Pantau tuntutan YB

 

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my

SPRM tubuh pasukan khas kaji sistem, prosedur perbelanjaan Adun, Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Bagi membanteras amalan rasuah dan penyelewengan di kalangan wakil rakyat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas untuk membuat kajian menyeluruh terhadap peraturan, sistem dan prosedur serta kawalan dalaman perbelanjaan yang peruntukan kepada Adun serta Ahli Parlimen.

Penubuhannya dan langkah yang bakal dilaksanakan dilihat mampu menutup ruang serta peluang perlakuan rasuah di kalangan wakil rakyat, terutama penyelewengan wang peruntukan.

 

Ia juga bagi membuktikan SPRM dan kerajaan memandang serius mengenai pendakwaan kes penyelewengan peruntukan Adun dan Ahli Parlimen baru-baru ini, kerana kebanyakan kes yang disiasat adalah kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

Menurut kenyataan akhbar SPRM semalam, pasukan khas yang akan dikendalikan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM itu akan menjalankan kajian menyeluruh dan ia selaras peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 7(c) Akta SPRM.

Mengikut akta itu, SPRM berkuasa meneliti amalan, sistem dan tatacara badan awam untuk memudahkan penemuan kesalahan di bawah akta itu serta mengkajinya semula bagi membendung perlakuan rasuah.

Selain itu, Unit Pendidikan Masyarakat SPRM sudah diarah mengadakan sesi taklimat bersama wakil rakyat bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai bentuk kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Taklimat bertujuan membantu Adun dan Ahli Parlimen mengelakkan mereka daripada melakukan kesalahan yang boleh membawa kepada salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya.

Selasa lalu, enam ahli politik didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, termasuk Ahli Parlimen Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri dan bekas Adun Teratai, Yap Soo Sun kerana membuat tuntutan palsu antara Januari dan Februari tahun lalu.

Abdul Rahman yang juga Ketua Umno Sabak Bernam menghadapi lapan tuduhan mengemukakan butiran palsu untuk tuntutan berjumlah RM80,000 ketika menjadi Adun Sungai Air Tawar.

Yap pula menghadapi tujuh tuduhan mengemukakan permohonan peruntukan Adun mengandungi butiran palsu membabitkan RM70,000 untuk program mesra rakyat, sambutan Thaipusam dan Tahun Baru Cina.

Pembantu tadbir Ahli Parlimen itu, Rosli Busro, didakwa bagi lapan tuduhan bersubahat dengannya untuk membuat tuntutan palsu itu, manakala pembantu Yap, Mohd Firdaus Abu Zarin, menghadapi tujuh pertuduhan bersubahat dengan Yap.

Turut didakwa, Wong Chuan How, iaitu pegawai peribadi Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu dan bekas pegawai tugas khas Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri yang masing-masing menghadapi tiga dan dua tuduhan salah guna kuasa dan memalsukan dokumen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: