Archive for 19 Julai 2009

Julai 19, 2009


Nasyid – Nostalgia (Shoutul Amal)Click here for the funniest movie of the week

Chua umum keluar MCA masuk PKR

Julai 19, 2009

Chua umum keluar MCA masuk PKR

Oleh Shamsul Kamal Amarudin dan Mohd Roji Abdullah
bhnews@bharian.com.my


Datuk Chua Jui Meng

Tindakan tak jejas BN: Ong

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, semalam mengumumkan keluar daripada MCA dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada satu majlis forum anjuran PKR di sebuah hotel di Bandar Sunway, dekat sini, walaupun menafikan perkara itu dua hari lalu.

Pengumuman itu dibuat di hadapan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 800 hadirin, yang menyertai forum itu.
Terdahulu, Chua muncul di majlis itu bersama Anwar dan disambut dengan tepukan gemuruh daripada hadirin, yang turut memegang kain pemidang dengan ucapan tahniah kepada Chua kerana menyertai parti itu.

Dalam laporan Malaysiakini, Chua dalam ucapannya berkata, beliau melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri untuk menempuh perjalanan baru untuk perubahan dan menyertai PKR kerana sistem dua parti itu berdepan ancaman daripada Umno.

Katanya, beliau yakin membuat keputusan yang betul untuk menyertai PKR, terutama dalam detik penting dalam sejarah negara selain menyatakan kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, Khamis lalu turut menjadi pendorong penting baginya untuk melompat menyertai pembangkang.

Khamis lalu juga, Chua melepaskan jawatannya sebagai Ketua Bahagian MCA Bakri yang dipimpinnya sejak 1988 dan menyerahkan tugas memimpin bahagian itu kepada Timbalan Pengerusi bahagian, Sia Ka Tuan, tetapi menafikan akan lompat parti.

Sementara itu, mengulas tindakan Chua, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, ia adalah keputusan peribadi Chua dan beliau yakin perkara itu tidak akan menjejaskan kedudukan MCA sebagai parti komponen BN.

Ditanya sama ada keputusan Chua itu ada kaitan dengan perasaan tidak puas hati terhadap parti, Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata: “Ketika dia mempengerusikan mesyuarat MCA Bakri untuk kali terakhir, dia meminta semua ahli jawatankuasa Bahagian untuk terus menyokong saya.”

Ong juga berkata, hubungan beliau sebagai rakan dengan Chua tidak terjejas dengan keputusan itu dan berharap bekas pesaingnya bagi jawatan presiden itu, membuat keputusan yang baik untuk kepentingan rakyat.

Di MELAKA, Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA negeri, Datuk Gan Tian Loo merakamkan rasa kecewa dengan tindakan Chua tetapi yakin keputusan itu tidak akan melemahkan perpaduan anggota MCA khususnya bahagian Bakri, Muar, Johor.

Sharifah Khasif, Awangku Omar juarai tilawah

Julai 19, 2009

Sharifah Khasif, Awangku Omar juarai tilawah

Oleh Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my


AWANGKU Omar (kiri) bergambar dengan Sharifah Khasif selepas Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-52 di Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, malam tadi.

Pemenang bawa pulang wang tunai RM10,000, pakej haji

IPOH: Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman mempertahankan gelaran juara bahagian qariah pada Majlis Tilawah al-Quran Kebangsaan Kali ke-52 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas, di sini, malam tadi.

Peserta dari Perak itu mencatatkan pungutan markah sebanyak 80 peratus mengalahkan 13 qariah lain dari seluruh negara dan beliau turut berada di tempat ketiga daripada keseluruhan peserta tilawah.
Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, piala pusingan, piala iringan, pakej menunaikan haji, cenderahati dan sijil.

Naib johan qariah adalah milik peserta dari Johor, Nor Azrah Ayub dengan jumlah markah 76.67 peratus. Beliau membawa pulang wang tunai RM7,000, cenderahati dan sijil manakala tempat ketiga dimenangi Normalina Alias dari Wilayah Persekutuan.

Johan qari menjadi milik Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan dari Sarawak dengan markah 81 peratus, tempat kedua, Anuar Hasin dari Perak (80.33) dan tempat ketiga, peserta dari Sabah, Abdullah Abdul Wahid (79.67).

Johan keseluruhan bagi majlis tilawah tahun ini adalah milik Sarawak dengan pungutan markah keseluruhan 77.84 peratus.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun.

 

Khazanah peti besi Tunku bernilai hampir RM400,000

Julai 19, 2009

Khazanah peti besi Tunku bernilai hampir RM400,000

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my


ARTIFAK yang ditemui dalam peti besi Tunku Abdul Rahman kebanyakannya diperbuat dan bersadur emas hadiah diterima beliau ketika menjadi Perdana Menteri pada 1956 hingga 1970.

46 artifak ditemui dipamer pada orang ramai hujung tahun ini

KOLEKSI 46 objek atau artifak berharga termasuk cenderamata emas dalam peti besi milik Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Haj yang dibuka baru-baru ini, mempunyai nilai emas semasa kira-kira RM392,000.

Cenderamata seperti kepingan emas itu yang akan dinilai semula berdasarkan nilai sejarah serta buatannya, juga boleh dilihat orang ramai apabila dipamerkan selepas September ini, kata Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil.
Kenyataannya itu sekali gus menjawab persoalan ramai yang berminat mendapatkan butiran terperinci serta nilai artifak yang ditemui dalam peti besi seberat 300 kilogram yang menjadi rahsia sejak 19 tahun lalu.

Pada 2 Julai lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim membuka peti besi berkenaan dengan disaksikan Timbalan Menteri, Senator Heng Seai Kie serta pegawai Arkib Negara di depan media.

Pembukaan peti besi itu turut melenyapkan spekulasi beberapa pihak yang menyifatkan ia menyimpan rahsia besar negara dan mendesak agar ia didedahkan kepada umum.

RAIS menunjukkan artifak yang terdapat di dalam peti besi Tunku Abdul Rahman pada 2 Julai lalu selepas pelbagai pihak mendesak kerajaan mendedahkan rahsia peti besi itu.

Peti besi itu disimpan dan dijaga dengan teliti oleh Tunku sejak beliau menjadi Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian sebagai Perdana Menteri pertama pada 1956 hingga 1970.

Peti besi itu pada mulanya diletakkan di pejabat Almarhum di bangunan Residensi dan kemudian dipindahkan ke kediamannya di Jalan Langgak Tunku apabila bersara pada 1970. Ia kemudian diserahkan kepada Arkib Negara pada 1994 oleh anak Bapa Kemerdekaan negara itu, Tunku Ahmad Nerang apabila residensi itu dijadikan sebagai sebahagian daripada Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.

Namun, sejak ia dibuka, ramai berminat mengetahui apakah keistimewaan artifak itu yang hanya dapat diketahui selepas lebih sejam dibuka pakar kunci daripada syarikat Chubb Sdn Bhd.

Daripada koleksi 46 objek berkenaan, sebanyak 14 gunting dan 11 kepingan besi bersadur emas menjadi objek paling banyak disimpan, selain lapan kunci, dua plak dan dua syiling, serta masing-masing satu set butang baju, jam tangan, kotak emas, loket, replika pendayung sampan, pen jenama Parker, pingat, klip tali leher dan replika pengaut simen.

GUNTING bersadur emas, cenderamata sempena pembukaan Cathay Cinema pada 1958 antara 14 gunting yang diterima Tunku Abdul Rahman.

Semua objek itu sudah dikenal pasti komposisi bahannya oleh Arkib Negara dengan bantuan dan kepakaran daripada Bahagian Pendaftaran dan Pusat Konservasi Negara, Jabatan Muzium Negara dengan menggunakan sejenis alat yang dinamakan XRF dan hasilnya didapati kebanyakannya diperbuat daripada emas atau sekurang-kurangnya disadur emas tebal.

Objek itu adalah pemberian pelbagai lapisan masyarakat, pihak korporat mahupun agensi dari dalam atau luar negara sebagai tanda terima kasih atas kesudian Tunku merasmikan sesuatu acara atau melawat lokasi mereka.

Objek termahal yang berjaya dikenal pasti ialah seutas jam tangan dengan kompas binaan dalam buatan Silhoutte Swiss dengan jenama Dalil yang dibuat daripada emas putih serta bernilai lebih RM50,000.

Bagaimanapun, Sidek berkata, semua nilaian itu hanya dibuat berdasarkan nilai emas semasa selepas ditafsir berat dan kandungan bahan emas dalam setiap objek yang ditemui, bukan berdasarkan nilai sebenar atas faktor sejarah dan nostalgia sesuatu bahan itu.

“Arkib Negara akan menjalankan kajian lebih terperinci berkenaan semua barang itu bagi mengenalpasti nilainya yang sebenar. Kita juga masih dalam proses mendapatkan beberapa pakar yang mahir untuk membuat tafsiran nilai sebenarnya.

“Kita menjangkakan proses ini mengambil masa lebih sebulan lamanya. Hanya selepas itu, barulah ia akan dipamerkan kepada orang ramai,” katanya.

Sidek berkata, daripada 14 gunting yang ditemui, antaranya ialah pemberian daripada Cathay Cinema, Kuala Lumpur pada 23 Januari 1958 dengan berat 54.7 gram (gm), berukuran 14 sentimeter (cm) dan mempunyai komposisi emas 22 karat.

Salah satu gunting itu juga adalah cenderamata sempena pembukaan rasmi bangunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 7 Disember 1961 yang seberat 63.4 gm dan berukuran 14.3 cm dengan komposisi emas sebanyak 20 karat.

Antara objek bernilai dan mempunyai nilai sejarah tinggi ialah sebuah kotak bersadur emas seberat 1,485 gm dengan saduran emas 20 karat pemberian Presiden Amerika Syarikat, Lyndon Baines Johnson pada 1966 ketika presiden itu membuat lawatan ke negara ini.

Satu set butang baju seberat 4.8 gm bernilai lebih RM20,000 pemberian Sultan Kedah turut ditemui selain satu kunci bernilai lebih RM10,000 pemberian pemimpin daerah Dade, Florida dan satu kunci bernilai RM5,000 yang diperoleh sebagai cenderamata sempena pembukaan Hotel Federal pada 26 Ogos 1957.

Tunku bukan sekadar menyimpan cenderamata daripada orang kenamaan kerana turut ditemui satu kunci dengan 97.9 peratus kandungan emas bernilai RM3,500 yang diterimanya sempena pembukaan Masjid Ar-Rahmah, Alor Setar, pada 25 Ogos 1961.

Selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Tunku yang banyak memberikan tumpuan kepada aktiviti mempertingkatkan perpaduan antara kaum diberi gelaran Bapa Muhibah dan ia terbukti melalui penemuan satu plak bertarikh 8 Februari 1970, namun tidak dapat dikenal pasti daripada siapa.

Ada juga disimpan cenderamata daripada individu yang diterimanya sempena hari jadinya pada 1966 iaitu kepingan plet besi dengan emas 18 karat daripada Annie dan Chooi Seng.

Warga sekolah Abdullah Munsyi, Pulau Pinang pasti berbangga kerana turut disimpan dalam peti besi itu ialah sekeping kepingan plet saduran emas dan kuprum seberat 5.22 gm yang diterima Tunku sempena pembukaan rasmi sekolah itu.

Menurut Sidek, semua 46 objek itu mempunyai nilai emas semasa berjumlah RM392,000 dan ia akan dinilai semula berdasarkan nilai sejarah serta buatannya dan semua penemuan itu akan dipamerkan kepada orang ramai selepas Aidilfitri.

“Ia akan dipamerkan di memorial ini kerana menjadi tugas kami mempamerkan sesuatu mengikut sejarah dan keadaan sebenarnya. Namun, kami akan mempertimbangkan untuk turut mempamerkannya di lokasi lain seperti Kedah dan Pulau Pinang kerana di situ juga ada kediaman Tunku,” katanya.

INFO
46 objek dalam peti besi milik Almarhum Tunku Abdul Rahman

  • 14 gunting
  • 11 kepingan besi bersadur emas
  • Lapan kunci
  • Dua plak dan dua syiling
  • Satu set butang baju
  • Seutas jam tangan
  • Satu kotak emas, loket, replika pendayung sampan, pen jenama Parker, pingat, klip tali leher dan replika pengaut simen.

    Barangan berharga termasuk:

  • Objek termahal ialah seutas jam tangan dengan kompas binaan dalaman buatan Silhoutte Swiss jenama Dalil yang dibuat daripada emas putih dan dikatakan bernilai lebih RM50,000.
  • Kotak bersadur emas seberat 1,485 gm dengan saduran emas 20 karat pemberian Presiden Amerika Syarikat, Lyndon Baines Johnson pada 1966 ketika presiden itu melawat Malaysia.
  • Satu set butang baju seberat 4.8 gm bernilai lebih RM20,000 pemberian Sultan Kedah turut ditemui.
  • Kunci dengan 97.9 peratus kandungan emas bernilai RM3,500 yang diterimanya sempena pembukaan Masjid Ar-Rahmah, Alor Setar, pada 25 Ogos 1961.
  • Said Wartawan Cemerlang Negara 2009

    Julai 19, 2009

    Said Wartawan Cemerlang Negara 2009


    SULTAN Ahmad Shah bergambar dengan Said (berkerusi roda), Akmal (kanan), Zaini (dua dari kiri) dan Yazid (dua dari kanan) di Kuala Lumpur, malam tadi.

    KUALA LUMPUR: Tokoh wartawan negara, Said Zahari, 81, dinobatkan sebagai Wartawan Cemerlang Negara 2009 oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) di sini, malam tadi.

    Pada majlis sama, Pengarang Bintang Popular Berita Minggu, Akmal Abdullah, turut dinamakan pemenang Anugerah Wartawan Melayu 2009, yang pertama kali diperkenalkan oleh PWM. Turut memenangi anugerah sama, Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan Malaysia, Mohd Zaini Hassan.

    Ketiga-tiga penerima anugerah menerima hadiah berupa sijil, plak dan sagu hati berbentuk wang tunai yang disampaikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
    Selain itu Said turut menerima hadiah tengkolok. Hadir sama pada majlis itu, Presiden PWM, Datuk Yazid Othman.

    Said adalah tokoh wartawan yang memperjuangkan kebebasan dan keadilan dalam dunia kewartawanan. Malah beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Kebebasan Akhbar 2001.

    Akmal pula, sepanjang kerjayanya sebagai penulis dan wartawan, sudah menerima 11 anugerah khususnya dalam bidang perfileman, kesenian dan muzik.

    Antara anugerah yang diterimanya ialah Anugerah Trofi Samad Idris, Anugerah Kewartawanan Terbaik Media Cetak dan Anugerah Pena Bestari-Wartawan Cemerlang.