Sorotan 2009: Pentadbiran Najib bermula cemerlang

Sorotan 2009: Pentadbiran Najib bermula cemerlang

 

1Malaysia antara bukti kesungguhan Perdana Menteri keenam untuk kesejahteraan rakyat semua kaum

APABILA Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu, ramai teringat kepada Allahyarham ayahanda beliau, Tun Abdul Razak Hussein. Seperti bapanya yang mesra dengan rakyat, Najib mengutamakan kesejahteraan rakyat, lantas mengilhamkan gagasan ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ sebagai teras dasar pentadbirannya.

Tidak sampai sebulan menjadi Perdana Menteri, Najib memperkenalkan budaya kerja ‘tinjauan mesra’, iaitu turun padang berjalan dan menemui orang ramai di beberapa lokasi terpilih termasuk di Jalan Petaling, Pantai Dalam dan Brickfields di ibu negara bagi meninjau kehidupan masyarakat akar umbi.

Program itu kemudian diteruskan di beberapa lokasi lain di seluruh negara. Pendekatan itu berpandukan pengalaman arwah ayahandanya, yang ketika menjadi Perdana Menteri kedua, sentiasa tekad menyelami hati rakyat di kampung dan melawat sawah bendang dan tanah rancangan dengan menunggang basikal atau berperahu.

Najib turut meninjau sistem pengangkutan awam dengan menaiki tren LRT dan melawat stesen bas di Hentian Puduraya. Beliau juga mahukan pegawai tinggi kerajaan turun padang dari semasa ke semasa untuk memahami masalah pelanggan masing-masing.

Gagasan 1Malaysia pula adalah cetusan beliau bagi mengukuhkan perpaduan masyarakat Malaysia berasaskan perasaan saling hormat dan percaya mempercayai dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama. Ke arah itu, Najib mengumumkan bahawa beliau bekerjasama dengan sesiapa saja termasuk dengan parti di luar Barisan Nasional (BN).

Begitu bersungguhnya Najib mahu rakyat bersatu hati, maka beliau sendiri sudi menerima jemputan melancarkan parti baru Makkal Sakti semata-mata mahu melihat masyarakat India bersatu. Najib seterusnya menetapkan Petunjuk Pencapaian Utama (KPI) bagi jentera pentadbirannya selain menggariskan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), antaranya bagi mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah.

Tidak sampai setahun sebagai Perdana Menteri, Najib dilihat berani membuat keputusan demi mengutamakan kepentingan rakyat. Rakyat di Kelantan misalnya, walaupun diperintah oleh Pas, kini menikmati pemberian wang ihsan daripada kerajaan Pusat hasil pengeluaran minyak di luar pesisir negeri itu mulai tahun depan.

Sama seperti Terengganu, pembayaran wang ihsan kepada Kelantan dibuat kerajaan Pusat selepas mengambil kira keperluan untuk membangunkan Kelantan serta meningkatkan kesejahteraan hidup penduduknya selaras dengan arus pembangunan negara.

Sebagai Presiden Umno pula, Najib mengambil langkah berani bagi menjadikan parti itu lebih telus, inklusif dan demokratik apabila mencadangkan pindaan terhadap Perlembagaan Umno. Pindaan perlembagaan itu berlaku enam bulan selepas beliau memimpin Umno dalam usaha membanteras politik wang dan menjadikan parti Melayu itu mampu menjuarai nasib seluruh rakyat.

Antara tujuh pindaan terhadap Perlembagaan Umno itu, yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas Umno dua bulan lalu, ialah mengubah kaedah pemilihan bagi jawatan parti supaya terbuka dan tanpa kuota.

Satu lagi keputusan tegas Najib ialah memutuskan BN tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei lalu atas dasar prinsip.

Keputusan itu dibuat kerana kerusi itu dikosongkan oleh penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas desakan parti itu dan bukannya disebabkan oleh kehendak Perlembagaan seperti akibat kematian, dan Najib melihat itu, hanya sebagai satu permainan politik pembangkang.

Dari segi hubungan luar pula, Najib pantas sekali bertindak mengukuhkan lagi hubungan persahabatan yang terjalin sekian lama iaitu dengan China, Indonesia dan Thailand.

Presiden China, Hu Jintao dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono melakukan lawatan rasmi ke negara ini awal bulan lalu dan pelbagai bentuk kerjasama dirangka dalam meningkatkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.

Jun lalu, Najib membuat lawatan ke China, iaitu dua bulan selepas mengambil alih tampuk kepemimpinan negara. Hakikatnya, China ialah negara bukan Asean pertama yang beliau lawati, dan ia menggambarkan hubungan strategik penting dengan Beijing dalam dasar luarnya.

Dengan Thailand, Najib menunjukkan komitmen Malaysia yang tinggi dalam membantu usaha mencari penyelesaian di wilayah bergolak di selatan negara itu apabila melawat Narathiwat. Bersama rakan sejawatnya, Abhisit Vejjajiva, beliau mengunjungi wilayah yang bergolak itu dan lawatannya itu amat signifikan dan menghantar isyarat jelas bahawa kedua-dua negara mahu menyaksikan keamanan di wilayah berkenaan.

Belum pun setahun jagung, pentadbiran Najib sudah boleh dinilai sebagai satu permulaan yang cemerlang. – Bernama

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: