‘Semua setuju ISA kekal’

‘Semua setuju ISA kekal’

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my

Ia dianggap terbaik jamin keselamatan negara: Hisham

PUTRAJAYA: Hasil enam Pertemuan Awam bagi mendapatkan reaksi pihak berkepentingan mengenai pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960 mendapati semua pihak bersetuju akta itu penting dan mahu ia dikekalkan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, semua pihak terbabit dalam pertemuan itu, agensi penguatkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar akademik, pengamal undang-undang, ahli politik, Ahli Parlimen, pengamal media dan orang awam, sependapat akta itu penting untuk tindakan pencegahan awal sebarang perbuatan atau keganasan yang mengancam keselamatan negara.

Katanya, kementerian mengenal pasti lima isu pokok yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap penguatkuasaan dan pelaksanaan AKDN 1960 iaitu membabitkan kuasa menteri, tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap orang tahanan serta persepsi umum bahawa pelaksanaan AKDN 1960 bagi tujuan politik dan penahanan tanpa bicara.

“Hasil daripada sesi pertemuan awam dan lima sesi perbincangan bersama kumpulan fokus, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-Undang kini di peringkat akhir untuk meneliti setiap cadangan yang dikemukakan sebelum sebarang pindaan dibentangkan di Parlimen.

“Setiap kajian dan penelitian terperinci yang dilakukan mengambil kira lima isu pokok bagi memastikan sebarang pindaan atau penambahbaikan pada AKDN 1960 adalah adil dan tidak akan menimbulkan salah faham atau persepsi negatif rakyat apabila dikuatkuasakan.

“AKDN 1960 adalah undang-undang pencegahan yang penting dan kerajaan berpendapat ISA terbaik dan berupaya untuk mengekalkan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat kestabilan negara dan rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Berikutan itu, beliau berkata, sebarang penggubalan atau pindaan berhubung kait dengannya memerlukan kajian dan penelitian terbaik.

Hishammuddin berkata, Jawatankuasa Teknikal itu turut membuat perbandingan undang-undang sedia ada yang diamalkan di negara lain seperti Amerika Syarikat (USA Patriot Act 2001 & Homeland Security Act 2002); Australia (Terrorism Act 2005); United Kingdom (Terrorism Act 2000); Singapura (Internal Security Act 1963); Tanzania (Tanganyika Preventive Detention 1962); Bangladesh (Special Powers Act 1974); Ghana (Preventive Detention Act 1958); Israel (Emergency Powers [Detention] Law) dan Sri Lanka (Prevention Of Terrorism Act 1982).

Selain itu, katanya, jawatankuasa berkenaan meneliti hasil kajian dan penulisan oleh ahli akademik, pengamal undang-undang dan pelbagai pihak lain, khususnya yang berkaitan dengan pelaksanaan ISA.

Beliau berkata, pindaan itu akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: