PAS Menang Tipis Di Manik Urai

PAS Menang Tipis Di Manik Urai

<!–

By: Ramjit

–>

KUALA KRAI, 14 Julai (Bernama) — PAS mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai di Kelantan setelah calonnya Mohd Fauzi Abdullah menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti tipis 65 undi dalam pilihan raya kecil pada Selasa.

Mohd Fauzi, 50, memperoleh 5,348 undi manakala Tuan Aziz, 39, mendapat 5,283 undi.

Majoriti PAS merosot sebanyak 1,287 berbanding majoriti yang diperoleh penyandang sebelum ini Allahyarham Ismail Yaacob sebanyak 1,352 pada pilihan raya umum 2008.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang juga Ketua Jajahan Kuala Krai, Adnan Hussin di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, di sini, pada pukul 9.05 malam.

Kawasan DUN itu mempunyai 12,293 pengundi berdaftar termasuk 25 pengundi pos, namun hanya 10,631 atau 87 peratus pengundi keluar mengundi hari ini.

SPR, yang dijangka mengumumkan keputusan itu pada pukul 8 malam ini bagaimanapun terpaksa melewatkannya selama kira-kira sejam kerana terpaksa melakukan pengiraan semula berikutan perbezaan undi majoriti yang kecil antara kedua-dua parti.

Keputusan hari ini mencatatkan 117 undi rosak dan enam kertas undi tidak dikembalikan.

Setelah melalui tempoh berkempen yang aman tanpa sebarang pergaduhan, pengundian bagi pilihan raya kecil hari ini bagaimanapun telah dicemari dengan insiden penyokong PAS membaling batu ke arah penyokong BN di Sungai Peria, yang mengakibatkan dua anggota Puteri Umno cedera (bengkak) di bahagian pinggang dan dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan.

Beberapa penyokong PAS juga turut mempamerkan gelagat buruk dengan melemparkan kata-kata kesat, kata-kata mengejek dan bersifat provokasi terhadap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau melawat beberapa pusat mengundi hari ini.

Mohd Fauzi Abdullah ialah seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai. Beliau berkelulusan Sekolah Menengah Rendah dan merupakan bendahari PAS Kuala Krai.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Ismail, yang mewakili PAS pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.

Pengundian dijalankan di sembilan pusat mengundi yang melibatkan 27 saluran bermula pada pukul 8 pagi ini.

Ismail memenangi DUN Manik Urai sejak pilihan raya umum 1985 namun tidak bertanding pada pilihan raya umum 2004, yang menyaksikan BN menang kerusi itu dengan majoriti 53 undi melalui calonnya Mohamed Zulkifli Omar.

Ismail bagaimanapun bertanding semula kerusi itu pada pilihan raya umum tahun lalu dan menewaskan Mohamed Zulkifli dengan majoriti 1,352 undi.

Manik Urai adalah satu daripada empat kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Krai. Tiga lagi kawasan DUN ialah Mengkebang, Guchil dan Dabong.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: