JAKARTA KENA BOM

Jakarta kena bom


LETUPAN di Hotel Ritz-Carlton menyebabkan kerosakan teruk pada ruang bangunan dengan serpihan kaca tingkap bertaburan hingga seberang jalan.

9 terbunuh, 50 cedera serangan di dua hotel

JAKARTA: Serangan bom di dua hotel mewah di sini, pagi semalam, dipercayai dilakukan pengebom berani mati yang meletupkan diri ketika penginap sedang menikmati sarapan menyebabkan sembilan orang terbunuh dan mencederakan lebih 50 yang lain.

Berikutan serangan berkenaan, polis Indonesia sedang menyiasat hubung kait kejadian itu dengan pengganas warga Malaysia, Noordin Mohammed Top yang dipercayai sedang bersembunyi di republik berkenaan.
Seramai 18 rakyat asing antara yang dilaporkan maut atau cedera dalam serangan di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton, kira-kira jam 7.45 pagi waktu tempatan. Kedua-dua hotel adalah milik syarikat rangkaian perhotelan Amerika Syarikat, Marriott International, yang terletak bersebelahan di daerah perniagaan mewah Mega Kuningan. Letupan menyebabkan serpihan kaca tingkap bertaburan hingga seberang jalan, selain asap tebal.

Letupan di JW Marriott – serangan bom kedua terhadap hotel berkenaan sejak yang pertama pada 2003 dan membunuh 12 orang – berlaku di tingkat bawah tanah, manakala letupan di hotel Ritz-Carlton yang berlaku selang dua minit kemudian menggegarkan restoran Air Langga dalam hotel itu.

“Banyak mayat kelihatan dan satu daripadanya dengan perut terburai,” kata seorang lelaki yang bergegas ke hotel JW Marriott selepas mendengar letupan kuat itu.

ANGGOTA polis meninjau kerosakan teruk yang berlaku di Hotel JW Marriott Jakarta, selepas letupan mengorbankan sembilan orang, semalam.

Kejadian terbaru itu menyebabkan pasukan bola sepak Manchester United membatalkan lawatan ke Indonesia. Pasukan itu dijadualkan menginap di Ritz-Carlton pada malam Sabtu dan Ahad bagi perlawanan persahabatan menentang pasukan pilihan Indonesia.

Menurut polis, seorang warga New Zealand adalah antara yang terbunuh, manakala 17 yang cedera adalah warga asing, termasuk Australia, Kanada, Hong Kong, India, Itali, Belanda, Norway, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Britain.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata, serangan dilakukan kumpulan pengganas dan berikrar memberkas mereka yang bertanggung jawab.

Beliau bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk menuduh kumpulan Jemaah Islamiah, walaupun kumpulan itu sebelum ini dipersalahkan terhadap beberapa serangan bom di Indonesia.

Serangan semalam berlaku kira-kira dua minggu selepas pilihan raya presiden yang menyaksikan pemilihan semula Susilo yang berjaya menstabilkan Indonesia yang sebelum ini diancam pengganas.

Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Parlimen, Theo Sambuaga, berkata ada petanda serangan membabitkan pengebom berani mati.

Stesen televisyen tempatan, Metro TV melaporkan penyiasat mengesyaki penyerang mungkin tetamu hotel yang menyeludup bahan letupan melepasi pemeriksaan keselamatan.

“Bahan yang tidak meletup ditemui dalam sebuah bilik di tingkat 18 hotel JW Marriott selepas kejadian dan berjaya dialihkan pasukan unit pemusnah bom,” kata seorang penyiasat.

Polis tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab dan belum ada pihak mengaku, tetapi sumber kanan unit antikeganasan berkata ia mungkin dikaitkan dengan Noordin.

“Jika serangan berani mati, ia mungkin dilakukan oleh rangkaian Noordin,” kata penganalisis kumpulan pemikir pengganas Group Crisis International, Sidney Jones. Noordin dilaporkan tidak lagi menganggotai Jemaah Islamiah, sebaliknya menubuhkan kumpulan serpihan. – AP/AFP

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: