Manek Urai: Pengundi muda talian hayat BN, Pas

Manek Urai: Pengundi muda talian hayat BN, Pas

 
KUALA KRAI: “Tok ayah ni hijau…awe (kamu) tak payah kempen ko tok ayah lah,” kata seorang lelaki berusia dalam 70an yang berbaju Melayu, kain pelikat dan kopiah, penampilan tipikal seorang penyokong Pas.

Tok ayah ini adalah antara ratusan penyokong Pas yang hadir pada satu ceramah di Chuchoh Puteri, kawasan yang asalnya tanah rancangan yang dibuka Pas sekitar tahun 60-an.

Barisan Nasional (BN) tidak pernah menang di peti undi Chuchoh Puteri, satu daripada sembilan peti undi di kawasan Manek Urai, kecuali sekali pada 2004 dengan majoriti tujuh undi (di peti undi itu).

Ceramah sempena kempen pilihan raya kecil Manek Urai itu menampilkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Bagi majoriti Melayu Kelantan, terutama generasi lama, kehadiran Nik Abdul Aziz pada mana-mana ceramah amat dinanti-nantikan.

Di Manek Urai, 99.2 peratus daripada 12,293 pengundinya adalah Melayu, keadaannya juga begitu. Mereka sanggup naik turun bukit, meredah hujan dan lumpur semata-mata mendengar ceramah Nik Aziz.

Berdasarkan kecenderungan “pengundi tua” memilih Pas di Kelantan, maka tidak hairanlah banyak pihak melihat pengundi muda menjadi sandaran bagi BN untuk menang.

“Harapan BN adalah pada oghe (orang) muda,” kata bekas imam Masjid Chuchoh Puteri, Abdullah Awang Ahmad.

Abdullah, 60-an, yang sebelum ini penyokong Pas dan menjadi imam masjid itu selama enam tahun bermula 1990, bertindak keluar daripada parti itu kerana tidak bersetuju dengan tindakan rakan-rakannya dalam Pas menolak ahli Umno daripada menjadi ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

“Pok cik tok setuju demo (mereka) tokleh terima oghe Umno jadi AJK masjid,” katanya, yang mengakui agak sukar bagi Umno dan BN untuk mengubah mentaliti penduduk Manek Urai yang menganggap hanya Pas memperjuangkan Islam.

“Bagi demo ni, Pas itu Islam dan Islam itu Pas,” katanya.

Kewujudan dua imam atau dua penghulu dalam satu kampung adalah perkara biasa di Kelantan. Contohnya di Laloh, Manek Urai, terdapat dua penghulu di situ iaitu “Pak Da Halim” adalah penghulu BN manakala “Jali Kumbang” adalah penghulu Pas.

Seperti kebiasaan pada pilihan raya kecil dan pilihan raya umum sebelumnya, Pas yang memerintah Kelantan sejak 1990 menggunakan isu agama untuk menangkis hujah pembangunan yang diketengahkan oleh BN di Manek Urai, selain menuduh kerajaan persekutuan meminggirkan negeri itu.

Manek Urai adalah kubu kuat Pas. Kawasan itu diwakili Ismail Yaakob sejak 1985, sebelum wakil rakyat itu meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Mei lalu.

Pilihan raya kecil pada 14 Julai ini membabitkan pertandingan satu lawan satu antara Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dan bendahari Pas Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah, 50.

Namun di sebalik penguasaan Pas di situ, pemerhati yakin Umno dan BN dilihat mempunyai harapan, jika ia dapat memenuhi aspirasi golongan muda yang rata-ratanya bekerja kampung atau berhijrah ke tempat lain untuk mencari kerja.

Pentingnya pengundi muda ini diakui pengarah pilihan raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun dan pengarah jentera pilihan raya BN Manek Urai, Datuk Mustapa Mohamed.

Abdul Fatah dan Mustapa masing-masing berharap majikan akan melepaskan pengundi muda untuk pulang mengundi pada 14 Julai ini.

Mengikut statistik, pengundi yang berumur antara 21 dan 39 tahun mewakili 5,598 daripada 12,293 keseluruhan pengundi atau 45.5 peratus pengundi di Manek Urai manakala pengundi berumur 40 hingga 59 tahun berjumlah 4,511 atau 36.7 peratus, pengundi 60-79 tahun (1,937 pengundi atau 15.75 peratus) dan pengundi senior berumur 80 tahun ke atas (247 pengundi atau 2.01 peratus).

Pemerhati politik berpendapat pengundi muda akan menjadi “talian hayat” BN untuk meneruskan agenda pembangunan di Manek Urai sekalipun hujah pembangunan parti itu sering kali disangkal oleh Pas.

Manek Urai juga akan dijadikan kawasan “anak angkat” kerajaan pusat jika BN menang pada 14 Julai ini, yang bermakna agensi seperti Risda dan Kesedar akan memberikan tumpuan lebih kepada kawasan itu berbanding kawasan lain di bawah kerajaan negeri.

“Tapi bukannya mudoh nak tarik pengundi muda ini. Demo (pengundi muda) takut nak pangkah dacing sebab takut ko ayoh. Kalu ayoh hijau maknanya anok pun hijaulah,” kata imam Abdullah.

Sekalipun tiga daripada empat peti undi yang mempunyai pengundi muda iaitu di Manek Urai Lama, Chuchoh Puteri dan Laloh memihak kepada BN pada pilihan raya umum lalu, jentera BN sentiasa diingatkan oleh pemimpin-pemimpin parti itu supaya terus bekerja keras.

Ini kerana bilangan pengundi muda di tiga kawasan itu hanya 114 orang berbanding majoriti 1,352 undi yang diperoleh Allahyarham Ismail, ketika mengalahkan Mohamed Zulkifli Omar daripada BN pada pilihan raya umum lalu.

Apa yang pasti, pihak mana yang mendapat sokongan pengundi muda akan mempunyai “talian hayat tambahan” yang akan mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil Manik Urai 14 Julai ini. – Bernama

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: