Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahi Rabbil A-lamin, wos-solatu wos-salamu ala Rasulillahi.
Rabbi ish-rah-li sodri wa-yassir-li amri wahlul uq-datan min-lisani yaf-qohu qauli.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
DAN SALAM SEJAHTERA, SALAM KASIH SAYANG, SALAM PERPADUAN 1MALAYSIA, SALAM 1SILAM,SALAM 1KOMUNITI




01.Sebelum saya meneruskan ucapan, saya ingin berkongsi petikan kata-kata Profesor Dokter Yusof Al-Qardhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor pada masa kini berkata: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur ” , tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.
Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauqi pernah bermadah yang bermaksud: “Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang.”
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati,
02. Pertama sekali marilah kita meletakkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam, yang mana dengan keredaan-Nya jua, kita dapat berhimpun pada pagi yang mulia ini.
03. Semangat untuk merealisasikan Mesyuarat Agung PIBG SK Pangi Kunak, yang berlandaskan misi dan visi bagi membentuk masyarakat penyayang, ibubapa prihatin, bermaklumat dan bijaksana sejajar dengan wawasan negara demi membina generasi bangsa dalam menentukan kejayaan anak-anak yang berprestasi tinggi. Dengan semangat dan kekuatan inilah, kita akan bangkit kembali membina keagungan generasi bangsa yang sungguh banyak jasanya pada negara tercinta.
04. Anak-anak adalah amanah Allah kepada ibubapanya. Kalau diibaratkan mutiara yang diserahkan kepada seseorang untuk menjaganya,maka mestilah orang yang berkenaan itu menjaganya agar tetap terpelihara keasliannya sebagaimana ketika ia diserahkan. Kalau diibaratkan harta yang diamanah supaya menjadi modal perniagaan pula, maka harta itu mestilah dipergunakan sebaiknya agar modal itu bertambah dan menghasilkan untung.
05. Anak-anak yang Allah amanahkan itu mestilah juga dijaga sepertimana yang dikehendaki oleh Allah.
Peribahasa melayu ada menyebut ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’
Sungguh pun begitu, ini tak bermakna mendidik anak-anak di waktu kecil boleh dianggap mudah sehingga dibuat dengan sesuka hati kita. Sebenarnya perumpamaan melayu di atas kalau difahami sungguh–sungguh ternyata membawa maksud susahnya tugas mendidik anak-anak, sesusah membentuk rebung.
06. Apa tidaknya, rebung itu lembut, kalau dilentur semahu kita secara kasar pastinya akan patah, akhirnya buluh tak menjadi, kalau menjadi pun buluh yang cacat. Begitulah dalam mendidik anak-anak. Tidak boleh ambil sambil lewa saja. Ia mesti dirancang dan disusun dengan rapi agar apa yang kita harapkan itu terhasil dengan sempurna.
Untuk itu anak-anak hendaklah dilatih dan ditanamkan dengan rasa bertuhan dan rasa kehambaan sedari kecil lagi sepertimana sabda Rasullallah. S.A.W :
“Awal-awal agama mengenal Tuhan”
Juga sedari kecil lagi anak-anak perlu dibiasakan melakukan perbuatan dan perkerjaan yang baik.
“Setiap anak adam itu dilahirkan suci bersih dan sesungguhnya kedua ibubapanya yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” – Bukhari Muslim
07. Anak-anak ini perlu disuburkan rohnya, akalnya dan fizikalnya. Ketiga-tiga faktor ini perlu seimbang tidak boleh ditekan pada satu faktor saja. Kerana ketidak seimbangan ini akan merosakkan samada akalnya, fizikalnya atau rohnya.
08. Jika pendidikan hanya tertumpu pada akal sahaja, anak-anak akan membesar tanpa mengenali Tuhan. Jika berjaya dia akan merasakan itu semua kerana usahanya semata-mata.
09. Jika hanya fizikal anak-anak saja yang disuburkan, nanti mereka akan jadi malas, tiada ketahanan diri, banyak makan dan malas berfikir.
10. Manakala jika rohnya saja diberi pengisian, anak-anak akan jadi jumud. Perkembangan fikirannya tidak mengikut arus perdana, sensitif dan emosional tidak pada tempatnya. Tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku disekelilingnya. Tidak berfikiran terbuka (open minded) dan sebagainya.
Kesimpulannya, untuk mendidik roh, akal dan fizikal anak-anak perlu serentak dan pembinaannya hendaklah berperingkat-peringkat mengikut tumbesaran dan umur anak-anak.
Tuan-tuan dan puan-puan yang diihormati,
11. Majlis Pelancaran Kerjasama Penyelidikan UKM-PROPER P188 SILAM yang dihadiri oleh Profesor Dr seramai 33 orang dan dalam masa yang sama juga telah melancarkan SILAM FEST 2009. Program seumpama ini bertujuan membangunkan Modal Insan ketahap yang berprestasi tinggi dan boleh berdaya saing dan berdaya maju standing dengan modal insan yang tinggal dikawasan Bandar. Membentuk satu masyarakat yang boleh keluar dari paras kemiskinan tegar dan miskin. Berdasarkan kajian UKM dianggarkan lebih kurang 5,000 orang rakyat termiskin yang memerlukan pembelaan dikawasan kita. Melalui penyelidikan ini secara automotik pihak UKM akan mencari punca dan cara mengatasi masalah ini supaya boleh hidup berdikari sama seperti masyarakat yang menerima perubahan dan membina hidup baru. Kajian yang dijalankan kelak, melibatkan pembangunan pelancongan,pendidikan,social,ekonomi,sejarah,akuakultur,kemasyarakatan dan lain-lain lagi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati,
12. Perpaduan nasional amat penting untuk melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa arus globalisasi.
13. Justeru itu, setiap lapisan rakyat Malaysia perlu sama-sama mengekalkan keamanan dan kestabilan dalam negara serta mengelak pencerobohan atau campurtangan asing.
Petikan kata-kata Perdana Menteri Malaysia Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abd.Razak katanya berbunyi ;
“Walau apapun dugaan, walau apapun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung”.
Jika Kita Bersatu Hati, Bersatu Tekat dan Membulatkan Usaha, Maka Kita Akan Berupaya Bersama-Sama Mendaki Puncak Yang Paling Tinggi Menuruni Cerun Yang Paling Curam dan Menyelami Lautan Yang Paling Dalam”
14. Rakyat Parlimen Silam, Sabah sememangnya beruntung kerana menjadi salah sebuah Parlimen yang menepati ciri-ciri 1Malaysia seperti yang diperkatakan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Rakyat di sini sentiasa bersatu padu dan keadaan ini perlu dikekalkan.
15. Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana dapat hidup dalam suasana aman, menjalankan kehidupan seharian tanpa ada gangguan dan tekanan akibat masalah mahupun pergolakan politik seperti yang dihadapi oleh sesetengah negara di dunia ini.
16. Matlamat utama konsep 1Malaysia ialah meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum terhadap aspek perpaduan nasional seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
17. Lapan nilai utama yang diterapkan oleh Perdana Menteri dalam 1Malaysia bagi memastikan pencapaian hasrat rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan ialah Nilai-nilai budaya yang berprestasi tinggi , ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
18. Berikut adalah tips bahagaimana ibubapa melentur anak-anak agar berprestasi tinggi dalam bidang pelajaran.
1. Optimistik
Pelajar yang berprestasi tinggi sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan ‘aku BOLEH!’
2. Jangan bersikap pesimistik
Pelajar berprestasi tinggi tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.
3. Kesedaran memikul tanggungjawab
Pelajar yang berprestasi tinggi mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.
4. Tumpuan sepenuh hati
Pelajar yang berprestasi tinggi memerlukan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan ‘terpelajar’ pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.
5. Mulakan dari awal
Pelajar yang berprestasi tinggi membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi ‘bidan terjun’ ke dewan peperiksaan.
6. Sentiasa bersedia
Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata ‘Ya!’ Kalau anda peminat ‘The Rock’ anda akan berkata ‘Just bring it on..!’
7. Lengkapkan peralatan
Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa ‘bengang’?
8. Tepati waktu belajar
Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
9. Dapatkan bantuan guru
Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
10. Hormati guru
Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.
11. Bersoal jawab dengan guru
Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata ‘carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab’.
12. Beri pandangan membina
Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.
13. Berbincang dengan rakan
Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.
14. Siapkan tugasan yang diberi
Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.
15. Tubuhkan kumpulan studi
Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.
16. Sering masuk perpustakaan
Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah tempat yang sangat sesuai untuk anda mentelaah pelajaran.
17. Baca akhbar
Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.
18. Menonton rangcangan yang sesuai
Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi. Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti ‘Discovery’) dan berita semasa.
19. Lakukan peperiksaan kendiri
Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang ‘penyakit’ anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari ubatnya.
20. Sediakan jadual waktu
Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
21. Sertai ceramah motivasi
Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.
22. Sertai seminar peperiksaan
Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Sertainya seminar-seminar yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain daripada pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua berguna.
23. Beli buku rujukan
Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, “Don’t judge the book by its cover.” Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.
24. Masuk kelas tuisyen
Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
25. Lawatan ke pameran buku
Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan. Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir pada buku dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu, ilmu itu pula akan sering menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai minyak wangi, keharumannya akan terlekat juga. Kalau anda masuk ke kandang najis… (fikirlah sendiri)
26. Sertai kokurikulum sekolah
Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat akan melahirkan pemikiran yang lembab.
27. Sanggup manghadapi cabaran
Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang maha hebat. Pandai-pandailah membawa diri.
28. Jaga keselamatan diri
Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.
29. Jaga kesihatan fizikal
Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan atau ‘junk-food’. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.
30. Makanan seimbang
Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.
31. Malu bertanya sesat jalan
Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.
32. Sembahyang
Pelajar yang berprestasi tinggi menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
33. Doa
Pelajar yang berprestasi tinggi sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
34. Tawakkal
Pelajar yang berprestasi tinggi berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,
Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global pada masa ini, golongan belia menghadapi cabaran yang sangat hebat. golongan ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi dengan budaya Hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dengan amalan seks bebas, ketagih rokok,berjudi, meminum arak, dan terdedah kepada bahan-bahan lucah serta banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan. Persoalan besar timbul ialah apakah golongan belia yang mengamalkan gaya hidup tidak sehat, mampu untuk memikul amanah mengurus, mentadbir Agama dan dapat mempertahankan serta menjamin kedaulatan Negara? justeru itu marilah kita terutama ibu bapa dan belia sekalian sama-sama berganding bahu dan bekerjasama untuk membina anak bangsa kita dengan acuan dan cara hidup sehat yang berteraskan ajaran Islam yang suci ini. Ini selaras dengan Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ (٦)
Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.”
Bilangan belia di negara ini dianggarkan berjumlah seramai 12 juta orang yang amat diyakini mempunyai pelbagai kebolehan dan kepakaran yang baik. Oleh yang demikian marilah kita bersepadu membela dan menjadi penyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sehat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup. Mereka juga perlu mencegah,menghalang dan menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran yang bertentangan dengan syariat Islam.
Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa hadapan negara, maka mereka perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan kearah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat Agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik.
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٠٤)
(Surah Ali-Imran ayat : 104)
Bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
Tuan-tuan dan puan-puan,
19. Syabas dan tahniah kepada Jatawankuasa penganjur Mesyuarat Agung PIBG SK Pangi Kunak, Sabah yang Berjaya dengan berprestasi tinggi melaksanakan mesyuarat ini. Tahniah kepada ibubapa yang terus memberi sokongan kepada Persatuan PIBG yang bertanggungjawab merencana Pembangunan Modal Insan terbaik.
20. Sebelum saya merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SK Pangi marilah bersama-sama saya berdoa memohon rahmat dan hidayah semoga hari-hari kita mendapat keberkatan dan hidayah Allah SWT.
21. Bsimillahirrahman nirrahim….
YA ALLAH YA TUHAN KAMI.. KAMI SAMBUT KEDATANGAN HARI INI DENGAN KESYUKURAN KEPADAMU.SEMPURNAKAN NIKMATMU UNTUK KAMI PADA HARI INI DAN KEKALKANLAH NIKMAT YANG TELAH ENGKAU KURNIAKAN KEPADA KAMI SELAMA INI DAN MENGECAP SEGALA NIKMAT YANG DIKURNIAKAN KEPADA KAMI.. YA ALLAH YA TUHAN KAMI, KAMI MEMOHON KEPADAMU AKAN NIKMAT SECUKUP-CUKUPNYA, MEMOHON KESIHATAN SEMULIA-MULIANYA, MEMOHON REZEKI SEMEWAH-MEWAHNYA, MEMOHON UMUR SEBERKAT-BERKATNYA, MEMOHON RAHMAT DAN NIKMAT SEBANYAK-BANYAKNYA MEMOHON ANUGERAH SEBAIK-BAIKNYA, MEMOHON SIFAT LEMAH LEMBUT YANG SEHALUS-HALUS HIKMAHNYA, MEMOHON AMAL YANG SEBENAR-BENAR FAEDAHNYA.AMIN..
Dengan Lafaz Kalimah Suci Bismillahirrahmanirrohim saya merasmikan MESYUARAT AGUNG PIBG SK. PANGI KUNAK dengan Rasminya.
Sekian,
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
“Ketradisionalan Dalam Kemodenan”
“Kasih Sayang Mengeratkan Silaturrahim dan Perpaduan”
“1Malaysia, 1Silam, 1Komuniti”
Yang benar,
YANG BERHORMAT TUAN HAJI SALLEH BIN HAJI KALBI
Ahli Parlimen Malaysia, P188 Silam merangkap
Duta Keamanan UPF PBB