Archive for Disember 2009

Sabah Lancar Kempen Pengurangan Penggunaan Gula Bulan Depan

Disember 25, 2009

Sabah Lancar Kempen Pengurangan Penggunaan Gula Bulan Depan

KOTA KINABALU, 23 Dis (Bernama) — Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah akan melaksanakan kempen pengurangan penggunaan gula bulan depan bagi meminimumkan kebergantungan pengambilan gula di kalangan masyarakat.

Pengarahnya Jaafar Walad berkata kempen itu juga merupakan usaha menangani masalah kekurangan bekalan gula yang sering berlaku di Sabah, terutamanya pada musim perayaan.

“Kempen itu bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna mengenai keburukan pengambilan gula berlebihan kepada kesihatan mereka.

“Kita juga berharap kempen itu akan membantu mengatasi masalah kekurangan gula yang sering berlaku di negeri ini sehingga mengundang masalah lain seperti kenaikan harga oleh peruncit,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas di Pasar Besar Kota Kinabalu di sini Rabu.

Beliau juga berkata sehingga November lepas, sebanyak 55 juta kilogram gula telah dibawa masuk ke Sabah, namun bekalan masih tidak mencukupi.

“Kita mengandaikan setiap pengguna di negeri ini mengambil kira-kira 1.69 kilogram gula dalam sebulan. Jumlah itu amat tinggi dan harus dikurangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Jaafar berkata Sabah akan memperolehi bekalan gula 1 juta kilogram, 28 Dis ini.

— BERNAMA

Hubungan kekeluargaan bawa keberkatan

Disember 25, 2009

Hubungan kekeluargaan bawa keberkatan

 

MEGAT Ady Putra melihat keputusan PMR 7A 1B bersama ibunya, Raja Azizah.

KUALA LUMPUR: Komitmen dan bersikap positif menjadi pendorong kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 4, Subang Jaya, Sakinah Khaidzir, 15, mendapat keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Saya sentiasa fokus terhadap apa yang ingin dicapai dan berusaha gigih untuk mendapatkannya. Belajar bersama rakan selain menelaah selama dua jam sehari adalah antara rahsia kejayaan saya.

“Selain usaha gigih, saya rasa setiap pelajar harus menjaga hubungan kekeluargaan yang baik bagi mendapat keberkatan,” katanya ketika di temui di Balai Berita, semalam.

Bapanya, Khaidzir Ishak Ubah, 47 berkata beliau tidak pernah memberi tekanan kepada anaknya untuk belajar tetapi bersyukur kerana Sakinah sentiasa menyedari tanggungjawabnya sebagai pelajar.

Sementara itu, anak Mahaguru dan pengasas Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia, Megat Ady Putra Datuk Omardin Mauju. yang memperoleh 7A 1B berkata, latihan secara konsisten melalui sisipan Minda terbitan Berita Harian pada setiap Selasa adalah antara faktor kejayaannya.

Walaupun perlu mengikuti latihan silat tiga kali seminggu di Gombak Setia, anak bongsu daripada empat adik-beradik dari Sekolah Menegah Kebangsaan St John, Kuala Lumpur ini menyifatkan seni kemahiran diri itu membuatkannya lebih cergas dan tenang menghadapi pelajaran.

28,188 semua A

Disember 25, 2009

28,188 semua A

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my

PELAJAR cemerlang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu ceria bersama keputusan PMR masing-masing.

Prestasi calon luar bandar makin baik

PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar atau 6.37 peratus daripada 442,721 calon memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, berbanding 26,378 tahun lalu.

Nilai Gred Purata Nasional (GPN) peperiksaan itu juga bertambah baik tahun ini iaitu 2.78 berbanding 2.83 tahun lalu, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Prestasi calon luar bandar juga semakin baik apabila 4,775 berjaya memperoleh semua A berbanding 4,345 tahun lalu, manakala 87,936 melepasi tahap minimum gred A, B, C dan D.

Nilai GPN bagi calon luar bandar juga bertambah baik daripada 3.02 tahun lalu kepada 2.97 tahun ini.

Calon bandar yang mendapat semua A juga meningkat kepada 22,901, berbanding 21,576 tahun lalu, manakala GPN bertambah baik daripada 2.72 kepada 2.68 tahun ini. Alimuddin berkata jurang perbezaan antara calon bandar dan luar bandar juga semakin rapat berdasarkan penguncupan nilai beza GPN antara kedua-dua kumpulan, iaitu 0.3 pada tahun lalu kepada 0.29 tahun ini.

“Bagaimanapun, daripada segi pencapaian semua A, jurang perbezaan pencapaian calon bandar dan luar bandar meningkat daripada 5.11 peratus kepada 5.22 peratus,” katanya.

Antara 10 sekolah harian terbaik termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Selangor: SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu: SMK Sultan Badlishah, Kulim dan SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK Derma, Kangar.

Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban dan SM Sains Tengku Abdullah, Raub.

Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan SM Imtiaz, Kuala Berang; Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.

PMR tahun ini juga menyaksikan kumpulan pertama 156 calon mengambil subjek Pendidikan Kesenian di dua sekolah iaitu Sekolah Seni Johor Baharu (SSeJB) dan SSe Kuching. Subjek kesenian yang diambil ialah Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual.

Bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi apabila 35 calon atau 22.4 peratus mendapat peringkat tertinggi Band 4.

“Seramai 12 calon SSe pencapaian cemerlang dalam akademik dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran teras,” katanya.

Selain itu, tujuh pelajar istimewa disenaraikan calon terbaik iaitu empat mendapat 7A, dua 8A dan seorang 9A.

Alimuddin juga berkata, ada peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam jumlah pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik, manakala bagi mata pelajaran Sains daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Bagaimanapun, katanya, berlaku penurunan tidak ketara kepada prestasi mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI).

“Peratus berbanding tahun lalu untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 kepada 25.6 tahun ini dan BI daripada 16.4 peratus kepada 16.1,” katanya.

RESTORAN DI LAHAD DATU KEHABISAN GULA???

Disember 20, 2009

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia, 1Silam

Saya amat terkejut hari ini ketika ingin minum di salah sebuah restoran yang terdapat di Daerah Lahad Datu apabila GULA habis dijual dan tiada dipasaran Lahad Datu. Pelayan restoran tidak dapat menunaikan permintaan saya yang ingin minum kopi kerana pihak restoran ketiadaan gula hampir 3 hari KERANA TIADA DI PASARAN. Pelik tapi benar ketika rakyat sedang menyambut hari krismas tiba-tiba GULA habis. Jika benar GULA habis saya mencadangkan agar pihak daerah Lahad Datu agar menangani masalah kekurangan gula sehingga restoran tidak dapat berfungsi seperti biasa.

Kepada Jabatan Hal Ehwal Pengguna Lahad Datu dengan kerjasama Pejabat daerah Lahad Datu agar dapat menyelesaikan masalah ini yang boleh menjejaskan peniaga-peniaga khususnya restoran. Saya berharap pihak pemimpin peringkat Daerah Lahad Datu memandang serius kekurangan GULA. Tindakan pantas bagi memastikan bekalan GULA berada dipasaran dengan segera.

Saya pengguna merasa kesal kerana ketika musim perayaan ini kekurangan GULA masih berlaku. Penyelesaian masalah ini dapat di atasi dengan segera agar pengguna mendapat kepuasan dalam penggunaan barang keperluan harian.

Terima kasih

Pengguna GULA

SALAM MAAL HIJRAH

Disember 17, 2009

Assalamualaikum WarahmatullahiWabarakatuh Salam 1 Malaysia, Salam 1 Silam.

1. Pertama sekali saya ingin mengajak Ummat Islam di seluruh dunia, marilah kita bersama-sama panjatkan rasa kesyukuran dan ketakwaan kehadrat Allah SWT yang menjadikan siang dan malam. Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta kaum muslimin dan muslimat. Setiap hari yang dilalui mempunyai makna yang amat besar sehingga menjadikan detik-detik permulaan yang berjaya tidak boleh dipisahkan dengan amalan HIJRAH dari kekurangan ke arah kebaikan, dari kegagalan ke arah kejayaan, dari kemunduran ke arah kemajuan, dari kesengsaraan ke arah kesenangan dan bermacam-macam lagi amalan hijrah yang perlu dilaksanakan demi kemaslahatan ummah sejagat.

2. HIJRAH adalah satu sejarah yang telah meletakkan Ummat Islam terkenal dengan keagungannya. Ketekunan dan keyakinan bahawa kejayaan akan dapat dikecapi untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama, merobah anjakan paradigma minda yang lebih proaktif bersama-sama membina transformasi baru, Meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu, keluar dari kemelesetan ekonomi dunia dengan acuan tersendiri, membina prestasi tinggi rakyat yang terlibat dengan nelayan, pekebun kecil, petani, peneroka, usahawan, kontrektor, membina gerbang perniagaan globalisasi, budaya kerja berprestasi tinggi, pendidikan berkualiti, berintegriti tinggi dan lain-lain lagi.

3. HIJRAH umat Islam khususnya di negara kita memerlukan satu intipati dan nilai-nilai yang tinggi budipekerti, bersefahaman, bantu-membantu antara satu dengan lain, merapatkan hubungan kasih sayang antara kaum dengan kaum yang lain seperti melayu, cina dan india serta bumiputera sabah dan sarawak. Pepatah mengatakan “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” Gunung Sama Didaki lautan sama direnangi”. Walaupun konsep ini sudah biasa kita dengan namun ertinya cukup bermakna dan bereerti untuk kesinambungan konsep 1Malaysia yang hendak melahirkan generasi dan masyarakat masa kini agar bersatu hati, berpadu, bersatupadu dan bersepadu mewarnai dunia 1Malaysia yang cinta keamanan, kedamaian dan kemakmuran sehingga amalan perpaduan menjadi satu jambatan yang kukuh dalam meneruskan visi dan misi kerajaan untuk mencapai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 kelak.

4. Minda rakyat yang lebih genius dan berpendidikan dalam dunia serba canggih ini, adalah satu amalan setiap individu berilmu serta yang telah ditimba perlu diperhalusi bagi membangunkan dan membantu rakyat dan perubahan sesebuah kawasan demi mempraktikkan budaya yang terbaik. Minda perlu digunakan sebaik-baiknya untuk membangunkan negara ke arah kejayaan dan membuahkan idea-idea kontemporari yang boleh menyumbang pembangunan modal insan. Sudah tiba masanya modal insan diberi penekanan dalam membangunkan negara yang berdaya maju dan berdaya saing. Janganlah kita selalu dan sering dijajah oleh pihak asing melalui amalan dan kemudahan dengan menyalahgunakan kemudahan IT sehingga boleh melalaikan. Setiap peralatan teknologi canggih yang datang perlu diterima dengan hati terbuka dengan penerapan nilai-nilai murni sejati.

5. Sempena tahun baru HIJRAH saya ingin mengajak kepada Umat Islam agar berhijrah dengan penuh ikhlas dan rasa tawaduk dan rendah diri. Amalan ini bukanlah satu perkara yang baru untuk diamalkan cuma setelah sekian lama diwariskan oleh pejuang-pejuang bangsa hanya wujud dalam buku sejarah maka saban hari anak-anak yang lahir ke dunia hilang arah dan masa depan yang cerah jika tidak dibendung dan di beri pendedahan melalui pameran, progran dan lain-lain lagi.

6. Kepentingan negara 1Malaysia amatlah diutamakan berbanding kepentingan individu yang hanya menuntut beberapa kepentingan yang tidak berfaedah kepada negara kita, Jika kita melihat sebelum ini amalan demonsterasi di bandaraya besar kelihatan masyarakat amat menyayat hati dan rasa terharu akan timbul. Walaupun demikian kita perlu berusaha untuk menjadikan konsep 1Malaysia dijadikan amalan dan bugaya kita. Jika rakyat Sabah boleh duduk aman dan damai dalam satu bumbung walaupun pelbagai ethnik dan suku kaum. Generasi perlu berubah dengan latihan yang berkonsepkan 1Malaysia supaya penerapan HIJRAH dapat diterima dengan hati terbuka.

7. Dunia semakin hari semakin berhadapan dengan kemelut ekonomi dunia, hatta negara Malaysai berhadapan dengan suasana ini.Namun dengan kepakaran YAB Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abd. razak Perdana Menteri Malaysia yang bijak, berkarisma dan bertransformasi besar dalam meletakkan negara dilandasan yang kukuh dan terjamin. Perkara ini tidak dapat dielakkan hanya memerlukan kepakaran para intelektual, kajian mendalam oleh pakar ekonomi, dan tindakan kerajaan bagi menangani masalah ini. Masalah ini bukan hanya masalah kerajaan malahan melibatkan semua pihak dan peringkat. Persoalannya adakah anda terlibat dalam merealisasikan pembangunan yang menyeluruh, strategik, berprestasi tinggi dan lain-lain.????

8. Sebelum itu, saya ingin mengajak sekali lagi marilah kita bersama-sama berdoa moga-moga Allah jadikan pagimu cahaya, zohormu gembira, asarmu bahagia, magribmu keampunan, isyak mu keberkatan dan doa mu tidak ditoleh dan diluaskan rezeki mu serta ianya tidak diambil balik, dipanjangkan umur dan dibuka padamu pintu syurga tanpa sempadan. Amin Ya Rabbulalamain…

Salam Maal hijrah

YANG BERHORMAT TUAN HAJI SALLEH BIN HAJI KALBI

AHLI PARLIMEN MALAYSIA, P188 SILAM MERANGKAP

DUTA KEAMANAN PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU ( UPF)

nasib guru-guru Kemas.

Disember 16, 2009

Pengarang : ustaz nizam (IP: 60.54.2.92 , 54.60.in-addr.arpa)
E-mel : ustaznizam@yahoo.com
URL    :
Whois  : http://ws.arin.net/cgi-bin/whois.pl?queryinput=60.54.2.92
Komen:
Assalamualaikum

Saya terlebih dahulu mengucapkan syabas dan tahniah kepada CUEPACS atas keprihatinannya dalam membela kakitangan awam dan pada masa yang sama tetap setia berada di belakang kerajaan. Saya menulis surat ini ialah semata-mata hendak semua pihak membuka mata tentang satu skim kakitangan awam yang kerap disisihkan dan dilupakan iaitu nasib guru-guru Kemas.

Ketika setiap pilihanraya samada umum atau kecil, kelibat guru-guru Kemas dalam melakukan kempen serta jentera penggerak UMNO dan BN tidak dapat dinafikan lagi, malahan merekalah yang menjadi penyumbang terbesar dalam meraih undi dan memujuk sokongan pengundi. Merekalah yang bersengkang mata dan memerah keringat dalam memenangkan calon-calon UMNO/BN dengan ganjaran yang tidak seberapa. Tugas mereka selain dari tugasan pengajaran dan pembelajaran di tadika, adalah sebagai mata dan telinga kerajaan yang paling hadapan dan penghubung dengan rakyat. Besar dan berat sungguh tanggungjawab mereka. Sukar dibayangkan untuk bergerak ketika pilihanraya tanpa pengorbanan dari golongan ini.

Tetapi, disebalik kerelaan dan kesanggupan guru-guru Kemas tersebut, rupanya sudah puluhan tahun mereka ini masih lagi sebagai kakitangan kontrak yang diperbaharui setiap beberapa tahun. Hak mereka untuk menjadi penjawat awam tetap sentiasa dihampakan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Setelah puluhan tahun mencurahkan bakti mendidik kanak-kanak prasekolah dan gigih berjuang untuk parti dan negara, hak mereka untuk mendapat pencen ketika mencapai usia persaraan masih lagi dinafikan. Pelbagai kemudahan yang dikhususkan untuk kakitangan tetap juga tidak dinikmati. Malahan gaji mereka juga tidak setaraf dengan rakan sejawatan lain di sekolah dengan hanya mendapat gred S11, gred untuk lulusan PMR/SRP sahaja. Apabila dihantar ke Institut Perguruan untuk menyambung pelajaran ke diploma, mereka masih lagi dikekalkan sebagai kakitangan kontrak dengan gred baru S27. Rungutan yang dicurahkan oleh mereka selama ini ‘bagaikan menyiram air di daun keladi’. Lebih memeritkan, kakitangan
yang berada di pejabat pemasuk para pegawai kesemuanya mendapat jawatan tetap dan berpencen, padahal para guru Kemas yang bertungkus-lumus bekerja di barisan hadapan pada bila-bila masa boleh tidak disambung perkhidmatannya.

Adalah menghairankan mengapakah nasib dan hak mereka untuk menjadi kakitangan tetap seolah-olah dipandang sepi oleh semua pihak? Lebih mengecewakan lagi tiada langsung kedengaran suara-suara pembelaan dari pihak yang begitu mendambakan mereka pada setiap kali pilihanraya berlangsung. Jangan sehingga hal ini dipolitikkan oleh pihak pembangkang barulah pihak terbabit terhegeh-hegeh menjanjikan itu dan ini kepada guru-guru Kemas seperti yang pernah berlaku pada tahun lepas. Habis isu, semuanya senyap kembali dan dilupakan semula. Apakah  nilai kesetiaan dan keikhlasan mereka dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan? Seolah-olah bak kata pepatah ‘habis madu, sepah dibuang’. Jaminan untuk tidak diberhentikan hanyalah ‘menanam tebu di bibir’ kerana dengan status kakitangan kontrak, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

Akhir kata, saya meminta supaya CUEPACS, kementerian yang bertanggungjawab dan juga pihak Jabatan Perkhidmatan Awam dapat berusaha segera menyerapkan mereka ke skim jawatan  tetap tanpa banyak berdalih dan alasan lagi. Saya berharap agar pihak terbabit memberi penghargaan kepada mereka supaya lebih gigih dan tekun bekerja untuk agama, bangsa dan negara, bersesuaian dengan konsep ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.
Sekian, terima kasih

ustaz nizam

GUNUNG SILAM KIAN PUDAR DARI KEASLIAN KHAZANAH ALAM

Disember 15, 2009

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM 1MALAYSIA, 1SILAM

1. GUNUNG SILAM yang kaya dengan keindahan menghijau satu ketika dahulu kini semakin pudar dari pandangan mata kerana aktiviti-aktiviti yang tidak sihat telah dilakukan secara berleluasa walaupun kejadian ini berlaku didepan mata penduduk dan pengguna  jalan raya. Apabila sahaja pengguna jalan raya melintasi kawasan Silam mereka amat kagum dan menjadikan silam kawasan persinggahan untuk minum tanpa mengira pagi, tengahari, petang, malam mahupun waktu subuh kerana kehebatan pemandangan dan suasana alam yang amat indah sekali.

2. Kehebatan ini ditambah lagi dengan bekalan air bersih dari gunung Silam yang sungguh jernih menjadi salah satu daya tarikan kepada pengguna jalan raya untuk membersihkan kereta. Tawaran harga membersih kereta adalah amat berpatutan dan paling murah sekali sehingga mencecah RM1.00 setiap kereta atau kenderaan. Penduduk kampung tidak melepaskan peluang ini sehingga air dari gunung ini dijadikan salah satu sumber pendapatan sampingan. Semakin tahun semakin bulan kita dapat menyaksikan penduduk kampung semakin ramai yang berminat membuka perniagaan menyediakan paip air dengan tempat letak kenderaan yang selesa dan memuaskan. Kesannya ramai juga dikalangan penduduk membuka perniagaan runcit, kedai makan dan gerai-gerai yang muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Ini merupakan persaingan hebat dan baik demi meletakkan kampung Silam terkenal dimata negeri Sabah malahan akan terkenal dimata dunia suatu ketika nanti.

3. Keistimewaan kawasan gunung Silam ini sebenarnya banyak pihak yang terlepas pandang atau sengaja menutup mata sebelah demi menghalalkan aktiviti-aktiviti penggondolan bukit. Gunung Silam suatu ketika dahulu terkenal dengan keindahannya kini semakin pudar kerana boleh dikatakan setiap pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan lori-lori yang mengangkut tanah/batu dari gunung Silam telah menyebabkan gunung ini semakin kelihatan teruk dan telah membentuk satu lubang gergasi yang besar boleh dilihat dari arah jalan raya. Mungkin pengguna yang melalui kawasan ini hanya berkata gunung Silam sedang dalam proses untuk diruntuhkan mungkin memakan masa 100 tahun, mungkin 50 tahun mungkin entah bila. Jika bahagian alam sekitar menyaksikan sendiri masalah gunung Silam ini sudah tentu mereka meletakkan bukit ini berada dalam keadaan keindahan alam sekitar yang terhakis dan nilai estetikanya sudah kian pudar.

4. Selain aktiviti ini gunung Silam juga sudah semakin botak kerana kesan penebangan pokok-pokok yang menjadi pelindung dan penahan tadahan hujan dan mengekalkan bukit yang utuh, kuat dan tahan. Kita dapat menyaksikan semakin hari penebangan dilakukan tanpa ada pengawasan pihak yang dipertanggungjawabkan bagi menjaga keindahan gunung ini. Mungkin juga kerana aktiviti penebangan ini dilakukan kerana tanah gunung ini adalah hak milik seseorang atau sebaliknya. Sudah pasti dalam masa 10 tahun lagi tidak mustahil gunung silam akan menjadi botak dan amat berbahaya kerana tiada lagi akar-akar yang menyokong tanah-tanah dikawasan ini.

5. Sebagai pencinta keindahan alam semulajadi marilah kita mengekalkan gunung Silam sebagai kawasan yang tidak berlaku pengorekan tanah/batu yang boleh menghakis gunung dan aktiviti penebangan yang dilakukan agar dapat diberhentikan supaya tanah gunung dapat menyokong kekuatan gunung Silam. Mungkin belum terlambat lagi agar satu penghistiharan kawasan gunung Silam diletakkan dalam kawasan zon PENCINTA ALAM SEKITAR dengan penanaman semula pokok-pokok yang menyumbang ke arah keindahan alam semulajadi.

6. jika gunung silam masih berada dalam kawalan Jabatan Perhutanan Sabah kawasan Lahad Datu saya berharap tindakan dapat diambil sebelum terhakisnya gunung silam dan hilany dan lenyap untuk generasi masa akan datang. Kesan yang kini amat ditakuti apabila gunung silam runtuh menimpa penduduk kampung. Ini adalah kemungkinan-kemungkinan yang perlu diambil perhatian serius. Jika sebelum ini pembinaan arang batu dibantah kenapa pengorekan tanah dan penebangan pokok dibiarkan ????? Pelik tapi benar…

Jika dikalangan pakar-pakar UKMas, UPM, UMS berpeluang membuat kajian tentang keindahan GUNUNG SILAM ini sudah pasti masa depan bukit ini akan menjadi salah satu daya tarikan yang paling terbaik di dunia kerana keunikan telah terbukti sejak nenek moyang lagi kawasan ini mempunyai sejarah tersendiri. Keindahan laut yang mempunyai pulau-pulau yang boleh dijadikan tapak warisan dunia dikomersilkan sebagai homesty silam berprestasi tinggi. Siapa yang RELA mempertahankan TRADISI HOMESTY 1SILAM, 1MALAYSIA, 1DUNIA ?????…

NOTA : Gambar gunung Silam yang sedang dikorek dan aktiviti penebangan akan disiarkan dalam masa terdekat ini. Anda juga akan menyaksikan temubual bersama penduduk kampung berhubung khazanah alam gunung Silam yang kian pudar dan tidak mendatangkan nilai komersial jika tidak dibendung dengan segera.

Biro Sahabat 1Malaysia

Parlimen P188 Silam

AZAM BARU 2010

Disember 15, 2009

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM 1MALAYSIA, 1SILAM

1. Tahun baru 2010 tidak lama lagi akan menjelang tiba dan tahun 2009 akan melabuhkan tirai dan akan berlalu dengan memori yang penuh indah dan kadangkala penuh dengan dukacita. Semua ini adalah ujian allah SWT mengajar kita lebih dewasa, berhati-hati, perubahan dan anjakan kejayaan dalam kehidupan di masa-masa akan datang. Apakah azam baru tahun 2010 kepada rakyat khususunya di kawasan Parlimen P188 Silam. Mungkin dikalangan kita menceburi bidang perniagaan, usahawan, kontrektor, petani,nelayan, pekebun kecil, penternak, pekerja swasta dan kerajaan, NGO, dan bermacam-macam lagi. Jika anda berniat berubah dan memiliki azam baru, mari kita kongsi  bersama agar azam yang kita impikan benar-benar dapat membawa perubahan besar dan kejayaan kelak.

2. Setiap manusia perlu mempunyai azam baru untuk mempertingkatkan kualiti hidup di masa akan datang. Jika sebelum ini sistem pentadbiran kita tidak terurus, tiada mesyuarat, tiada fail dan rekod, tiada jadual, tiada carta organisasi dan tiada pengagihan tugas hari ini kita masih belum terlambat untuk merancang dan bertindak membuat perancangan azam baru 2010 supaya masalah yang dihadapi masa kini dapat diatasi di masa akan datang. Jika kita berkecimpung dalam bidang usahawan kecil seperti produk-produk keropok ikan, mee kuning, kek dan lain-lain lagi. Mungkin sebelum ini pengeluaran hanya terhad sekitar 1,000 untuk dipasarkan setiap minggu, tetapi setelah merancang azam baru mungkin kita akan menggandakan usaha dengan pengeluaran sekitar 3000 pada tahun 2010.

3. Azam tahun 2010 perlu di tulis dan dibukukan agar kita dapat melihat sendiri setiap bulan atau setiap minggu atau setiap hari atau setiap masa tentang prestasi untuk meningkatkan kualiti kejayaan dalam bidang masing-masing.

Penganalisi SilaGemilang

MESRA RAKYAT

Disember 7, 2009

Assalamualaikum dan Salam sejahtera

MESRA RAKYAT yang dianjurkan oleh Jabatan KEMAS Parlimen P188 Silam di kampung Tanjung Paras telah mewujudkan satu ikatan kekeluargaan antara Yang Berhormat Tuan Haji Salleh Bin Haji Kalbi, Ahli Parlimen Malaysia, P188 Silam, Rakyat, Kakitangan KEMAS, Sahabat 1Malaysia, dan lain-lain lagi. Tanjung Paras merupakan sebuah Pulau yang tidak jauh jaraknya dari Bandar Lahad Datu, Silam mempunyai daya tarikan tersendiri dengan penempatan masyarakat, sekolah, rumah atas air dan amat strateik sebagai industri pelancongan dengan menyediakan HOMSTEY. HOMSTEY merupakan satu daya tarikan kepada pelancong ke Parlimen P188 Silam. Masyarakat di pulau ini amat beruntung kerana tersimpang mutiara berharga untuk menjadikan pulau ini sebagai pusat pelancongan yang indah, menarik, menguntungkan dan tercantik di dunia. Berdasarkan kajian Profesor Doktor seramai 11 orang dari UKM Pulau Sakar KAYA dengan keunikan dan keindahan air yang paling tercantik didunia. Penduduk tempatan perlu merebut peluang ini agar masa depan anak bangsa tidak hilan g dibumi tercinta ini.

Syabas dan tahniah kepada Jabatan KEMAS P188 Silam yang berjaya menganjurkan MESRA RAKYAT khususnya kepada Pegawai KEMAS Daerah, Pn. Asnanti Rasmanan, En. LadjaRasa Mohd Noor, Penyelia Kanan Parlimen P188 Silam, En. Harun Hj. Timpa, Penyelia Pembangunan Desa dan Perhubungan Kawasan Lahad Datu, Norazlin Awang, Khalid Empang, kakitangan Kemas, Pengerusi Pelaksana Kampung Tanjung Paras, Masyarakat setempat yang bekerjasama menyiapkan makanan secara bergotong-royong.Terima kasih kepada pihak Kastam dan pengangkutan air dari pihak nelayan.

Program ini merupakan satu tradisi yang telah diamalkan sejak sekian lama bagi menghimpunkan RAKYAT di kampung bagi merapatkan hubungan kekeluargaan, persaudaraan, jiran tetangga dan hubungan silaturrahim antara pemimpin,jabatan dan rakyat. Amalan ini akan dapat melahirkan kasih sayang dan mewujudkan suasana kekeluargaan yang rapat dan padu. Perpaduan yang terjalin mesra ini akan dapat melahirkan masyarakat harmoni, sejahtera dan sentosa.

MESRA adalah satu perkataan yang melahirkan dalam hati,jiwa dan perasaan untuk menyayangi perpaduan, kekeluargaan,persahabatan dan kekayaan budi bahasa. Maka dem ikian MESRA merupakan tunjang utama dalam melahirkan masyarakat yang selamat, aman dan makmur. Kehidupan sesama kampung dan sesama jiran dapat memupuk perpaduan yang utuh.

RAKYAT adalah kelompok yang sedikit,ramai yang tinggal disesebuah kawasan,kampung,mukim daerah dimana terdapat berkumpul orang ramai bagi mengeratkan hubungan silaturrahim yang padu dan baik. RAKYAT berperanan untuk melahirkan suasana ceria, gembira, tolong menolong dan bersefahaman. RAKYAT berperanan untuk membina kehidupan sebaliknya jika ketidakpuasan timbul menyebabkan perpecahan berlaku. Hanya melalyu konsep MESRA RAKYAT segala rintangan dan cabaran akan dapat dileraikan kerana amalan tolong menolong akan membina masyarakat yang bersatu padu.

MESYUARAT JAWATANKUASA FOCUS GROUP KUNAK DI FELDA SAHABAT, SILAM

Disember 5, 2009

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM IMALAYSIA, 1SILAM DAN 1FAMILY

Mesyuarat kali ini amat berbeza sekali dengan mesyuarat-mesyuarat yang diadakan setiap hari di Daerah Kunak. Pada kali ini mesyuarat di adakan di bilik mesyuarat kompleks Felda, Tungku, Silam. Mesyuarat yang diadakan didaerah lain bertujuan membuka minda supaya pengalaman dikawasan lain dapat dijadikan contoh dalam pembangunan dikawasan kelak.

Program ini dihadiri oleh Pemimpin tempatan yang rela dan bersedia turun padang bagi membangunkan Parliemn Silam dan Kunak. Kehadiran YB. Tuan Haji Salleh Bin Haji Kalbi, ahli Parlimen Malaysia, P188 Silam, YB. Datuk Nelwan Bin Kabang, ADUN N51 Kunak, Pegawai Daerah Kunak, Tuan Susilo Sumarto dan Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan negeri dan Perekutuan bagi membincang,merancang, dan melaksanakan serta menyelesaikan masalah yang timbul bagi kejayaan parlimen Silam khususnya dikawasan Kunak.

Kemiskinan khsusunya dikawasan Kunak yang berdaftar dalam senarai E-Kasih dan senarai SPKR akan diberi penekanan dalam proses pemutihan. Pengerusi bertransformasi tinggi dengan kerjasama jawatankuasa bertanggungjawab dalam mensifarkan kemiskinan tegar daerah Kunak bagi tahun 2010. Bolehkah tercapai agenda ini???

Pelbagai agenda yang dibincangkan bagi memastikan modal insan yang menjadi fokus utama berjaya keluar dari paras kemiskinan sejajar dengan matlamat kerajaan. Antara usaha dan langkah di ambil berdasarkan senarai SSPKR dan E-Kasih. Pentadbiran daerah Kunak merancang mengadakan program MESEJ Pertanian Sapang yang melibatkan beberapa lokasi seperti Sapang, Kunak bagi menanam kelapa sawit seluas 250 ekar bagi 33 peserta KIRMT. Program MESEJ Atas Air di kampung Pangi Hujung, Kunak seluas 120 H/300ekar akan melaksanakan projek Ikan Dalam Sangkar dan rumpai laut. Antara program-program tambahan ialah Program Kampung Sejahtera, Ekonomi, bantuan Rumah dan Gerak Gempur. Cadangan terbaru daripada YB. ahli Parlimen Silam seperti baikpulih rumah,Subur dan lain-lain lagi.

“Kepimpinan Berteraskan Modal Insan”

Penganalisis SilamGemilang