Peranan Mahkamah Bergerak Berhubung Pengeluaran Dokumen Ditingkatkan

Peranan Mahkamah Bergerak Berhubung Pengeluaran Dokumen Ditingkatkan

<!–

By: Ramjit

–>

KOTA KINABALU, 18 Julai (Bernama) — Mahkamah bergerak, yang diperkenalkan di Sabah kira-kira dua tahun lepas, akan memainkan peranan lebih penting dalam urusan pengeluaran dokumen kelahiran secara tertangguh bagi mengelak penipuan oleh pendatang asing tanpa izin.

Ketika memberi jaminan itu Sabtu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri sedia membantu mahkamah itu melaksanakan peranannya dengan lebih berkesan, terutama dalam memastikan kesahihan maklumat berhubung kelahiran yang lewat didaftarkan, yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Ya, itu adalah antara fungsinya,” katanya kepada pemberita apabila ditanya sama ada kerajaan negeri akan mendesak agar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggunakan mahkamah itu bagi mengesahkan sesuatu permohonan mendapatkan sijil kelahiran secara tertangguh.

Beliau berkata dua kenderaan disediakan bagi membolehkan para pegawai yang bertugas dengan mahkamah itu bergerak dengan lebih mudah ke kawasan pedalaman dan kerajaan negeri bersedia menghulurkan bantuan lain jika diperlukan.

Musa berkata beliau sudah menyatakan dengan jelas kepada jabatan itu bahawa beliau mahu semua permohonan bagi mendapatkan sijil kelahiran disaring dengan teliti.

“Saya beritahu pengarah Jabatan Pendaftaran supaya memastikan ia dijalankan dengan teliti dan tidak ada anak pendatang asing tanpa izin, yang bukan rakyat Malaysia, didaftarkan. Perkara ini memang jelas sejak awal lagi.

“Saya dah beritahu ketua kampung, pegawai daerah serta pemimpin lain bahawa mereka perlu memastikan tiada dokumen diluluskan untuk pendatang asing tanpa izin dan mereka yang bukan rakyat Malaysia,” katanya.

Musa berkata demikian selepas melancarkan seminar sehari anjuran bersama Majlis Jaksa-jaksa Pendamai Sabah (MAJAPS)dan Persatuan Undang-undang Sabah (SLA)di sini.

Isu pendatang asing tanpa izin di Sabah mendapat kerakyatan melalui cara yang meragukan, terutama di kawasan luar bandar, amat membimbangkan rakyat Sabah dan baru-baru ini, pelbagai pihak menggesa agar mahkamah bergerak dilibatkan dalam membuat pengesahan terhadap setiap permohonan tertangguh bagi mendapatkan sijil kelahiran.

Rabu lepas presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata JPN perlu melibatkan pegawai undang-undang daripada mahkamah bergerak atau pegawai undang-undang lain dalam membuat pengesahan tentang maklumat berhubung kelahiran seseorang dalam pengeluaran sijil kelahiran.

Sehari kemudiannya naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengingatkan para pemimpin Barisan Nasional (BN)supaya menangani urusan pengeluaran sijil kelahiran di Sabah dengan teliti dan tegas jika tidak mahu dimarahi rakyat.

Naib pengerusi PKR Sabah Christina Liew pula mencadangkan agar JPN mencontohi tindakan Sarawak yang begitu teliti dalam menyemak sesuatu permohonan tertangguh bagi mendapatkan sijil kelahiran, yang tidak bergantung sepenuhnya kepada cadangan ketua kampung, dan memerlukan siasatan terperinci.

Sementara itu ketika berucap merasmikan acara berkenaan, Musa berkata beliau akan merujuk kepada pejabat Peguam Besar Negeri tentang permintaan MAJAPS agar Jaksa Pendamai (JP) yang berkelayakan, dilantik sebagai Majistret Kelas Dua bagi membolehkan mereka mengenalikan kes kecil di mahkamah rendah.

“Saya difahamkan bahawa anggota MAJAPS berminat untuk memberi sumbangan lebih bermakna kepada masyarakat, di samping menjalankan tugas sedia ada seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: