Sebulat Suara Sokong Usul Pindaan Perlembagaan UMNO

Sebulat Suara Sokong Usul Pindaan Perlembagaan UMNO

sidang1

KUALA LUMPUR, 15 Okt. – Usul pindaan Perlembagaan UMNO telah dibentang oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan yang juga Naib Presiden UMNO.

Terdapat tujuh perkara di dalam perlembagaan yang membabitkan pindaan, penambahan dan pemansuhan beberapa fasal.

Perkara yang terbabit adalah seperti Perluasan Jumlah Perwakilan, Penghapusan Kuota, Pertambahan Ahli Majlis Tertinggi, Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Ahli Jawatankuasa Cawangan (Lantikan), Penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Yuran, Pendaftaran Keahlian dan Pengiktirafan kepada Setiasuaha Bahagian.

Perwakilan dari Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad menyokong usul pindaan manakala Datuk Seri Syed Ali Al Habshee, Cheras menyokong mesyuarat Usul Pindaan Perlembagaan UMNO diadakan secara jawatankuasa.

Semua Fasal sama ada dimansuh, ditambah atau pinda dipersetujui secara sebulat suara dari perwakilan.

Walaupun begitu, terdapat beberapa perwakilan memberi cadangan bagi penambahbaikan pindaan tersebut antaranya seperti; Mohd Riduan Bakar dari Bayan Baru minta keahlian UMNO dikemaskini dahulu sebelum pindaan perlembagaan ini disokong sepenuhnya; manakala Muntaha Kailan dari Muar mencadangkan RM10 sebagai yuran seumur hidup kerana RM2 terlalu murah; Datuk Sharkar Shamsuddin, Temerloh cadang pemutihan ahli dilakukan segera oleh UMNO Malaysia; Datuk Adam Abd Hamid, Pulai sokong Fasal 20.5.1 dipinda dengan kaitkannya dengan korum.

Sebagai contoh jika satu Cawangan mempunyai 500 ahli, maka setiap tahun mesyuarat Cawangan mesti hadir seramai 125 orang. Majlis Tertinggi perlu ambil kira peraturan persidangan lepas iaitu korum ¼ jika ½ jam tak cukup korum maka adakah hendak meneruskan atau tangguh mesyuarat tersebut; Badrudin Ahmad dari Rasah pula mengharapkan agar pindaan ini tidak kemudiannya dimomokkan.

Pengerusi Pindaan Perlembagaan menjawab berkaitan perkara korum (Pulai) telah ada dalam Peraturan Persidangan. Proses pemutihan sedang berlaku dan pindaan perlembagaan ialah detik permulaan ke arah proses itu.

Perwakilan dari Ketereh, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad menyokong semua usul pindaan perlembagaan UMNO disokong, dan semua perwakilan bersetuju.

Berikut adalah ringkasan Usul Pindaan Perlembagaan UMNO:

1. PERLUASAN JUMLAH PERWAKILAN

• MEMANSUHKAN FASAL KECIL 8.3.3
Tertakluk kepada Fasal 9.3 memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi.

• MEMINDA FASAL KECIL 8.3.4
Melantik Juruaudit untuk tempoh Majlis Tertinggi.

• MEMINDA FASAL KECIL 9.3
Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden, tiga (3) orang Naib Presiden dan dua puluh lima (25) orang Ahli Majlis Tertinggi hendaklah dipilih dalam persidangan bahagian tiap-tiap 3 tahun sekali.

• MEMINDA FASAL KECIL 9.4
Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Wanita, Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda, Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Puteri hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Perwakilan Pergerakan bahagian masing-masing tiap-tiap 3 tahun sekali. Ketua Pergerakan Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Puteri mempunyai hak-hak dan kuasa-kuasa Naib Presiden.

• MEMINDA FASAL KECIL 9.9
Jika Presiden berhenti maka Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan Pemilihan Presiden untuk memilih Presiden baru mengikut Fasal 9.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 9.8.1.

• MEMINDA FASAL KECIL 9.10
Jika Pemangku Presiden berhenti, Majlis Tertinggi hendaklah memilih seorang daripada Naib Presiden memangku jawatan itu sehingga diadakan Pemilihan Presiden untuk memilih Presiden baru mengikut Fasal 9.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 9.8.1.

• MEMINDA FASAL KECIL 14.5.1
Tertakluk kepada Fasal 15.3, memilih Ahli-ahli Jawatankuasa Bahagian.

• MEMINDA FASAL KECIL 14.5.2
Memilih tujuh (7) wakil UMNO bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO daripada penama-penama yang telah mendaftarkan diri mereka untuk bertanding. Wakil-wakil yang tidak dipilih dalam Perwakilan Bahagian atau sebarang pertukaran selepas itu tidak sah. Mana-mana wakil yang tidak dapat hadir tidak boleh melantik gantinya.

• MEMINDA FASAL KECIL 14.5.4
Tertakluk kepada Fasal 9.3, memilih Pengerusi Tetap UMNO Malaysia, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia dan Ahli- ahli Majlis Tertinggi.

• MEMASUKKAN FASAL KECIL 14.4.7 SEBAGAI FASAL KECIL BARU
Ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan yang telah mengadakan persidangan bagi tahun berkenaan.

• MEMANSUHKAN FASAL KECIL 17.5.7
Mencadangkan calon-calon untuk bertanding menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian.

• MEMANSUHKAN FASAL KECIL 17.5.8
Tertakluk kepada Fasal 8.4.3, mencadangkan 7 nama untuk dipilih sebagai wakil UMNO bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO.

2. PENGHAPUSAN KUOTA

• MEMINDA FASAL KECIL 9.5
Calon-calon yang ingin bertanding untuk mana-mana jawatan ahli majlis tertinggi hendaklah mendaftarkan dirinya dan pernah memegang mana-mana jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Jawatankuasa Bahagian selama satu (1) penggal.

• MEMINDA FASAL KECIL 15.5
(RUJUK ADDENDUM / LAMPIRAN)
Calon-calon yang ingin bertanding untuk mana-mana jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian hendaklah mendaftarkan dirinya dan telah menjadi ahli sekurang-kurangnya tiga (3) tahun.

3. PERTAMBAHAN AHLI MAJLIS TERTINGGI, AHLI JAWATANKUASA BAHAGIAN DAN AHLI JAWATANKUASA CAWANGAN (LANTIKAN)

• MEMINDA FASAL KECIL 9.2.8
Tidak lebih daripada tigabelas (13) orang yang dilantik oleh Presiden termasuk sekurang-kurangnya dua (2) orang dari Pergerakan Wanita satu (1) orang dari Pergerakan Pemuda, dan satu (1) orang dari Pergerakan Puteri.

• MEMINDA FASAL KECIL 15.1.8
Tidak lebih daripada lapan (8) orang yang dilantik oleh Ketua termasuk dua (2) orang dari Pergerakan Wanita, satu (1) orang dari Pergerakan Pemuda dan satu (1) orang dari Pergerakan Puteri.

• MEMINDA FASAL KECIL 15.2
Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri bagi bahagian tersebut yang bukan dipilih atau dilantik mengikut Fasal 15.1 berhak menghadiri tiap-tiap mesyuarat jawatankuasa bahagian sebagai ahli ex-officio tetapi tidak boleh mengundi.

• MEMINDA FASAL KECIL 18.1.8
Tidak lebih dari enam (6) orang ahli yang dilantik oleh Ketua Cawangan termasuk sekurang-kurangnya dua (2) orang daripada Pergerakan Wanita, seorang dari Pergerakan Pemuda, dan seorang dari Pergerakan Puteri.

4. MESYUARAT / PEMILIHAN SECARA SERENTAK DAN PENUBUHAN JAWATANKUASA PEMILIHAN UMNO

• MEMINDA FASAL KECIL 10.15
Membuat peraturan bagi menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan UMNO serta peraturan untuk melaksanakan, mengawal dan menyelia pemilihan jawatan-jawatan di semua peringkat dan menubuhkan jawatankuasa kecil yang lain.

5. YURAN

• MEMINDA FASAL KECIL 8.4.3
Wakil yang dipilih oleh Perwakilan Tahunan Bahagian sebanyak seorang wakil bagi tiap-tiap lima ratus (500) orang ahli dengan syarat bilangan wakil-wakil itu tidak lebih daripada tujuh (7) orang dari satu bahagian termasuk bahagian yang jawatankuasanya sedang digantung jika bahagian itu boleh mengadakan perwakilan bahagian dengan sempurna.

• MEMANSUHKAN FASAL KECIL 10.2
Menerima wang yuran tahunan yang dibayar melalui cawangan dan bahagian-bahagian yang dibuat mengikut Fasal 25.2 dan Fasal 26.1 dan menentukan tarikh pembayaran yuran mengikut Fasal 25.2 dan 25.3.

• MEMINDA FASAL KECIL 10.9
Dengan persetujuan dua pertiga daripada bilangan Ahli Majlis Tertinggi, berhak menolak semua sekali ahli Perwakilan Bahagian yang menghadiri Perhimpunan Agung.

• MEMINDA FASAL KECIL 14.4.3
Ketua Cawangan yang cawangannya telah mengadakan persidangan bagi tahun berkenaan. Ketua Cawangan yang menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian berhak melantik gantinya yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Ahli Jawatankuasa Cawangan.

• MEMINDA FASAL KECIL 14.4.4
wakil-wakil yang dilantik oleh Persidangan Cawangan sebanyak seorang wakil bagi tiap-tiap lima puluh (50) orang ahli tetapi jumlah ahli perwakilan itu tidak lebih daripada lima (5) orang dari satu cawangan.

• MEMANSUHKAN FASAL KECIL 15.13.4
Hendaklah menerima wang yuran tahunan yang dibayar oleh cawangan-cawangan.

• MEMINDA FASAL KECIL 15.13.8
Dengan persetujuan dua pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian, berhak menolak semua sekali ahli perwakilan cawangan.

• MEMINDA FASAL KECIL 17.4.3
Ahli-ahli UMNO yang telah menjelaskan yuran mengikut Fasal 25.1 Perlembagaan UMNO.

• MEMANSUHKAN FASAL KECIL 18.12.3
Hendaklah menerima wang yuran tahunan yang dibayar oleh ahli-ahli.

• MEMINDA FASAL KECIL 25.1
Tiap-tiap ahli biasa hendaklah membayar dengan wangnya sendiri sebanyak Ringgit Malaysia dua (RM2) untuk mendaftar sebagai ahli. Yuran tersebut merupakan bayaran untuk seumur hidup.

• MEMANSUHKAN FASAL KECIL 25.2
Yuran yang telah ditetapkan mengikut Fasal 25.1 diatas hendaklah dijelaskan tidak lewat daripada tarikh mengikut Fasal 24.2 atau satu tarikh yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi melainkan ia telah membayar yuran seumur hidup.

• MEMANSUHKAN FASAL KECIL 25.3
Bagi ahli-ahli yang membayar yuran tiap-tiap tahun, tarikh pembayaran yuran cawangan kepada bahagian dan bahagian ke Ibu Pejabat adalah ditetapkan oleh Majlis Tertinggi.

6. PENDAFTARAN KEAHLIAN

• MEMINDA FASAL KECIL 5.2
Permohonan mendaftar sebagai ahli biasa hendaklah dikemukakan kepada Ketua Cawangan atau Ketua Wanita Cawangan atau Ketua Pemuda Cawangan atau Ketua Puteri Cawangan masing-masing yang dikehendaki menerima dan meluluskan permohonan tersebut.

• MEMANSUHKAN FASAL KECIL 18.12.4
Mengkaji dan memanjangkan permohonan untuk menjadi ahli kepada Majlis Tertinggi melalui Jawatankuasa Bahagian.

• MEMINDA FASAL KECIL 18.12.11
Mengumpul dan menyediakan senarai pendaftaran ahli biasa UMNO yang baru serta melaporkannya kepada Jawatankuasa Bahagian atau Majlis Tertinggi.

7. PENGIKTIRAFAN KEPADA SETIAUSAHA BAHAGIAN

• MEMINDA FASAL KECIL 8.4.4
Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Ketua Pergerakan Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda, Ketua Pergerakan Puteri dan Setiausaha Bahagian yang telah mengadakan perwakilan bahagiannya. Mereka di atas yang menjadi Ahli Majlis Tertinggi berhak melantik gantinya yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Ahli Jawatankuasa Bahagian.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: