Pusat JobsMalaysia Beroperasi Ogos Ini

Pusat JobsMalaysia Beroperasi Ogos Ini

 

KUANTAN, 25 Mei (Bernama) — Dua puluh dua Pusat JobsMalaysia di seluruh negara dijangka beroperasi Ogos ini untuk memudahkan pekerja dan majikan mendapatkan maklumat penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan maklumat mengenai peluang latihan yang disediakan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata pusat berkenaan akan memperhebatkan lagi usaha 80 Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri dan daerah dalam membantu golongan penganggur dan mereka yang diberhentikan kerja ekoran krisis ekonomi global.

“Pusat JobsMalaysia akan menokok tambah kepada 80 JTK sedia ada di negeri dan daerah tertentu dan kita harap Ogos ini semua pusat akan siap dan beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pembangunan Modal Insan (ICONHCD) 2009 di sini, Isnin.

Beliau berkata pusat itu, selain menjadi tumpuan pencari kerja, ia juga dijadikan tempat bagi majikan mengiklankan kekosongan jawatan di syarikat mereka dan pegawai dari kementerian akan membantu memadankan sesuatu pekerjaan itu mengikut kelayakan pemohon.

“Cara ini akan membawa JTK kepada rakyat atau pencari kerja, bukan kita duduk di pejabat saja dan tunggu rakyat datang ke pejabat untuk meminta kerja,” katanya.

Maznah berkata lokasi Pusat JobsMalaysia ialah di tempat tumpuan orang ramai seperti kompleks membeli-belah terkenal dan perhentian bas awam.

Beliau berkata sejak Oktober tahun lepas hingga hari ini, seramai 26,862 pekerja tempatan dan 19,580 pekerja asing diberhentikan manakala 7,282 pekerja berhenti secara sukarela.

Daripada jumlah itu lebih kurang 7,000 pekerja ditempatkan semula mengikut sektor kekosongan di jabatan kerajaan dan swasta, katanya.

Sementara itu, Maznah berkata seramai 200 peserta dari 15 negara, termasuk Australia, Kanada, Jepun, Algeria dan Pakisatan menyertai ICONHCD anjuran Universiti Malaysia Pahang itu.

Persidangan tiga hari mulai hari ini, antara lain akan membincangkan masalah yang dihadapi dalam membangunkan modal insan di peringkat tempatan dan global.

— BERNAMA

Tinggalkan komen