Menjunjung Tradisi Menzahir Perubahan

Menjunjung Tradisi Menzahir Perubahan

presiden

KUALA LUMPUR, 15 Okt. – Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menyemarakkan semangat bangsa para perwakilan yang berada di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) melalui ucapan sulungnya sebagai Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung Umno 2009.

Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau yang juga Perdana Menteri telah menyusur semula perjuangan UMNO dengan mengaitkan kepada peristiwa-peristiwa semasa termasuklah penggubalan dasar-dasar dalam kerajaan yang membawa kepada kemajuan rakyat keseluruhannya.

“Untuk menongkah masa depan yang cemerlang, kita perlu berakar teguh, dengan beriktibar daripada sejarah dan sistem nilai, barulah kita berupaya untuk tegak menghadapi masa mendatang,” katanya.

Lantas dengan susur galur UMNO sejak ditubuhkan hinggalah mengharungi pelbagai krisis terbukti keteguhan UMNO tidak ada bandingannya sama ada krisis politik dalam negara atau krisis antarabangsa termasuklah kemelesetan ekonomi dunia.

“Umno tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satu-satu pihak sahaja,” katanya dengan penuh semangat.

Menurut beliau lagi, selama ini UMNO dihormati dan disegani sebagai sebuah parti politik disebabkan ia mendapat sokongan majoriti dari orang-orang Melayu dan Bumiputera, lantas kekuatan UMNO adalah bergantung kepada ahlinya.

Beliau juga turut menempelak pihak yang mengatakan UMNO parti perkauman kerana hakikatnya UMNO dan orang Melayu amat terbuka dan bertolak ansur dengan kaum lain.

“UMNO akan terus mendapat tempat selama mana kehendak dan kemampuan rakyat dapat dizahirkan dalam perjuangan, seterusnya dimanifestasikan dalam gerak kerja demi kepentingan rakyat menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata sebagai tonggak parti pemerintah, UMNO akan terus menjuarai soal kebajikan dan periuk nasi semua rakyat dan mahukan gerak kerja parti selari dengan tuntutan zaman.

“Khidmat UMNO harus merata. Kita akan tetap menjadi parti yang pro kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, pengagihan kekayaan yang adil, jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal,” ujar beliau lagi kepada para perwakilan yang berjumlah 2,541 orang.

Dalam ucapan tersebut juga, beliau turut menyeru semua bangsa Melayu untuk bersama-sama membentuk satu saf yang berasaskan pertautan pemikiran dan memulih silaturrahim demi kepentingan bersama.

“Apa yang penting, ahli-ahli UMNO perlu mewajahkan peri laku mulia dan nilai-nilai murni sebagai asas jati diri dan kekuatan parti,” tegasnya.

Beliau yang mengambil alih tampuk kepimpinan parti melalui proses peralihan daripada pemimpin sebelumnya Tun Abdullah Ahmad Badawi Mac lalu turut berpesan kepada golongan pemimpin di semua peringkat lapisan agar sentiasa melakukan muhasabah dalam diri, melihat kelemahan dan memperbetulkan kekhilafan.

“Janganlah segan untuk turun ke bawah dan merapatkan diri dengan akar umbi sekalipun kita menyandang jawatan tinggi – ini kerana mereka yang menunjukkan keikhlasan dan merasai keseronokan menabur bakti kepada rakyat akan menjadi pemimpin yang disanjung.”

Dalam proses perubahan UMNO juga, beliau menegaskan bahawa kriteria dalam menentukan calon pilihan raya akan diubah kerana calon itu perlulah seseorang yang diterima masyarakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting iaitu peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara.

Beliau juga mengajak agar ahli-ahli UMNO berhijrah meninggalkan gejala negatif seperti politik wang supaya UMNO menjadi parti yang bersih dan dihormati setelah pindaan perlembagaan parti dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO.

Katanya pindaan itu bukan bersifat kosmetik mahu pun tempel-tempelan, sebaliknya ia adalah perubahan secara tuntas dan signifikan.

Perhimpunan Agung UMNO ke-60 ini telah dimulakan dengan acara perbarisan dan upacara dan menaikkan bendera UMNO, ‘Sang Saka Bangsa’ dengan iringan lagu UMNO ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: