Pembentukan Kerajaan Perpaduan Perlu Berteraskan Kepentingan Negara – Shafie

 
MELAKA, 7 Jun (Bernama) — Umno perlu meneliti kandungan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang dicadangkan PAS sama ada ia berdasarkan kepada kepentingan negara dan rakyat atau fahaman parti politik sebelum sebarang ketetapan dibuat, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata apa yang penting dilihat ialah kebaikan-kebaikan yang boleh membantu negara dan rakyat termasuk memulihkan ekonomi dan menstabilkan politik.

Katanya cadangan melaksanakan pembentukan kerajaan perpaduan itu mestilah berteraskan kepada keikhlasan.

“Saya melihat kalau sekiranya cadangan itu untuk kepentingan negara dan rakyat, kita perlu melihat dan mendengarnya, bagaimana ia boleh menambah baik dari segi pembangunan negara apatah lagi dalam keadaan ekonomi dunia pada hari ini yang amat mencabar, kita memerlukan kesejahteraan, kestabilan suasana yang ada bukan saja di negara kita malah di rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Hari Potensi Tabika Kemas peringkat kebangsaan di Dataran Sejarah di sini, malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara PAS dengan Umno yang dicadangkannya sebelum ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Shafie berkata “(Perdana Menteri) Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, saya ingat pernah menyatakan kalau pun nak melihatkan keadaan ini (cadangan) atau pun kita nak respons seharusnya tidak ada syarat-syarat tertentu”.

“(Kerajaan campuran) sejarah kita memang pernah berlaku pun di zaman (bekas menteri besar Selangor) Datuk Harun Idris, kita pernah bergabung dengan kerajaan PAS, kita telah melantik (bekas Presiden PAS) Datuk Mohamed Asri Muda menjadi Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah satu ketika dahulu dan bukan satu perkara mustahil,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen