Adun Lunas keluar PKR

Adun Lunas keluar PKR

Oleh Azman Mahmood dan Nahar Tajri
bhnews@bharian.com.my


Mohd Radzhi Salleh

Radzhi umum jadi wakil rakyat Bebas, hilang kepercayaan terhadap parti

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Kedah, Mohd Radzhi Salleh, mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat Bebas kerana hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti itu.

Turut keluar PKR ialah Pemangku Ketua Bahagian PKR Padang Serai yang dibubarkan, Jamaludin Abu Hassan yang mendakwa ada bukti rakaman perbualan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi telefon mengarahkan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan supaya mewujudkan ketegangan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 17 Ogos lalu.
Mohd Radzhi yang juga Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri, mahu mengekalkan jawatan Exco negeri kerana ia pelantikan Sultan. Beliau juga tidak bercadang menyertai mana-mana parti lain.

Keputusan beliau keluar parti itu juga berikutan pembubaran PKR Bahagian Padang Serai yang diumumkan Jamaludin.

Mohd Radzhi dan Jamaludin menegaskan mereka tidak lagi yakin kepada perjuangan PKR yang hanya menjaga kepentingan peribadi dan mengamalkan kronisme.

Keputusan mereka disokong 14 ahli jawatankuasa bahagian itu dan kira-kira 200 ahli parti berkenaan.

Bercakap pada sidang media di sini, semalam, Mohd Radzhi berkata, beliau akan memberi sokongan penuh kepada pentadbiran dan pucuk pimpinan Kerajaan Pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, sejak Pakatan Rakyat (PR) memenangi lima negeri pada pilihan raya umum lalu (tetapi Perak diterajui semula BN), hala tuju dan perjuangan PKR lebih menjurus kepada kepentingan peribadi.

“Perjuangan PKR (hanya) untuk membela seseorang (Anwar). Itu yang menyebabkan saya mula terasa.

“Saya tidak sanggup lagi berada dalam PKR kerana rasa bertanggungjawab kepada ahli jawatankuasa bahagian… saya keluar bagi menyokong keputusan mereka (bubar bahagian),” katanya.

Mohd Radzhi juga mengakui ramai pemimpin PKR Kedah tidak lagi selesa dan mungkin turut keluar parti.

“Kalau tidak tuan-tuan (wartawan) tak (akan) dengar apa yang berlaku (kekecohan kerajaan PR) di Perak dan Selangor sekarang. Ini berlaku kerana perasaan tak puas hati,” katanya.

Beliau bagaimanapun menolak andaian mereka keluar PKR kerana dibeli parti lain.

“Kalau kena beli, kami dah masuk parti yang beli kami. Sekarang kami tak kena beli, kami masuk Bebas,” katanya.

Jamaludin pula berkata, beliau keluar PKR kerana pemimpin parti itu mengamalkan kronisme membabitkan pembahagian jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri selain PKR Kedah menidakkan peranannya di Padang Serai.

“Ahli Jawatankuasa bahagian syorkan saya bubarkan bahagian dan keluar parti,” katanya.

Mengenai rakaman perbualan Anwar menerusi telefon dengan Gobalakrishnan, beliau menjelaskan:

“Saya pasti apabila saya dapat rakaman perbualan melalui telefon pada 18 hari bulan (Ogos) lalu. Kita ada bukti rakaman itu,” katanya.

Diminta mengulas lanjut mengenai rakaman itu, beliau berkata rakaman visual itu berada dalam simpanan pihaknya.

“Kita akan buat CD (cakera padat) dan kita akan edarkan dalam masa terdekat. Saya tak mahu cakap (kandungan perbualan), nanti orang kata saya yang cakap.

“Kita nak CD itu yang cakap, dengarlah CD itu nanti,” katanya.

Gobalakrishnan ditahan pada hari penamaan calon 17 Ogos lalu kerana mencetuskan kekecohan dengan menampar seorang anggota polis di pusat penamaan calon pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’dazam Shah hari ini bagi memohon perkenan baginda menggugurkan jawatan Exco yang disandang Mohd Radzhi.

Katanya, jawatan Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia negeri yang disandang Mohd Radzhi diperuntukkan kepada PKR sebagai komponen Pakatan Rakyat negeri dan sewajarnya jawatan itu dikosongkan apabila beliau keluar parti itu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: