Archive for 26 Disember 2009

MERRY CHRISTMAS & A HAPPY NEW YEAR!

Disember 26, 2009

Sorotan 2009: Pentadbiran Najib bermula cemerlang

Disember 26, 2009

Sorotan 2009: Pentadbiran Najib bermula cemerlang

 

1Malaysia antara bukti kesungguhan Perdana Menteri keenam untuk kesejahteraan rakyat semua kaum

APABILA Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu, ramai teringat kepada Allahyarham ayahanda beliau, Tun Abdul Razak Hussein. Seperti bapanya yang mesra dengan rakyat, Najib mengutamakan kesejahteraan rakyat, lantas mengilhamkan gagasan ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ sebagai teras dasar pentadbirannya.

Tidak sampai sebulan menjadi Perdana Menteri, Najib memperkenalkan budaya kerja ‘tinjauan mesra’, iaitu turun padang berjalan dan menemui orang ramai di beberapa lokasi terpilih termasuk di Jalan Petaling, Pantai Dalam dan Brickfields di ibu negara bagi meninjau kehidupan masyarakat akar umbi.

Program itu kemudian diteruskan di beberapa lokasi lain di seluruh negara. Pendekatan itu berpandukan pengalaman arwah ayahandanya, yang ketika menjadi Perdana Menteri kedua, sentiasa tekad menyelami hati rakyat di kampung dan melawat sawah bendang dan tanah rancangan dengan menunggang basikal atau berperahu.

Najib turut meninjau sistem pengangkutan awam dengan menaiki tren LRT dan melawat stesen bas di Hentian Puduraya. Beliau juga mahukan pegawai tinggi kerajaan turun padang dari semasa ke semasa untuk memahami masalah pelanggan masing-masing.

Gagasan 1Malaysia pula adalah cetusan beliau bagi mengukuhkan perpaduan masyarakat Malaysia berasaskan perasaan saling hormat dan percaya mempercayai dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama. Ke arah itu, Najib mengumumkan bahawa beliau bekerjasama dengan sesiapa saja termasuk dengan parti di luar Barisan Nasional (BN).

Begitu bersungguhnya Najib mahu rakyat bersatu hati, maka beliau sendiri sudi menerima jemputan melancarkan parti baru Makkal Sakti semata-mata mahu melihat masyarakat India bersatu. Najib seterusnya menetapkan Petunjuk Pencapaian Utama (KPI) bagi jentera pentadbirannya selain menggariskan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), antaranya bagi mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah.

Tidak sampai setahun sebagai Perdana Menteri, Najib dilihat berani membuat keputusan demi mengutamakan kepentingan rakyat. Rakyat di Kelantan misalnya, walaupun diperintah oleh Pas, kini menikmati pemberian wang ihsan daripada kerajaan Pusat hasil pengeluaran minyak di luar pesisir negeri itu mulai tahun depan.

Sama seperti Terengganu, pembayaran wang ihsan kepada Kelantan dibuat kerajaan Pusat selepas mengambil kira keperluan untuk membangunkan Kelantan serta meningkatkan kesejahteraan hidup penduduknya selaras dengan arus pembangunan negara.

Sebagai Presiden Umno pula, Najib mengambil langkah berani bagi menjadikan parti itu lebih telus, inklusif dan demokratik apabila mencadangkan pindaan terhadap Perlembagaan Umno. Pindaan perlembagaan itu berlaku enam bulan selepas beliau memimpin Umno dalam usaha membanteras politik wang dan menjadikan parti Melayu itu mampu menjuarai nasib seluruh rakyat.

Antara tujuh pindaan terhadap Perlembagaan Umno itu, yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas Umno dua bulan lalu, ialah mengubah kaedah pemilihan bagi jawatan parti supaya terbuka dan tanpa kuota.

Satu lagi keputusan tegas Najib ialah memutuskan BN tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei lalu atas dasar prinsip.

Keputusan itu dibuat kerana kerusi itu dikosongkan oleh penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas desakan parti itu dan bukannya disebabkan oleh kehendak Perlembagaan seperti akibat kematian, dan Najib melihat itu, hanya sebagai satu permainan politik pembangkang.

Dari segi hubungan luar pula, Najib pantas sekali bertindak mengukuhkan lagi hubungan persahabatan yang terjalin sekian lama iaitu dengan China, Indonesia dan Thailand.

Presiden China, Hu Jintao dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono melakukan lawatan rasmi ke negara ini awal bulan lalu dan pelbagai bentuk kerjasama dirangka dalam meningkatkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.

Jun lalu, Najib membuat lawatan ke China, iaitu dua bulan selepas mengambil alih tampuk kepemimpinan negara. Hakikatnya, China ialah negara bukan Asean pertama yang beliau lawati, dan ia menggambarkan hubungan strategik penting dengan Beijing dalam dasar luarnya.

Dengan Thailand, Najib menunjukkan komitmen Malaysia yang tinggi dalam membantu usaha mencari penyelesaian di wilayah bergolak di selatan negara itu apabila melawat Narathiwat. Bersama rakan sejawatnya, Abhisit Vejjajiva, beliau mengunjungi wilayah yang bergolak itu dan lawatannya itu amat signifikan dan menghantar isyarat jelas bahawa kedua-dua negara mahu menyaksikan keamanan di wilayah berkenaan.

Belum pun setahun jagung, pentadbiran Najib sudah boleh dinilai sebagai satu permulaan yang cemerlang. – Bernama

AS minta laporan terperinci kes dua enjin F-5E hilang

Disember 26, 2009

AS minta laporan terperinci kes dua enjin F-5E hilang

Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my

Pengeluar pesawat jet perang anggap kejadian jejas isu keselamatan

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) meminta Malaysia menyediakan laporan lengkap kehilangan dua enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan dua tahun lalu.

Difahamkan, permintaan dibuat atas kapasiti AS sebagai negara pengeluar pesawat dan mahu menggunakan laporan itu untuk

siasatan kerana ia membabitkan isu keselamatan.

Sumber memberitahu Berita Harian, perkara itu sudah dimaklumkan secara rasmi kepada Kerajaan Malaysia melalui Kedutaan AS di ibu negara.

“Kehilangan peralatan itu tidak boleh dipandang ringan kerana menyentuh isu keselamatan. Justeru, siasatan terperinci perlu dilakukan,” katanya.

Pada Jun dan November 2007, dua enjin pesawat F-5E yang berpangkalan di Skuadron 12 Scorpion Butterworth dilaporkan hilang ketika proses penyelenggaraan rutin, dipercayai didalangi orang dalam syarikat penyelenggaraan pesawat itu yang turut dibantu orang dalam.

Kehilangan enjin pertama dilaporkan di Gudang Material Udara I, Sungai Besi, manakala enjin kedua hilang sebaik meninggalkan pangkalannya di Butterworth untuk ke ibu negara. Ia dipercayai sebagai komponen alat ganti kepada pembeli antarabangsa dari Amerika Latin.

Bagaimanapun, kehilangan kedua-dua enjin bernilai RM100 juta itu hanya disedari setahun selepas itu sebelum laporan polis dibuat di Ibu pejabat Daerah (IPD) Brickfields, 4 Ogos 2008.

Semalam, Kabinet mengarahkan sebarang kenyataan, termasuk perkembangan kes itu hanya boleh dikeluarkan Pejabat Peguam Negara bagi mengelak gangguan siasatan, selain melindungi imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terutama TUDM.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan AS, Tina Malone, dalam satu kenyataan semalam memaklumkan kerajaan negaranya memandang serius kejadian itu.

Katanya, AS mengikuti laporan media mengenai kehilangan enjin berkenaan sejak ia mula didedahkan kumpulan akhbar New Straits Times Press (NSTP) pada Sabtu lalu yang mengejutkan banyak pihak.

“Kerajaan AS amat bimbang dengan kehilangan ini. Kita juga akan menemui agensi berkaitan di negara ini untuk membincangkan isu itu,” katanya.

AS adalah antara negara pengeluar peralatan ketenteraan, termasuk pesawat tempur di dunia, malah sektor itu antara penyumbang ekonomi terbesar negara itu.

Kerajaan Beri Jaminan Kepentingan Rakyat Diutamakan, Kata Dompok

Disember 26, 2009

 

Kerajaan Beri Jaminan Kepentingan Rakyat Diutamakan, Kata Dompok

KOTA KINABALU, 23 Dis (Bernama) — Rakyat, tanpa mengira bangsa dan kepercayaan, diberi jaminan bahawa kepentingan mereka akan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok.

Katanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sensitiviti sesetengah masyarakat sentiasa dipelihara dan seringkali terdapat kemungkinan permintaan rakyat akan dipenuhi sejajar dengan harapan 1Malaysia.

“Ramai orang mendapati sukar untuk mempercayai bahawa kebebasan beragama berjalan dengan baik di Malaysia.

“Pertubuhan bukan Islam di negara ini tidak seharusnya merasakan bahawa kepentingan mereka kurang diberi perhatian oleh kerajaan,” beliau berkata pada majlis sambutan Krismas peringkat daerah Penampang di sini malam ini.

Dompok yang juga anggota Parlimen Penampang berkata kerajaan telah membuktikan yang ia amat prihatin terhadap semua bangsa dan agama, terutamanya apabila Kabinet baru-baru ini membenarkan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil dua mata pelajaran tambahan pilihan mereka bermula tahun depan.

Ini, katanya membolehkan pelajar terus meningkatkan penguasaan bahasa ibunda mereka jika mereka memilih satu subjek bahasa pilihan atau mengamalkan ajaran agama jika memilih mata pelajaran agama.

“Banyak pertubuhan Kristian gembira dengan pengumuman ini, walaupun ia tidak akan diambil kira dalam keputusan keseluruhan peperiksaan.

“Tetapi dengan memberi kebebasan kepada pelajar Kristian untuk mengambil mata pelajaran Pengajian Bible dalam peperiksaan kebangsaan membuktikan bahawa kerajaan memahami kepentingan penganut Kristian. Ini adalah hadiah terbaik Krismas kepada semua penganut Kristian di Malaysia tahun ini,” katanya.

— BERNAMA

‘Semua setuju ISA kekal’

Disember 26, 2009

‘Semua setuju ISA kekal’

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my

Ia dianggap terbaik jamin keselamatan negara: Hisham

PUTRAJAYA: Hasil enam Pertemuan Awam bagi mendapatkan reaksi pihak berkepentingan mengenai pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960 mendapati semua pihak bersetuju akta itu penting dan mahu ia dikekalkan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, semua pihak terbabit dalam pertemuan itu, agensi penguatkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar akademik, pengamal undang-undang, ahli politik, Ahli Parlimen, pengamal media dan orang awam, sependapat akta itu penting untuk tindakan pencegahan awal sebarang perbuatan atau keganasan yang mengancam keselamatan negara.

Katanya, kementerian mengenal pasti lima isu pokok yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap penguatkuasaan dan pelaksanaan AKDN 1960 iaitu membabitkan kuasa menteri, tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap orang tahanan serta persepsi umum bahawa pelaksanaan AKDN 1960 bagi tujuan politik dan penahanan tanpa bicara.

“Hasil daripada sesi pertemuan awam dan lima sesi perbincangan bersama kumpulan fokus, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-Undang kini di peringkat akhir untuk meneliti setiap cadangan yang dikemukakan sebelum sebarang pindaan dibentangkan di Parlimen.

“Setiap kajian dan penelitian terperinci yang dilakukan mengambil kira lima isu pokok bagi memastikan sebarang pindaan atau penambahbaikan pada AKDN 1960 adalah adil dan tidak akan menimbulkan salah faham atau persepsi negatif rakyat apabila dikuatkuasakan.

“AKDN 1960 adalah undang-undang pencegahan yang penting dan kerajaan berpendapat ISA terbaik dan berupaya untuk mengekalkan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat kestabilan negara dan rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Berikutan itu, beliau berkata, sebarang penggubalan atau pindaan berhubung kait dengannya memerlukan kajian dan penelitian terbaik.

Hishammuddin berkata, Jawatankuasa Teknikal itu turut membuat perbandingan undang-undang sedia ada yang diamalkan di negara lain seperti Amerika Syarikat (USA Patriot Act 2001 & Homeland Security Act 2002); Australia (Terrorism Act 2005); United Kingdom (Terrorism Act 2000); Singapura (Internal Security Act 1963); Tanzania (Tanganyika Preventive Detention 1962); Bangladesh (Special Powers Act 1974); Ghana (Preventive Detention Act 1958); Israel (Emergency Powers [Detention] Law) dan Sri Lanka (Prevention Of Terrorism Act 1982).

Selain itu, katanya, jawatankuasa berkenaan meneliti hasil kajian dan penulisan oleh ahli akademik, pengamal undang-undang dan pelbagai pihak lain, khususnya yang berkaitan dengan pelaksanaan ISA.

Beliau berkata, pindaan itu akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.