Manek Urai: Kempen masuk fasa kritikal

Manek Urai: Kempen masuk fasa kritikal

KUALA KRAI: Selepas enam hari berkempen, belum ada pihak berani meramalkan kedudukan dan sentimen sebenar 12,293 pengundi di Manek Urai.

Dalam fasa kritikal kempen pilihan raya kecil ini, kedua-dua pihak, Barisan Nasional (BN) dan Pas melipat gandakan usaha untuk memenangi hati pengundi, terutamanya mereka yang berada di atas pagar.

“Pengundi atas pagar ni pertempuran kita sebenar. Siapa boleh tawan mereka dia mungkin menang,” kata Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fattah Harun ketika dihubungi di sini.
Tidak hairanlah kenapa jentera parti Pas juga sedang berusaha berhempas pulas untuk mempertahankan kubu kuatnya itu.

Jika BN dituduh menggunakan agensi kerajaan untuk menarik pengundi di Manek Urai, parti itu juga dilihat menggunakan masjid untuk berkempen.

Senario itu mungkin asing bagi orang luar tapi biasa bagi majoriti Melayu Islam di Kelantan yang diperintah Pas sejak 1990 di bawah kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau “Tok guru Nik Aziz”.

Semalam, seorang wartawan veteran dari Kedah terkejut selepas mendengar khatib menyelitkan kempen politik dalam khutbah Jumaat di Masjid Laloh, antara kawasan kubu kuat Pas di Manek Urai.

BN tewas 187 undi di kawasan peti undi Laloh pada pilihan raya umum lalu.

Khutbah khatib itu antara lain berbunyi, “Kerajaan tidak laksana fardu ain tapi buat fardu kifayah”.

Tiga hari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di Manik Urai Lama mencabar Pas membuktikan bahawa Umno tidak memperjuangkan agama dan tidak melakukan apa-apa ke arah pembangunan Islam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata parti itu juga memperjuangkan Islam dalam usaha menuntut kemerdekaan pada 1957 dan melaksanakan pembangunan selaras dengan tuntutan fardu kifayah.

“Kedah pun diperintah Pas tapi tak macam ni,” kata wartawan itu yang enggan dikenali dan sudah enam hari berkampung di Manek Urai bagi membuat liputan pilihan raya kecil di kawasan itu.

Di atas kertas, Manek Urai dengan 80 peratus penduduknya yang terdiri daripada pekebun dan penoreh getah, adalah kubu kuat Pas.

Kawasan itu pernah dimenangi Umno pada 2004, ketika Allahyarham Ismail Yaakob tidak menjadi calon.

Ismail yang mewakili kawasan itu selama lima penggal, meninggal dunia pada 22 Mei lalu, akibat serangan jantung.

Namun, selepas kempen hampir masuk pusingan akhir, Pas nampaknya tidak mengambil mudah cabaran calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, selaku Ketua Pemuda Umno Kuala Krai yang juga bekas pegawai Kesedar.

Semalam, berpuluh peraih ikan dibawa ke Laloh untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada BN yang mereka dakwa menghina Mohd Fauzi Abdullah, 50, Bendahari Pas Kuala Krai, yang bekerja sebagai pemborong ikan.

Jika isu royalti minyak dilihat bertujuan meraih simpati pengundi di peringkat negeri, isu penghinaan kepada peniaga ikan itu pula dilihat cuba mendapat simpati politik pengundi akar umbi.

Petang semalam, bergema laungan takbir “Allahuakbar” oleh peniaga-peniaga ikan di pasar basah Laloh, yang pada sebelah paginya dilawati Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Tuan Aziz.

Jika dikaji, seperti mana di Chuchoh Puteri, Lata Rek dan Sungai Perial, Laloh juga kawasan kubu kuat Pas yang suatu ketika dulu tidak mungkin dijejaki Umno apatah lagi calonnya.

Di pihak Umno pula, parti itu sememangnya tidak mempunyai kawasan kubu kuat di Manek Urai, yang pada awalnya kawasan tanah rancangan yang dibuka kerajaan Pas, tetapi kini, kedua-dua calon dilihat turun berkempen dari rumah ke rumah.

“Penyokong Pas tidak lagi fanatik. Nampaknya, mereka lebih terbuka,” kata Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan yang juga melawat pasar itu bagi meninjau keadaan di situ.

Sehingga semalam, menurut Tuan Aziz, beliau sudah melawat 50 peratus pengundi di kawasan itu, manakala mengikut laporan media Mohd Fauzi melawat 70 peratus pengundi di Manek Urai.

Apa yang pasti, kedua-dua pihak kini menumpukan perhatian di kawasan seperti Chuchoh Puteri, Laloh, Manik Urai Lama dan Manik Urai Baru yang dilihat mempunyai lebih ramai pengundi atas pagar.

Malah Chuchoh Puteri, misalnya, menjadi lokasi pertama dilawati penceramah “heavyweight” daripada pakatan pembangkang seperti Nik Abdul Aziz, penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan exco kerajaan negeri Kelantan, Husam Musa.

Kawasan yang sama turut dilawati, antara lain, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Bagi penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussein, tempoh dua hari terakhir ini adalah tempoh kritikal kepada BN dan Pas untuk pengundi terutama 12,209 pengundi Melayu menilai apa yang telah dijanjikan oleh kedua-dua parti itu.

“Mulai hari ini, kedua-dua pihak kena hati-hati dengan strategi yang mereka gunakan kerana ia akan mempengaruhi pengundi (terutama pengundi atas pagar) untuk swing arah mana,” kata profesor sains politik itu.

Apa yang pasti, sokongan pengundi ini bukan saja tentang memilih calon tetapi ia juga menentukan kedudukan Manik Urai dalam arus pembangunan negara. – Bernama

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: