Archive for 12 Julai 2009

11 hadiah mesra rakyat

Julai 12, 2009

11 hadiah mesra rakyat

Oleh Khirul Bahri Basaruddin
bminggu@bharian.com.my


Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yang menyambut 100 hari sebagai Perdana Menteri semalam, mengumumkan 11 hadiah kepada rakyat.

Berucap pada majlis ‘Seratus Hari Najib Bersama Rakyat 11 Julai 2009’ di Dewan Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, beliau berkata, ini termasuk mewujudkan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia), pemberian diskaun kepada pengguna jalan bertol, peluang pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah dan pengurangan caj bayaran latihan penunggang motosikal.

Katanya, penubuhan tabung AS 1Malaysia di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu selaras dengan jangkaan pemulihan ekonomi dalam tempoh separuh tahun kedua tahun ini.
“Tabung ini dijangka memberi peluang pelaburan kepada pelabur untuk menikmati pulangan pendapatan yang berpatutan dalam tempoh jangka panjang. Penubuhan itu langkah tambahan kepada dana amanah saham sedia ada,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh lebih 5,000 hadirin di dalam dan luar pusat konvensyen itu yang penuh sesak.

Dalam ucapan bertajuk Warkah Harapan, Najib berkata, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM100 juta Skim Amanah Saham Wawasan bagi golongan miskin tegar bandar bagi meringankan beban mereka terutama pada hujung tahun bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak.

“Menjelang 2010, kira-kira 10,000 isi rumah miskin tegar bandar akan diberi sebanyak 10,000 unit untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih,” katanya.

Najib juga mengumumkan potongan harga 20 peratus kepada pengguna kad prabayar SmartTag dan Touch ‘N’ Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan berkuat kuasa 1 September ini.

Perdana Menteri berkata, potongan itu bagi meringankan beban pengguna lebuh raya dan bersifat penyelesaian sementara bagi menunggu kajian keseluruhan mengenai kadar tol yang akan mengambil masa.

“Saya pernah diberitahu oleh seorang pengguna jalan bertol yang dia terpaksa membayar tol lebih kurang RM300 sebulan, manakala gaji bulanannya RM3,000. Orang ini hanya mendapat gaji 11 bulan setahun kerana gaji satu bulan lagi habis dibelanjakan untuk pembayaran tol setahun.

“Ini (potongan) saya percaya akan memberi kelegaan pada rakyat terutama yang menggunakan jalan tol setiap hari,” katanya dalam ucapan hampir 50 minit yang disifatkan sebagai perjumpaan yang bersejarah kerana setiap keputusan yang dibuat itu adalah istimewa untuk rakyat Malaysia.

Katanya, kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik mengikut Program Perumahan Rakyat (PPR) dan memutuskan penyewa program itu di Wilayah Persekutuan diberi peluang dan pilihan untuk membeli rumah sewa itu.

Sehubungan itu, katanya, sejumlah 44,000 unit rumah ditawarkan kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Selain itu, hadiah untuk rakyat membabitkan masyarakat penjaja dan peniaga kecil juga diumumkan Najib apabila 69,000 golongan itu di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan 50 peratus atau RM10 hingga RM700 setahun bagi pembaharuan lesen dan lesen baru.

“Ini akan memberi banyak kelegaan… saya harap negeri lain akan ikut langkah di Wilayah Persekutuan ini. Mudah-mudahan (bayaran) lesen lain juga akan dikurangkan, ” katanya.

Katanya, kerajaan juga mempunyai dasar bagi membantu pemandu teksi dan ketika ini ada ramai pemandu teksi yang terpaksa menyewa harian dengan pembayaran RM50 sehari, selain kos lain seperti minyak.

Berikutan itu, kerajaan akan menambah 3,000 lagi permit teksi untuk individu dalam masa tiga bulan ini, iaitu pertambahan daripada 7,000 permit teksi individu yang sudah diberikan setakat ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan caj bayaran latihan untuk penunggang motosikal kelas B2 iaitu 250cc ke bawah dikurang menjadi RM211 seorang.

“Saya mendapati ramai penunggang terutama anak muda yang menunggang motosikal ‘kapcai’ tidak memiliki lesen memandu kerana kos mendapatkan lesen termasuk latihan agak tinggi, RM500 hingga RM700 seorang. Berdasar riak tadi, saya membayangkan memang tepat keputusan ini, ” katanya sebagai mengulas reaksi tepukan gemuruh daripada ramai hadirin terutama pelajar sekolah.

Selain itu, katanya, peruntukan skim Tekun Nasional ditambah RM150 juta lagi dan peruntukan RM15 juta khusus untuk program pembangunan usahawan muda kaum India di negara ini.

Mengenai kewarganegaraan, Najib mengumumkan jumlah permohonan tertangguh pada 1 November 2008 sebanyak 34,000, dan sehingga bulan lalu, sebanyak 46 peratus sudah selesai dibuat keputusan dan usaha akan dipergiatkan lagi untuk menyelesaikan baki permohonan.

Katanya, terdapat ramai ibu bapa yang lambat mendaftarkan kelahiran anak mereka dan kerajaan akan terus mempergiatkan usaha memperbaiki keadaan itu.

“Di Sabah, sejak 2005, sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran diterima dan daripada jumlah itu 92 peratus diluluskan. Di Sarawak pula, sejak 2005, 19,000 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 80 peratus permohonan diluluskan, ” katanya.

Berhubung infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak, katanya, kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di kedua-dua negeri itu, daripada 750 kilometer yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kepada 1,500 kilometer dalam tempoh RMK-10.

Najib juga berkata, liputan bekalan air minum yang kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak, akan dipertingkatkan, begitu juga bekalan elektrik dan pengumuman mengenainya akan dibuat hujung bulan ini.

Selain itu, Najib juga mengumumkan kerajaan akan mengambil langkah drastik ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini dan maklumat mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini.

FAKTA

1- Diskaun tol Pengguna Smart Tag dan Touch n’ Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, dapat diskaun 20 peratus.

2- Rumah rakyat
44,000 rumah rakyat untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.

3- Lesen penjaja
Peniaga kecil di Wilayah Persekutuan diberi potongan 50 peratus untuk perbaharui lesen.

4- Permit teksi
3,000 lagi permit teksi untuk individu ditambah dalam masa tiga bulan akan datang.

5- Cegah jenayah
Langkah drastik bagi kurangkan jenayah dan rasuah diumumkan penghujung bulan ini.

– Daftar kelahiran
Permohonan di Sabah dan Sarawak dipermudahkan. Baki permohonan akan diselesaikan sedikit masa lagi.

7- Jalan luar bandar
Pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak ditambah dalam tempoh RMK-10.

8- Bekalan air dan elektrik
Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah Dan Sarawak. Perincian diumumkan akhir bulan ini.

9- Latihan motosikal
Kadar bayaran latihan tunggang motosikal 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September.

10- Tambah peruntukan
Peruntukan Tekun Nasional ditambah RM150 juta dan RM15 juta untuk usahawan muda India.

11- Unit amanah
Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz 10 bilion unit akan diperkenalkan.

Najib kunjungi ijtimak tabligh

Julai 12, 2009

Najib kunjungi ijtimak tabligh


NAJIB bersalaman dengan anggota tabligh ketika menghadiri Perhimpunan Dakwah Tabligh Sedunia di tanah lapang bersebelahan dengan Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam sempat meluangkan masa bersama 200,000 jemaah yang menghadiri Ijtimak (Perhimpunan) Tabligh Sedunia di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini yang bermula Rabu lalu.

Perdana Menteri yang tiba jam 5.10 petang terus menunaikan solat Asar di kawasan khemah terbuka bersama anggota jemaah tabligh. Beliau kemudian menyampaikan ucapan ringkas mengalu-alukan kedatangan peserta.

“Saya mengucapkan selamat datang kepada saudara-saudara semua, Semoga Allah merahmati dan menjadikan kita umat yang berjaya,” katanya.
Najib Kemudian menghabiskan masa kira-kira 30 minit bermuzakarah bersama ahli syura jemaah tabligh. Antara mereka ialah Sheikh Mohamad Ali. Bagaimanapun, wartawan tidak dibenarkan memasuki khemah khas untuk tetamu kehormat.

Jurucakap jemaah tabligh, Ridzuan Mohd Sagir, berkata mereka yang turut serta dalam muzakarah itu ialah tetamu luar negara seperti Prof Abd Rahman dari India.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut sama meluangkan masa kira-kira 45 minit menghadiri perhimpunan itu, semalam.

Sebaik tiba kira-kira jam 1.30 tengah hari, beliau mendengar taklimat mengenai majlis itu sebelum menyertai solat Zuhur berjemaah bersama peserta dari 40 negara termasuk Belanda, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan India.

“Perdana Menteri bersama ahli syura tidak bercakap mengenai hal keduniaan, sebaliknya membincangkan perkara keimanan dan mendekatkan diri dengan Allah SWT,” katanya.

Seorang lagi anggota jemaah tabligh yang turut menghadiri pertemuan itu, Prof Hanim Tahir, berkata Perdana Menteri turut meminta jemaah tabligh ketika berdoa di majlis penutup hari ini, mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Terdahulu, pada tengah hari semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut meluangkan masa kira-kira 45 minit bersama jemaah dari 40 negara, termasuk Belanda, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan India.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin menyifatkan perhimpunan berkenaan yang terbesar di dunia dan bersyukur kerana dapat menghadirinya serta bertemu pemimpin jemaah yang membicarakan soal cinta kepada agama, semangat ukhuwah Islamiah, bersikap sederhana dan usaha menyatukan ummah.

Anggota polis mula mengundi pos

Julai 12, 2009

Anggota polis mula mengundi pos

KUALA KERAI: Proses mengundi pos bagi anggota polis untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai bermula sebentar tadi di Ibu Pejabat Polis Kuala Kerai.

Setakat ini 13 daripada 25 anggota polis yang berdaftar sudah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih apabila proses pengundian bermula jam 10 pagi tadi.

Hari mengundi pilihan raya kecil itu akan berlangsung Selasa ini.
Calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, akan ditentang calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah, 50.

Manek Urai: Penduduk mahu kemudahan sedia ada dinaik taraf

Julai 12, 2009

Manek Urai: Penduduk mahu kemudahan sedia ada dinaik taraf

KUALA KRAI: Sambil mengakui mendapat semua kemudahan asas, penduduk Manik Urai Lama dan Manik Urai Baru di sini mahukan wakil rakyat baru yang bakal dipilih Selasa ini memastikan kemudahan sedia ada itu dinaik taraf.

Bagi penduduk di situ tidak cukup hanya memastikan kemudahan itu hanya sekadar ada tetapi tidak berbuat sesuatu untuk menaik taraf apa yang telah ada itu.

“Di kampung kami ini sebut saja semua ada, api (elektrik) ada, air ada, jalan ada, sekolah ada, pasar ada, klinik ada, masjid ada sehinggalah stesen kereta api pun kami ada.
“Tetapi cukupkah dengan sekadar ada tanpa sesuatu perlu dilakukan untuk menaik taraf semua yang ada itu.

“Kami berharap wakil rakyat yang bakal dipilih memastikan ia dibuat lebih molek (baik) lagi,” kata Nik Yaakub Nik Hassan, 65, dari Kampung Manik Urai Lama.

Beliau berkata, apa yang paling penting adalah melebarkan jambatan sempit ke kampung ini termasuk membesarkan jalan kampung.

Nik Yaakub berkata, selain itu wakil rakyat baru itu nanti perlu memastikan keadaan pasar Manik Urai Lama dinaik taraf bagi menjamin keselesaan pengunjung pasar itu setiap hari.

“Binalah tandas awam dan tempat meletak kenderaan yang agak banyak. Sebelum ini pengunjung meletak kenderaan di depan rumah orang dan menghalang laluan lalu lintas,” katanya.

Hassan Salim, 49, pula mahukan jambatan sempit yang berusia lebih 40 tahun di kampung itu diperbesarkan kerana sudah ramai penduduk kampung yang sudah memiliki kenderaan.

“Bila tiba musim perayaan, jambatan tu sibuk sangat. Tak cukup dengan hanya ada lampu isyarat kerana pengguna tak ikut pun lampu itu,” katanya.

Seorang penduduk Kampung Mesek, Ong Boon Keat, 40-an, berharap jalan kampung yang ada diperbaiki kerana banyak yang rosak.

Beliau juga berharap jalan kampung itu juga diperbesarkan kerana ia sangat sempit dan hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan pada satu-satu masa.

Tinggal dua hari lagi penduduk akan membuat pemilihan memilih wakil rakyat baru sama ada calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah atau calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan berkunjung ke kampung itu petang ini dijangka akan membuat satu pengumuman sebagai “hadiah” kepada penduduk kampung terbabit. – Bernama

1001 derita Raja Pop

Julai 12, 2009

1001 derita Raja Pop

MASYARAKAT dunia tergamam apabila berita kematian mengejut Michael Jackson, 50, diumum media dua minggu lalu. Kisahnya menjadi tumpuan setiap media massa, tiada perkara berkaitan dirinya tidak dibincang, daripada punca kematiannya hinggalah kepada harta dan juga nasib tiga anaknya.

 

MASYARAKAT dunia tergamam apabila berita kematian mengejut Michael Jackson, 50, diumum media dua minggu lalu. Kisahnya menjadi tumpuan setiap media massa, tiada perkara berkaitan dirinya tidak dibincang, daripada punca kematiannya hinggalah kepada harta dan juga nasib tiga anaknya.

Senario itu sama seperti ketika Michael masih hidup. Dirinya tak pernah lari daripada tumpuan, lari daripada lensa kamera dan apa jua yang dilakukannya pasti menjadi perhatian.
Hakikatnya, Michael tak pernah hidup seperti manusia normal lain hingga ada yang terlepas pandang kemurnian hatinya.

Ahli silap mata, Uri Geller menganggap tragedi paling besar kehilangan Michael ialah kegagalan masyarakat membenarkannya hidup secara normal, kegagalan mereka menyelami hatinya yang suci.

“Beliau adalah pengapit pada majlis perkahwinan saya dengan Hanna pada 2001. Pada majlis itu, saya baru kenal siapa sebenarnya Michael selepas sepasang penceroboh muda meminta kebenaran untuk bersalam dengannya.

“Mereka hanya ingin mengucapkan ‘Hai…’ dan bersalam dengan Michael, tapi beliau sebaliknya memanggil mereka, memeluk setiap seorang dan kemudian menerima hadiah dan bergambar dengan mereka.

“Michael turut menyatakan penghargaannya terhadap ketulusan mereka dan berterima kasih kerana mengambil risiko untuk menyampaikan hadiah itu.

“Hakikatnya, itulah Michael yang begitu merendah diri. Beliau tidak berpeluang untuk menunjukkan siapa sebenar dirinya kerana bapanya memaksa beliau menjadi bintang seawal usia 10 tahun. Media turut perlu dipersalahkan kerana menyebabkan hidupnya tertekan dan terseksa.

“Namun, saya perlu puji dirinya kerana hatinya tak pernah berubah dan beliau merendah diri hingga ke penghujung hayatnya,” katanya.

Namun, Geller mungkin tersilap kerana Michael yang dinamakan Penghibur Terbaik Sepanjang Zaman oleh Buku Rekod Guinness pernah mengaku tidak kesal dengan pengalaman yang dilalui sepanjang hidupnya.

“Semua yang saya lalui berbaloi kerana saya cintakan dunia hiburan dan sentiasa gembira melihat masyarakat terhibur,” katanya ketika ditemubual Good Morning America menjelang sambutan hari jadinya yang ke-50.

Malah, beliau pernah menganggap dirinya umpama Malcolm dalam siri televisyen Malcolm in The Middle kerana berasa kosong apabila turun daripada pentas.

“Malcolm cuba menyesuaikan diri dengan masyarakat tapi tak mampu melakukannya. Begitulah saya yang berasa janggal apabila turun dari pentas,” katanya yang memenangi 13 anugerah Grammy manakala albumnya terjual 750 juta unit di seluruh dunia.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik yang lahir di Gary, Indiana ini mula menyanyi ketika berusia seawal lima tahun. Dengan dorongan ibunya, Katherine dan desakan bapanya, Joe Jackson, Michael dan empat abangnya digabung menjadi Jackson 5 yang menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman Motown ketika usianya 10 tahun.

Nama kumpulan itu melonjak apabila jualan album mereka mencapai tahap platinum dan baberapa lagu, antaranya ABC, I Want You Back dan I’ll Be There menduduki tangga teratas carta lagu.

Wajah Michael pada ketika itu sentiasa tersenyum riang, tapi tiada siapa tahu hatinya terseksa.

Hanya pada 1993, ketika ditemubual pada rancangan Oprah Winfrey, beliau mampu bercerita mengenai keperitan hidupnya pada ketika itu dan mendedahkan akibat terlalu takut, beliau jatuh sakit hanya dengan melihat wajah bapanya.

Beliau turut mengaku sentiasa berasa sunyi meskipun dikelilingi peminat.

Sepuluh tahun kemudian, dalam dokumentari penuh kontroversi dihos Martin Bashir, Michael yang menangis teresak-esak mengaku dipukul dengan teruk oleh bapanya andai gagal memenuhi tahap persembahan ditetapkannya.

Pada masa sama, akibat terlalu sibuk dengan persembahan pentas dan latihan, Michael tak pernah menikmati zaman kanak-kanaknya. Tidak hairan jika beliau melaburkan wangnya untuk membina pelbagai permainan di estetnya di California, Neverland.

“Saya tak pernah berpeluang melakukan apa yang dilakukan kanak-kanak lain. Malah saya tak pernah meraikan Hari Krismas. Kini, saya cuba menggantikan apa yang saya gagal nikmati sebelum ini. Saya tak pernah marah, tapi sedih setiap kali mengenang zaman kanak-kanak.

“Namun, saya sudah maafkan bapa. Beliau kini lebih baik, mungkin sedar anak adalah segala-galanya baginya. Hakikatnya, hidup kita tidak bermakna tanpa keluarga,” katanya ketika ditemubual pada 2001.

Tidak hairan jika Michael gembira menghabiskan masa dengan tiga anaknya, Prince Michael, 12, dan Paris, 11, yang dilahirkan bekas isterinya, Debbie Rowe, dan Prince Michael II yang dikenali sebagai Blanket.

Beliau memperoleh hak penjagaan penuh ketiga-tiga anaknya pada 1999 dan Michael mengaku tanggung jawab besar itu mengajarnya untuk sentiasa merendah diri dan melihat dunia melalui mata kanak-kanak yang sentiasa bersifat ingin tahu.

“Saya umpama kanak-kanak. Saya masih teruja melihat awan dan matahari terbenam. Sebagai bapa, saya bagaimanapun memiliki tanggung jawab besar memastikan mereka dijaga dan dibesarkan dengan baik.”

Namun, beliau turut pernah dikecam hebat kerana mendukung Prince Michael II yang baru berusia 11 bulan keluar balkoni hotel di Berlin dan Michael memohon maaf atas kesilapannya.

“Saya tidak akan sekali-kali membahayakan nyawa anak- anak saya,” katanya.

Gaya hidupnya yang pelik, antaranya tidur dalam tabung oksigen, berkawan dengan chimpanzi, Bubbles dan melakukan pembedahan plastik berulang kali menyebabkan beliau dianggap pelik dan kemuncaknya, beliau digelar Wacko Jacko. Gelaran itu mengguris hatinya.

“Nama itu amat kejam. Saya punya hati dan perasan. Mungkin mereka cemburu, tapi saya tak pernah melakukan sesuatu yang gila. Saya pergi ke hospital dan rumah anak yatim dengan puluhan hadiah dan berbelanja puluhan ribu dollar untuk berbuat baik. Apakah itu gila?” soal Michael yang nyata terguris dengan gelaran itu.

Beliau mula mengasingkan diri daripada tumpuan media dan selepas dibebaskan daripada tuduhan mencabul remaja 13 tahun, Gavin Arvizo, pada 2005, beliau memutuskan untuk mengasingkan diri.

Tuduhan itu yang kedua selepas membuat penyelesaian luar mahkamah didakwa bernilai RM7 juta hingga RM161 juta kerana dituduh mencabul Jordan Chandler, 13, pada 1993.

Namanya bagaimanapun terus-menerus menjadi buruan media yang sengaja menyiarkan berita negatif mengenai dirinya, termasuk berita mengenai hutangnya dengan kerabat Bahrain dan ketagihan ubat penahan sakit.

Jika di hujung hayatnya, nama Michael boleh dianggap tercemar, tapi selepas kematiannya, masyarakat dunia melupakan semua itu dan ingatan semua pihak hanya tertumpu kepada bakat dan muziknya.

“Beliau penghibur berkarisma dan saya percaya bintang Michael kini bersinar dengan lebih terang,” rumus Geller.

Fotografi & Islam

Julai 12, 2009

Fotografi & Islam

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

MELALUI gambar kita cepat mengenali seseorang, le bih-lebih lagi dari sudut wajah yang bukan saja memantulkan ketampanan dan keayuan, malah melukiskan watak serta sikap individu terbabit.

 

MELALUI gambar kita cepat mengenali seseorang, le bih-lebih lagi dari sudut wajah yang bukan saja memantulkan ketampanan dan keayuan, malah melukiskan watak serta sikap individu terbabit.

Bagi sesetengah pihak seperti selebriti dan ahli politik, gambar memainkan peranan penting khususnya dalam me raih populariti, tetapi pada masa sama, gambar juga men jatuhkan maruah seseorang dalam sekelip mata.
Secara umum gambar adalah satu medium komunikasi yang sangat berpengaruh dan kerana itu hari ini kita dibanjiri dengan pelbagai jenis dan bentuknya, termasuk yang bersifat fitnah, kurang sopan dan berunsur lucah.

Bagaimanapun, Islam mengharamkan gambar kurang sopan dan berunsur lucah, tidak kira ia datang dalam bentuk apa sekali pun, sama ada hasil daya kreativiti melalui kemahiran tangan, media cetak mahupun elektronik.

Tetapi apakah pengharaman mengenainya terhenti setakat itu saja?

Bagaimana dengan yang lain, misalnya gambar dihasilkan melalui teknik fotografi, lukisan potret, anak patung mainan dan ukiran berupa makhluk?

Al-Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan hadis daripada Aisyah r.a yang berkata: “Rasulullah s.a.w kembali dari pelayaran dan saya menutup sehelai kain di dinding yang padanya ada gambar lukisan.

“Apabila Rasulullah s.a.w melihat gambar itu, serta-merta bertukar warna wajahnya, lalu berkata: ‘Wahai Aisyah! Se berat-berat seksa yang diterima oleh seseorang daripada Allah pada hari kiamat ialah orang yang cuba meniru rupa makhluk Allah.’

“Selepas mendengar ancaman Rasulullah itu saya pun mengambil kain lukisan itu dan saya potong-potongkan untuk dijadikan kain alas bantal.”

Menurut Abdullah Nasih Ulwan dalam buku Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, hadis terbabit menunjukkan peng haraman gambar dan patung, sama ada ia berbentuk, ber bayang, dibuat untuk diagungkan atau tidak kerana semua itu penyerupaan dengan penciptaan Allah.

Cuma, katanya, yang dikecualikan daripada gambar tadi iaitu melukis gambar seperti pohon dan rumah iaitu yang tiada roh padanya.

Ini sebagaimana diriwayatkan al-Bukhari daripada Said bin Abul Hasan, katanya: “Pernah pada suatu hari aku berada di majlis Ibnu Abbas r.a, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki lalu berkata: ‘Hai Ibnu Abbas! Sesungguhnya aku ini, mata pencarianku daripada kerja seni tanganku dan aku membuat gambar-gambar dan patung-patung itu, apa ka tamu?’

Lalu Ibnu Abbas menjawab kepada orang yang bertanya itu: “Aku tidak akan memberitahumu melainkan apa yang aku sendiri mendengar daripada Rasulullah s.a.w sebagai ja wapanku.

“Aku mendengar baginda berkata: ‘Sesiapa yang meng gambar suatu gambar (patung yang berjisim), sesungguhnya Allah akan menyeksanya sehingga dia dapat meniupkan roh padanya sama sekali.’”

Mendengar jawapan Ibnu Abbas, orang itu kelihatan sangat gelisah kerana tidak senang mendengar jawapan terbabit dan berasa tersinggung.

Ibnu Abbas berkata lagi kepadanya: “Celaka engkau! Ki ranya engkau mesti menggambarkan atau melukis juga, buatlah gambar-gambar pepohon, gambar pemandangan dan apa saja gambar yang tidak mempunyai roh.” (Hadis riwayat Bukhari)

Menurut Abdullah, dibenarkan juga daripada jenis patung permainan untuk kanak-kanak kerana tiada padanya tujuan untuk mengagungkan atau menimbulkan bangga diri dan sombong.

Ini sebagaimana diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim da ripada Aisyah, Ummul Mukminin r.a yang berkata: “Dahulu pernah aku bermain anak-anak seperti juga anak-anak pe rempuan yang lain di sisi Rasulullah s.a.w.

“Kemudian datang kepadaku teman-temanku dan mereka sentiasa bersembunyi daripada Rasulullah s.a.w kerana takut kepadanya, padahal Rasulullah berasa gembira melihat me reka datang untuk bermain-main denganku.”

Di dalam riwayat Abu Daud pula, Nabi s.a.w berkata kepada Aisyah suatu hari: “Apa ni?” Jawab Aisyah: “Ini anak-anak perempuanku.” Kata baginda lagi: “Apa yang di tengah-te ngah ini?” Jawabnya: “Kuda.”

Tanya baginda: “Apa ini yang di atasnya?” Jawabnya: “Dua kepak.” Kata baginda: “Kuda ada dua kepak?” Jawabnya: “Apakah kau tidak pernah dengar yang (Nabi) Sulaiman bin Daud ada kuda yang berkepak?”

Nabi s.a.w pun ketawa geli hati, sehingga kelihatan gigi-gigi gerahamnya.”

Asy-Syaukani berkata: “Ternyata dari hadis ini ada dalil yang membolehkan kita memberikan anak-anak kecil patung permainan yang berupa, umpamanya bentuk pengantin suami isteri.”

Tetapi Imam Malik meriwayatkan pula, makruh bagi orang lelaki membelikan anak patung untuk anak perempuannya.

Al-Qadhi Iyadh berkata: “Bermain anak patung yang ber bentuk anak perempuan untuk anak perempuan adalah harus.”

Abdullah berkata, antara hal yang menarik perhatian kita, apabila gambar ini bertujuan bukan untuk dibesar-besarkan dan tidak sempurna bentuknya, ia halal dan boleh di manfaatkan.

Mengenai gambar dengan alat fotografi, iaitu kamera, beliau mengatakan secara menyeluruh termasuk dalam nas yang mengharamkan, melainkan gambar yang wajib dan memang ketara kebaikannya.

Ini seperti gambar untuk kad pengenalan, pasport, gambar orang jahat dan orang yang dituduh disebabkan semua ini termasuk dalam kaedah umum yang mengatakan darurat itu mengharuskan yang dilarang.

Bagi Pensyarah Kanan di Institut Islam Toronto, Ontario, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, fotografi sebagai medium komunikasi tidak jatuh dalam kategori gambar yang di larang.

Menurutnya, Nabi s.a.w memang mengutuk orang yang membuat gambar dan ukiran yang melambangkan patung kerana ia membawa kepada syirik, selaras dengan kaedah usul fiqah (prinsip perundangan Islam) sesuatu yang membawa kepada haram ia adalah haram.

Tetapi, katanya, fungsi fotografi hari ini tidak jatuh kepada kategori terbabit, malah sesetengah ulama yang dahulunya mengecam keras fotografi kemudian menukar posisi terhadap hukum berkenaan.

“Malah, mereka juga membenarkan gambar mereka diambil untuk disiarkan dalam akhbar, syarahan melalui rakaman video dan pembentangan.

“Sebelum ini mereka hanya membenarkan dalam kes pengecualian seperti urusan pasport, lesen memandu dan sebagainya.

“Perubahan pandangan mereka terhadap fotografi adalah berasaskan penilaian mereka ke atas peranan fotografi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, seseorang tidak boleh membuat kenyataan yang semua fotografi adalah halal (dibenarkan).

“Ia bergantung kepada penggunaan dan fungsinya. Jika ia untuk tujuan pendidikan serta tidak dicemari dengan tujuan sanjungan dan penyembahan, ia tidak dilarang,” katanya.

Sementara itu, menurut Dr Yusuf al-Qardhawi, melalui bukunya Halal dan Haram Dalam Islam, menghasilkan gambar dengan alat fotografi (kamera), yang paling dekat dengan jiwa syariat Islam dalam permasalahan ini ialah dibolehkan dan jika tidak pun hukumnya jatuh makruh.

“Itupun kalau gambar yang diambil tidak termasuk gambar yang diharamkan oleh Islam seperti gambar yang me nampakkan tempat sulit kaum wanita atau lelaki yang boleh menimbulkan fitnah atau menggambarkan lelaki sedang bercium-ciuman dengan wanita atau seumpamanya,” katanya.