan memberi khidmat terbaik kepada semua lapisan masyarakat di sini,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau tidak akan berkempen secara menyerang peribadi mana-mana pemimpin parti lawan termasuk calon Pas, sebaliknya akan mengamalkan pendekatan mesra rakyat serta turun padang bagi menjelaskan apa yang akan dilakukannya kepada masyarakat setempat jika dipilih sebagai calon.

“Saya tidak akan menyerang peribadi atau individu dalam Pas… sebaliknya saya mahu memberitahu rakyat bahawa saya bertanding pada pilihan raya kecil ini kerana ingin berkhidmat kepada mereka,” katanya.

Seorang penduduk di Kampung Sungai Sok, Yahya Seman, 45, gembira kerana BN memilih Tuan Aziz untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Katanya Tuan Aziz banyak berjasa kepada penduduk Manik Urai kerana banyak membantu meningkatkan taraf ekonomi terutama dalam sektor pertanian.

“Kalau pengundi Manik Urai tolak calon BN adalah sangat rugi kerana jasanya terhadap petani di sini memang tidak boleh dinafikan,” katanya sambil diakui rakannya Abdullah Muda, 47.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada PAS Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai sebagai tarikh penamaan calon manakala 14 Julai sebagai hari pengundian.

— BERNAMA

Calon BN Sesuai Dengan ‘Selera’ Penduduk Manik Urai

Jun 30, 2009

 

<!–

By: Ramjit

–>

ALOR SETAR, 29 Jun (Bernama) — Calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO, Tuan Aziz Tuan Mat dipilih berdasarkan ‘selera’ pengundi serta perubahan yang sedang dilakukan parti bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap Umno, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain berkebolehan dan layak, beliau berkata calon yang dipilih juga harus diterima oleh masyarakat setempat.

Beliau berkata Tuan Aziz, yang merupakan bekas Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah membuktikan keupayaannya dan diyakini dapat membawa perkhidmatan yang dituntut pengundi.

“Walaupun bukan penduduk Manik Urai, Tuan Aziz adalah calon terbaik yang dikemukakan UMNO,” kata Mohd Shafie kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN Kedah di sini, malam tadi.

Mohd Shafie, yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Kedah, berkata parti itu akan menghantar anggotanya ke Manik Urai bagi membantu jentera pilihan raya BN yang diketuai Datuk Mustapa Mohamed.

— BERNAMA

Umno Wanita Bahagian Di Sabah Diminta Aktifkan Laman Web

Jun 30, 2009

 

<!–

By: Ramjit

–>

KOTA KINABALU, 29 Jun (Bernama) — Pergerakan Wanita UMNO Sabah menyarankan semua bahagiannya supaya mengaktifkan atau mewujudkan laman web dan blog sebagai bahan asas untuk menerangkan ideologi dan aspirasi parti kepada golongan muda di negeri ini.

Penolong Setiausahanya Datuk Jainab Ahmad berkata langkah itu perlu agar UMNO dapat memperkukuhkan kedudukan selain cara paling berkesan mendekati pengundi khususnya golongan muda.

Dalam kenyataan di sini Isnin, katanya, budaya maklumat alam siber menjadi ciri baru dalam politik negara memandangkan generasi baru lebih terdedah kepada teknologi tersebut di samping mampu memujuk atau menawan hati pengundi.

Jainab berkata sistem penyampaian bersepadu dan berkesan serta bersifat memenuhi cita rasa dapat membendung generasi baru daripada terpengaruh dengan dakyah yang semakin disebarkan secara meluas oleh pembangkang.

Katanya UMNO masih lemah dalam perang siber sehingga telah menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya dan ini terbukti apabila blog yeng cenderung ke arah pembangkang lebih mendapat perhatian generasi baru.

“Semua ini berlaku kerana kelemahan UMNO mengambil kesempatan mewujudkan atau memperkukuhkan ‘tentera sibernya’,” katanya.

Jainab menjelaskan laman web UMNO tidak harus dilihat sekadar untuk carta organisasi atau mempaparkan aktiviti biasa sahaja tetapi menjadi perantara berkesan dalam menyalurkan maklumat tepat tentang perancangan kerajaan untuk rakyat.

Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, berkata UMNO perlu menjadikan generasi muda sebagai sasaran kerana mereka bakal mencorakkan kerangka politik negara di samping meneruskan kesinambungan misi membela nasib rakyat.

Dalam melaksanakan gerak kerja melalui alam siber ini, beliau meminta semua ahli pergerakan itu supaya jangan lupa untuk meneruskan amalan pendekatan turun padang dan berdialog dengan semua lapisan masyarakat serta menggunakan sepenuhnya kecanggihan dunia teknologi maklumat.

— BERNAMA

Soal Masa Depan Umat Islam Dan Negara Tidak Boleh Diselesaikan Melalui Debat, Kata Najib

Jun 30, 2009

 

PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata soal masa depan umat Islam dan negara tidak boleh diselesaikan melalui forum perdebatan seperti yang dicadangkan oleh Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang tidak nampak faedah yang akan diperolehi melalui debat itu berkata jalan terbaik ialah melalui musyawarah dan perbincangan secara ikhlas dan bukan melalui perdebatan.

Tambahan pula, katanya, beliau mendapati terdapat banyak pihak yang tidak bersetuju agar debat itu diadakan.

“Itulah cara dan kaedah yang terbaik. Tapi sebelum kita boleh berbincang, janganlah kita mengutuk pihak lain.

“Jika kita dah hina dan kutuk pihak lain bererti orang kita ini tak nak cari kata sepakat. Kesepakatan ini sangat penting untuk masa depan umat Islam dan negara,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mempelawa beliau supaya berdebat secara terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik antara Pas dan Umno yang berlaku sejak sekian lama.

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pula menasihatkan Pas dan Umno menyelesaikan kemelut antara parti itu melalui perbincangan kerana pendekatan berdebat tidak akan menyelesaikan masalah utama yang dihadapi masyarakat Melayu dan Islam.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata perdebatan itu hanya membuang masa kerana kedua-dua pihak tidak akan mencapai persefahaman disebabkan ideologi yang berbeza.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan pelawaan Mursyidul Am Pas itu sebagai membuang masa dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tidak masuk akal untuk menyahut cabaran Menteri Besar Kelantan itu kerana ia tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada Umno dan rakyat.

Berhubung sikap permusuhan yang ditunjukkan berikutan cadangan mengadakan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan itu, Najib berkata: “Sebenarnya Pas sudah berpecah.”

Katanya ada anggota di dalam parti itu yang mahu supaya perbincangan itu diadakan tetapi ada juga yang bersungguh-sungguh membantah.

“Jadi, kita tengok apa yang berlaku. Semuanya terpulang kepada Pas. Umno telah menyatakan pendiriannya, dengan lain perkataan, kita bersikap terbuka untuk berbincang dengan Pas.

“Tapi, terpualng kepada Pas untuk putuskan apa yang mereka mahu lakukan. Bahagian yang melucukan ialah bola kini berada di gelanggang mereka,” katanya.

— BERNAMA