Archive for 16 Mac 2010

Wakil rakyat diingat jaga tingkah laku

Mac 16, 2010

Wakil rakyat diingat jaga tingkah laku
Oleh Anwar Hussin, S Anand Kumar dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
2010/03/16

SERI Paduka bersama Raja Permaisuri Agong diiringi Najib dan Muhyiddin selepas menyampaikan watikah pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat, semalam. Turut mengiringi, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

YB mesti beretika ketika berhujah dalam Dewan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam melahirkan rasa dukacita baginda terhadap tingkah laku dan tutur kata Ahli Parlimen yang tidak menggambarkan keperibadian mereka sebagai wakil rakyat.

Berikutan itu, Tuanku Mizan mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya menjaga tingkah laku dan imej sebagai wakil rakyat kerana mereka sentiasa diperhatikan rakyat. “Ahli Yang Berhormat hendaklah berhujah dengan bernas dan tidak membangkitkan perkara remeh-temeh yang boleh menjelaskan imej dan maruah sendiri serta kemuliaan Dewan ini.

“Sejak dua penggal berturut-turut beta mengingatkan Ahli Parlimen supaya menunjukkan sifat dan perilaku terpuji di dalam Dewan Rakyat.

“Beta dukacita masih terdapat Ahli-Ahli Yang Berhormat mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang tidak mencerminkan keperibadian sebagai wakil rakyat,” titah baginda merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat, semalam.

Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Baginda turut menegur media baru kerana menyiarkan banyak fitnah, pembohongan dan putar belit fakta yang boleh menggadaikan ketenteraman awam dan maruah negara.

“Semua pihak yang terbabit hendaklah sedar perbuatan itu tidak diterima mana-mana agama. Beta menyeru pihak terbabit menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Di samping itu, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit,” titah baginda.

Selain amaran kepada media baru, baginda juga meningkatkan semua pihak agar tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara.

“Kebebasan bersuara adalah ciri demokrasi dan masyarakat yang matang.
Bagaimanapun kebebasan itu bukan alasan bagi mana-mana pihak untuk memburukkan pihak yang lain sehingga mencetuskan api perbalahan dan sentimen perkauman.

“Beta amat dukacita kerana ada pihak di dalam dan luar negara mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh sehingga menggadaikan ketenteraman awam dan maruah negara.

“Beta menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada titik hitam dalam sejarah negara dan mengelak daripada mencetuskan isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian hidup rakyat,” katanya.