Archive for 1 Julai 2009

10 wakil PAS tolak k’jaan perpaduan

Julai 1, 2009
 
Jun 18, 09
5:22pm
Sepuluh daripada 24 anggota Dewan Rakyat PAS tiba-tiba membuat kejutan petang ini di lobi Parlimen.

Mereka mengisytiharkan beramai-ramai menolak idea kerajaan perpaduan dan sekali gus memberi mandat kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menangani isu tersebut yang sedang menggelegak dalam parti itu.

Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan, mereka sebulat suara menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan seperti disarankan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang “tidak pernah merupakan agenda PAS.”

Mereka juga menegaskan kembali pentingnya PAS berpegang teguh pada keputusan muktamar di Ipoh tahun lalu yang ingin menguatkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

pas parliament members support for nik aziz 180609Kenyataan tersebut, bersama tandatangan sepuluh anggota Dewan Rakyat berkenaan, diedarkan dalam satu sidang media (foto kiri).

Ahli-ahli parlimen PAS itu seperti berikut: Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, tidak hadir kerana berada di luar negara, manakala Nasharuddin (Bachok) pula menghilangkan diri sejak dibidas Nik Aziz petang semalam.

Mesyuarat ukhuwah

Sementara itu di Kota Bharu, Nik Aziz merancang mengadakan mesyuarat khas yang hanya dihadiri pemimpin tertinggi PAS termasuk Abdul Hadi dan timbalannya Nasharudin Mat Isa.

“Saya sendiri akan menjemput presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan presiden (Nasharudin) dan beberapa pemimpin PAS lain yang akan saya tentukan kemudian.

“Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah (persaudaraan) yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini.

“Buat masa ini masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh,” Nik Aziz dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan hari ini.

Menurut Bernama lagi, Nik Aziz beliau belum dihubungi Nasharudin berhubung gesaannya agar timbalan presiden itu meletakkan jawatan, termasuk sebagai ahli parlimen Bachok.

Nik Aziz juga dipetik berkata Pakatan Rakyat ketika ini yang sebenarnya kerajaan perpaduan.

“Kenapa perlu nak cari yang lain (kerajaan perpaduan)? Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat telah menghilangkan ‘Islamophobia’ oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya dan inilah dianya kerajaan perpaduan,” katanya.

Pada mesyuarat hari ini, semua penyandang jawatan parti dalam PAS negeri dikekalkan kecuali jawatan setiausaha yang kini disandang Zaki Ibrahim, menggantikan Datuk Takiyuddin Hassan.

Bekas bendahari Pemuda PAS itu juga timbalan speaker DUN Kelantan yang menarik diri saat akhir daripada bertanding jawatan ketua Dewan Pemuda PAS.

Jentera PAS retak di Manek Urai?

Julai 1, 2009
 

COPY DARI MALAYSIAKINI

 

Jimadie Shah Othman
Jun 18, 09
9:36am

kemaskini 11.35am Tidak cukup muktamar dua minggu lalu menjadi medan pertelagahan sesama pemimpin PAS berhubung kerajaan perpaduan, isu itu bakal membawa retak pula pada jentera pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

Kini sudah tersebar ura-ura bahawa Dewan Pemuda PAS di beberapa negeri berhasrat menarik diri daripada membantu kempen sebagai tanda bantahan terhadap PAS Kelantan yang didakwa membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini semalam, Dewan Pemuda PAS di enam negeri termasuk Terengganu – negeri presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengutarakan idea tersebut – akan memboikot kempen di Manek Urai.

manek urai by election 080609Idea tersebut bagaimanapun ditentang oleh keras oleh Mursyidul Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta bekas naib presiden Datuk Husam Musa, exco kanan kerajaan negeri.

Dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS di muktamar ke-55, Husam dan seorang lagi naib presiden yang lantang menolak cadangan kerajaan perpaduan, Mohamad Sabu, tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden, yang berjaya dikekalkan oleh Nasharuddin Mat Isa.

Kerajaan perpaduan dan kekalahan Husam dikatakan tidak disenangi akar umbi PAS di Kelantan yang berdiri teguh di belakang Nik Aziz berhubung isu tersebut.

Malah, Ahad lalu, Kelab Penyokong PAS (KPP) Kelantan meminta pemimpin PAS yang menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan supaya tidak menyertai kempen pilihanraya kecil DUN tersebut, antara 6 hingga 14 Julai.

‘Buang masa’

Seorang pemimpin KPP Yap Kok Seng dilaporkan berkata, kehadiran mereka hanya akan “mengelirukan pengundi” dan penyokong PAS di kawasan itu berhubung isu berkenaan.

Susulan perkembangan tersebut, sumber-sumber itu berkata, ahli-ahli Dewan Pemuda PAS merasakan kehadiran mereka di Manek Urai hanya “membuang masa dan tidak memberikan apa-apa kesan bagi mengekalkan kerusi tersebut”.

“Kalau datang tidak boleh naik pentas berceramah, buat apa kita datang?” kata sumber-sumber itu lagi.

Sehingga kini, tambah mereka, PAS Kelantan belum berhubung dengan negeri-negeri mengenai persediaan menghadapi pilihanraya kecil itu walaupun ia akan berlangsung tidak lama lagi.

“Biasanya, sebulan awal (sebelum tarikh mengundi) kita dah tahu dah,” tambah sumber-sumber.

Sementara itu, sumber PAS Kelantan pula memaklumkan, akar umbi PAS di negeri itu amat marah dengan Nasharuddin yang terus-menerus berbeza pandangan dengan Nik Aziz berhubung isu kontroversi itu.

“Jadi, kalau dia (mereka) tidak boikot kita pun, kita yang akan boikot dia di sini.

“Dia bolehlah datang, tetapi saya rasa dia tak boleh duduk dalam majlis yang ada Tok Guru,” kata sumber itu lagi.

Tidak boleh berkempen

Semalam, Nik Aziz menggesa Nasharudin meninggalkan parti itu dan sekali gus meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Bachok jika masih ingin kerajaan perpaduan dengan Umno.

nik aziz and nasharuddin mat isa 170609 02Menteri besar itu juga dilaporkan berkata, isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS tetapi satu lontaran idea peribadi.

“Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok,” Nik Aziz dipetik berkata.

Sementara itu, sumber-sumber lain pula memberitahu, mesyuarat jentera pilihanraya Kelantan telah memutuskan “pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS” yang tidak boleh berkempen dan berceramah di Manek Urai.

Bagaimanapun, pengarah pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar menafikan khabar angin tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, kesemua 14 Dewan Pemuda PAS negeri telah diberikan tugas memantau DUN Manek Urai berdasarkan sembilan daerah mengundi yang dibahagi-bahagikan mengikut negeri.

“Tidak timbul perkara itu (boikot). Kalau benar, kenapa Kelantan yang keluarkan senarai (pembahagian kawasan kempen) ini,” katanya ketika dihubungi.

Pemuda Terengganu nafi

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Pemuda PAS Terengganu menafikan memboikot jentera pilihanraya di DUN tersebut.

Menghubungi Malaysiakini hari ini, ketuanya Mohd Nor Hamzah berkata PAS negeri termasuk dewan tersebut akan menghantar antara 100 hingga 200 petugas tetap di satu daripada sembilan daerah mengundi seperti telah diputuskan.

Tambahnya, setakat pengetahuannya, jentera Pemuda PAS negeri-negeri lain tidak akan memulaukan pilihanraya kecil Manek Urai.

Perang Psikologi Di Manik Urai Bermula

Julai 1, 2009

 

<!–

By: Ramjit

–>

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) — Dalam meniti saat menunggu tiba hari penamaan calon pilihan raya kecil Manik Urai Isnin ini dan hari mengundi pada 14 Julai ini, gendang pilihan raya sudah dipalu, bermula dengan serangan psikologi.

Ia bermula dengan serangan serangan terhadap calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat, kurang daripada 24 jam selepas beliau diumumkan sebagai calon, Ahad lepas.

Ketua Pemuda Umno Kuala Krai yang juga bekas pengurus Bahagian Pemantauan Projek Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu didakwa kononnya terlibat dalam perbuatan salah laku, namun Tuan Aziz, 39, pantas menafikannya dalam sebuah portal berita siber.

Sehingga laporan ini ditulis, belum ada serangan peribadi ditujukan terhadap lawannya, Mohd Fauzi Abdullah, 50, bendahari PAS Kuala Krai yang juga pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai.

Dalam amalan politik, serangan peribadi sering dijadikan senjata ampuh untuk membentuk persepi negatif terhadap lawan, terutamanya di kawasan yang didominasi satu kaum seperti di Manik Urai.

Ini kerana isu kaum dan agama tidak lagi relevan untuk dimanipulasikan. Di Manik Urai sebanyak 99.2 peratus daripada 12,292 pengundi adalah pengundi Melayu.

Beberapa penganalisis politik yang ditemui Bernama menyifatkan pengurusan persepsi adalah cabaran utama BN di Manik Urai jika mereka mahu menawan kawasan kubu kuat PAS itu.

“BN kena guna psikologi di Manik Urai,” kata penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussein di sini hari ini.

Beliau berkata BN masih mempunyai peluang di Manik Urai walaupun persepsi umum masih tidak menyebelahinya setelah beberapa penambahbaikan seperti pertukaran pucuk pimpinan kerajaan dan parti dilaksanakan.

“Mereka yang ada liabiliti kepada parti juga tidak perlu turun (berkempen),” katanya.

Katanya BN juga perlu mengelak taktik serangan peribadi terutamanya kepada tokoh kepimpinan lawan seperti Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Ini kerana di Kelantan Nik Abdul Aziz dihormati lawan dan kawan. Apa yang penting BN kena utamakan penerangan tentang apa yang mereka mahu lakukan di situ serta ketengahkan Tuan Aziz sebagai calon rakyat,” katanya.

Bagi pemerhati politik tempatan yang enggan dikenali, faktor calon BN yang lebih muda, berpengalaman dan latarbelakangnya yang baik dilihat memberikan kelebihan kepada BN.

Beliau berkata ini kerana Tuan Aziz di atas kapasitinya sebagai pegawai Kesedar, memberikan kelebihan kerana Kesedar terlibat secara langsung di Manik Urai yang merupakan satu daripada kawasan di bawah Parlimen Kuala Krai, selain Mengkebang, Guchil dan Dabong.

“Kemenangan PAS di situ selama ini pun kerana calonnya,” katanya merujuk kepada Allahyarham Ismail Yaakob yang mewakili kawasan dewan undangan negeri (DUN) itu selama lima penggal.

Umno hanya memenangi kawasan itu pada 1980 dan 2004 di mana ketika Ismail tidak menjadi calon. Ismail meninggal dunia pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung menyebabkan pilihan raya kecil itu perlu diadakan bagi memilih seorang Adun baru.

Manik Urai adalah kawasan luar bandar yang meliputi perkampungan, kebun-kebun getah dan ladang-ladang dengan sebahagian besar penduduknya bekerja sebagai penoreh getah dan petani.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff pula berpendapat kedua-dua calon dilihat mempunyai peluang yang seimbang.

“Saya ingat faktor calon tidak beri kelebihan pada mana-mana pihak. Manik Urai bergantung kepada bagaimana Umno menguruskan persepsi orang ramai terhadapnya, kerana ia bukan lagi soal isu,” katanya.

“Dalam soal ini, Umno kena ada keupayaan untuk membalas semua hujah yang dibuat pihak lawan jika mahu sokongan pengundi. Politik ugutan seperti tiada lagi pembangunan kalau tidak undi BN, tidak akan berkesan.

“Mereka (pengundi) ini semua adalah penoreh getah, petani dan peneroka yang tidak takut pada harimau atau apa-apa binatang. Inikan pula sebuah parti politik,” kata Mohammad Agus.

Beliau berkata BN perlu bersedia menjawab kepada rakyat bekenaan isu-isu nasional dan krisis perlembagaan di Perak, jika ia dibangkitkan di Manik Urai.

“Namun apa sahaja “keputusan” di Manik Urai perlu mempamerkan kematangan berpolitik kedua-dua parti. Perbuatan seperti “cah keting” (cantas-mencantas) dan serangan peribadi perlu dielak.

“Biarlah pilihan raya berlaku dalam landasan demokrasi tulen,” kata Mohammad Agus.

— BERNAMA

Tuan Aziz Mendapat Respons Baik Daripada Golongan Muda – Mustapa

Julai 1, 2009

 

<!–

By: Ramjit

–>

KOTA BAHARU, 30 Jun (Bernama) — Penduduk Manik Urai terutamanya golongan muda memberikan respons baik termasuk menyatakan sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai, Tuan Aziz Tuan Mat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Pengarah Pilihan Raya Kecil BN di Manik Urai, Datuk Mustapa Mohamed berkata respons yang sangat baik juga diterima daripada pengundi yang dikategorikan sebagai “pengundi di atas pagar”.

“Tuan Aziz dianggap sebagai simbol kepada suara golongan muda di Manik Urai untuk menyuarakan pandangan dan membawa perubahan…penyokong PAS juga (ada) menyatakan pendirian mereka untuk menyokong calon BN,” katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Ahad lepas, Tuan Aziz, 39, yang merupakan Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Program Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) diumumkan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Manik Urai, 14 Julai ini. Penamaan calon pada 6 Julai.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob, 60, dari PAS pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata daya kepimpinan Tuan Aziz telah terbukti berdasarkan kemampuannya melaksanakan tugas sebagai pegawai Kesedar dengan baik.

Beliau berkata tugas tersebut telah menjadikan Tuan Aziz lebih rapat dengan masyarakat setempat sehinggakan beliau begitu dikenali dan menepati ciri pemimpin yang mampu berkhidmat kepada rakyat sepertimana kehendak rakyat.

— BERNAMA